Batalkan ICM Demi Keamanan Semua Agama

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju dengan cadangan Presiden PAS Y.Bhg. Dato’ Seri Tn. Guru Hj. Abd Hadi Awang agar Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) dibatalkan bukannya ditangguhkan seperti kata YAB Perdana Menteri Malaysia-Dato’ Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi.

DPPWP melihat ICM merupakan suatu ancaman besar terhadap rakyat di Malaysia yang berbilang kaum dan pelbagai agama. Jika dilihat dari praktikalitinya, sememangnya idea ini tidak terdapat dalam mana-mana agama sekali pun. Tiada agama lain yang berhak mempersoalkan dan mencadangkan perkara baru dalam pengamalan dan ajaran agama lain dengan sewenang – wenangnya.

Kegagalan kerajaan Amerika, Eropah, Afrika dan serta kerajaan lainnya di Asia dalam memupuk perpaduan kaum dilihat berpunca dari perundangan liberal mereka yang membiarkan rakyatnya dari agama lain mengkritik agama lain seperti yang dilakukan oleh Amerika yang menuduh Islam sebagai agama Pengganas. Kita tidak mahu idea seperti ini dibawa ke dalam masyarakat Malaysia.

DPPWP menolak idea ini buat selamanya dan ahli – ahli DPPWP bersama ahli PAS yang lain bersedia untuk mati sekiranya ada kumpulan tertentu atau agama lain yang cuba mencabar hak dan dasar – dasar dalam agama Islam.

DPPWP melihat tindakkan mereka ini juga sebagai satu provokasi untuk menimbulkan ketegangan antara agama dalam Negara ini. Selain itu, Keputusan yang dibuat oleh mereka tidak mengambil kira pendapat ulama’ atau Mufti-mufti dalam Negara.

Paling menduka citakan, tindakkan provokatif mereka ini juga telah membelakangkan YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Ketua agama Islam dalam Negara ini.

DPPWP juga tidak mengiktiraf Sisters In Islam serta BAR Council of Malaysia sebagai wakil Umat Islam di negara ini dalam membahaskan isu atau cadangan menubuhkan ICM ini kerana mereka bukanlah dari kalangan Ulama’. Kita mahu pendapat ulama dan Mufti-mufti didengar dalam sebarang dialog antara agama yang akan dianjurkan selepas ini.

DPPWP merayu agar pihak YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Majlis Raja-Raja dan Mufti- mufti membuat kenyataan akhbar bagi mewakili umat Islam dalam negara ini untuk menolak cadangan penubuhan ICM ini.

Sekali lagi DPPWP bertegas agar kerajaan mengambil tindakkan tegas untuk membatalkan dan mengharamkan cadangan penubuhan ICM bagi menjaga keamanan dan sensitiviti semua rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip dan amalan semua agama dinegara ini.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

KEMBALIKAN KREDIBILITI DAN KUASA JAWI

Isu penarikkan semula pendakwaan JAWI terhadap Jeslina Hashim dan rakan-rakannya di Kelab Zouk kini mulai sepi. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) walaubagaima pun melihat bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan sepi dan JAWI perlu mendakwa mereka semula.

Isu tersebut merupakan bukti bahawa Kerajaan Malaysia yang diterajui UMNO telah gagal mempertahankan kesucian dan kedaulatan agama Islam sebagai agama Rasmi Negara ini. Tindakkan sesetengah ahli Kabinet yang mengesa agar JAWI menarik saman mereka sebelum ini lebih didorong kepada usaha untuk menyelamatkan ego mereka dalam memperjuangkan isu hak asasi wanita seperti yang selalu diwar-warkan oleh Sisters ini Islam.

Bagi DPPWP, tindakan mereka yang tertuduh berpelukan dan berciuman diluar pejabat JAWI selepas penarikkan semula dakwaan itu memperjelaskan lagi sikap angkuh dan bongkak mereka. Masyarakat melihat kelakuan mereka itu sungguh tidak sopan dan memualkan.

Kini, masyarakat juga, telah melihat JAWI sebagai ‘badut’ yang boleh diperlekehkan oleh semua pihak ekoran ketidak tegasan mereka. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merayu agar pihak YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Majlis Raja-Raja mengambil tindakkan serius dalam memastikan perkara ini tidak menjadi barah bagi umat Islam.

DPPWP berharap agar pihak Kerajaan Malaysia mengambil al – Quran dan sunnah Nabi sebagai panduan utama dalam menguruskan urusan umat Islam dalam negara ini termasuk dalam urusan menangani masalah maksiat dan jenayah. Pak Lah sendiri dalam sajaknya ‘Ku Cari Damai Abadi’ menyatakan agar;

“Kita bongkar rahsia kitab suci
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah Nabi
Cari panduan”

Namun hakikatnya, bila isu sebegini diketengahkan Pak Lah lupa kat mana dia simpan al-Quran dan kitab sunnah Nabi sehingga dia sendri tidak jelas tentang hukum hakam pelaksanaan syariat Islam. Begitu juga pimpinan UMNO lainnya. Sungguh memalukan bila, isu yang melibatkan masalah akhlak umat Islam perlu dirujuk pada buku Perlembagaan yang mana seharusnya dirujuk pada Al-Quran dan Sunnah. Nyata sekali bahawa Malaysia bukanlah Negara Islam tulen seperti yang di dakwa oleh Tun Dr. Mahathir sebelum ini.

Walau bagaimana pun Kita mahu agar kredibilti JAWI dipulihkan dengan meneruskan dan mempertingkatkan usaha ke arah membanteras masalah maksiat di Kotaraya Kuala Lumpur hari ini. Kita mahu Kerajaan memberikan mandat kepada JAWI bagi meneruskan dakwaan mereka terhadap Jeslina dan rakan-rakannya. DPPWP berharap agar Kerajaan Malaysia memandang serius akan masalah Jenayah dan maksiat di dalam negara ini.

Tidak guna kempen ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ jika dalam masa yang sama tempat – tempat penggalak maksiat dan keruntuhan akhlak seperti Kelab malam, pusat judi dan arak dibiarkan terbuka kepada mereka yang bukan Islam. Jumlah Kelab malam yang ada pada hari ini di Kuala Lumpur sudah melebihi dari apa yang diperlukan oleh mereka yang bukan Islam.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

OPS TEGAS-ADAKAH KERAJAAN BENAR-BENAR TEGAS TERHADAP PATI?

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius isu Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang memasuki Negara ini secara haram. Seperti yang dilaporkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid, dianggarkan lebih 1.2 juta PATI telah memasuki Negara ini tetapi hanya 400,000 sahaja yang pulang secara sukarela sejak program pengampunan dilancarkan. Ini bermakna lebih kurang 800,000 lagi masih berada dalam Negara.

Pihak DPPWP, khuatir akan keadaan ini jika pihak majikan masih terus berdegil untuk melindungi PATI yang berada dibawah jagaan mereka. Kita yakin bahawa selain dari PATI yang terlibat dalam industri pembinaan, pembantu rumah restoran dan sebagainya terdapat juga PATI yang terdiri daripada pelacur-pelacur asing yang bekerja di bandar – bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Kita juga yakin bahawa bukan dari kalangan rakyat Indonesia sahaja yang tergolong dalam kelopok PATI tetapi rakyat asing dari Negara lain juga ada. Justeru itu pihak DPPWP berharap agar ‘Ops Tegas’ yang bakal dilancarkan pada esok hari (01 Mac 2005) diseluruh Negara dapat menangani masalah ini dengan tegas bukan hanya pada nama dan slogan sahaja.

Kita tidak boleh melayan karenah PATI yang kini bukan sahaja menimbulkan masalah penyeludupan tetapi mengancam keselamatan rakyat ekoran beberapa siri kes bunuh dan samun yang mereka lakukan. Kita khuatir akan keselamatan rakyat dan Negara yang kini telah dihuni dengan sewenang – wenang oleh 800, 000 PATI.

Kehadiran lebih 1.2 juta PATI sebelum ini didalam Negara juga telah membuktikan bahawa Pihak Imigresen, Kastam dan Eksais DiRaja Malaysia gagal memainkan peranannya menyekat kemasukkan PATI. Kelalaian Kerajaan UMNO melalui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam membanteras masalah PATI sebelum ini juga telah mendedahkan rakyat Negara ini dengan pencerobohan rakyat asing. Tidak mustahil dalam 1.2 juta orang itu terdapatnya PENGINTIP atau AGEN ASING yang datang secara rahsia untuk menyelidiki aspek Pertahanan dan Keselamatan Negara.

Secara keseluruhannya PATI melihat Malaysia sebagai Negara yang tidak memberikan ancaman besar kepada mereka begitu juga dengan AGEN-AGEN ASING yang kini telah mengumpul banyak maklumat berhubung soal keselamatan Negara.

DPPWP berharap agar pihak Kerajaan mengambil inisiatif untuk mengetatkan kawalan diperairan dan sempadan Negara agar tidak dicerobohi dengan mudah. Kelemahan sistem keselamaan Negara bukan sahaja membahayakan rakyat tetapi telah menjejaskan imej dan kedaulatan Negara sebagai sebuah Negara merdeka di mata dunia.

