MENDEPANI CABARAN

1

Jun 5, 2005 oleh pemudawilayah


UCAPAN TEMA
MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KALI KE-46

Oleh
YB SDR SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

23 Rabiul Akhir 1426 / 1 Jun 2005
_________________________________________________________
PROLOG

Saudara Pengerusi Tetap;
Al-Fadhil YB Senator Ustaz Haji Hassan Shukri, Timbalan Presiden PAS;
Wakil-wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat;
Saudara Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat;
Saudara Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Pengarah Muktamar;
Saudara Bendahari dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat;
Saudara Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Negeri;
Pimpinan dan wakil-wakil Pemuda BA dan NGOs;
Para diplomat dan dif-dif jemputan kehormat;
Para Perwakilan, pemerhati dan hadirian yang dihormati sekalian,

Firman Allah SWT,

وَكَذَلِكَ جَعَلنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيداً

“Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.”
(Surah Al-Baqarah: 143)

IFTITAH

Alhamdulillah, kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT di atas limpah inayah-Nya pada malam ini para Pemuda PAS dapat berkumpul dalam majlis perasmian Muktamar Tahunan kali yang ke-46. Kita juga merafakkan setinggi-tinggi salam dan selawat ke atas Junjungan Besar Muhammad SAW kerana perjuangan Baginda menyampaikan risalah tauhid sehingga dapat kita menjadi sebahagian daripada mata rantai perjuangannya.

Bagi pihak pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat, saya mengalu-alukan kesudian YB Timbalan Presiden PAS, Senator Ustaz Haji Hassan Shukri yang akan merasmikan muktamar kita pada malam ini. Kami juga ingin mengalu-alukan tuan-tuan para diplomat, tetamu kehormat daripada pelbagai pertubuhan, serta sahabat-sahabat yang dikasihi para perwakilan dan pemerhati ke majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada kali ini. Mudah-mudahan dengan kehadiran tuan-tuan akan menjadikan majlis ini dilimpahi akan keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

POLITIK MALAYSIA DAN GLOBAL MENJELANG 2010

Para muktamarin sekalian,

Muktamar pada tahun ini merupakan satu persidangan penting untuk mengukur pencapaian dan persiapan kita bagi dekad pertama alaf ketiga ini. Kita telah melalui lima tahun pertama dengan penuh cabaran, dan akan berhadapan pula dengan cabaran-cabaran baru yang lebih rencam bagi lima tahun yang kedua. Kita telah memulakan dekad ini dengan kejayaan besar kita dalam Pilihan raya 1999, dan menjelang separuh kedua dekad ini kita telah diuji dengan kekalahan di Terengganu dan kemerosotan pencapaian di seluruh negara pada 2004. Kini, kita di ambang 2010. Apakah hasrat dan cita-cita kita untuk lima tahun akan datang? Apakah kita telah membuat persiapan untuk merangkul semula keunggulan atau telah selesa dengan status quo yang ada – hanya sekadar peneraju politik pembangkang.

Di persada antarabangsa Barat masih melihat Islam dan umat Islam sebagai ancaman dan musuh kepada mereka. Peristiwa September 11 telah dilegitimasikan oleh Barat sebagai “license to kill” terhadap negara-negara umat Islam. Benarlah sebagai mana yang dikatakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya “Painting Islam As a New Enemy” bahawa kuasa besar dunia sedang mengalihkan serangan mereka terhadap Islam dan umat Islam selepas tamatnya era Perang Dingin. Meskipun Francis Fokuyama menegaskan bahawa selepas kejatuhan Soviet Union, tiada saingan bagi Amerika Syarikat, tiada kekuatan yang boleh menjadi alternatif kepada demokrasi dan pasaran terbuka, namum kemunculan Islam memberi signifikan yang tidak dapat dinafikan iaitu ditandai melalui kebangkitan Islam dan pendemokrasian.

Sekilas pandang saya mahu kita sebagai kepemimpinan Dewan Pemuda PAS memahami sejarah dan pola pergolakan global dari perspektif Barat untuk menambah ilmu dan maklumat tentang realiti road map sebagai persediaan memahami tingkah laku serta menganalisa gerakan mereka. Penulisan mutakhir oleh tokoh Barat seperti Prof. Samuel Huntington, John Esposito, Olivier Roy, Robert Fisk dan Noam Chomsky yang cukup tajam tulisan serta pandangan mereka terhadap isu Palestin, Afghanistan, Iraq, India, Pakistan dan seterusnya firasat mereka terhadap kebangkitan Islam di rantau Asia Tenggara dan Timur Jauh.

Pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Tak Bai dan Masjid Krisek, Selatan Thai tahun lalu oleh Kerajaan Thailand adalah di antara rentetan tragedi malang yang menimpa umat Islam dan ia terjadi terlalu hampir dengan negara kita. Kita jangan memandang remeh isu “Ambalat” yang menguji semangat setiakawan Malaysia dan Indonesia dan seterusnya gelagat nafsu besar negara seberang Tambak yang mempertingkatkan keupayaan ketenteraan melalui program senjata nuklearnya.

Di negara kita, fenomena politik yang semakin tidak seimbang dan kecelaruan konsep Islam Hadhari, amalan rasuah yang semakin membarah, peningkatan kadar jenayah, masalah sosial yang semakin mencemaskan, kegagalan dasar pendidikan negara melahirkan belia dan remaja yang bertanggungjawab serta ancaman baru pihak-pihak yang semakin berani untuk mencabar kemulian dan kesucian Islam merupakan cabaran multi-dimensi kepada PAS. Pemuda PAS perlu melihat dengan lebih teliti dan komprehensif terhadap apa yang sedang berkembang sepanjang lima tahun ini, supaya ia menjadi cerminan berguna bagi menganggarkan bagaimana bentuk pemainan politik yang bakal direncanakan oleh musuh untuk lima tahun berikutnya. Kegagalan kita membuat telahan yang tepat mungkin bakal meminggirkan kita daripada arus perdana politik negara dan antarabangsa.

MERANGKA PERSIAPAN 50 KEDUA

Para hadirian yang dihormati,

PAS kini berada pada usia yang matang dan sarat dengan pengalaman. Dewan Pemuda PAS sendiri telah merayakan usia jubli emasnya pada 2003 yang lalu sebagai satu simbolik terhadap perjuangan kita untuk menegakkan Islam selama 50 tahun. Dalam tempoh ini kita bergerak daripada sebuah lajnah yang dikenali sebagai Dewan Pemuda Islam pada 1952, berkembang menjadi satu organisasi besar yang berperanan sebagai kuasa pendesak, pengimbal dan pencetus kepada PAS dan juga kerajaan, selain melahirkan pemimpin pewaris untuk menyambung risalah perjuangan ini. Kita berbangga kerana dalam tempoh setengah abad kita telah bangkit sebagai satu kuasa pemuda Islam yang sentiasa berada di hadapan untuk membela agama, negara dan bangsa.

Kini 50 tahun itu telah berlalu dalam arkib sejarah. Yang menjadi persoalan dan cabaran sekarang ialah apakah Dewan Pemuda PAS boleh terus berada di landasan perjuangan untuk tempoh 50 tahun yang kedua. Apakah kita telah bersedia ke arah itu dan apakah persediaan yang telah kita buat untuk melakukan lonjakan yang lebih besar menjelang 50 yang kedua itu. Bagaimana kita memahami cabaran-cabaran sedia ada dan bakal mendatang, dan bagaimana pula persiapan kita untuk memanfaatkan cabaran-cabaran ini sebagai batu loncatan yang merangsang kebangkitan kita kelak. Yang paling penting ialah kita mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan yang mencukupi bagi membolehkan kita bersaing dalam satu zaman yang begitu rencam, pelbagai dan sukar ditelah pada 50 tahun akan datang.

Pada malam ini saya ingin menggariskan lima persiapan asas yang mesti dimiliki oleh setiap pemuda PAS dalam merangka gerak kerja untuk 50 tahun yang kedua ini. Pertama, persiapan memperkasa aqidah dan fikrah. Setiap pemuda PAS mestilah mempunyai kekukuhan aqidah yang menjadi paksi jiwa besar dan merdeka. Kekukuhan aqidah ini mesti berganding rapat dengan kejelasan fikrah perjuangan. Penyatuan fikrah di kalangan ahli-ahli berasaskan fikrah perjuangan PAS dengan wala’ yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan yang tinggi terhadap kebolehupayaan (capability) kepemimpinan mesti dimiliki sebagai satu prasyarat wajib untuk kita berada dalam arus perjuangan ini. Saya berharap agenda pentarbiyahan parti akan memberikan tumpuan besar-besaran untuk memulihkan semula kekuatan aqidah dan fikrah yang mulai longgar kebelakangan ini.

Persiapan memperkasa ilmu dan kepakaran menjadi keperluan kedua yang mesti dipersiapkan kepada setiap pemuda PAS. Sentiasa mendalami ilmu hendaklah menjadi kewajipan bagi setiap di kalangan kita. Kita wajib mendalami ilmu-ilmu fardu ain tentang asas aqidah yang mencernakan akhlak dan menzahirkan syariat. Kita juga tidak boleh mengabaikan ilmu-ilmu kifayah yang bukan sahaja menyempurnakan kehidupan kita di dunia, tetapi yang boleh melancarkan gerak kerja kita sebagai jentera perjuangan Islam.

Kita hendaklah memiliki kompetensi (skill-sets) iaitu kepakaran dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat, komunikasi, dakwah dan keupayaan teknikal organisasi yang lain untuk menggerakkan jamaah, di samping kepakaran-kepakaran tambahan seperti ekonomi, sains, teknologi, pentadbiran, perundangan dan seumpamanya sebagai persiapan untuk mentadbir negara. Asas terpenting bagi anggota gerakan Islam adalah ilmu dan kepakaran seperti firman Allah SWT tentang organisasi Nabi Daud as. dan Nabi Sulaiman as.,

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلماً

“Dan sesungguhnya, Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Sulaiman.”
(Surah An-Naml: 15)

Ketiga, persiapan memperkasa sikap, minda dan pemikiran. Keupayaan minda dan pemikiran sebenarnya menjadi isu dalam mengukur kebolehan kolektif gerakan kita. Kerana itu persiapan minda yang bersifat menyeluruh mencakupi kefahaman terhadap hukum-hukum Allah, mengetahui isu-isu semasa, memiliki ‘bacaan politik’ (qiraat as-siyasi) yang tajam, memahami keperluan melakukan perubahan, bersikap elastik dan juga keupayaan membaca serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang dilancarkan musuh. Pemikiran yang matang seperti ini akan melahirkan ahli-ahli Pemuda PAS yang sentiasa mempertahankan asas perjuangan (usuliy), berkeupayaan untuk berijtihad, bertindak mengikut rentak kontemporari (mu’asir) dan memahami kesan futuristik (istiqbaliy). Kita tidak mahu ahli-ahli Pemuda PAS mengalami kebuntuan minda akibat ‘buta maklumat’ dan terperangkap dalam kejumudan dan gagal untuk menterjemah keluasan fiqh yang mengizinkan fleksibiliti (murunah) Islam.

Pemuda PAS mesti mampu menggali kembali khazanah pemikiran tokoh-tokoh terbilang PAS yang memiliki pemikiran futuristik. Tuan Hj Ahmad Fuad pada tahun 1951 menyatakan PAS mesti bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk mendapatkan kuasa. Pada tahun 1947, Dr Burhanuddin Al Helmy, tokoh PAS yang sangat disegani oleh kawan dan lawan telah mengetuai pakatan pembangkang PUTERA – AMCJA dan pada tahun 1963, Prof Zulkifly Muhammad telah mengusulkan perkara membuka keahliah PAS kepada orang bukan Islam dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agung parti. Walaupun pemikiran itu telah dilemparkan 50 tahun yang lalu namun kesegarannya masih dirasakan dan menjadi terlalu relevan dalam konteks politik semasa hari ini. Saya juga mahu Pemuda PAS menjadi penggerak dan memberikan komitmen ke arah merealisasikan amanat terakhir Al marhum Dato Fadzil Mohd Noor yang masih belum terlaksana iaitu penyiapan sebuah dokumen “Penghayatan Islam dalam realiti masyarakat Malaysia”.

