Para peserta di Sidang Kemuncak Utiliti Kebangsaan 2004 dimaklumkan alasan-alasan mengapa kenaikan itu penting bagi kemapanan syarikat gergasi utiliti Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Bagaimanapun, pengawal selia sektor elektrik, Suruhanjaya Tenaga, menuntut sebarang alasan bagi kenaikan tarif perlulah jelas dan wajar.
Pengerusi Suruhanjaya itu, Datuk Dr Ir. Annas Mohd Nor, berkata sekiranya permintaan untuk kadar yang tinggi disebabkan oleh kenaikan harga minyak atau tiada pendapatan tambahan diperoleh menerusi kecekapan, banyak “perkara” perlu dilakukan.
Selain gas diberi subsidi, beliau berkata masih banyak cara untuk meningkatkan kecekapan dalam tenaga selain daripada grid TNB. Ia termasuklah sistem “penjanaan bersama, penjanaan diedar, kecekapan tenaga dan lain-lain,” katanya.
Annas berkata satu kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya itu menunjukkan bahawa penggunaan semasa elektrik dan tenaga di negara ini adalah tidak cekap.
“Kajian semula tarif elektrik adalah wajar, tetapi saya tidak pasti dengan kenaikan. Saya tidak pasti sejauh mana kecekapan kita,” katanya.
Beliau juga berkata tarif yang ditetapkan oleh pihak berkuasa selalunya tidak mencukupi bagi daya maju syarikat utiliti negara itu.
Beliau yang maklum bahawa kadar elektrik Malaysia sentiasa pada kadar yang rendah iaitu yang kedua terendah di Asia berkata: “Itulah yang kita mahukan, penswastaan TNB adalah untuk mengurangkan kadar.”
Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohd Noh berkata TNB telahpun berjaya mencapai ke beberapa tahap kecekapan yang boleh dibanggakan.
Pada tahun 1984, semasa permintaan elektrik memuncak pada 3,400 megawatts (MW) dan pelanggan TNB berjumlah 3.0 juta, kakitangan TNB adalah seramai 22,600 orang manakala pada 2004, apabila permintaan elektrik meningkat dengan ketara pada 12,000 MW, dan pelanggannya juga melonjak kepada 6.1 juta, kakitangan TNB berkembang sederhana hanya kepada 33,100 orang. “Bukankah ini mencerminkan kecekapan?” tanyanya.
Selain itu, Che Khalib berkata kadar elektrik rendah ketika in dicapai hasil daripada kecekapan TNB.
Bagaimanapun kenaikan mendadak harga arang batu, keluli, tembaga, dan aluminium telah memberi cabaran yang serius kepada TNB, katanya.
Sekiranya Petronas di masa depan mengkaji semula harga gas yang dibekalkan kepada TNB (ketika ini diberi subsidi pada RM6.40 bagi satu juta mmbtu (unit terma British), Che Khalib berkata reaksi segera TNB adalah memotong perbelanjaan modalnya.
Seorang perunding cara tenaga, Nick Morrris memberitahu sidang kemuncak itu bahawa keadaan kewangan TNB lemah selepas tujuh tahun tanpa kenaikan tarif.
“Dan keadaan ini semakin bertambah buruk. Pembekuan tarif akan mencetuskan lingkaran negatif di mana keadaan akan menjadi semakin buruk,” katanya.
Selain itu, Norris, Ketua Eksekutif ACIL Tasman Pty Ltd., berkata subsidi silang mewujudkan penggunaan tenaga yang tidak cekap. Dengan mengsubsidikan industri yang tidak cekap, sumber-sumber dialihkan daripada syarikat-syarikat cekap yang “memperlahankan ekonomi Malaysia,” katanya.
Bersetuju dengan keperluan bagi pengubahsuaian elektrik, Pengarah Eksekutif PricewaterhouseCoopers, Mohamad Nor Ali berkata pulangan TNB bagi aset tidak begitu menggalakkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa TNB akan sampai ke satu tahap suatu hari nanti di mana ia tidak lagi mampu membayar faedah pinjamannya. – Bernama