Kedegilan para Majikan untuk bekerjasama seharusnya dipandang serius dan tindakkan berat termasuk memenjarakan dan mengenakan denda yang tinggi wajar dilaksanakan. Kita mahu Kerajaan melaksanakannya bukan bercakap kosong dan menunda – nunda operasi yang bakal dilaksanakan esok seperti sebelum ini. Sesungguhnya masalah PATI ini bukan baru tetapi telah wujud sejak Negara Malaysia Merdeka lagi. Tetapi disebabkan kelemahan pentadbiran Kerajaan UMNO isu ini terus dibiarkan ‘berulat’ hingga ke hari ini.

DPPWP dan PAS Umumnya bersedia untuk menghulurkan bantuan dan tenaga bagi kita bersama – sama mengatasi masalah ini. Kita menegaskan bahawa tiada tempat lagi buat golongan PATI dalam Negara ini pada masa ini dan masa akan datang. Kita tidak akan bertolak ansur lagi dengan kehadiran mereka yang banyak menimbulkan masalah jenayah dalam Negara ini.

Walaubagaimana pun kita berharap agar pihak Kerajaan dapat menimbangkan permohonan PATI yang benar – benar ikhlas untuk bekerja di Malaysia sekiranya mereka tiada rekod Jenayah agar kita dapat mengunakan mereka untuk pembangunan Negara serta memudahkan kita mengetahui pergerakan mereka selepas ini.

Rakyat Malaysia bukanlah manusia yang tidak berhati perut untuk menghalau dan menutup pintu rezeki orang lain, tetapi warga Negara luar sama ada dari golongan PATI atau tidak perlulah mematuhi undang – undang yang terdapat dalam negara ini dan menghormati rakyatnya. Jangan buat kacau dan curi – curi masuk ke negara orang jika tidak mahu dihambat keluar secara paksa.

Sekali lagi pihak DPPWP menasihatkan agar PATI dan majikan mereka dapat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan konflik ini dan jangan salahkan sesiapa jika tindakan keras terpaksa diambil selepas ini. Kita juga benar – benar berharap agar pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengatasi masalah ini dengan dimulakan dengan menyelesaikan masalah rasuah khususnya dikalangan pegawai – pegawai Imigresen, Kastam dan Eksais DiRaja Malaysia dan Polis agar masalah PATI tidak berulang. Selagi masalah rasuah ini tidak selesai maka ramailah pegawai – pegawai Kerajaan dibarisan hadapan yang menjadi talibarut yang pastinya membahayakan lagi keselamatan Negara.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

ISU DADAH : JAWAPAN BALAS UNTUK DATUK NOH OMAR DAN UMNO

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik saranan yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar berhubung isu membasmi najis dadah sempena ‘Karnival 6 Jahanam’ yang dilancarkan di Kuala Lumpur. DPPWP dan PAS tidak pernah mengenepikan perkara – perkara yang berhubung kait dengan masalah dadah dan penyeludupannya.

Bagi DPPWP, kita tiada masalah untuk turun ke Padang dan bekerjasama dengan sesiapa juga bagi menangani kemelut yang melanda generasi belia hari ini. Kita tiada halangan terhadap kempen yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sekiranya ianya tidak melampaui batas syariat.

Di pihak DPPWP, kita melihat bahawa kewujudan Biro Dadah Kebangsaan di dalam UMNO bukanlah perkara luar biasa dan ia tidak memberikan apa – apa makna jika usaha dan program yang dilakukan sebelum dan selepas ini hanyalah ‘Hangat – hangat tahi ayam’.

Cuma di pihak DPPWP dan PAS umumnya, kita berasa agak pelik, mengapa baru hari ini pihak UMNO mewujudkan Biro ini sedangkan mereka telah memerintah lebih 40 tahun dan masalah ini telah lahir sebelum kelahiran UMNO sendiri. Adakah UMNO baru tersedar dari khayalan dan baru melihat realiti masalah dadah ini?.

Kita di pihak PAS telah lama berjuang, bukan sahaja untuk isu dadah tetapi kita menentang apa jua bentuk kemaksiatan yang pastinya merupakan sebahagian dari kelompok masalah yang meliliti kehidupan rakyat Malaysia hari ini. Kita kesal dengan tindakkan tidak bertanggungjawab Kerajaan UMNO yang pada hari ini masih terus membiarkan kewujudan begitu banyak disko dan pusat maksiat lainnya yang mana pusat – pusat inilah yang menjadi pusat pengedaran dadah seperti pil ecstasy.

Sehubungan dengan itu, DPPWP mencabar pihak Kerajaan UMNO untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani isu dadah dan juga masalah maksiat yang kini menghantui masyarakat dalam Negara ini. Kita mahu melihat UMNO-BN yang kini menguasai 90 peratus kerusi Parlimen memberikan kebebasan kepada penguatkuasa undang – undang seperti Pihak Polis dan JAWI dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan najis dadah dan maksiat.

Bukan isu penagihan najis dadah sahaja yang harus dipandang berat tetapi punca dan sarangnya juga haruslah di hapuskan. Kita berharap agar serbuan lebih kerap dilakukan ke atas Kelab-kelab malam, pusat perjudian dan premis – premis hiburan lainnya, kerana di situlah antara sarang penyebaran dadah yang sering menjadikan golongan belia sebagai sasarannya. Begitu juga konsert – konsert hiburan yang sering dijadikan pusat pengedaran dadah perlu dihadkan.

Jika dadah dianggap sebagai racun dalam masyarakat oleh UMNO, DPPWP dan PAS melihat rasuah atau politik wang, pelacuran, perjudian dan gejala maksiat lainnya juga adalah satu ancaman besar kepada generasi sekarang. Tak guna jika Kerajaan mengubati satu penyakit sahaja tetapi dalam masa yang sama wabak lain dibiarkan merebak, padahal puncanya adalah sama iaitu pusat perjudian, kelab malam dan pusat hiburan serta pesta konsert yang berlambak di dalam Negara.

Kerajaan perlu membuat klasifikasi akan konsep pusat hiburan dalam Negara agar tidak melanggar norma masyarakat dan tidak dijadikan sebagai pusat ‘Pesta haiwan yang bertopengkan manusia’ yang melampau.

Kerajaan perlu menutup ruang – ruang yang boleh diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengedarkan najis tersebut dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, Kerajaan perlu menyiasat dan menilai dari semasa ke semasa operasi yang dilakukan dan kakitangan yang bertugas perlu dipantau agar mereka juga bebas dari dadah dan tidak menjadi talibarut kepada pengedar dadah.

DPPWP menyeru agar UMNO bukan sahaja bersungguh menubuhkan Biro Dadah Kebangsaan tetapi mewujudkan Biro Anti Maksiat yang mana ruang lingkup dan peranannya lebih luas. Jika benar UMNO berjuang untuk anak bangsa Melayu, UMNO perlu buktikan bahawa mereka mampu mengurangkan kadar jenayah dan jumlah penagih dadah yang kini rating tertinggi masih dipegang oleh kaum Melayu. Dengan kuasa politik yang ada beserta penguasaan media massa seharusnya perkara ini tidak timbul lagi pada hari ini.

Kita kesal kerana segala langkah yang diambil oleh Kerajaan UMNO-BN selama ini hanyalah sebagai retorik semata. Kempen-kempen dilakukan besar – besaran tetapi selepas itu, Kabinet kembali bersidang pula untuk berbincang tentang budget berhubung penambahan Pusat – Pusat Serenti. Ini membuktikan bahawa UMNO gagal dalam tindakkannya dan apa yang dibuat umpama ‘melepaskan batuk ditangga‘ sahaja.

Sekali lagi DPPWP bertegas agar pihak Kerajaan benar-benar telus dan bertindak dalam menghapuskan sarang-sarang dadah ini. Pihak DPPWP dan PAS serta Parti Pembangkang lain tetap akan memberikan komitmen dalam mengatasi masalah ini secara bersama sama ada dipelawa oleh UMNO atau tidak!!!

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Pimpinan PAS setuju ahli undi di Wilayah Persekutuan

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) – Saranan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (WP), Haji Subky Latif yang menggesa agar semua ahli dan penyokong mengundi di ibu kota turut dipersetujui pimpinan WP yang lain.

Ketua Dewan Ulama WP, Ustaz Salleh Sani Al-Hafiz berkata, untuk memastikan PAS mencapai kemenangan dalam pilihan raya 2008, semua ahli PAS yang bekerja di ibu kota perlu mengundi di WP.
Menurut beliau, bagi menjamin kemenangan itu WP memerlukan majoriti pengundi yang banyak.

Beliau menyokong penuh cadangan Subky dan berharap ahli PAS yang bekerja di ibu kota menyahut saranan daripada Pesuruhjaya tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Ibrahim Raja pula berkata, sudah banyak kali cadangan itu dibincangkan dalam Ijtimak WP malangnya sehingga kini belum ada tindak balas daripada ahli PAS yang bekerja di ibu kota.

Mengulas cadangan tersebut, beliau berkata, memang ramai ahli PAS di WP mengundi di luar iaitu di tempat lahir masing-masing.

Katanya, disebabkan sikap ahli PAS itu apabila tiba hari mengundi, PAS WP tidak mendapat jumlah undian yang boleh memberi kemenangan.

“Fenomena orang Melayu memang sayang nak tinggalkan negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, petang tadi.

Sehubungan itu tambah beliau, ahli PAS WP perlu memikirkan semula cadangan Pesuruhjaya serta mengambil tindakan positif untuk mengubah fikiran mereka untuk mengundi di sini.

Katanya, ini kerana Parlimen Titiwangsa berpotensi dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimatnya, Ustazah Nuridah Salleh mengingatkan ahli PAS yang bekerja di ibu kota bahawa sepatutnya mengundi di tempat seseorang itu `mencari makan’.