Keempat, bagi menuju kepada hasrat asasi kita iaitu untuk menegakan daulah Islamiyah di negara ini, mahu tidak mahu persiapan memperkasa strategi dan metodologi juga mesti diadakan. Ahli-ahli Pemuda PAS mesti memahami apakah strategi yang realistik dengan keperluan politik di Malaysia. Mereka tidak perlu terpengaruh dengan dakyah-dakyah seperti menyertai pilihan raya sebagai tidak syarie kerana itulah pendekatan terbaik dalam konteks politik Malaysia. Kita harus memahami strategi yang sensitif berasaskan kaum, agama dan budaya yang berbeza-beza, kelompok umur, latar pendidikan dan taraf hidup yang pelbagai, serta keupayaan akses maklumat yang tidak sekata. Ini bermakna kita perlu menyusun strategi serampang banyak mata untuk mendekati kelompok yang berbeza. Metodologi dakwah kita juga perlu dianjalkan supaya tidak dikakukan oleh pemikiran-pemikiran jumud yang boleh menjarakkan kita daripada kumpulan sasar.

Dan yang kelima, persiapan memperkasa keupayaan menentukan worldview, ataupun pandang dunia kita. Pada tahap ini Pemuda PAS mestilah memiliki kemampuan untuk menilai serta menyaring apa yang positif dan negatif menurut paradigma welstanchauung dan pandang dunia kita. Dalam pembinaan sesebuah tamadun akan berlaku unsur-unsur dan idea-idea luar dalam bentuk kepesatan teknologi, falsafah serta tren politik dan ekonomi dan sosial. Ini tidak bermakna tamadun tersebut akan hilang identitinya. Dalam tamadun Islam misalnya, berlaku peminjaman pemikiran dari tamadun Yunani, Greek, Parsi, Cina dan India.

Peminjaman ini berlaku dalam pelbagai bentuk baik dari segi falsafah, senibina, muzik, pentadbiran dan ekonomi. Namun peniruan ini tidaklah dilakukan secara membabi-buta dan secara total. Sebaliknya berlakulah proses pengasingan, adaptasi, penyebatian, asimilisasi dan penyesuaian secara dinamik, sistematik dan kreatif. Kegagalan kita sebagai Pemuda PAS untuk mengemudi bahtera perjuangan ini dalam menempuh kepelbagaian cabaran ini akan memberikan natijah terhadap masa depan perjuangan kita. Saya mahu melihat keterampilan Pemuda PAS yang berjiwa besar dan berani untuk mencetus dan mencipta perubahan yang bakal mengangkat perjuangan ini menuju era yang lebih gemilang. Percayalah “your attitude determine your altitude” Sikap kita akan menentukan ketinggian akal dan budi kita.

Penekanan terhadap lima persiapan ini saya sebutkan supaya Pemuda PAS tidak terperangkap dalam gerak kerja politik dan dakwah yang bersifat ‘membujur lalu melintang patah’ tanpa memahami dan memiliki persediaan terhadap perkembangan yang berlaku. Saya mengharapkan bahawa 50 tahun pertama ini akan menjadi tahap pemantapan di mana kecekapan dan keberkesanan organisasi telah diwujudkan, dan bersiap dengan ciri-ciri kesempurnaan seperti kepelbagaian, kestabilan, kelenturan dan keserbabolehan. Kerana memasuki 50 tahun yang kedua adalah tahap fungsional bagi Dewan Pemuda PAS di mana kita sepatutnya sudah berupaya menjalankan fungsi-fungsi kita sebagai sebuah gerakan pemuda Islam dalam tugasan politik dan dakwah pada setiap waktu dan tempat.

Melihat kepada perkembangan organisasi pemuda yang semakin besar dan dinamik, bersesuaian pula dengan peranan dan tanggungjawab yang semakin mencabar maka suka saya mengumunkan pada malam yang penuh keberkatan ini bahawa pihak pimpinan parti telah pun bersetuju untuk meminda perlembangan parti bagi membolehkan Dewan Pemuda PAS Kawasan-Kawasan menjadi perwakilan ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat dalam masa terdekat ini. Saya juga merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Dewan Muslimat PAS kerana telah berjaya menganjurkan Program Penjenamaan Semula Nisa’ dengan penuh gilang-gemilang. Hasrat kita untuk melihat penubuhan Dewan Srikandi PAS akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Ini adalah bukti bahawa peranan pemuda dan muslimat adalah faktor pelengkap dalam mendepani cabaran masa depan perjuangan.

MENDEPANI CABARAN PERJUANGAN: MELAWAT SEMULA (REVISITED) PAS

Bagi membolehkan kita melakukan pembaikpulihan terhadap persoalan dalaman yang menjadi cabaran kepada perjuangan PAS, suka saya mencerakinkan beberapa perkara utama yang perlu diberikan perhatian sebagai kekangan yang menggugat masa depan kita. Isu-isu dalaman ini sebenarnya lebih berbahaya kepada PAS jika dibiarkan berlarutan, berbanding ancaman daripada luar. Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor pernah mengingatkan bahawa Allah SWT tidak akan mengizinkan musuh-musuh dari luar menghancurkan Islam dan kekuatan umatnya, tetapi gerakan Islam itu akan dihancurkan sendiri oleh ancaman dari dalam diri mereka . Mesej yang jelas cuba disampaikan oleh bekas Presiden PAS ini ialah perlunya penilaian semula, pembaikpulihan dan pengukuhan elemen-elemen dalaman parti supaya ia dapat berdiri teguh daripada ancaman keruntuhan.

Meninjau ke dalam sebagai satu proses muhasabah dan koreksi diri amat penting kepada kita supaya tidak berlaku elemen ‘perasan’ di kalangan kita. Kita sering menyangka bahawa kita cukup kuat dan hebat kerana selalu berada di jendela untuk melihat dan mengkritik kelemahan orang lain, dan hari ini kita mesti berani berada di hadapan cermin untuk melihat dan memperbaiki ‘kehodohan’ kita supaya kita benar-benar kuat dan hebat seperti yang disangkakan. Sebagai cerminan diri, saya ingin menyentuh beberapa aspek yang sangat utama untuk kita melakukan reengineering iaitu meliputi dilema kepemimpinan ulama’, pemimpin tidak berjiwa rakyat, permasalahan tarbiyah dan penyatuan fikrah serta solidariti ahli-ahli yang menjadi hambatan dalam perjuangan kita.

Pemerkasaan Kepemimpinan Ulama’

Menjelang akhir sesi akan datang pada 2007, kepemimpinan ulama’ PAS akan berusia 25 tahun – usia peralihan yang menandakan kedewasaannya. Kepemimpinan ulama’ baik atas nama PAS atau Kerajaan PAS di Kelantan telah diterima umum oleh rakyat sebagai satu gagasan kepemimpinan beriman, berwibawa, telus, amanah dan boleh diharapkan untuk membina sebuah masyarakat yang tunduk kepada Allah SWT. Namun, yang sering menjadi persoalan ialah keupayaan kepemimpinan ulama’ menggariskan satu model kepemimpinan yang benar-benar membawa umat kepada kebahagian di akhirat, tetapi tidak melupakan kecemerlangan keduniaan sebagai jambatan kebahagian akhirat. Sesuai dengan firman Allah SWT,

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلاَ تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا

“Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia.”
(Surah Al-Qasas: 77)

Jika kita memperhatikan pengalaman kepemimpinan ulama’ di Iran yang kini sudah berusia lebih 25 tahun, mereka menghadapi satu dilema di mana berlakunya kebangkitan reformasi rakyat, bukan untuk menentang kepemimpinan ulama’, tetapi untuk menuntut sesuatu yang lebih bermakna kepada kehidupan keduniaan mereka. PAS juga sedang menghadapi fenomena kebangkitan yang sama, tetapi apakah kerana ahli-ahli PAS menolak kepemimpinan ulama’ atau mereka merasakan bahawa ulama’-ulama’ yang ada gagal memberikan mereka satu kepuasan duniawi dan ukhrawi dalam konteks kepemimpinan gerakan Islam di negara ini. Kita bimbang jika keadaan ini berlarutan, kepemimpinan ulama’ di Kelantan yang telah berjaya memaparkan budaya pentadbiran baik menerusi pendekatan ubudiyah, mas’uliyah dan itqan juga akan ditolak oleh rakyat kerana terdapat halangan bagi kita menyediakan satu pembangunan ekonomi dan sosial yang seimbang dengan keperluan insani.

Apabila kita berbicara tentang kepemimpinan ulama’, fokus perbincangan kita sudah tentu tertumpu kepada peranan dan keupayaan Majlis Syura Ulama’ sebagai badan tertinggi dalam PAS dalam menterjemahkan haibah kepemimpinan ulama’. Majlis Syura Ulama’ tidak sepatutnya sekadar memutuskan apakah wanita boleh menyertai pilihanraya atau memberikan perakuan untuk menjadi calon PAS atau hanya memutuskan status hubungan dengan orang bukan Islam sahaja. Tetapi sebagai badan tertinggi yang dianggotai oleh para ulama’, Majlis Syura Ulama’ sepatutnya berperanan mengeluarkan hukum terhadap isu-isu umat Islam semasa, menangani serangan-serangan pemikiran ke atas umat Islam, menghuraikan status produk-produk perbankan, sains dan teknologi semasa, memberi perhatian dan kawalan terhadap syakhsiah ahli-ahli dan pimpinan parti dan seumpamanya supaya majlis ini dirasai kewibawaannya.

Tetapi amat malang bagi kita apabila kepemimpinan tertinggi sendiri mengabaikan aspek pengukuhan dan pemerkasaan majlis syura ini walaupun ia menjadi benteng imej parti. Lihat sahaja bagaimana setelah 20 tahun ia diinstitusikan, sehingga kini Majlis Syura Ulama’ masih belum mempunyai pejabat yang sempurna, lengkap dengan felo penyelidik, kakitangan dan peralatan yang mencukupi. Walhal, sepatutnya kita telah mempunyai satu Pusat Penyelidikan Hukum, kumpulan penyelidik syariah, jurnal dan penerbitan, laman sesawang yang boleh diakses untuk mendapatkan hukum kontemporari dalam pelbagai bidang dan sebagainya.

Kita tidak menolak peranan-peranan penting yang pernah disumbangkan oleh Majlis Syura Ulama’ terhadap parti, tetapi kita mempersoalkan ‘kelemahannya’ yang begitu ketara kelihatan. Bukan sahaja institusi ini kelihatan hidup segan mati tak mahu, tetapi proses pemerkasaannya, pembinaan kepemimpinan ulama pelapis, komitmen ulama’-ulama’ generasi baru, proses penggalian ilmu-ilmu syariah, pengaplikasian hukum dengan keperluan semasa dan sebagainya turut terhenti sama. Kita bimbang sekiranya para ulama’ muda yang ada pada hari terus berasa selesa di zon selamat kerana status quo sebagai ulama’, akhirnya kepemimpinan ulama’ lumpuh dan tidak diwarisi oleh ulama’ yang berwibawa. Sudahkah kita mengenal pasti siapakah yang bakal mengambil alih baton perjuangan yang akan ditinggalkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang? Apakah kita terus mengharapkan berlaku satu keajaiban dengan kelahiran seorang ulama’ besar seperti kedua-dua tuan guru ini, tanpa kita sendiri merancang dan melahirkan satu kumpulan ulama’ muktabar yang bergerak secara kolektif untuk memacu kepemimpinan ulama’.

Dalam muktamar yang lepas, Dewan Pemuda PAS telah menggariskan satu hasrat untuk melahirkan satu generasi ulama’ muda yang berwibawa. Kita berharap ulama’-ulama’ muda bersedia dan akan menyertai program pembangunan yang akan kita susun bersama Dewan Ulama’ PAS. Saya mahu mencadangkan supaya mulai sesi depan, diwujudkan kuota kepada ulama’-ulama’ muda untuk turut dilantik menganggotai Majlis Syura Ulama’ sebagai satu proses amali dalam pembinaan generasi pelapis. Dalam masa yang sama muktamar hari ini memberi kata dua kepada pimpinan tertinggi supaya melakukan sesuatu bagi melakarkan semula wajah perkasa kepemimpinan ulama’. Kita berharap supaya dalam tempoh lima tahun daripada sekarang, Majlis Syura Ulama’ dapat dimajukan sebagaimana kita memberikan tumpuan kepada unit-unit lain dalam parti. Kita mahu Majlis Syura Ulama’ bukan sahaja dihormati oleh ahli-ahli PAS, tetapi juga masyarakat Malaysia keseluruhannya menjelang 2010.