Menurut beliau, sepatutnya pengundi memberi sokongan padu terhadap PAS untuk menegakkan suasana yang baik kepada masyarakatnya.

Beliau berkata, cadangan itu sudah lama dibawa dalam mesyuarat tetapi bila tiba pilihan raya PAS WP tidak cukup kakitangan untuk mengendalikan tugas sepanjang hari mengundi.

Katanya, ini kerana ramai ahli PAS balik kampung untuk mengundi tetapi jika mereka tidak balik mengundi di kampung sekurang-kurangnya mereka boleh menjimatkan ekonomi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Dr Rayney Azmi Ali berkata, PAS perlu menyakinkan orang ramai bahawa parti itu mendapat sokongan daripada orang ramai disebabkan dasar perjuangannya.

Menurut beliau, PAS perlu tunjukkan bahawa parti itu berada di merata-rata tempat dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

“Kita tidak mahu yang mengundi di sini hanya terdiri daripada ahli PAS WP sahaja, tetapi kita mahu mereka yang bermastautin di WP turut mengundi di sini,” katanya. – mks.

Presiden PAS turun padang bertemu masyarakat

Oleh ZULKIFLI SULONG

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) – Masa untuk turun padang bagi Presiden PAS dan itulah yang dilakukan oleh beliau mulai 12 Februari lalu. Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang turun bertemu masyarakat Kampung Kerinci pada tarikh tersebut.

Esok Ahad, 27 Februari, dua tempat penempatan utama orang Melayu di ibu negara pula akan menjadi sasaran beliau. Kampung Baru Kuala Lumpur dan Kampung Medan, Petaling Jaya.
Paginya beliau akan ke Kampung Baru manakala pada petangnya beliau akan ke kampung Medan. Di sana beliau akan berdialog secara langsung dengan penduduk kawasan itu.

Ketiga-tiga kawasan penempatan ini mempunyai sejarah yang tersendiri kepada negara. Kampung Kerinci adalah antara penempatan setinggan yang awal iaitu lebih 100 tahun lalu.

Kampung Baru pula sedang berada di persimpangan antara kekal dengan tradisinya ataupun dibangunkan menjadi kawasan kosmopolitan.

Kampung Medan pula adalah lambang lemahnya perpaduan kaum di negara ini apabila berlakunya pertembungan antara orang Melayu dan India beberapa tahun lalu di situ.

Semua kunjungan ini diuruskan oleh Pejabat Presiden PAS yang terletak di nombor 22, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. Ia dibuat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor serta PAS cawangan dan kawasan di tempat sasaran.

Turut serta dalam majlis esok adalah Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub.

“Kunjungan ini bertujuan untuk membolehkan Presiden menjiwai sendiri degup jantung rakyat bawahan khasnya mereka yang tinggal di ibukota,” kata Setiausaha Politik Presiden PAS yang baru beberapa bulan lalu dilantik, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman, bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu dan bekas pensyarah Sains Politik Universiti Malaya, kini mengetuai pejabat Presiden itu.

Beliau dan keluarga kini berpindah sepenuhnya dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tugas barunya.

Di samping beliau, turut bertugas di pejabat itu adalah seorang pegawai Perhubungan yang akan membantu beliau dan Presiden PAS berhubung dengan sesiapa sahaja.

Biasanya pada setiap lawatan, Presiden PAS akan disertai oleh beberapa pemimpin kanan PAS yang lain. Misalnya di Kampung Kerinci, 12 Februari lalu, beliau ditemani oleh Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub dan Dr Syed Azman sendiri yang juga AJK PAS Pusat.

“Selepas ketiga-tiga kawasan ini, kita akan turun ke kawasan-kawasan yang lain pula bukan terhad di ibu negara sahaja,” kata Dr Syed.

Di samping merancang kunjungan dan dialog Presiden dengan orang ramai di tempat mereka, kini Presiden PAS mempunyai jadual yang tetap di pejabatnya di Kuala Lumpur.

“Mula-mula ini Presiden akan berada di pejabatnya setiap dua minggu sekali. Selepas ini insya Allah seminggu sekali secara tetap dan berjadual.

“Ketika berada di sinilah, pelbagai program kita aturkan untuk beliau,” kata Dr Syed Azman kepada Harakahdaily.

Di samping bertemu masyarakat tempatan, jadual juga diatur untuk Presiden PAS PAS bertemu dengan pelbagai sektor masyarakat secara rasmi dan tidak rasmi.

Selain bertemu para pemimpin parti dari pelbagai peringkat, pertemuan juga diatur dengan para diplomat, wartawan, ahli perniagaan, profesional, pakar-pakar, pegawai kerajaan dan sebagainya.

“Semuanya ke arah PAS yang lebih baik dan maju,” kata Dr Syed lagi.

ISA: GMI bimbang tangkapan sebagai ‘kambing hitam’

Oleh Hafiz MOhd Baqi
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) – Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melahirkan kebimbangan berikutan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen sebagai ‘kambing hitam’ semata-mata.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tidak mustahil ISA telah digunakan dalam kes kakitangan awam itu untuk menjadikan segelintir mereka sebagai kambing hitam untuk menutup kes yang boleh membuka pekung atau kelemahan kerajaan terhadap ciri keselamatan dokumen yang dianggap peribadi dan sulit.
“Bukankah kes-kes penahanan ISA yang dikaitkan dengan pemalsuan dokumen dan seumpamanya hanya senyap begitu sahaja? Siasatan pun entah ke mana, yang ditahan pun tiada pembelaan. Yang pasti, keluarga derita dan rakyat dibuaikan dengan kenyataan-kenyataan oleh pihak kerajaan sama seperti yang kita dengar dan baca hari ini,” kata beliau dalam satu kenyataan berhubung penahanan terbaru sejumlah yang tidak diketahui terdiri daripada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen di bawah ISA sebagaimana yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Menurut laporan, kakitangan tersebut ditahan di bawah ISA atas dakwaan terbabit dengan sindiket yang pakar dalam memalsu dan menjual dokumen perjalanan.

Penahanan itu juga mempunyai kaitannya dengan rampasan 150 kad pengenalann daripada warga asing baru-baru ini termasuk MyKad yang mempunyai ciri keselamatan canggih.

Malah, turut ditahan sejak sebulan lalu walaupun tidak diumumkan oleh pihak polis mahupun kerajaan ialah seorang pegawai wanita berusia 25 tahun yang ditahan di bawah ISA seperti yang dilaporkan Berita Harian dan disahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Noh Omar.

Kata Syed Ibrahim, sekiranya benar wujud sindiket pemalsuan dokumen yang melibatkan kakitangan awam maka siasatan segera perlu dilakukan dan semua yang terbabit dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.

Dengan cara demikian kata beliau, pendedahan sebenar dapat dilakukan dan mereka yang terbabit boleh dikenakan hukuman dengan pengetahuan umum di samping mampu mencegah apa juga kegiatan serupa di masa akan datang.

Sehubungan itu kata Syed Ibrahim,pihaknya sangat kesal apabila kerajaan menggunakan ISA untuk melakukan penahanan sedangkan terdapat banyak lagi undang-undang lain yang boleh digunakan tanpa mencabuli hak tahanan untuk mendapat pengadilan.

Justeru katanya, kerajaan perlu mendakwa mereka yang ditahan di bawah ISA itu di dalam mahkamah perundangan dengan mengemukakan kes dan bukti yang kukuh tanpa teragak-agak.

Sekiranya tidak melakukan demikian beliau mendesak supaya semua tahanan perlu dibebaskan segera kerana penahanan mereka di bawah ISA merupakan satu pencabulan hak asasi manusia.

“Keutuhan dan kepercayaan kita kepada undang-undang perlu dikekalkan. ISA nyata tidak membantu malah menghancurkan keutuhan sistem undang-undang.

“ISA juga tidak mengukuhkan keutuhan institusi polis mahupun badan siasatan kehakiman kerana penahanan boleh dibuat tanpa sebarang bukti untuk selama bertahun-tahun lamanya jika mereka mahu,” tegas beliau

Dalam masa yang sama kata Syed Ibrahim, beliau menyeru semua pihak supaya prihatin akan penggunaan ISA dan keburukannya serta bersama-sama berusaha untuk memansuhkan undang-undang zalim tersebut. – mks.

Syor tubuh ICM melulu – Najib — `Tidak sensitif dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara’

Oleh: ARSHAD KHAN

PEKAN 25 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) merupakan syor yang tidak sensitif dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri juga menegur semua pihak yang mencadangkan penubuhannya termasuk Majlis Peguam supaya tidak membuat sebarang cadangan melulu terutama yang berkaitan dengan agama Islam.

Beliau mengingatkan bahawa sebarang isu berkaitan dengan agama Islam adalah amat sensitif dan perlu dinilai secara serius sebelum sebarang cadangan dibentangkan kepada umum.

“Apa-apa yang bersabit agama Islam adalah perkara yang sensitif, jadi kita (kerajaan) berharap semua pihak mengambil kira hakikat ini dan sebarang cadangan perlulah mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi,” jelasnya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pengeluaran Ulung Mercedes-Benz E-Class dari kilang pemasangan MTB di sini hari ini.

Cadangan penubuhan ICM ditentang hebat pelbagai pihak kerana ia dilihat akan mencampuri urusan agama dan memusuhi undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik sebuah badan perundingan dan penasihat.

Semalam, sebanyak 24 pertubuhan agama dan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam menganjurkan Persidangan Kebangsaan Ke Arah Penubuhan ICM dan ia dibiayai oleh sebuah Yayasan Konrad Adenauer.

Sementara itu, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut berpendapat, usaha Majlis Peguam itu patut dikecam kerana cuba mencabar Islam.

Majlis Peguam pula sebaliknya menyifatkan penubuhan ICM tidak sekali-kali akan memainkan peranan selaku badan penghakiman terhadap pelbagai masalah membabitkan umat Islam termasuk isu murtad.

Mengulas lanjut, Najib berkata, semua pihak harus sedar bahawa Islam merupakan agama rasmi dan telahpun mempunyai badan-badan yang berkuasa dalam membuat sebarang penentuan berkaitan agama itu.

Beliau berkata: “Yang kita galakkan ialah dialog antara agama tetapi tidak semestinya dalam bentuk suruhanjaya dan sebagainya.”

Menurut beliau, pentadbiran berkaitan agama Islam di negara ini sudah cukup mantap melalui beberapa pihak berkuasa yang dilantik kerajaan.

Najib juga meluahkan harapan agar isu berkenaan tidak diperbesarkan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

“Semua pihak berhak untuk membuat cadangan tetapi tidak semua cadangan akan diterima,” katanya.

Isu PTPTN: Kerajaan dirayu sediakan pendidikan percuma

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) – Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) mendesak kerajaan memberi pendidikan percuma kepada rakyat miskin sehingga ke peringkat tertinggi kerana langkah itu bersesuaian dengan prinsip Islam Hadhari.

Pengerusinya, Haji Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu memberikan pelajaran percuma sehingga ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT) selaras dengan keutamaan diberikan Islam dalam menuntut ilmu.

Katanya, jika kemudahan itu tidak dapat dilaksanakan, sekurang-kurangnya kerajaan berusaha memberi biasiswa kepada pelajar miskin.

Menurut beliau, memberi pelajar pendidikan percuma merupakan satu langkah yang wajar pada waktu kerajaan berbelanja besar bagi menyelamatkan banyak syarikat-syarikat besar.

Selain itu beberapa agensi kerajaan menyediakan peruntukan besar seperti RTM memberi pencen kepada artis veteran manakala Kementerian Belia dan Sukan pula memberi pencen kepada ahli sukan yang memenangi pingat Olimpik.

Justeru, apa salahnya kerajaan turut memberi pendidikan percuma daripada peringkat rendah hingga ke IPT memandangkan tidak ada satu jaminan bahawa para siswazah mendapat kerja selepas tamat belajar.

Mahfuz yang juga AJK PAS Pusat kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengatakan; “Semasa nak minta kemudahan, beriya-iya sangat, nak hutang beriya-iya sangat, melobi orang itu dan lobi orang ini minta segala sokongan dan sebagainya. Dah selesai belajar tak nak bayar balik.”

Beliau kesal dengan kenyataan Abdullah dan sebagai Perdana Menteri beliau tidak wajar mengeluarkan kenyataan begitu.

Katanya, ini kerana sebahagian keluarga pelajar IPT memang tidak berkemampuan dan tidak ada jalan lain, melainkan terpaksa berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Mereka bukan melobi tetapi ibu bapa terpaksa berhutang dengan PTPTN sebab mereka tidak mampu untuk menanggung segala perbelanjaan anak-anak mereka di IPT.

Bagaimanapun, sememangnya mereka layak untuk menerima apa sahaja bentuk bantuan sama ada buku-buku dan biasiswa,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap, kerajaan wajar pertimbangkan semula tindakan untuk membawa pelajar yang tidak membayar hutang PTPTN ke mahkamah bermula April ini. – SA/lanh

Cuaca panas: Umat Islam diminta tunai solat istifqa’

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) – Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan meminta umat Islam menunaikan solat istifqa’ untuk meminta hujan berikutan keadaan cuaca panas dan kering sehingga suhu mencecah 40 darjah selsius.

Ketuanya, Ustaz Salleh Sani Al-Hafiz berkata pihaknya juga akan mendirikan solat Istifqa’ supaya Allah menurunkan hujan bagi mengurangkan sedikit keadaan yang terlalu panas.

Beliau berkata, panas atau sejuk itu datang daripada Allah SWT dan manusia wajib menerima cuaca itu dengan reda.

“Kalau kita tidak reda dengan ketentuan Allah bermakna kita telah marah dengan Allah, kita tidak boleh marah dengan Allah sebab panas dan sejuk itu hak Allah,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tengah hari ini.

Ustaz Salleh yang juga Ahli Perhubungan PAS Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah Pusat Ramalan Kaji Cuaca, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, Wong Teck Kiong berhubung darjah kepanasan cuaca sekarang.

Wong Teck berkata, keadaan itu berlaku di sebabkan ekuinoks iaitu keadaan ketika matahari bergerak menghampiri garisan Khatulistiwa yang dijadualkan berlaku pada 21 Mac depan.

Ustaz Salleh berkata, bala yang diturunkan terhadap umat merupakan cubaan daripada Allah dan cubaan itu bertujuan meningkatkan pendekatan hamba-Nya.

Katanya, bagi mereka yang bersabar menempuh segala cubaan daripada Allah sudah pasti akan memperolehi pahala yang berganda.

Menyentuh soal itu tambah beliau, dengan cuaca panas terik ini kemungkinan akan mengubah sikap sebilangan umat Islam tidak akan berjemaah di masjid.

Sehubungan itu katanya, umat Islam kena kuatkan azam dan teruskan melaksanakan tugas pengabdian kepada Allah dan anggaplah cuaca panas itu sebagai satu percubaan.

“Biasanya kalau keadaan cuaca biasa apabila melakukan ibadah pahala yang diperolehi seperti biasa, tetapi jika keadaan yang mencabar pahala yang diberi berganda,” katanya. – lanh

IFC: Dua kenyataan berbeza pemimpin Islam Hadhari

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) – Isu penubuhan Suruhanjaya Antara Fahaman (IFC) mendapat reaksi berbeza dua pemimpin Umno yang menyanjung konsep Islam Hadhari.

Kenyataan dan pendirian berbeza disampaikan oleh dua menteri ternama serentak pada hari yang sama dalam majlis yang berasingan.
Abdullah Mohd Zin tolak keras IFC

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Abdullah Md. Zin berkata, Suruhanjaya Antara Fahaman (IFC) tidak boleh diwujudkan di negara ini kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.

Beliau menegaskan, jika IFC ditubuhkan tentunya agama Islam akan turut berada di bawah suruhanjaya ini.

“No way, mana boleh, saya membantah perkara ini,” tegas beliau sambil menyifatkan usaha yang diterajui Majlis Peguam itu sebagai `membuka’ isu lama.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika memperkatakan sesuatu isu yang cuba menyentuh institusi keagamaan di negara ini.

“Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu (menubuhkan IFC) kerana perlembagaan negara ini telah menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi. Kalau IFC ditubuhkan bererti Islam pun sudah pasti akan turut berada di bawah suruhanjaya itu, bagaimana ni?,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian program Kajian Lapangan Dalam Komuniti 2005 di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini.

“Kalau hendak diletakkan agama mereka sahaja (tidak termasuk agama Islam) itu terserah… tapi kalau nak letak Islam di bawah Suruhanjaya Antara Agama itu tidak boleh dan amat bercanggah,” katanya.

Rais sokong dan sama rata semua agama

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Mohd Rais Yatim dalam ucaptama perasmian persidangan IFC di Hotel Equatorial, Bangi semalam menyatakan, baginya tidak ada halangan untuk menubuhkan IFC.

Katanya lagi, penubuhan IFC boleh membantu kepada persefahaman antara agama selain menggalakkan amalan hidup secara harmoni semua penganut agama.

Rais dalam sidang medianya juga menyatakan penubuhan IFC ini sejajar dengan pelaksanaan konsep Islam Hadhari yang mahu rakyat hidup dalam suasana harmoni.

Ujarnya, dengan adanya IFC semua penganut agama boleh menganjur dan menghadiri perayaan pelbagai agama seperti perayaan Krismas, Deepavali, Hari Raya Puasa, Tadau Kamaatan dan Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, dalam ucaptama yang sama Rais telah membuat kenyataan yang dikatakan boleh menjejaskan akidah malah menghina Islam.

“Tidak ada mana-mana penganut agama yang boleh menyatakan bahawa agama mereka lebih baik dari agama lain,’kata Rais.

Kenyataan itu kemudian mendapat respon dan kecaman dari beberapa pihak.

Kenyataan Rais jejaskan akidah, hina Islam

Bekas Yang di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang menyifatkan, dalam sedar atau tidak ucapan Rais itu menyentuh soal akidah.

“Ini satu ucapan yang gila.Beliau seorang yang beragama Islam tidak sepatutnya mengucapkan sedemikian.Ini menggambarkan beliau tidak yakin kepada Islam,”kata Ustaz Ahmad.

Beliau menyifatkan kenyataan Rais itu amat menyalahi akidah seorang Islam.

“Kenyataan itu bahaya.Saya minta Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil tindakan serius kepada Rais,”kata Ustaz Idris.

Mengulas lanjut isu itu Ustaz Idris berkata, ucapan Rais boleh dikategorikan sebagai menghina agama.

Malah katanya, amat bahaya lagi apabila Rais menyatakan sedemikian di hadapan mereka yang bukan beragama Islam.