Merakyatkan Pemimpin

Pada hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebagai sebuah parti yang beroreantasikan massa dan berkecimpung dalam politik demokrasi berpilihan raya, mahu tidak mahu hubungan dengan rakyat mestilah menjadi agenda yang utama. Kejelekitan antara PAS dengan rakyat tidak memadai sekadar kita menjuarai isu-isu rakyat atau saban malam turun ke pentas-pentas ceramah untuk menyampaikan mesej politik dan dakwah kepada rakyat. Tetapi yang lebih penting bagi PAS ialah melahirkan pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat, yang boleh duduk semeja dan tidur sebantal dengan rakyat. PAS pernah melahirkan tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Prof Zulkifly Mohamad dan Ustaz Zabidi Ali yang terkenal kerana perjuangannya membela rakyat bawahan. Kini PAS mesti kembali memiliki pemimpin-pemimpin yang bukan sahaja bercakap tentang hak rakyat, tetapi juga turut merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat.

Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS seharusnya belajar daripada pengalaman dan sejarah gerakan-gerakan politik yang lain di seluruh dunia. Kita sangat wajar mencontohi pemimpin Hizbullah Lubnan, Sheikh Hassan Nasrallah yang namanya sentiasa meniti di bibir rakyat kerana kerendahan dirinya. Walaupun telah bergelar pemimpin terkenal, beliau masih ke pasar-pasar bertemu rakyat, menaiki bas awam untuk bergerak dan hidup di kediaman yang sangat sederhana. Syeikh Hassan Nasrallah bukan sahaja dikenali oleh rakyat sebagai ulama’, tetapi pemimpin dan bapa yang sentiasa memahami penderitaan rakyat. Beliau dengan jubah ulama’ berkuliah di sana-sini untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat, dalam masa yang sama mengetuai pasukan perang menentang Israel dan sentiasa turun berdemonstrasi untuk membela kepentingan rakyat. PAS telah memiliki tokoh seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu sederhana hidupnya, tetapi amat malang apabila mesej dan teladan yang ditunjukkan oleh pemimpin tertinggi parti tidak dapat dihayati dengan berkesan oleh sebahagian besar pemimpin PAS pada hari ini.

Satu masa dahulu kita sering kali mengkritik pemimpin-pemimpin Umno/BN yang berada dalam kerajaan kerana hidup mewah dan melupakan kesengsaraan rakyat. Mereka hidup bersama golongan elit dan aristokrat dengan budaya yang angkuh, ego dan mewah. Pada hari ini pemimpin-pemimpin Umno/BN mulai sedar kesilapan mereka, dan mereka mulai turun ke bawah menemui masyarakat, tidur di rumah-rumah rakyat, berjamaah di surau, makan bersila dan memandu kereta-kereta berjenama tempatan. Sebaliknya, penyakit elit, ego, angkuh dan mewah kini menghinggapi pula sebahagian pemimpin PAS. Ada di kalangan mereka selesa memandu kereta-kereta berjenama mewah, memakai pakaian yang anggun, membina mahligai perkasa dan tidur di hotel-hotel ternama. Mereka tidak lagi merasai keperitan hidup rakyat, kemiskinan petani, penderitaan setinggan, kesempitan peneroka, kesulitan nelayan, kelaparan buruh dan kesengsaraan pengguna.

Apakah pemimpin PAS tidak menghayati mesej yang disampai oleh kesederhanaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, atau kita telah begitu kagum merasai kehidupan selesa di mahligai-mahligai indah, atau kita berasa megah dipandu dalam kereta-kereta mewah, atau kita telah lalai kerana sudah bergelar Datuk dan disapa dengan gelaran YB. Saya sangat bimbang sekiranya pemimpin PAS sedang mengambil alih kesilapan pemimpin Umno/BN menuju era kepemimpinan elit yang mengabaikan rakyat.

Saya menimbulkan perkara ini sebagai satu ancaman dalaman yang sangat berbahaya kerana wujudnya kelompangan yang besar terhadap sikap peduli rakyat di kalangan pimpinan kita. Kita jangan lupa bahawa rakyat adalah kuasa sebenar yang menentukan jatuh bangun kita dalam dunia demokrasi. Ahli-ahli juga tidak senang dengan gelagat ‘orang kaya baru’ sesetengah di kalangan pemimpin kita. Kita tahu bahawa mereka menikmati kemewahan dengan titik peluh sendiri, bukan mencuri harta rakyat. Tetapi sebagai pemimpin rakyat, kesederhanaan adalah lebih utama daripada keselesaan peribadi.

Saya berharap elemen tasawuf dapat dikembangkan semula di kalangan ahli-ahli dan pimpinan parti supaya mereka dapat memahami erti keselesaan hidup dalam penderitaan rakyat dan tidak dihinggapi penyakit al-wahn, cintakan dunia bencikan mati. Hayatilah sikap Nabi Yusof as sebagaimana disebut oleh Professor Muhammad al-Sayid al-Wakil dalam bukunya Nazaraat fi Ahsanil Qisas bahawa ketika bumi Mesir dilanda bencana ekonomi, Nabi Yusof AS ditanya oleh rakyat kenapa beliau berlapar walaupun beliau seorang menteri yang menjaga perbendaharaan, dengan tegas beliau menjawab, “Aku takut kalau aku kenyang, aku terlupa kepada rakyat yang kelaparan”. Saya juga ingin memetik kata-kata Abraham Lincoln “Nearly all men can stand adversity, but if you want to test a men’s character, give him power”

Problematika Tarbiyah dan Fikrah Perjuangan

Para muktamirin yang dihormati,

Saban tahun juga kita telah membangkitkan soal tarbiyah dan pentarbiyahan sebagai elemen penting gerakan Islam. Kita percaya bahawa seluruh ahli telah menerima hakikat kepentingan tarbiyah kepada PAS, tetapi majoriti ahli masih tidak faham dan tidak menyedari mengapa mereka mesti mengikuti satu sistem tarbiyah yang tersusun, berkala dan berasal dari punca yang satu. Akibatnya ramai di kalangan ahli PAS tidak mengikuti program tarbiyah PAS atau menerima tarbiyah daripada banyak pihak yang akhirnya mencambahkan konflik fikrah yang pelbagai. Bahkan, ada sesetengah di kalangan ahli PAS masih menaiki dua perahu tarbiyah serentak, sebelah kaki diberikan wala’nya kepada PAS, dan sebelah kaki lagi wala’nya diberikan kepada pihak yang lain. Sekali-sekala mereka seolah-olah anai-anai yang menjalankan gerakan bawah tanah yang boleh meruntuhkan kestabilan organisasi PAS. PAS mengambil sikap berlapang dada terhadap kemasukan ahli-ahli baru yang berlainan fikrah, tetapi jangan keterbukaan kita disalahgunakan.

Kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya kepada mereka yang wala’nya tidak bulat kepada PAS atau menjadi anai-anai dalam organisasi parti. Mungkin perkara ini berlaku kerana kelemahan sistem tarbiyah atau ketidaklancaran proses tarbiyah kita dalam menangani elemen-elemen negatif daripada luar. Tetapi kita memberi amaran bahawa jika terdapat pihak tertentu yang memainkan peranan sebagai anai-anai untuk merosakkan PAS, kita tidak teragak-agak untuk mengulangi tindakan yang pernah kita ambil kepada pihak yang tidak setia kepada parti pada 1980-an dahulu. Jika mereka mahu beriltizam dengan jamaah kita, mereka mesti memberikan sepenuhnya wala’ kepada PAS.

Bagi menangani konflik ini, saya menggesa Lajnah Tarbiyah PAS Pusat supaya memperkemaskinikan dengan segera sukatan tarbiyah PAS di semua peringkat sesuai dengan keperluan masa kini. Kita juga mesti menyusun tarbiyah yang menyeluruh kepada semua ahli PAS sama ada yang lama atau yang baru. Setiap ahli PAS mestilah bersedia untuk mengikuti tarbiyah yang disediakan oleh PAS dan meninggalkan semua manhaj lain yang pernah diikuti sebelum ini. Kita tidak mahu fenomena satu individu dua fikrah berkembang di dalam PAS. Kita juga berharap supaya sukatan tarbiyah terbaru PAS turut mempertimbangkan anasir-anasir yang meracuni pemikiran umat Islam yang berkembang pada hari ini, termasuk aliran ekstrem yang menganggap penyertaan PAS dalam pilihan raya sebagai tidak syarie dan bercanggah dengan Islam. Apa sahaja bentuk pemikiran baru yang boleh memecahkan wala’ ahli-ahli PAS mesti ditangani dengan bersungguh-sungguh pada kali ini.

Perpaduan Ahli

Krisis wala’ nampaknya telah beralih menjadi krisis perpaduan di dalam PAS. Pesanan Allah SWT supaya umat Islam berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah belah nampaknya cuba dipinggir oleh golongan tertentu di dalam parti. Saya sangat sedih apabila budaya baru muncul dalam PAS dengan wujudnya perbuatan cantas-mencantas, budaya fitnah memfitnah, mencerca individu, pembocoran rahsia parti dan mewujudkan klik-klik dalam parti. Saya bimbang sekiranya fenomena ini tidak ditangani dengan baik, muncul pula budaya-budaya yang lebih buruk seperti rasuah dan politik wang di dalam parti kita. Firman Allah SWT,

وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.”
(Surah Al-Anfal: 46)

Kini wujud pemikiran dan percubaan politik adu domba yang cuba membangkitkan isu dikotomi ulama’-profesional atau ulama’ dengan bukan ulama’. Dewan Pemuda PAS menggangap inilah fahaman Jahilliyah yang cuba dibawa ke dalam parti dan ia sangat berbahaya kepada perpaduan dan keutuhan kita. Sebenar tidak timbul soal dikotomi ulama’-profesional dalam PAS kerana ulama’ dan profesional telah lama berganding mahu memajukan PAS semenjak 1951. Tetapi kerana wujudnya golongan tertentu yang berkepentingan sempit, maka persoalan dikotomi ini sengaja dibangkit dan diapikan.

Kita ingin merakamkan rasa kesal terhadap pihak yang berkaitan kerana dalam membicarakan gagasan kepemimpinan ulama’, masih lagi wujud percubaan menyonsangkan pemikiran-pemikiran berkaitan dengannya. Dato’ Dr. Harun Din, Timbalan al-Mursyidul ‘Am PAS mewakili Majlis Syura Ulama’ telah memberi definisi yang jelas dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Kali Ke-50 yang lalu. Pada hari ini, saya ingin memetik kembali penegasan beliau untuk memberi panduan jelas kepada kita dalam memahami dan melaksanakan gagasan tersebut. Kata beliau:

“Yang perlu diperjelaskan lagi: Apakah dasar kepemimpinan ulama’ itu merujuk kepada batang tubuh individu ulama’ yang memimpin atau kepada konsepsinya? Kalau kita berpegang kepada fizikal ulama’ yang merujuk kepada insan bernama ulama’, maka insan tidak akan kekal sekekal konsep. Insan akan timbul dan tenggelam, hidup dan akan mati, seperti yang telah berlaku ke atas enam orang pemimpin (presiden) PAS terdahulu. Konsep akan kekal walaupun pendukungnya bertukar ganti, konsep boleh diinstitusikan menjadi satu gagasan yang didukung oleh ramai pendukung. Pemimpin boleh bertukar tetapi kepemimpinan tidak boleh bertukar apabila ia menjadi konsep yang diinstitusikan. Konsep kepemimpinan ulama’ telah diinstitusikan menjadi Majlis Syura Ulama’ seperti terkanun dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (1), (2), (3), (4) dan (5)”.

Petikan ini sudah memadai untuk menjelaskan bahawa kepimpinan ulama’ adalah gagasan kepimpinan yang merujuk kepada institusi ulama’ yang menduduki Majlis Syura Ulama’ sebagai Ahl Al-Hal wal-‘Aqd yang berkuasa menerajui parti, memimpin dan melayarkannya ke arah mencapai tujuan-tujuan PAS yang dilembagakan dalam Fasal 5 (1) dan (2) Perlembagaan PAS. Oleh itu, dalam proses menentukan kepemimpinan di semua peringkat parti bermula daripada Cawangan hingga ke Pusat, Pemuda PAS berpendapat bahawa “benchmark” atau tanda aras utama kepemimpinan ialah kebolehan dan kemampuan untuk memimpin jemaah secara berkesan.

Jatuh bangunnya kepimpinan dalam parti adalah kerana kelebihan, keupayaan atau kelemahan dan kedaifan yang dinilai oleh perwakilan yang memilih bukan ianya ulama’ atau bukan ulama. Almarhum Dato’ Fadzil Noor dalam ucapan penggulungan beliau dalam Muktamar Pas tahun 2000 pernah meramalkan bahawa satu ketika PAS akan dipimpin oleh Presiden bukan dari kalangan “ustaz”, sebagimana pengalaman gerakan Islam yang lain , tetapi walaupun senario itu berlaku, PAS masih di bawah kepimpinan ulama’ kerana Majlis Syura Ulama’ tetap sentiasa memastikan perjalanan jemaah menepati kehendak-kehendak syariah. Sekali lagi saya mempertegaskan pada malam ini bahawa inilah falsafah dan matlamat asal perjuangan Pemuda Pas 25 tahun yang lalu yang menerokai dan memperjuangkan Pas mesti dipimpin di bawah Kepimpinan Ulama’.

Kelestarian Organisasi

Saudara-saudara sekalian,

Pada hari ini PAS telah mempunyai jaringan pengaruh yang telah meliputi seluruh negara ini dengan organisasi yang besar dan berstruktur. Kita telah mewujudkan pelbagai unit untuk menangani setiap permasalahan rakyat dan juga keperluan organisasi. Tinggal lagi setakat mana keupayaan kita menggerakkan setiap unit ini sebagai unit yang bekerja, saling mengukuhkan dan menjadi nukleus berkesan untuk meluaskan lagi pengaruh PAS. Kebolehan kita menyusun gerak kerja setiap unit ini dengan cekap dan berkesan akan meningkatkan lagi kelestarian organisasi kita sebagai sebuah gerakan Islam yang mempunyai matlamat keredhaan Allah SWT. Allah SWT berfirman,

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

“Sesungguhnya Allah suka orang yang berperang dijalan-Nya, dalam barisan yang seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
(Surah As-Saff: 4)

Penyusunan semula struktur, tugas dan fungsi unit-unit tertentu dalam PAS amat penting ke arah pengukuhan ini. Di peringkat tertinggi, kita mahu satu pemisahan kuasa (fusion of power) dapat dilakukan di antara Majlis Syura Ulama sebagai badan pengawal dasar (supremacy) dan Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja sebagai badan pelaksana (executive). Kelemahan tidak boleh dibebankan kepada kepemimpinan ulama’ semata-mata, kerana itu pengukuhan Majlis Syura Ulama’ sahaja tidak akan bermakna sekiranya unit-unit penting lain terus lembab dan gagal memahami fungsi masing-masing dalam menjalankan gerak kerja. Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Jabatan Pilihanraya PAS (JPP), Jabatan IT, Jabatan Antara Budaya (JAYA) dan lajnah-lajnah lain dalam parti sebenarnya masih gagal menjalankan peranan dengan berkesan untuk menjana kekuatan jentera parti untuk menjenamakan PAS sebagai parti yang memperjuangkan nasib rakyat. Tetapi mereka memindahkan semua kelemahan ini kepada kepemimpinan ulama’ sebagai pengawal dasar, sedangkan mereka sebagai pelaksana sepatutnya lebih bertanggungjawab.

Saya membangkitkan perkara ini kerana kecenderungan kita pada hari ini menimbulkan kelemahan kepemimpinan ulama’ sebagai punca ketidaklestarian organisasi PAS. Tetapi kita tidak cuba melihat apakah unit-unit lain yang berfungsi mengukuhkan kepemimpinan ulama’ telah memainkan peranan secara maksimum atau hanya bercakap sahaja dan menjaja dakyah bahawa kepemimpinan ulama’ tidak berkesan. Kita mahu setiap unit sedar bahawa setiap daripada kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam konteks gerak kerja berjamaah (amal jamaie). Sikap suka menyalahkan pihak yang lain tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi kita mesti memperkasakan unit dan lajnah masing-masing supaya di antara kita sama ada sebagai pemutus dasar, pemikir dan pelaksana dapat berfungsi dengan tersusun.

MENANGANI TERJAHAN PERSEKITARAN

Para muktamirin sekalian,

Berbeza dengan dekad-dekad sebelum ini, cabaran yang melanda umat Islam di negara ini menjadi lebih hebat ekoran liberalnya dasar Islam Hadhari yang ditaja oleh Umno/BN. Jika sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamed cuba menangani fenomena kesedaran Islam yang mencipta Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dan mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam, nampaknya Perdana Menteri baru dalam ‘kelembutannya’ menonjolkan dasar-dasar yang lebih aneh kepada rakyat baik dari aspek keagamaan, ekonomi, politik mahupun sosial. Mereka bercakap tentang perlaksanaan Islam Hadhari, tetapi menggalakkan kewujudan kumpulan anti-Islam; mereka bercakap tentang budaya politik baru, tetapi secara terbuka memperkudakan SPR untuk merampas kuasa rakyat; mereka bercakap tentang keselesaan hidup rakyat, tetapi saban hari menaikkan harga barangan keperluan rakyat; mereka bercakap tentang perpaduan, tetapi saban hari mencetuskan api permusuhan; mereka berkempen tentang budi bahasa, tetapi terus membawa masuk artis yang tidak ‘reti bahasa’.

Persekitaran ini menjadi satu cabaran yang begitu besar kepada PAS dalam membina semula pengaruh menjelang 2010. Cabaran ini bukan sahaja bersifat ancaman pemikiran kepada minda rakyat, tetapi juga adalah ancaman terhadap kebebasan politik, keadilan ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat, yang secara langsung memberikan kesan terhadap sikap dan pendirian rakyat terhadap PAS. Ancaman ini akan menjadi beban kepada PAS sekiranya rakyat gagal melihat bagaimana PAS menguruskannya secara bijaksana, sebalik akan menjadi kelebihan (advantage) kepada PAS jika kita berjaya memahamkan rakyat bahawa semua bencana ini berpunca daripada keangkuhan pemimpin Umno/BN dan berupaya pula kita menyediakan alternatif untuk pemulihan.

Islam Tercabar

Kebejatan Islam Hadhari dalam politik Malaysia hari ini semakin terdedah apabila satu demi satu peristiwa yang berlaku menelanjangkan sikap sebenar Umno/BN terhadap Islam. Walaupun Kerajaan BN berbangga kerana berjaya memperdayakan para mufti kononnya Islam Hadhari dengan berasaskan 10 prinsipnya akan meletakkan umat Islam dalam satu ketamadunan baru, belum sampai dua tahun pengenalannya, telah jelas kepada umat Islam betapa di hati pemimpin Umno mereka tidak mempunyai cita-cita ke arah perlaksanaan Islam, melainkan hanya sebagai ‘gula-gula’ untuk mengaburi mata rakyat. Nah! Lihat bagaimana pegawai penguatkuasa agama dicerca, anak Perdana Menteri mengetuai gerakan anti perlaksaan undang-undang akhlak, isteri Perdana Menteri mengetuai anti poligami, menteri-menteri menyokong cadangan meninda agama Islam oleh IRC, manakala menteri bukan Islam berani mendesak supaya Islam tidak diajar di sekolah kebangsaan.

Kita menyedari bahawa Islam Hadhari seumpama agama baru yang cuba melahirkan satu masyarakat yang gilakan pembangunan tanpa menghormati ketuhanan dan memiliki keinsanan. Mereka mahu Malaysia menjadi seperti New York berkembang daripada sebuah desa menjadi kota metropolitan, tetapi di dalamnya penuh dengan jenayah, pengangguran dan penindasan. Sejarah Islam pernah merakamkan bagaimana pemimpin terkenal Empayar Moghul, Akbar mencipta agama baru, Din Ilahi pada 1581 yang kononnya bertujuan mewujudkan integrasi masyarakat. Akhirnya beliau digelar Akfar – yang kufur!

Nampaknya Islam Hadhari melalui 10 prinsipnya seperti yang disahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) hanya menerima elemen-elemen yang bersifat moden, bertoleransi, maju dan progresif sahaja, tetapi menolak Islam yang bersifat hukum, perundangan, akhlak, pembinaan insan dan sebagainya yang mewakili kesyumulan Islam. Daripada amalan Kerajaan BN, terbukti unsur-unsur ini telah ditolak, melainkan soal pembangunan, kemajuan dan kemodenan sahaja yang berteraskan Islam. Lebih tepat lagi bahawa Islam Hadhari adalah Islam yang bersifat tamadun dan pembangunan sahaja, bukan satu sistem kehidupan yang menyeluruh seperti yang pernah disebutkan oleh Anwar al-Jundi 20 tahun lalu (1985) tentang bahaya pemikiran al-Islam al-Hadhari dan al-Islam as-Thaqofi. Ini adalah satu usaha untuk melahirkan masyarakat yang menerima (beriman) sebahagian daripada Islam dan menolak (kufur) pada sebahagian yang lain. Ingatlah tentang ancaman Allah SWT,

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian dari isi Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain?”
(Surah Al-Baqarah: 85)

Pemuda PAS mengutuk keras jenayah akademik yang dilakukan oleh UMNO dengan menyelewengkan dan melakukan pembohongan terhadap karya ulama’-pemikir Islam Professor Dr. Said Ramadhan al-Bhuti, Minhaj al-Hadharah al-Islamiyyah fil Quran dengan menyelewengkan kepada Islam Hadhari: Asas Kepada Pelaksanaan Islam Hadhari di Malaysia.

Akibat sikap Islam Hadhari yang gilakan kemajuan, mereka membiarkan bercambahnya kuman-kuman kesesatan dalam pemikiran rakyat. Wacana-wacana yang bersifat anti-Islam dipelopori sendiri oleh orang-orang yang terdekat dengan pemimpin tertinggi negara. Sister in Islam, sebuah badan bukan kerajaan kini mendapat nafas baru apabila perjuangan mereka untuk menolak penguatkuasaan sistem kawalan akhlak atau moral policing didukung oleh anak perdana menteri, Nori Abdullah yang juga isteri kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, di samping Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir, anak bekas perdana menteri. Mereka membawa masuk pemikiran-pemikiran Islam liberal selari dengan pengasasnya, Dr Amina Wadud, wanita yang mengimamkan sembahyang Jumaat di New York.

Gerakan pemikiran Islam liberal mula berkembang di dalam negara serentak dengan pelancaran Islam Hadhari oleh Umno. Pemikiran yang cuba menolak kawalan agama ke atas kehidupan, mahukan kebebasan sepenuhnya, mengangkat martabat wanita melampaui batasan agama, menolak unsur agama dalam politik dan seumpamanya mulai berkembang di kalangan cerdik pandai yang tiada asas pendidikan agama yang kukuh. Ia menjadi lanjutan kepada gerakan anti hadis yang pernah muncul sebelum ini. Mereka sanggup mengadakan seminar-seminar untuk menolak pelaksanaan hukum Islam, mengadakan dialog untuk membolehkan mereka hidup tanpa kawalan, memperalatkan hak asasi kononnya untuk kebebasan dan mengeluarkan pandangan-pandangan berasaskan akal tanpa bersandarkan al-Quran. Hari ini sudah ada penterjemahan kitab-kitab yang ditolak oleh para ulama’ seperti karya Ali Abdul Raziq kononnya sebagai satu wacana cendikiawan, tetapi sebenarnya bertujuan menyesatkan pemikiran.