Katanya, ucapan tersebut boleh mengakibatkan kesyumulan, kesucian dan keagungan Islam diperlekeh penganut agama lain apabila mereka merasakan agama Islam sama seperti agama mereka.

Sehubungan itu beliau sekali lagi menggesa kerajaan dan pihak berkuasa seperti Majlis Mufti segera bertindak ke atas Rais berikutan kenyataan menghina Islam itu. – mks.

`Mana boleh, saya bantah ICM’

Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT

HULU TERENGGANU 24 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, Suruhanjaya Antara Agama (ICM) tidak boleh diwujudkan di negara ini kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.

Beliau menegaskan, jika ICM ditubuhkan tentunya agama Islam akan turut berada di bawah suruhanjaya ini.

“No way, mana boleh, saya membantah perkara ini,” tegas beliau sambil menyifatkan usaha yang diterajui Majlis Peguam itu sebagai `membuka’ isu lama.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika memperkatakan sesuatu isu yang cuba menyentuh institusi keagamaan di negara ini.

“Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu (menubuhkan ICM) kerana perlembagaan negara ini telah menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi. Kalau ICM ditubuhkan bererti Islam pun sudah pasti akan turut berada di bawah suruhanjaya itu, bagaimana ni?,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian program Kajian Lapangan Dalam Komuniti 2005 di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini.

Program selama tiga hari anjuran Jabatan Ekologi Sosial, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia (Kustem) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu disertai seramai 98 orang pelajar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Telemong, Rozi Mamat; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Kustem, Dr. Abdul Majid Mohd Isa dan Pengarah JHEOA Kelantan/Terengganu, Suhairy Abdul Ghani.

Abdullah memberitahu demikian sebagai mengulas bantahan pelbagai pihak berhubung usaha Majlis Peguam yang ingin menubuhkan ICM menjelang persidangan mengenai perkara itu di ibu negara hari ini.

Dalam laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, pelbagai pihak menyifatkan usaha itu sebagai mencampuri urusan agama Islam dan usaha itu patut dikecam kerana ia cuba mencabar agama ini seterusnya memusuhi undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik sebuah badan perundingan dan penasihat.

Menurutnya, keadaan dalam negara juga tidak memerlukan penubuhan IRC kerana kerajaan sekarang ini tidak pernah menyekat mana-mana agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Kalau hendak diletakkan agama mereka sahaja (tidak termasuk agama Islam) itu terserah… tapi kalau nak letak Islam di bawah Suruhanjaya Antara Agama itu tidak boleh dan amat bercanggah,” katanya.

Jawatankuasa ICM nafi penubuhan pengaruhi urusan Islam

Oleh: HELMI MOHD. FOAD dan HERMAN HAMID

BANGI 24 Feb. – Jawatankuasa Pemandu Penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) menafikan dakwaan pelbagai pihak bahawa penubuhan badan itu akan mempengaruhi urusan agama Islam.

Pengerusinya, Malik Imtiaz Sarwar berkata, suruhanjaya itu juga tidak sekali-kali akan menjadi badan penghakiman terhadap pelbagai masalah membabitkan umat Islam termasuk kes murtad.

Sebaliknya beliau menjelaskan, ICM dicadangkan untuk bertindak menjadi perunding dan pendamai sebagaimana yang telah dirangka dalam kertas cadangan penubuhannya.

“Dalam isu seperti murtad, kita tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, sebaliknya hanya boleh mengemukakan pandangan.

“Misalnya kita memberikan cadangan bahawa sesuatu kes sepatutnya begini… jangan penjara tetapi beri kaunseling, namun ia terpulang kepada kerajaan atau jabatan agama untuk membuat penelitian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi rehat selepas majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Ke Arah Penubuhan ICM oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim, di sini hari ini.

Malik yang juga seorang peguam berkata, ICM bukan hanya akan memberikan fokus kepada masalah berkaitan dengan Islam sebaliknya mencakupi agama-agama lain.

“Jadi kritikan yang memikirkan bahawa kita hanya akan fokus kepada Islam itu adalah tidak betul,” katanya.

Tambah beliau, ICM berhasrat mahu menangani sebarang tekanan dan konflik yang berlaku membabitkan pelbagai agama di negara ini.

Katanya, dengan wujudnya sebuah badan berkanun, sebarang konflik dapat ditangani dengan berkesan berbanding jika hanya dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau perseorangan.

“Takkan semua isu kita hendak bawa ke mahkamah, sedangkan ia merupakan jalan penyelesaian yang terakhir,” ujar Imtiaz.

Sementara itu Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Kuthubul Zaman Bukhari berkata, usaha menubuhkan suruhanjaya tersebut tidak sekali-kali berhasrat untuk mencabar mana-mana badan agama atau pandangan Islam.

Jelas beliau, persidangan tersebut merupakan satu proses mengenal pasti nilai etika yang standard untuk digunakan bagi mencapai keharmonian agama di negara ini.

“Saya percaya jawatankuasa penubuhan ICM akan melihat hasil perbincangan dalam persidangan ini dan para peserta bebas memberi pandangan, selepas itu baru mereka akan tahu apakah sebenarnya matlamat suruhanjaya itu,” ujar beliau.

Menurut Kuthubul Zaman, penubuhan ICM juga tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan kerajaan atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

“Majlis Peguam juga sebenarnya tidak pernah berhasrat untuk menjadi juara dan bertindak menerajui penubuhan ICM.

“Kami hanya membantu melicinkan penganjuran persidangan ini,” katanya.

Suhu 21 Mac dijangka 40% Celsius

Oleh: S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Negara akan mengalami pancaran matahari paling terik pada 21 Mac ini dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius ekoran fenomena ekuinoks.

Pada tarikh itu, matahari yang sedang bergerak dari kawasan hemisfera selatan ke hemisfera utara akan berada betul-betul di atas garisan khatulistiwa yang menyebabkan keadaan panas terik.

Jurucakap Pusat Ramalan Kaji Cuaca, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca ketika dihubungi di sini, hari ini berkata, pada masa itu, pancaran matahari akan tepat ke bumi yang menyebabkan keadaan bumi lebih panas dan suhu akan meningkat.

“Akibatnya, pada hari tersebut kita akan merasai cuaca yang amat panas kerana sinaran matahari yang terik.

“Bagaimanapun ia tidak berada di tahap yang membahayakan atau membimbangkan, tetapi diharapkan orang ramai tidak akan berjemur atau melakukan terlalu banyak aktiviti luar,” katanya.

Jurucakap itu berkata demikian ketika diminta menjelaskan fenomena ekuinoks yang dikatakan menjadi penyebab kepada suhu panas sekarang.

Semalam Penolong Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Wong Teck Kiong berkata, keadaan itu tidak dapat mengatasi rekod yang pernah dicatatkan iaitu 40.1 darjah Celsius pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis.

Menurut jurucakap itu, ekuinoks bukanlah satu kejadian yang luar biasa yang berlaku secara tiba-tiba.

“Biasanya negara mengalami suasana panas begini dua kali setahun kerana kedudukan Malaysia berhampiran dengan garisan khatulistiwa,” katanya.

Tambah jurucakap itu, pihaknya menjangkakan cuaca panas dan kering akan berlarutan sehingga penghujung bulan depan.

Bagaimanapun kata beliau, kebakaran hutan yang berlaku di beberapa tempat di seluruh negara sekarang bukan disebabkan oleh fenomena itu, tetapi pelbagai faktor lain termasuk kecuaian manusia.

“Kebakaran hutan yang kerap berlaku sekarang bukanlah disebabkan oleh fenomena ekuinoks ini,” katanya.

Buku Presiden PAS buatkan Umno bagai cacing kepanasan

Oleh Mohd Sabri Said.

PADANG SERAI, 22 Feb (Hrkh)- Terbitnya buku ‘Hadharah Islamiyah bukan Islam Hadhari’ karangan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang membuatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagaikan cacing kepanasan, kata Naib Presiden PAS, Azizan Abdul Razak.

Umno, katanya, terpaksa menganjurkan program mendekati rakyat seolah-olah sudah dekat benar dengan pilihan raya umum.
Katanya, program ‘Gah Kedah’ yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kubang Rotan semalam penuh dengan pujian terhadap kerajaan BN sekarang kerana berjaya memulihkan kekuatan Kedah untuk menjadi kubu kuat Umno.

“Terbitnya jawapan kita melalui Hadharah Islamiyah sekali gus membuatkan mereka tidak senang duduk macam cacing kepanasan. Siang dan malam dekati rakyat bimbang pengaruh mereka kurang semula, ” tegas Azizan.

Akhirnya BN mendapati konsep Islam Hadhari yang dihebahkan memakam diri kerana semakin hari berlaku gejala yang bertentangan dengan konsep tersebut, ujarnya.

“Setiap hari rakyat boleh menilai adakah Islam yang diwar-warkan oleh kerajaan membolehkan konsert, ratu cantik, ratu kebaya nyonya dan sebagainya, ” terang beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Katanya, melalui ‘Gah Kedah’ juga, mereka memaksa setiap sekolah menyediakan sekawah bubur As-Syura hasil kutipan wang ibubapa melalui murid-murid.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Padang Serai, Sabri Ismail dalam ucapannya mengajak orang ramai menyertai Program Karnival PAS Kawasan pada 11, 12 dan 13 Mac 2005.