Bertolak daripada sikap terbuka Islam Hadhari terhadap pemikiran-pemikiran yang tidak mengikut ajaran Islam, kini orang-orang bukan Islam lebih berani kehadapan. Mereka mengkritik laungan azan sebagai satu pencemaran, menubuhkan Islamic Religious Commission (IRC) sebagai dialog untuk meminda ajaran Islam, berunding dengan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk menghapuskan unsur Islam dalam pendidikan, dan yang paling menggemparkan apabila menteri sendiri berani membuat kenyataan supaya pendidikan Islam ditiadakan di sekolah kebangsaan.

Ini semua adalah rentetan daripada sikap talam dua muka Islam Hadhari yang sebelumnya mengenakan tekanan ke atas sekolah agama rakyat secara besar-besaran. Mereka belajar daripada sikap Umno yang menolak ajaran Islam. Mereka berdiri di belakang kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyokong 50 NGO dan 236 individu menentang perlaksanaan sistem akhlak Islam. Mereka juga mengambil manfaat daripada kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mendakwa tiada agama (termasuk Islam) yang boleh mendabik dada bahawa ia lebih tinggi daripada agama lain.

Dalam berhadapan dengan pemikiran-pemikiran Islam Hadhari, Islam liberal, isu moral policing dan seumpamanya, pemuda PAS bersedia untuk mengemukakan barisan ulama’-ulama’ dan para intelek muda bersedia untuk menganjurkan “intelectual discourse” dengan golongan ini ataupun menyertai mana-mana forum, diskusi, debat, seminar dan lain-lain sebagai kelangsungan daripada metodologi dakwah yang diperintahkan oleh Allah:

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik.”
(Surah Al-Nahl: 125)

Hedonisme Yang Merosakan Jati Diri Umat

Sidang muktamirin yang dikasihi,

Sikap yang menolak ajaran agama sebagai satu kawalan vertical ke atas setiap kelakuan individu telah memberikan kesan sosial yang sangat tenat. Golongan yang bercakap atas nama kebebasan dan hak peribadi nampaknya telah terlupa kepada persoalan tanggungjawab dan hak masyarakat. Kumpulan 50 NGO dan 236 individu termasuk tiga orang menteri iaitu Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Datuk Azalina Othman berjuang untuk memberikan kebebasan kepada setiap individu untuk melakukan apa sahaja termasuk maksiat kepada Allah SWT. Mereka tidak mahu muda mudi yang berseronok di kelab-kelab malam atau tempat lain dikacau ganggu oleh penguatkuasa agama. Bagi mereka konsep amar makruf nahi mungkar telah mencabul hak kebebasan individu untuk berseronok dan melakukan maksiat. Sesetengah daripada mereka berpendapat bahawa meninggalkan kejahatan dan maksiat kerana takutkan undang-undang tidak bererti kepada Islam kerana kononnya ia dilakukan tanpa keikhlasan.

Anehnya, mereka menuntut supaya kawalan-kawalan agama ke atas individu supaya berakhlak mulia dihapuskan atas nama hak individu. Tetapi mereka tidak pula menuntut hak yang sama ke atas penagih dadah. Apa bezanya kebebasan untuk minum arak atau kebebasan berzina dan kebebasan menagih dadah, semuanya membawa kepada keruntuhan moral. Tetapi kerana arak dan zina adalah kawalan yang disebut di dalam al-Quran, mereka menentang sebagai sekatan berasaskan agama. Tetapi dadah adalah kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, maka mereka boleh menerima kerana ia dicipta oleh manusia.

Jika mereka benar-benar ikhlas mahukan hak dan kebebasan, mengapa kumpulan 50 NGO ini tidak mendesak kerajaan supaya menghapuskan ISA, OSA, Akta Cetak, AUKU dan sebagainya yang terang-terangan mencabul kebebasan individu. Kita berasa hairan bagaimana seorang yang memimpin Majlis AIDS Malaysia seperti Datin Paduka Marina Mahathir boleh menentang undang-undang kawalan akhlak, sedangkan punca utama AIDS adalah zina dan dadah, dua elemen utama keruntuhan akhlak. Tangan kanan membina tangan kiri meruntuhkan!

Pemikiran sesat tentang kebebasan melakukan maksiat tajaan Islam Hadhari ini mendorong berleluasanya kegiatan maksiat hiliran seperti berdua-duaan, rogol, zina, lumba haram, ragut, mencuri dan sebagainya. Pesta-pesta maksiat bukan sahaja dilesenkan oleh kerajaan, tetapi dianjurkan sendiri oleh kerajaan. Mereka mengadakan konsert-konsert hiburan yang melalaikan, tidak menghiraukan peringatan mufti tentang status haram program hiburan seperti SureHeboh, menggunakan istana untuk menganjurkan Fiesta Media Idola, terus menggalakan rancangan hiburan seperti Audition, Malaysia Idol, Mentor dan sebagainya.

Bahkan untuk menyambut kemerdekaan negarapun, artis Barat juga menjadi pilihan Menteri Penerangan. Kita berterima kasih kepada beberapa NGO di Johor yang menentang rancangan ini. Tetapi mengapa menteri tidak menghiraukan desakan rakyat termasuk Pemuda Umno supaya menjadikan sambutan kemerdekaan ini berjiwa tempatan. Dewan Pemuda PAS menentang sekeras-kerasnya kemasukan artis Barat di Danga Bay, Johor kerana kita tidak sepatutnya menyambut kemerdekaan dengan mengagung-agungkan artis negara penjajah.

Gejala sosial yang berkembang di kalangan muda mudi hari ini telah menggelapkan masa depan negara. Orang-orang tua yang sepatutnya meletakkan satu garis panduan untuk membina generasi pelapis, nampaknya lebih berminat membawa generasi baru kepada kehancuran. Kita jangan menyalahkan rakyat sekiranya usaha membina patriotisme melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak berkesan kerana latihan tiga bulan tidak akan berupaya berhadapan dengan pelbagai anasir keruntuhan moral yang ditaja sendiri oleh kerajaan.

Kita kesal apabila Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang begitu gigih berkempen supaya berbudi bahasa, tetapi kementerian yang sama menggalakkan rakyat melupakan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ melalui penganjuran konsert tidak bermoral seperti Festival Dangdut Inul Daratista. Apa yang dapat kita simpulkan daripada berleluasanya aktiviti menggalakkan kemungkaran dan penularan pemikiran anti kawalan akhlak ini, masyarakat kita sebenarnya bukan lagi berhadapan dengan gejala sosial, tetapi sudah terjebak dalam krisis nilai.

Liberalisme Ekonomi

Sidang perwakilan sekalian,

Baru-baru ini kita digemparkan oleh satu krisis diesel yang kononnya menurut kerajaan berpunca daripada kegiatan penyangak. Selang seminggu kemudian, kerajaan mengambil kesempatan di atas ‘krisis diesel terancang’ itu untuk menaikkan harga petrol dan diesel untuk menangani masalah penyangak. Apa kaitan antara penyangak diesel dengan kenaikan harga petrol sebanyak 10 sen seliter dan bagaimana kenaikan harga diesel daripada 88 sen seliter kepada RM1.08 seliter boleh mengatasi masalah penyangak sedangkan harga diesel untuk industri masih lebih mahal? Yang lebih jelas ialah kerajaan cuba berlepas tangan daripada tanggungjawab sosial untuk menyediakan subsidi petrol dan diesel untuk memboleh ia dijual dengan lebih murah kepada rakyat. Bukankah Kerajaan BN pernah merompak royalti minyak milik rakyat Terengganu yang bernilai lebih RM1000 juta, mengapa hasil rompakan ini tidak digunakan untuk membiayai subsidi kepada rakyat?

Perubahan dasar kerajaan di bawah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nampaknya menepati telahan kita pada Muktamar 2003 yang lalu bahawa Perdana Menteri baru akan memikul segala beban kesan daripada dasar bermewah-mewah Tun Dr Mahathir. Kini kerajaan kekeringan dana dan tidak berupaya lagi untuk mengadakan projek-projek pembangunan untuk rakyat. Bukan itu sahaja, kini segala sumber yang mendatangkan wang kepada kerajaan seperti saman tertunggak, cukai pendapatan dan pinjaman pelajaran diperah sehabisnya, dalam masa yang sama segala tanggunggan kerajaan cuba dilepaskan. Akibatnya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan Kerajaan Negeri Sembilan terpaksa mengemis meminta bantuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Zaman Tun Dr Mahathir, KWSP terpaksa menjadi ceti untuk syarikat-syarikat kroni, kini menjadi along kepada kerajaan sendiri. Selain biasiswa yang ditiadakan, subsidi dikurangkan sehingga menyebabkan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel baru-baru ini.

Dasar baru ekonomi kerajaan yang bersifat lepas tangan seolah-olah membawa negara ini mengamalkan kembali idea liberalisme yang diasaskan oleh ekonomi Adam Smith pada abad ke-18. Kerajaan melepaskan segala tanggungjawab sosial, bermula dengan penswastaan dan pensyarikatan jabatan-jabatan kerajaan, membiarkan keperluan asas rakyat diuruskan oleh pihak swasta, kini kerajaan sedang bercakap untuk mentiadakan hak istimewa orang Melayu, hidup tanpa biasiswa dan bersedia untuk zaman tanpa subsidi. Kita bimbang sekiranya racun globalisasi yang berasaskan pasaran bebas dan liberalisme pasaran sedang diaplikasikan di negara ini.

Tindakan kerajaan mengambil alih hak menguruskan air daripada kerajaan negeri, kemudian menyerahkan kepada syarikat swasta akan menyebabkan keperluan asas semakin mahal dan membebankan rakyat. Sebelum ini kerajaan telah menswastakan elektrik dan telekom, kini secara berperingkat air pula akan diswastakan. Walhal Nabi SAW telah menegaskan bahawa “Orang-orang Muslim adalah berkongsi dalam tiga sumber: air, padang rumput dan api”. Tanggungjawab terhadap kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya, pengangkutan awam, utiliti, pos, komunikasi, kebersihan perbandaran semuanya telah menjadi milik swasta. Kita bimbang jika dasar ini akan meningkatkan beban hidup rakyat bagi memenuhi matlamat keuntungan maksimum pemodal-pemodal yang akhirnya mengakibatkan kekayaan terus berlegar di kalangan sebahagian kecil rakyat. Perhatikan peringan Allah SWT,

لاَ يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الأَغْنِيَاء مِنكُمْ كَيَْ

“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu.”
(Surah al-Hasyr: 7)

Liberalisasi ekonomi yang sedang berlaku telah membawa bencana yang teruk kepada rakyat apabila indeks harga pengguna (IHP) barang-barang keperluan harian meningkat mendadak sehingga 40 peratus mulai Mei tahun ini iaitu setelah tambang kenderaan awam seperti bas, teksi dan feri dinaikkan, tol Laluan Kedua juga dinaikkan diikuti kenaikkan harga petrol dan diesel. Peningkatan kadar inflasi ini tidak diimbangi pula oleh peluang pekerjaan yang bertambah, sebaliknya pengangguran siswazah dan bukan siswazah semakin membesar. Kita sangat sedih apabila rakyat semakin miskin sehingga ada yang tidak dapat menyertai PLKN kerana membantu menangani kemiskinan keluarga dihukum penjara pula.

Usaha kesatuan-kesatuan sekerja untuk menuntut gaji minima tidak dilayan, bahkan cadangan CEUPACS untuk kakitangan awam dibayar gaji 13 bulan setahun ditolak mentah-mentah oleh kerajaan, sedangkan bantahan kita terhadap kenaikan saraan menteri dan ahli parlimen tidak mendapat sokongan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). Cuba kita bayangkan bagaimana rakyat mahu hidup selesa dengan pendapatan yang tidak bertambah ketika kos hidup semakin meningkat. Inikah keadilan ekonomi yang dijanjikan oleh agenda kemajuan Islam Hadhari.

Kita tidak dapat memahami mengapa Kerajaan BN terus berlepas tangan tidak mahu membantu rakyat membina keselesaan hidup sama ada dari aspek mengurangkan kos hidup atau menyediakan peluang untuk membaiki masa depan melalui pendidikan. Kita tahu universiti dan kolej-kolej wujud dengan begitu banyak semenjak dasar kerajaan menjadikan pendidikan sebagai komoditi, tetapi rakyat terpaksa berfikir dua kali kerana kos yang begitu tinggi. Yang jelas kelihatan ialah Kerajaan BN cuba menjadikan kemiskinan dan kejahilan rakyat sebagai senjata untuk mereka memaksa undi rakyat dalam pilihan raya. Dengan kemiskinan dan kejahilan mereka boleh mengelirukan rakyat melalui projek-projek pembangunan luar yang berlabel “Projek Kerajaan BN” atau “Subsidi Cap Dacing”, mereka boleh memaksa rakyat dengan wang ehsan, baucer tuisyen dan bantuan “one-off”, mereka boleh menekan rakyat supaya mengisi borang Umno untuk mendapatkan kemudahan termasuk mangsa-mangsa Tsunami. Kerana itulah kemiskinan dan kejahilan rakyat mesti mereka kekalkan.

Demokrasi Berkuku Besi

Pemaksaan atau manipulasi seperti ini telah menghilang hak rakyat untuk menentukan secara adil dan bermaklumat siapa sebenar yang wajar dipilih sebagai kerajaan di negara ini. Walaupun rakyat turun mengundi mengikut proses demokrasi, hakikatnya mereka membodohkan rakyat supaya bertindak mengikut telunjuk zalim mereka. Malah, dalam proses pembangunan juga suara rakyat dibisukan supaya menerima apa sahaja bentuk pembangunan yang disediakan, tanpa mereka terlibat membangunkan negara secara kolektif sama ada dari aspek idea, artikulasi mahukan tindakan. Perbuatan Umno/BN kadang-kadang memaksa kita menerima teori Benito Mossolini bahawa negara demokrasi adalah negara yang didukung oleh orang-orang yang bodoh, yang mengikut sahaja arahan diktator berpelembagaan tanpa memahami apa-apa.

Perlaksanaan demokrasi secara pincang bukan sahaja mengancam masa depan PAS, tetapi juga kestabilan politik negara ini. Yang paling jelas kita melihat penipuan terbesar dalam sejarah pilihan raya berlaku pada 2004 apabila SPR dijadikan alat untuk BN merampas kuasa secara berperlembagaan (constitutional coup-de-tat). Pengerusi SPR sendiri mengakui bahawa mereka tidak bebas dan terpaksa bertindak tidak adil mengikut undang-undang pilihan raya yang tidak adil. Kita melihat bagaimana Umno/BN mencampuri urusan SPR, mempengaruhi proses persempadanan semula, menipu senarai pengundi, memindahkan pengundi secara haram, melakukan ugutan politik dan sebagainya. Pembangkang dikenakan sekatan besar-besaran. Apa sahaja saluran media pembangkang termasuk akhbar, ceramah, kaset audio, VCD, buku-buku dan penerbitan dikenakan sekatan supaya rakyat tidak mengetahui kemungkaran mereka.

Demokrasi berat sebelah yang diamalkan oleh Kerajaan Umno/BN melalui pelbagai sekatan telah menyempit corong kebebasan rakyat. Demokrasi ala-Malaysia begitu terbuka kepada BN sehingga apa sahaja aktiviti kepartian mendapat liputan media massa, membenar penyalahgunaan jentera kerajaan dan berkembang seolah-olah berada di negara yang mengamalkan one-party system. Apabila pembangkang memohon lesen media, ia disekat. Permit untuk menerbitkan lidah rasmi parti pun dikenakan kawalan yang begitu ketat. Ceramah-ceramah disekat dan dihantar polis pencegah rusuhan untuk menakutkan rakyat, pandangan-pandangan pembangkang segera dianggap agen asing, musuh negara dan anti pembangunan. Pendek kata, permainan demokrasi di negara ini semakin pincang apabila gelanggangnya tinggi sebelah dan pengadil pula tidak berkecuali. Sebenarnya demokrasi yang diamalkan di negara ini tidak ubah seperti demokrasi di Korea Utara, Mesir atau di Iraq pada zaman Saddam Hussein, pilihan raya diadakan, tetapi parti yang akan menang sudah ditetapkan.

Walau bagaimana berat sebelahpun demokrasi kita, PAS mengambil pendirian untuk terus memilih jalan ini bagi menegakkan negara Islam, selagi mana ruang-ruang dakwah dibuka kepada kita. Tetapi kita sangat kesal apabila Kerajaan BN yang melaungkan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” sebenarnya temberang. Mereka berlakon di hadapan rakyat kononnya membawa gagasan keadilan, tetapi mereka terus melakukan kezaliman dan penyelewengan. Demokrasi mereka adalah demokrasi berasaskan wang. Mereka bukan sahaja menggunakan material untuk mempengaruhi rakyat, tetapi juga ketika mengamalkan demokrasi sesama mereka. Kita tidak hairan apabila Jawatankuasa Disiplin Umno mendapati lebih 50 pemimpin tertinggi Umno terlibat dengan politik wang, kerana budaya inilah yang sedang ditanam kepada rakyat. Tetapi kita hairan mengapa pelaku-pelaku rasuah politik ini tidak dilucutkan jawatan kerajaan dan didakwa di mahkamah walaupun telah dibuktikan bersalah, sedangkan jika rakyat yang melakukan kesalahan kecilpun segera didakwa dan dihukum.

Keganasan Global Ciptaan Kuasa Besar

Saudara kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Cabaran sebagai sebuah gerakan Islam tidak hanya berkisar dalam persoalan sosio-politik domestik sahaja, tetapi turut dipengaruhi oleh perkembangan politik global. Lagipun, sebagai gerakan yang memperjuangkan keadilan sejagat, kita tidak boleh berlepas tangan terhadap perkembangan yang sedang berlaku di pentas politik dunia. Hari ini umat Islam mengalami inferiority complex dan tidak yakin diri untuk mencaturkan politik dunia, sebaliknya di mana-mana sahaja kita dijadikan biduk catur yang boleh digerak-gerakkan mengikut kehendak kuasa besar dunia. Umat Islam bukan sahaja tidak dapat menentukan pendirian politik mereka, bahkan nilai mata wang merekapun ditentukan oleh orang lain.

Kita bersyukur kepada Allah SWT apabila bibit-bibit kebangkitan semula Islam telah tumbuh di mana-mana sahaja. Bahkan, dibeberapa negara seperti Turki, Indonesia, Sri Lanka dan sebagainya, umat Islam sudah memiliki kuasa tawar-menawar. Kebangkitan ini begitu membimbangkan Barat, khususnya Amerika dan Israel yang melihat Islam sebagai ancaman kepada kuasa jahat mereka. Di mana-mana sahaja Barat bercakap tentang keganasan yang dilakukan oleh umat Islam. Semenjak 11 September 2001, Umat Islam telah diletakkan dalam kandang tertuduh terhadap keganasan yang berlaku. Seolah-olah dunia telah lupa bahawa Amerika terlibat dalam lebih 100 perperangan semenjak 1890, menyerang negara lain lebih 200 kali semenjak merdeka daripada Britain, mencampuri urusan lebih 20 buah negara dan telah mengebom 25 buah negara semenjak 1945. Ini tidak termasuk kegiatan sulit CIA, penempatan tentera, menggerakkan National Guard, menghantar kapal kepesisiran negara asing, latihan ketenteraan dan program-program nasihat keselamatan yang lain.

Amerika secara mudah menuduh umat Islam menaja keganasan global dan cuba menyenaraikan lebih 189 pihak yang sebahagian besarnya umat Islam dalam senarai pengganas di bawah Executive Order 13224 semenjak peristiwa 11 September tersebut. Mereka mengaitkan pengeboman di Bali, Pattani, India, Pakistan, Turki, Russia, Lubnan, Arab Saudi, Mesir dan sebagainya dengan umat Islam. Di Malaysia, Kerajaan BN menamakan beberapa kumpulan sebagai pengganas tetapi enggan membuktikannya di mahkamah. Matlamat mereka adalah mudah, iaitu memberikan imej kepada dunia bahawa umat Islam atau gerakan Islam adalah pengganas. Keganasan yang ditaja oleh Amerika dan Israel di Palestin, Iraq dan Afghanistan tidak dianggap kegansan, sebaliknya satu proses ke arah perlaksanaan demokrasi. Negara umat Islam yang tidak tunduk kepada Amerika seperti Iran dan Sudan, segara dicop sebagai ‘Negara Paksi Kejahatan’.

Persidangan Negara Islam (OIC) terus tidak berupaya mengimbangi kuasa dan pengaruh Barat di pentas politik dunia. Untuk menyatukan pemikiran pun tidak dapat, apatah lagi untuk membela umat Islam dan menangani tekanan Barat. Ketika India, Jepun, Jerman dan Brazil cuba mendesak untuk dilantik sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, negara-negara OIC masih tidak mempu bersatu sekalipun dalam isu Palestin. Bahkan, kita patut berasa malu apabila negara-negara Barat berlumba-lumba menyalurkan bantuan kepada umat Islam di Acheh dan Sri Lanka dalam tragedi tsunami, negara umat Islam yang kaya pula masih segan silu untuk membantu, akhirnya Barat menuduh kita lebih selesa membantu pengganas daripada mangsa bencana. Malaysia patut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi OIC sekiranya kita tidak mampu memberikan manfaat kepada umat Islam, termasuk melaksanakan resolusi persidangan OIC di Kuala Lumpur untuk menubuhkan pasukan tentera OIC bagi menangani penindasan.

Tragedi tsunami banyak mengajar kita erti perpaduan antarabangsa. Kegagalan negara-negara umat Islam bertindak secara bersepadu telah membuka ruang kepada orang-orang bukan Islam untuk mengambil kesempatan menyebarkan dakyah-dakyah dan memurtadkan umat Islam yang sedang terhimpit. Kita berasa bangga apabila Dewan Pemuda PAS, khususnya Unit Amal dan Muslim Care dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan berbentuk tenaga kerja, pakaian, perubatan, makanan, pembinaan hospital dan sekolah di Acheh dalam tragedi ini. Sepatutnya satu pakej bantuan yang lebih besar dapat dilakukan, sekiranya Malaysia berupaya menggerakkan negara-negara Timur Tengah terlibat dengan lebih aktif dalam membangunkan semula Acheh. Tetapi OIC tidak prihatin terhadap nasib umat Islam di seluruh dunia termasuk di Pattani, Arakan, Mindanao, Iraq, Palestin, Kashmir dan sebagainya. Kita lebih selesa menjaga hubungan diplomatik dengan negara lain daripada menjaga maruah dan aqidah umat Islam.

Menyedari kelemahan yang begitu ketara terhadap organisasi OIC pada hari ini, Dewan Pemuda PAS akan berusaha untuk mewujudkan semula kekuatan badan bukan kerajaan umat Islam di peringkat global untuk mengisi kelompangan sebagai kumpulan pendesak dan kumpulan yang menjaga kepentingan umat Islam. Kita akan menggerakkan Sekretariat Pemuda Islam Asean (AMSEC) dan Forum Belia Islam Asia (AFMY) serta menyokong langkah-langkah mengaktifkan semula WAMY dan IIFSO sebagai kuasa pengimbang kepada pengaruh kuasa besar. Pemerkasaan semula gerakan belia Islam sangat penting supaya dunia menghormati umat Islam sebagai entiti terbesar dalam populasi dunia. Kita juga akan menggerakkan dialog antara agama dan peradaban bagi memastikan masyarakat antarabangsa dapat hidup aman tanpa keganasan yang ditaja oleh Barat. Bagi menangani tekanan pemikiran Islam liberal yang semakin berkembang di rantau ini, AMSEC akan menubuhkan Center for Islamic Thought of Asean (CITA) pada tahun hadapan.

Satu perkara yang paling penting bagi umat Islam, khususnya rakyat Malaysia ialah kebangkitan kuasa baru dunia di sebelah timur pada hari ini. Barat telah melihat bahawa Asia Timur khususnya China, Jepun dan Korea serta Asean sebagai komuniti baru ekonomi global. China begitu menonjol dalam politik dan ekonomi dunia hari ini dijangka akan mengambil alih pengaruh Amerika pada dekad akan datang. Sebagai umat Islam, kita mesti bersedia dengan perkembangan ini. Walaupun China adalah bangsa Asia, tetapi ideologi komunis mereka harus membuatkan kita waspada, dan masa yang sama berusaha merebut peluang-peluang yang wujud. Umat Islam mesti beralih untuk menguasai bahasa dan budaya Cina supaya kita boleh bersaing kelak, setidak-tidaknya melebarkan dakwah kepada mereka.