Malam pertama Naib Presiden PAS, Dato’ Dr. Hasan Ali akan digandingkan dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar Malam kedua merupakan ‘Malam Kesenian’ oleh Ustaz Akil Hai Rawa manakala malam terakhir dibarisi ahli panel Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayob dan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Haji Mohamad Sabu.

Pemuda PAS kesal pemimpin negara menyebelahi pelaku maksiat

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) – Konsep Islam Hadhari yang dicanang Perdana Menteri, Dato’ Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi hari ini tidak bermakna selagi pemimpin di negara ini menyebelahi pelaku-pelaku maksiat sehingga melahirkan remaja yang tidak bermoral.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Riduan Mohd Noor melahirkan kekesalannya dan berkata, sikap kurang ajar remaja Melayu mempersoalkan tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka dengan kesalahan melakukan maksiat telah mendapat pengiktirafan pemimpin Umno.
“Apa tidaknya, remaja (termasuk beberapa selebriti) tanpa rasa bersalah mengecam dan menghina Islam dalam keadaan mereka ditahan kerana melakukan maksiat,”kata Ustaz Riduan.

Bermula dengan kes ratu cantik, The Ship dan kini Jeslina

Kata Ustaz Riduan, sebagai contoh dalam kes Jeslina Hashim yang ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) pada 13 Januari 2005 di Kelab The Zouk, Jalan Ampang.

Tambahnya, selepas penahanan itu beberapa pemimpin tertinggi Umno melontarkan kecaman terhadap Jawi termasuklah mempertikaikan penguatkuasaan yang mereka jalankan.

Kes pembelaan terhadap Jeslina itu bukan hanya satu contoh sahaja , malah sebelum ini katanya pemimpin Umno seperti dalam kes bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom dengan ratu cantik.

Pemimpin Umno ketika itu menyebelahi ratu cantik malah mempertahankan tindakan mendedah tubuh badan pelaku maksiat itu sebaliknya memecat Dato’ Ishak dari jawatannya.

Selepas itu, negara digemparkan lagi dengan isu penahanan beberapa remaja yang berkelakuan tidak sopan di Kelab Malam The Ship beberapa tahun lalu.

Ketika itu penguatkuasa turut menjadi mangsa akibat campurtangan pemimpin Umno menekan pihak yang melaksanakan undang-undang Islam ke atas pesalah maksiat.

Pemimpin Umno membela pesalah maksiat

Katanya, sikap buruk pemimpin Umno yang mengagungkan pesalah maksiat sebenarnya menggambarkan kehendak yang cuba diterapkan dalam konsep Islam Hadhari yang dilaung Abdullah.

“Inilah gambaran sebenar Islam Hadhari yang mana Islam yang mereka pakai hanya sekerat-sekerat sahaja, bila ada musibah baru nak ingat, tetapi selepas itu kembali kepada kemungkaran dan kemaksiatan,”kata Ustaz Riduan.

Pembelaan yang diterima pelaku maksiat dan penghinaan yang dilemparkan kepada penguatkuasa Jawi pula sedikit sebanyak akan memberi implikasi buruk kepada moral masyarakat.

Ujar Riduan, selepas ini masyarakat terutamanya remaja tidak akan segan silu atau takut lagi kepada penguatkuasa untuk mereka membuat maksiat atau perzinaan.

Gambaran buruk yang dilontarkan media terhadap Jawi memberi kesan langsung kepada kewibawaan badan perundangan Islam itu dalam melaksanakan syariat di negara ini.

Sambil menyifatkan tindakan itu merupakan kebejatan akhlak ummah Ustaz Riduan berkata, telah tiba masanya semua pihak yang cintakan Islam bangun untuk menghalang usaha menyuburkan maksiat yang dibenarkan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, selagi masyarakat berdiam diri, Islam tetap akan terus dipandang hina oleh pemimpin Umno yang bertopengkan Islam Hadhari.

Pada hakikatnya, pemimpin Umno tidak mahu kepada Islam malah mereka mahu budaya maksiat terus subur di muka bumi Malaysia.

Islam Hadhari lahirkan Kuala Lumpur bandar raya seks

Selain itu, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Abdullah sedikitpun tidak menggambarkan hakikat pemerintahan dan kehidupan Islam yang sebenar.

Kata Ustaz Riduan, kewujudan aktiviti perniagaan seks di Kuala Lumpur seperti di Jalan Bukit Bintang, Bangsar, Lorong Haji Taib, Jalan Petaling, hotel-hotel persinggahan dan rumah-rumah urut memberi imej buruk kepada Malaysia.

Menurutnya, Pemuda PAS Wilayah telah membuat beberapa tinjauan dan kajian di beberapa lokasi terbabit dan mendapati benarlah tempat-tempat tersebut menjalankan aktiviti berniaga ‘seks’.

Kemungkaran tersebut katanya menjadi apabila hari ini menurut International Labour Organisation (ILO), Kuala Lumpur telah menjadi pusat pelacuran yang lebih besar dari negara Thailand.

Kata Ustaz Riduan, selepas Thailand dirundung tsunami, masyarakat dunia beralih arah ke Kuala Lumpur untuk menikmati ‘pelancongan seks’ di sini.

Bagaimanapun, senario tersebut sedikitpun tidak diendahkan pemerintah malah dibiarkan berkembang subur sebagai daya usaha tarikan pelancong.

Pemuda PAS Wilayah katanya sekali lagi kesal, konsep Islam Hadhari Umno/BN nyata tidak menghalang aktiviti dagangan seks termasuk kemasukan pelacur dari China, Filipina, Thailand dan Indonesia yang bermaharajalela.

“Abdullah perlu menjawab semua masalah ini.Apakah Islam Hadharinya mengizinkan semua ini berlaku?,”soal Ustaz Riduan.

Justeru beliau mengingatkan seluruh masyarakat agar segera bangkit menentang segala kemungkaran yang sedang dan telah berlaku di negara ini.

Katanya, ummah perlu kembali kepada pengertian dan konsep Islam yang sebenar dan bukannya Islam ciptaan Umno yang dilihat hanya untuk kepentingan politik mereka. – mks.

Islam Hadhari: PAS sedia bermuzakarah dengan bekas pemimpin Al-Arqam

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) – PAS tidak keberatan untuk mengetahui pandangan daripada sesiapa pun termasuk bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad bagi mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai Islam Hadhari.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Kamaruddin Jaafar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Ashaari untuk menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Surat Terbuka Rufaqa kepada PAS’
“Itu hak dia (Ashaari) untuk menulis buku tersebut,” katanya yang dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini Umno sendiri yang sepatutnya memulakan perbincangan tersebut enggan bermuzakarah dengan PAS tentang Islam Hadhari yang ditaja mereka.

Sebuah akhbar harian semalam dipetik sebagai berkata, Ashaari akan menghasil buku tersebut bagi mengajak ahli PAS menerima pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan Umno.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, berkata, gambaran yang diberi oleh media beberapa hari lepas mengenai ‘jambatan maut’ di Kelantan adalah tidak tepat.

Tegasnya, tidak sepatutnya media meletakkan dan menggambarkan seolah-olah di Kelantan saja yang buruk sedang negeri lain tidak.

Sedangkan katanya, di negeri yang dikuasai BN, contohnya apabila seorang kanak-kanak meninggal dunia di Kedah kerana minum air perigi.

“Kenapa tidak disebut ‘perigi maut’?” soalnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pusat perlu bertanggungjawab di atas pembinaan jambatan termasuklah di Kelantan kerana ia melibatkan kemudahan untuk kanak-kanak mendapat ilmu di sekolah.

Tambahan pula katanya, apa yang berlaku di Kelantan memperlihatkan betapa perit dan bahayanya murid-murid berulang alik ke sekolah melalui jambatan tersebut, iaitu antaranya Sekolah Kebangsaan Tanjong Mas, Pengkalan Chepa. – mks.

Perang salib baru’ Barat berpihak kepada Islam

DUBAI, 21 Feb. – Orang nombor dua dalam kumpulan Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri memberi amaran bahawa kuasa Barat akan mengalami kekalahan dalam `perang salib baru’ mereka terhadap dunia Islam.

Kuasa Barat juga tegasnya akan menghadapi kejatuhan ekonomi dan mengalami musibah kematian dengan jumlah yang ramai, katanya dalam kenyataan video yang disiarkan oleh stesen Al-Jazeera, semalam.

“Perang salib baru anda akan tamat, Insya-Allah, sama dengan kekalahan yang dialami oleh waris-waris mereka sebelum ini, tetapi ia hanya terjadi selepas anda semua mengalami penderitaan dan kemusnahan ekonomi,” kata Zawahiri.

Mesej yang dibuat sempena tahun ketiga penahanan Islam di Teluk Guantanamo, Cuba itu turut mengecam usaha Amerika Syarikat (AS) mengadakan pembaharuan di dunia Arab dan Islam.

Katanya, realiti yang ditunjukkan di kem tahanan Teluk Guantanamo mencerminkan hakikat pembaharuan dan demokrasi yang selalu digembar-gemburkan oleh AS di negara terbabit.

Beliau menegaskan, AS perlu melaksanakan pembaharuan di penjara kendaliannya di Cuba, Afghanistan dan Abu Gharib di Iraq, tempat tentera negara itu melakukan kekejaman terhadap para tahanan sehingga mengejutkan dunia.

Tambahnya, pembaharuan yang diperkatakan itu diperkenalkan melalui pengeboman dan tembakan peluru berpandu serta melantik pemimpin seperti Hamid Karzai (Afghanistan) dan Iyad Allawi (Iraq).