PAS BERWAJAH MALAYSIA

Para hadirin yang dikasihi sekalian,

Gugusan cabaran yang saya sebutkan sebentar tadi bukanlah satu halangan untuk kita maju ke hadapan, tetapi merupakan batu loncatan untuk kita mencipta keunggulan. Memperbaiki kelemahan dalaman dan menangani tekanan luaran adalah pendekatan terbaik yang perlu kita gunakan ke arah mengangkat semula kedudukan PAS sebagai saingan terdekat BN dalam percaturan politik negara. Namun, dalam banyak keadaan kita mesti bersedia mencipta semula (reinventing) PAS melalui proses penjenamaan yang lebih strategik dalam pasaran politik negara ini. PAS perlu dilihat sebagai berwajah Malaysia dan memainkan peranan sebagai gerakan politik nasional yang diyakini rakyat untuk menjadi alternatif kepada BN dalam semua aspek dan perkara.

Merungkai persoalan menjadikan PAS berwajah Malaysia, marilah kita tenungkan beberapa isu yang seharusnya kita mencari penyelesaian. Pertama, apakah PAS sudah benar-benar memahami bagaimana pendekatan terbaik untuk mencapai kuasa dalam sistem dan amalan politik di Malaysia; kedua, apakah tawaran PAS kepada rakyat Malaysia sebenarnya selari dengan keinginan mereka; ketiga, bagaimana pendekatan politik Islam boleh memuaskan masyarakat majmuk di Malaysia; keempat, apakah formula yang paling ampuh untuk meletakkan PAS sebagai pilihan utama menggantikan BN; kelima, apa seharusnya dilakukan oleh PAS untuk membolehkan ia diterima sebagai wakil dan jurubicara rakyat, bukannya mewakili kepentingan sendiri; dan terakhir yang paling sensitif tetapi penting ialah berupayakah kita meyakinkan rakyat bahawa pemerintahan Islam boleh dilaksanakan di Malaysia. Inilah kemelut yang akan menentukan apakah PAS terus bertahan sebagai pembangkang atau mula berganjak menjadi pilihan untuk mengambil alih pemerintahan negara.

Menjawab beberapa kemelut tersebut, kita mesti berjiwa besar untuk meletakkan PAS dalam arus perdana politik nasional, bukan lagi sebagai gerakan politik yang berasaskan sentimen kenegerian atau perkauman atau mewakili kepentingan agama Islam sahaja. Mesej pengabdian kepada Tuhan, kemanusiaan, keadilan, kesamarataan, kebertanggungjawaban, kecemerlangan dan ketulusan akhlak yang terkandung di dalam syariat Islam mestilah ditaburkan untuk dinikmati dan merahmati setiap lapisan rakyat. Sikap politik dan dakwah eksklusif dengan sentimen yang sempit akan menjerat PAS apabila beraksi di gelanggang politik nasional yang rencam. PAS perlu mengakui bahawa kita masih dilihat oleh rakyat sebagai parti yang berada di pinggir (periphery) realiti politik Malaysia, kerana itu kita mesti bergerak ke tengah, bersikap teguh tetapi anjal, berpendirian tetapi terbuka.

Pada hari ini kita telah mempunyai jaringan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagai tanda bahawa kita sudah bertaraf nasional dari aspek organisasi. Tetapi yang paling kritikal ialah apakah persepsi rakyat telah menanggapi bahawa PAS adalah parti yang mewakili semua kepentingan di negara ini. PAS mestilah dielakkan daripada dilihat mewakili umat Islam, orang Melayu, rakyat Kelantan, golongan tua atau masyarakat bawahan sahaja. Tetapi PAS mesti berada di tengah-tengah masyarakat mewakili kepentingan semua agama, semua bangsa, semua negeri, semua golongan dan setiap lapisan masyarakat. Isu-isu yang melibatkan semua pihak sama ada kepentingan orang bukan Islam, hak orang bukan Melayu, permasalahan remaja, kemaslahatan golongan pekerja, petani, kakitangan awam, ahli perniagaan, profesional, pelajar dan sebagainya, semuanya mesti terangkum dalam agenda gerak kerja PAS. Mendekati masyarakat bukan Islam secara tersusun dan berterusan juga menjadi satu metodologi penting PAS dalam membina citra yang bersifat ke-Malaysiaan.

Hakikat PAS sebagai sebuah parti pembangkang juga tidak seharusnya menyempitkan gerak kerja dan aktiviti PAS dengan kegiatan bersifat bangkangan (oppositional) atau saingan (competitive) semata-mata. Sebaliknya, kita mesti bersedia menawarkan satu pendekatan baru yang bersifat kerjasama (coorperative). Saya mahu Pemuda PAS bersedia dan berani untuk melaksanakan pendekatan constructive engagement dan bukannya mengamalkan political disengagement. Budaya politik tak boleh berkawan dan bekerjasama dengan orang lain perlu dihapuskan daripada perjuangan kita. Let us not fear to engage but let us not engage out of fear. Dalam menangani isu-isu masyarakat seperti rasuah, dadah, masalah remaja, keruntuhan moral dan sebagainya, Dewan Pemuda PAS bersedia untuk bekerjasama masalah dengan kerajaan. Kita mempunyai kepakaran-kepakaran dan juga sumber manusia untuk membantu kerajaan bagi menangani masalah masyarakat. Kita sedar bahawa semua masalah ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata kerana ia adalah beban yang tidak mengenal agama, bangsa dan pemikiran politik. Dewan Pemuda PAS sangat terbuka dalam soal ini dan kita menyatakan kesediaan kita untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang memiliki kesopanan dan kesusilaan.

MENENTUKAN SEMULA MARHALAH PERJUANGAN

Dalam proses jemaah menjadi pemimpin kepada gerakan pembaharuan di Malaysia ke arah sebuah negara Islam yang demokratik dan selamat untuk didiami oleh rakyatnya, PAS perlu memberikan perhatian kepada persoalan pembangunan sumber manusia dalam parti. Oleh itu persoalan tarbiyyah Islamiyyah harakiyyah yang diterapkan dalam parti tidak sekadar menumpukan kepada usaha-usaha membentuk aqidah salimah, ibadah sahihah dan akhlaq karimah di kalangan ahli-ahli jemaah. Tetapi usaha-usaha pembangunan sumber manusia yang lebih menyeluruh bagi mewujudkan ahli-ahli jemaah yang bukan sahaja solih untuk dirinya tetapi berkelayakan dan berkemampuan memimpin gerakan yang memiliki cita-cita yang sama dari kalangan NGO, parti-parti politik lain seterusnya bersiap untuk menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan di bawah BA nanti.

Satu perkara yang sangat penting untuk diperkasakan semula ialah pengemasan marhalah tarbiyah. Pada hari ini kita telahpun menyusun kemas marhalah-marhalah tarbiyah bermula di peringkat cawangan (ansar), kawasan (amilin), negeri (an-nuqaba’) dan pusat (an-nawab). Tetapi yang sering menjadi kekeliruan atau punca kelemahan ialah kegagalan kita membentuk naqib-naqib yang berkesan di semua marhalah. Pengisian program tarbiyah masih berkisar dalam isu-isu aqidah, fiqh dan tasawuf yang tidak realistik. Kebanyakkan naqib gagal membentuk kefahaman ahli-ahli terhadap cabaran-cabaran aqidah masa kini, tidak berupaya menerapkan pendekatan-pendekatan fiqh tempatan yang terkini dan tidak berjaya membina akhlaq ahli-ahli sebagai anggota gerakan haraki. Aktiviti-aktiviti tarbiyah haraki bertukar menjadi ‘kuliah-kuliah agama’ yang tidak merangsang gerak kerja parti. Akhirnya keseluruhan aktiviti tarbiyah haraki tidak lagi menjadi nadi kepada kecemerlangan organisasi, sebaliknya menjadi punca penyeludupan masuk aktiviti-aktiviti yang berbahaya kepada parti.

Sebagai langkah pemulihan, kita mencadangkan agar perkara ini menjadi satu portfolio yang dipimpin oleh seorang daripada Naib Presiden PAS dan institusi sedia ada seperti Institut Latihan dan Perkaderan Dakwah Islamiah (ILHAM) di bawah Lajnah Tarbiyyah dan Kepemimpinan PAS Pusat dan Akademi Kepemimpinan Pemuda (AKP) menjadi sebahagian daripada organisasi tersebut.. Saya menyeru semua pimpinan PAS sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Kawasan dan Cawangan supaya memberikan perhatian kepada pembangunan semula ILHAM termasuk mewajibkan semua pimpinan mengikuti program-program tasawur Islam, visi dan kepemiminan serta pengurusan dan organisasi yang ditawarkan oleh ILHAM. Program-program ILHAM ini hendaklah menjadi induk kepada aktiviti tarbiyah di semua peringkat supaya kita dapat mewujudkan semula kesatuan fikrah dan amal. Kita berharap ILHAM dapat berperanan menjayakan gagasan “Mengiktektualkan Ulama’ dan Mengulama’an Intelektual”, sekali gus meruntuhkan dikotomi ulama’-profesional yang menjadi isu pada hari ini.

MENJANA KEKUATAN JAMAAH

Pendekatan tarbiyah yang lebih kemas kini dan struktural akan menjadi lebih berdaya dengan pengukuhan yang lebih menyeluruh terhadap faktor-faktor lain dalam organisasi parti. Antara perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ialah pengukuhan kepemimpinan, pembangunan sumber manusia, penjanaan logistik dan pemerkasaan unit-unit kerja. Pengukuhan kepemimpinan bukanlah semata-mata memberikan pengertian perlunya perubahan individu pemimpin, tetapi yang lebih penting adalah perubahan yang berlaku terhadap sikap, pemikiran, gerak kerja dan tindak balas politik dalam setiap individu pemimpin.

Perubahan ini tidak akan membawa kepada pengukuhan jika ia bersifat individual, sebaliknya ia mesti menjadi satu gelombang perubahan kolektif yang menyeluruh. Kepemimpinan dalam setiap zaman senantiasa menjadi isu kerana perubahan masa dan persekitaran. Sangat penting bagi kita untuk merancang pembangunan kepemimpinan yang sentiasa terkehadapan dan memiliki persiapan terhadap keperluan masa depan. Bahkan, dalam keadaan tertentu kita harus memikirkan satu pendekatan yang boleh melancarkan proses peralihan kuasa kepemimpinan parti tanpa konflik yang mencemaskan.

Pembangunan serupa ke atas sumber manusia juga mesti dibuat. Kita hendaklah mengembleng proses tarbiyah haraki untuk membina kepakaran ahli-ahli dalam semua aspek, termasuk mengatur dengan lebih tersusun program-program pembangunan manusia sama ada yang bersifat pengukuhan aqidah, pemantapan fikrah, pencernaan akhlak, kebolehan politik, keupayaan kepemimpinan, kemahiran organisasi dan juga kefahaman terhadap sistem pentadbiran kerajaan. Ahli-ahli, khususnya pemimpin akar umbi mesti mempunyai keupayaan mengurus dan mentadbir organisasi, manakala pimpinan di peringkat negeri dan pusat perlu menguasai kemahiran pentadbiran lanjutan, khususnya pentadbiran awam. Kepakaran sedia ada dalam bidang ekonomi, sains, teknologi, komunikasi dan sebagainya akan menjadi sokongan dalam melahirkan murabithun yang berketrampilan. Yang paling penting, setiap ahli, pendukung dan pemimpin parti hendaklah berupaya menguruskan parti dan berkeyakinan untuk mentadbir negara dengan kebolehan yang kita bina. Dewan Pemuda PAS secara khusus telah menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) bagi melancarkan proses pembangunan kepemimpinan dan sumber manusia ini. Kita telah bermula dengan 7 daripada 21 modul yang bersifat generik dengan penyertaan 40 peserta pertama kepimpinan masa depan Dewan Pemuda PAS.