“Jika anda orang Barat fikir pembentukan kerajaan kadbod seperti ini akan menyelamatkan anda dari kami, maka itu adalah satu kesilapan,” ujarnya.

Zahawiri yang dikehendaki oleh AS dipercayai bersembunyi di kawasan sempadan Pakistan-Afghanistan.

Ia merupakan kenyataan kedua beliau dalam tempoh sepuluh hari apabila Zawahiri mengecam konsep kebebasan yang ditaja oleh AS bertujuan untuk merosakkan dunia Islam. – AFP

Suruh Khir Toyo ambil tindakan – PM

SUBANG 21 Feb. – “Suruh Khir Toyo ambil tindakan,” arah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila ditanya wartawan mengenai kemusnahan ekologi di Bukit Cahaya Seri Alam akibat pembahagian tanah besar-besaran oleh kerajaan negeri itu di sekeliling taman tersebut.

“Kalau saya cakap nanti campur tangan pula, ia adalah kerja Menteri Besar,” kata Perdana Menteri yang kelihatan `tidak selesa’ dengan perkembangan itu.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat tidak akan campur tangan dalam perkara itu kerana ia di bawah bidang kuasa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Utusan Malaysia pada 18 Februari mendedahkan keadaan taman itu antara hutan dara dan `tangki oksigen’ Lembah Klang menghadapi kemusnahan ekologi setelah dihimpit pembangunan di sekelilingnya.

Taman seluas 800 hektar kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, hampir menjadi pulau kerana rata-rata garis sempadannya sedang dibangunkan sebagai kawasan penempatan manusia.

Apa yang menyedihkan, taman itu yang telah diluluskan oleh Kabinet untuk dijadikan Taman Botani Negara, taman agro-perhutanan terbesar di dunia menjelang tahun 2007, kini menghadapi kesan alam sekitar yang dahsyat.

Mohamad Khir yang ditanya wartawan kelmarin kesal dengan apa yang berlaku itu dan serentak dengan itu mengarahkan semua kerja-kerja tanah dan penebangan pokok dihentikan sama sekali.

Bagaimanapun, menurut Utusan Malaysia hari ini arahan Menteri Besar itu seolah-olah diperlekehkan kerana kerja-kerja itu didapati masih diteruskan.

Tinjauan terbaru Utusan Malaysia itu amat memeranjatkan kerana kerajaan Selangor sudah mengambil langkah drastik menubuhkan pasukan khas pemantau dan tinjauan beroperasi 24 jam bagi memastikan aktiviti pembangunan berhampiran taman dihentikan serta-merta.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini setibanya daripada lawatan kerja ke Pakistan dan Arab Saudi.

Siasatan Utusan Malaysia mendapati di bahagian utara sempadan taman itu, yang kini dikenali dalam peta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai kawasan baru Seksyen U10, kawasan hutan seluas 1,200 hektar sudah mula ditebang.

Didapati, tanah-tanah, bukit-bukit milik kerajaan Selangor di U10 itu mulai diratakan setelah dibahagi-bahagikan kepada sebanyak 35 pemaju perumahan.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulas perkara yang sama meminta kerajaan negeri itu membuat laporan terperinci mengenai kejadian itu.

Serentak itu beliau mengarahkan semua kerajaan negeri memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan mengikut peraturan bagi mengelakkan ia memusnah serta merosakkan alam sekitar.

Beliau menegaskan, Kerajaan Pusat memberi perhatian serius kepada pembangunan mesra alam dan mahu sebarang pembangunan hendaklah dibuat mengikut peraturan.

Selangor akui kelemahan — 39 pemaju terima tanah berhampiran Taman Pertanian – Exco

Oleh: NORLIZA ABD. RAHMAN dan ZAINI RABAN

SHAH ALAM 21 Feb. – Isu Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam hari ini lebih memeranjatkan, apabila kerajaan Selangor mengakui bukan 35 pemaju yang menerima tanah di Seksyen U10 di sini, tetapi 39 semuanya.

Daripada jumlah itu, 14 telah pun menerokanya secara haram sebelum kelulusan diterima dan sembilan lagi baru mendapat kebenaran merancang – tetapi sudah menebang pokok dan menarah bukit.

Sekali lagi timbul persoalan, apakah kerajaan negeri tidak sedar langsung perkembangan ini, sedangkan kawasan itu tidak sampai pun 10 kilometer dari pejabat Menteri Besar?.

Yang menghairankan juga, ketika ditanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Datuk Mohd. Mokhtar Ahmad Dahlan mengenai senarai nama syarikat-syarikat pemaju itu, ini jawapannya:

“Nama-nama syarikat belum dapat dipastikan lagi.

“Ini kerana kami masih memerlukan masa untuk mengenal pasti luas kawasan yang diberi hak milik kepada setiap pemaju.”

Jika itulah keadaannya, bermakna kerajaan tidak tahu menahu. Oleh itu, siapakah yang membahagi-bahagikan tanah itu?

Lebih malang lagi Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sazmi Miah memberitahu, hasil siasatannya mendapati semua pemaju di situ tidak mempunyai kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada jabatannya.

Kata Mohd. Mokhtar: “Saya akui ada sesuatu `yang tidak kena’ dalam projek pembinaan di kawasan Seksyen U10 di sini sehingga menjejaskan keselamatan dan ekosistem sekitar sempadan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam.

Serentak itu, katanya, 23 pemaju telah mendapat arahan henti serta-merta.

Beliau berkata, kelemahan tersebut mungkin disebabkan kurangnya tumpuan dan jangkaan kesan daripada pembangunan tersebut.

“Sebelum ini memang longgar, mulai sekarang kita akan pastikan tidak akan berlaku lagi kerja-kerja pembinaan yang boleh menjejaskan ekosistem dan alam sekitar.

“Saya yakin selepas ini pertimbangan akan diberikan dalam semua aspek sebelum meluluskan apa-apa perancangan seperti mana yang diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo,” katanya kepada pemberita di sini.

Mereka membuat lawatan meninjau projek Bukit Bandaraya di Seksyen 8 berhampiran pintu masuk ke taman pertanian itu dan ke Seksyen U10, di sebelah utara taman itu.

Utusan Malaysia, Khamis lalu dalam laporan siasatannya mendedahkan mengenai kegiatan pembangunan tidak terancang di sekeliling sempadan taman pertanian itu sehingga mengancam sistem ekologi dan biodiversiti di dalamnya.

Menurut laporan itu, sebuah kawasan baru seluas 1,200 hektar di Seksyen U10 bersempadan taman itu telah dipecah-pecahkan kepada 35 pemaju. Sementara di sebelah selatan pula seluas kira-kira 200 hektar diberi kepada sebuah syarikat pemaju (Bukit Bandaraya).

Mohd. Mokhtar berkata, salah satu punca keadaan alam sekitar di kawasan sekitar taman pertanian itu terjejas teruk adalah kerana terdapat 14 pemaju di kawasan Seksyen U10 yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan secara haram.

Beliau menjelaskan, hanya sembilan pemaju yang dibenarkan menjalankan kerja-kerja pembinaan di situ manakala selebihnya belum mendapat kebenaran.

Katanya, keseluruhan pemaju yang terlibat di kawasan berkenaan ialah sebanyak 39 syarikat.

“Notis arahan pemberhentian telah dikeluarkan kepada kesemua pemaju terbabit pada 18 Februari lalu selepas mesyuarat Exco bersidang dua hari sebelumnya.

“MBSA telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja mengikut peruntukan Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang jika sabit kesalahan akan dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pada masa yang sama, pemaju diarah memastikan kerja-kerja pemulihan ke atas tanah terus dilakukan bagi mengelakkan masalah tanah runtuh, hakisan atau gangguan kepada bentuk muka bumi.

“Jawatankuasa Pemantauan 24 jam yang terdiri daripada 44 orang iaitu 30 anggota MBSA, lima wakil (Jabatan Perhutanan negeri), empat wakil (Pejabat Tanah dan Galian) dan masing-masing dua wakil dari Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Jelas beliau, pemaju hanya akan dibenarkan meneruskan projek pembinaan masing-masing selepas mendapat kelulusan daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Mineral dan Geo Sains serta Jabatan Alam Sekitar.

Mengulas mengenai kemungkinan timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemaju yang telah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menarah bukit dan menebang pokok beliau berkata, kerajaan negeri akan bertindak seadil-adilnya.

Mohd. Mokhtar berkata, MBSA akan memanggil semua 39 pemaju esok untuk menerangkan mengenai keputusan arahan pemberhentian kerja-kerja di kawasan berkenaan.

Menurutnya, proses kelulusan untuk projek pembangunan di situ dibuat mengikut prosedur biasa selepas menimbang keperluan perumahan yang semakin mendesak di Selangor berbanding negeri-negeri lain.

“Kerajaan negeri membuat pertimbangan untuk membangunkan tanah-tanah untuk projek perumahan dan pendidikan dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, laporan penuh berhubung kemusnahan akibat pembinaan di kawasan tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila-bila masa.

Isu JAWI : Disko Zouk Diserbu , Haniff Basree?

Oleh : Cucu Mat Kilau

Ramai yang tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, siapakah dua orang anak menteri UMNO yang Cucu maksudkan itu. Apapun SB Cucu masih melakukan penyiasatan terperinci untuk mendapatkan bukti tersebut, kerana Cucu tidak mahu maklumat Cucu itu nanti berlaku kesilapan dan sebagainya.

Dalam banyak-banyak email yang diterima, Cucu amat tertarik dengan satu email yang dikirimkan oleh pengirim yang menggelarkan dirinya “Cenderawasih”. Antara lain beliau amat berharap agar pihak JAWI lebih profesional dan tidak “Double-Standard” dalam isu yang melibatkan persoalan penguatkuasaan agama sebenarnya.

Katanya, JAWI begitu berani untuk menyerbu sebuah disko bagi menangkap para remaja yang kononya melakukan kesalahan maksiat yang belum tentu lagi dibuktikan di mahkamah syariah. Sebaliknya dalam satu kes maksiat yang lain, JAWI mengambil sikap berdiam diri malahan tidak berani untuk mendakwa individu terbabit.

Dalam kes Noritta misalnya, Hanif Basree yang berjaya melepaskan diri dari tuduhan membunuh gadis tersebut secara terang-terangan mengaku beliau telah banyak kali melakukan “persetubuhan haram” datau “berzina” dengan Noritta. Bukti saintifik jelas menunjukkan “air mani” Hanif Basree juga banyak terdapat pada kemaluan Noritta pada hari terakhir beliau dijumpai mati. Ini bermakna sudah ada “prima-facie” untuk pihak JAWI menangkap dan mendakwa Hanif Basree atas kesalahan berzina ! Namun apakah yang dilakukan oleh JAWI ?

Kenapakh pegawai penguatkuasa JAWI yang sanggup bertindak berani menyerbu disko Zouk itu, tidak berani untuk menyerbu seorang manusia seperti Hanif Basree. Bahkan hanif tampak gembira dan berbangga dengan apa yang berlaku. Apa yang lebih menyedihkan lagi, beliau buka sahaja terlepas dasripada hukuman dari makkamah sivil, tetapi juga dari mahkamah syariah !!. Mengapakah ini boleh berlaku dalam sebuah negara seperti Malaysia ini?

Bukankah pihah JAWI juga harus bertanggung jawab akan perkara seperti ini demi menyelamat maruah agama, bangsa dan negara tercinta. Sikap Hanif yang angguh dan sombong dengan membuat pengakuan secara terbuka di mahkamah yang beliau telah beberapa kali bersetubuh dengan Noritta jelas merupakan satu penghinaan terhadap umat Islam di negara ini. Bagi beliau dengan pengakuannya itu, seluruh rakyat akan memandang tinggi imej dan maruah beliau. Bahkan ketika di mahkamah beliau juga mendapat sokongan dari kalangan keluarga, sahabat handai dan rakan taulan yang mengucapkan syabas dan tahniah apabila beliau terlepas dari hukuman.

Jika JAWI benar-benar menjalankan tugas “amal makruf nahi mungkar” sudah pastinya, selepas Hanif dibebaskan dari tuduhan pertama belia itu, beliau terus divekup pula oleh JAWI untuk mendakwa Hanif atas kesalahan “berzina”, seperti yang berlaku dalam beberapa kes mahkamah sebelum ini. Apakah pihak JAWI menganggap pengakuan ZINA Haniff itu adalah pengakuan biasa dan tidak menyalahi hukum agama !!!

Maka Cucu menyarankan supaya JAWI lebih bersikap profesional dalam menangani sesuatu isu selepas ini. Jangan hanya menutup sebelah mata sahaja, bila ianya berlaku terhadap seorang manusia seperti Haniff Basree itu.

Terima kasih Cucu ucapkan kepada saudara Cenderawasih atas informasi ini. Harapan Cucu semoga artikel ini akan mendapat respon daripada pihak JAWI sendiri, demi menjaga keharmonian dan kesucian agama Islam selepas ini. Apalah makna penguatkuasaan dan undang-undang , jika ianya tidak seralas dan seragam. Itu belu lagi Cucu membongkar kisah JAWI hanya menjalankan operasi cegah maksiat dihotel murahan di Kuala Lumpur, sebaliknya akur dan tidak berani untuk mengadakan penyiasatan dan memeriksa maksiat yang berlaku di hotel-hotel yang “standard” dan bertaraf bintang terutamanya yang terletak di kawasan Segitiga Emas di kotaraya itu.

Salam Perjuangan,

CUCU MAT KILAU
Anak Watan Jengka

Perempuan gatal – Watak idaman Fasha Sandha

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SALAH seorang pelakon pelapis yang sering mendapat perhatian ramai ialah Nur Fasha Sandha Hassan. Sejak membabitkan diri dalam bidang seni lakon tiga tahun lalu, Fasha jarang dikaitkan dengan cerita-cerita sensasi.

Kekadang peminat ingin juga mengetahui kisah cinta Fasha. Mana mungkin gadis jelita sepertinya tidak ada teman lelaki.

Namun setiap kali soalan tentang teman lelaki dibangkitkan, pelakon yang bakal menyambut hari lahir ke-21 pada 28 Mac ini, bijak mengelak. Dengan lemah lembut dia akan berkata, boleh tak kita bercakap pasal karier sahaja. Mati kutu dibuatnya bila berbicara soal cinta dengan Fasha.

Tapi bagaikan kata pepatah, ada masanya pelanduk juga kekadang terlupakan jerat namun jerat tidak mungkin melupakan pelanduk. Justeru pada satu pertemuan baru-baru ini, pelakon cantik ini secara tidak langsung mengakui dia sudah pun ada teman lelaki.

Heboh cerita, sudah ada seseorang di hati Fasha.

Fasha: (Tersenyum) Iyake? Bukan artis. Memang dia dalam bidang ini juga tapi di belakang tabir.

Pandai simpan rahsia.

Fasha: Baru tiga tahun. Saya anggap hubungan kami masih di peringkat mengenali hati budi walau sudah diketahui keluarga.

Tiga tahun mengenali, masih belum tahu hati budi?

Fasha: Masih terlalu awal untuk saya menjadi seorang isteri dan ibu. Saya baru nak masuk 21 tahun bulan depan. Banyak perkara yang perlu saya lakukan untuk masa depan. Entahlah mungkin saya akan kahwin sebelum usia 38 tahun. Apa pun sekarang ini saya belum terfikir soal kahwin.

Jadi apa perancangan Fasha?

Fasha: Kalau ada peluang saya nak sambung belajar dalam bidang penyiaran. Sudah lama saya idam untuk buat kursus ini. Tapi bila tiba waktu untuk mendaftar saya dapat projek berlakon yang bagus. Apa pun saya tetap berazam akan sambung belajar satu hari nanti sebab saya nak jadi seorang artis yang berilmu.

Bagaimana kehidupan seorang gadis seperti Fasha yang berjauhan dengan keluarga?

Fasha: Saya tidak pernah mengambil kesempatan di atas jarak kami yang jauh itu. Setiap pagi saya mesti telefon atau hantar SMS, memberitahu ibu aktiviti saya hari itu. Tidak lama lagi usia saya akan meningkat. Menjadi 21 tahun dan saya harap saya akan menjadi wanita yang lebih matang. Saya ingin perbaiki kelemahan diri dan selagi saya masih belum bersuami, keluarga adalah tempat saya mengadu.

Apa azam Fasha sebagai pelakon?

Fasha: Saya mempunyai sasaran sendiri bila menceburi bidang lakonan ini. Sekarang ini saya perlu bekerja keras untuk mengumpul wang bagi membeli rumah untuk keluarga sama ada di kawasan Ampang atau Damansara. Insya-Allah kalau ada rezeki mungkin pertengahan tahun ini dapatlah saya miliki rumah sendiri hasil kerja berlakon selama ini.

Aktiviti terbaru?

Fasha: Saya akan menjalani penggambaran filem Gong terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd., selama sebulan di Jogjakarta, Indonesia. Saya akan berada di sana bersama Jehan, Faizal, Sharifah Sofia dan Elyana. Gong adalah filem seram arahan Sandosh Kesavan.

Fasha sering diberi watak utama dalam filem, tidakkah ia memberi tekanan pada Fasha yang masih baru dalam bidang lakonan?

Fasha: Nak kata tekanan, semua kerja ada tekanan. Tapi kalau tidak cuba, macam mana saya tahu bakat sendiri. Setakat ini saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan pengarah untuk membawa watak utama. Tapi saya perlu bekerja keras membuktikan bahawa saya mampu memikul tanggungjawab yang diberi.

Watak yang ingin Fasha lakonkan?

Fasha: Watak perempuan gatal. Bagi saya kalau dapat bawa watak yang bertentangan dengan peribadi, itu adalah cabaran. Sehingga kini saya masih lagi menanti watak sebegitu. Namun saya gembira kerana kebanyakan filem atau drama memberi peluang untuk saya mencuba pelbagai watak.

______________Komen pemudaWILAYAH


Artikel ini disiarkan oleh Utusan Malaysia 21/2/2005. pemudaWILAYAH membawa artikel diatas ke laman ini khusus untuk dijadikan bacaan dan dinilai oleh pembaca.
Bagi pemudaWILAYAH inilah bukti sebenar sifat dan sikap artis Malaysia yang sentiasa ‘gatal’ untuk melakukan aksi dan lakonan yang tidak mempunyai kebaikkan dan hala tuju. Kerosakan akhlak artis ini jelas terpampang didada akhbar pada hari ini dan ini hanyalah sebahagian dari ratusan lagi artis Malaysia yang turut hanyut dengan dunia khayalan glamour mereka. Semoga Allah melontarkan hidayahnya pada insan malang seperti mereka.