Di samping itu juga, penumpuan untuk mengukuhkan semula sumber-sumber bukan manusia seperti logistik, kewangan, kepejabatan, sistem komunikasi, penerangan dan lain-lain juga perlu dipertingkatkan. Sumber bukan manusia adalah faktor penyokong penting dalam membangunkan parti. Kita sering kali menghadapi kesulitan apabila sumber-sumber ini mengalami kekurangan. Sumber kewangan misalnya, saban hari menjadi kekangan dalam kita melaksana aktiviti dengan berkesan. Saya juga mahu menekankan tentang pemantapan semula unit-unit kerja seperti lajnah-lajnah, jabatan-jabatan dan beberapa unit lain supaya bergerak bukan sahaja memenuhi sasaran untuk laporan muktamar, tetapi melangsaikan objektif yang digariskan dan memberi kesan positif kepada kelompok sasar.

Secara spesifik, saya berhasrat untuk melonjakkan semula Unit Amal sebagai badan beruniform kita supaya lebih ketara jiwa kepemudaannya dan berupaya pula untuk menarik minat golongan remaja untuk bersama-sama. Unit Amal mesti diurus secara profesional, berwawasan dan menjadi saingan kepada pasukan beruniform yang lain. Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas di atas prestasi serta komitmen yang dibuktikan oleh petugas-petugas Unit Amal membantu mangsa tragedi Tsunami dan berjaya mengangkat imej PAS di persada nasional dan internasional.

MEMPERBAHARUI PENDEKATAN DAKWAH

Memahami realiti masyarakat Malaysia hari ini bukan semata-mata aspek politik sahaja, tetapi juga melibatkan persoalan pendekatan fiqh dan dakwah. Kedua-dua aspek ini amat vital untuk menjamin kejayaan menggerakkan dakwah Islam dengan berkesan ke arah pelaksanaan syariah Islam di Malaysia. Kita berpandangan bahawa, kejayaan hanya boleh dilakar apabila kita berjaya menterjemahkan idelisme yang berpunca daripada wahyu Allah yang muqaddas ke dalam realiti masyarakat yang dinamik sifatnya, rencam bangsa, agama, bahasa, pemikiran, pembangunan material, ancaman-cabaran baru dan lain-lain. Apabila idelisme dan realiti dapat dipertemukan, maka di situlah munculnya kejayaan.

Saya tertarik dengan pandangan Dr Burhanuddin al-Helmy yang menganggap bahawa para ulama’ yang membawa masuk Islam ke Nusantara sebagai sangat berhikmah kerana mereka lebih cenderung memahami budaya dan cara hidup setempat di rantau dan membawa masuk Islam mengikut maslahat, urf dan adat orang Melayu ketika itu. Metodologi dakwah yang sangat unik digunakan oleh para ulama’ sehingga Islam berkembang di Nusantara tanpa menumpahkan darah atau mengangkat pedang walaupun ketika itu orang Melayu beragama Hindu dan Buddha .

Oleh itu, bertolak daripada mengambil manfaat daripada kebijaksanaan para ulama’-mubaligh Islam tersebut, kita menyeru para ulama’ dalam PAS untuk melakukan ijtihad-ijtihad dalam bidang-bidang yang masih kelabu (grey area) dengan mementingkan fiqh yang seimbang (tawazun) yang menolak pandangan terlampau ketat (tasyaddud) dan juga terlampau bermudah-mudah (tasahul). Pandangan-pandangan seperti menolak kerjasama dengan bukan Islam, tidak menerima pilihan raya dan demokrasi sebagai pendekatan menegakkan negara Islam, menganggap hiburan, kebudayaan, seni, rekreasi dan sukan adalah haram, mendekati tempat-tempat maksiat untuk tujuan dakwah adalah dilarang dan sebagainya adalah tidak memenuhi kriteria fiqh tawazun ini.

Akhirnya, kita tidak dapat meluaskan sayap dakwah kepada golongan sasar terutamanya yang jauh daripada agama seperti remaja yang sukakan hiburan dan masyarakat bukan Islam. Sepatutnya kita sendiri yang menganjurkan program-program hiburan, kebudayaan dan rekreasi yang menepati syariat dan cita rasa tempatan sebagai alternatif, dan kita perlu berani memasuki sarang-sarang maksiat untuk melihat sendiri masalah mereka, selain daripada menyampaikan gagasan keadilan Islam kepada orang-orang bukan Islam. Pendekatan dakwah yang sebegini akan membuka ruang kepada golongan yang selama ini tersisih untuk memahami Islam.

Pada hakikatnya, sebahagian besar program hiburan itu adalah harus pada asalnya, tetapi menjadi haram kerana unsur-unsur mendatang yang masuk kepadanya. Sehubungan itu, saya mencadangkan bahawa program-program hiburan itu adalah dibolehkan jika mematuhi beberapa ciri seperti aktiviti hiburan itu tidak disertai oleh niat dan tujuan yang buruk, kandungan aktiviti hiburan itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai moral dan pengajaran Islam, aktiviti hiburan itu tidak disertai oleh perkara-perkara yang dilarang oleh Islam, persembahan aktiviti hiburan itu mestilah dalam kepercayaan (confines) Islam dan aktiviti hiburan itu tidak menghasilkan pengabaian kepada tanggungjawab-tanggungjawab agama dan menyimpang daripada prinsip-prinsipnya.

Oleh itu, sebagai pemuda yang berjiwa besar, berasaskan garis panduan ini, kita perlu mengadakan kegiatan-kegiatan hiburan yang sama dalam versi “halal” supaya para remaja mempuyai pilihan untuk berhibur. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Lajnah Penerangan dan Dakwah kerana usaha melalui program Ekspedisi Dakwah yang turun ke pusat-pusat maksiat untuk mengajak muda-mudi kembali kepada agama, serta Lajnah Kebudayaan dan Sukan yang menggagas idea “Hiburan Alternatif” dan menganjurkan program Konsert Hiburan Alternatif; Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang berjaya dalam agenda dakwah kepada bukan Islam serta Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang turut mendekati kelab malam dan konsert hiburan untuk menyampaikan risalah dakwah.

Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Johor yang telah menganjurkan Program Kem Remaja Cemerlang sebagai usaha pro aktif kita untuk membimbing generasi belia ke arah kehidupan berakhlak dan bertanggongjawab. Saya berharap, pemikiran dan kegiatan sebegini akan kita lanjutkan lagi dalam sesi yang akan datang. Kita juga berharap satu kerjasama dengan NGO-NGO akan dibuat untuk tujuan dakwah dan kita akan membentuk sebuah NGO dakwah khusus untuk mendekati golongan muda tanpa mewakili parti politik.

Misi besar Dewan Pemuda PAS pada masa akan datang adalah untuk menjadi “duta penyelamat dan kasih-sayang” dalam masyarakat, dengan sasaran kehadiran kita akan dirasai dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

MEMPERKASA KERAJAAN KELANTAN

Kerajaan Kelantan dalam situasi apa pun merupakan benteng dan cerminan terhadap pentadbiran PAS. Sebarang kelemahan atau kekurangan yang dialami oleh Kerajaan Kelantan, akan dianggap mewakili kelemahan dan kekurangan PAS. Sebaliknya, kejayaan Kerajan Kelantan dalam apa jua bidang akan memberikan kredit kepada PAS. Inilah pentingnya Kelantan dalam memahami realiti politik dan kepemimpinan PAS. Keterbukaan dasar-dasar kerajaan, ketelusan pentadbiran, kemantapan perancangan ekonomi dan pembangunan serta keadilan kepemimpinan yang berlaku di Kelantan akan menggambarkan kepada rakyat tentang kemakmuran model negara berteraskan Islam yang diperjuangkan PAS. Sebagai sayap kanan parti, Dewan Pemuda PAS sentiasa terpanggil untuk memastikan bahawa kerajaan yang ada ini melakukan yang terbaik untuk rakyat dan dapat terus dipertahankan sebagai ‘denak’ ke arah menguasai politik Malaysia.

Namun begitu, dalam banyak keadaan kita menyedari terdapatnya kelemahan-kelemahan sama ada berpunca daripada tekanan pihak luar atau bertolak daripada masalah dalaman sendiri. Kerajaan simple majority yang kita kuasai sekarang berhadapan dengan pelbagai kemungkinan, tetapi kita percaya ia boleh bangkit jika semua pihak bekerja bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam mempertahankan Kelantan. Saya penuh yakin bahawa rakyat Kelantan telah merasai nikmat berada di bawah pemerintah ulama’ yang transparen, amanah, jujur, ikhlas dan terbuka selama 15 tahun. Tetapi kita tentu tertanya-tanya apakah rakyat telah berpuas hati terhadap pembangunan ekonomi dan material sepanjang tempoh tersebut, dan adakah rakyat benar-benar berpuas hati dengan kepemimpinan parti dan kerajaan, khususnya wakil rakyat PAS dalam membawa imej kerajaan Islam kepada mereka.

Banyak pihak mempersoalkan apakah isi (content) sebenar kepada slogan Membangun Bersama Islam yang kita laungkan, seolah-olah mereka melihat keindahan slogan, tetapi kurang pengisiannya. Sebagai satu langkah pemulihan, saya mahu mencadangkan satu pendekatan yang bersifat reinventing (mencipta semula) kerajaan Kelantan yang lebih dinamis. Konsep penciptaan semula ke arah pembentukan budaya kerja keusahawanan dalam kerajaan telah dilaksana oleh kebanyakan kerajaan moden hari ini. Sebagai sebuah parti yang memerintah negeri Kelantan, mengetuai pakatan pembangkang dan memperjuangkan perlaksanan syariat Islam, PAS mesti mengambil langkah berani untuk mencipta semula sebuah kerajaan yang lebih berwibawa, bermatlamat dan mempunyai sasaran kerja, mencegah penyelewengan, pengagihan kuasa yang teratur dan mesra rakyat. Kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat sebagai pelanggan akan membolehkan kita sebagai usahawan mengaut keuntungan besar dalam pasaran politik.

MENGUKUHKAN PAKATAN PEMBANGKANG

Pengukuhan gerak kerja PAS secara berseorangan dalam politik masyarakat majmuk yang begitu kuat sentimen perkauman tidak akan membawa PAS untuk berwajah Malaysia. Sebaliknya pendekatan politik yang bersifat kerjasama dan pakatan terbukti mampu menolak PAS ke hadapan dalam persaingan politik di negara ini. Kita berpengalaman dalam pakatan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 1986, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 dan 1995 serta Barisan Alternatif (BA) pada 1999 dan 2004. Pakatan-pakatan ini telah berjaya meletakkan PAS di persada politik negara dan menyatukan pembangkang untuk menggugat BN sebagai kuasa alternatif. Pada hari ini pun, PAS mesti terus memperkasakan pakatan ini sebagai strategi yang boleh meyakinkan rakyat untuk menyerahkan kuasa pemerintahan kepada BA.

Kita berharap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi faktor untuk menyatukan parti-parti pembangkang dan kuasa rakyat yang lain untuk membentuk sebuah barisan yang lebih utuh bagi berhadapan dengan BN. PAS sendiri mestilah sentiasa mengambil daya usaha untuk mengukuhkan pakatan ini dengan menjadi rakan kongsi yang berwibawa dan boleh diterima oleh semua pihak. Dewan Pemuda PAS juga akan mengorak langkah untuk memperkasakan semula Majlis Pemuda BA sebagai tindakan sokongan. Pemuda BA Insya”Allah akan menganjurkan Konvensyen Pemuda Malaysia bagi menjana kekuatan pemuda menggerakan kekuatan dan kuasa rakyat . Kita menyokong cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menamakan semula BA sebagai Barisan Rakyat jika nama tersebut lebih proaktif untuk menggerakkan usaha kita. Kita berharap beberapa parti pembangkang yang mewakili orang bukan Melayu termasuk DAP dapat bersama dalam Barisan Rakyat kelak dengan meminggirkan sentimen sempit yang memecahkan pembangkang.

MENEROKA KEUNGGULAN

Tradisi keunggulan Islam perlu diteroka semula untuk dikembalikan kepada ummah. Dewan Pemuda PAS sebagai sebuah gerakan pemuda Islam di negara ini meletakkan sasaran untuk mencipta semula keunggulan Islam. Saya telah menggalurkan beberapa rangkaian cabaran dalaman dan luaran yang sedang melingkari kita, dan beberapa langkah pemulihan juga pemerkasaan sebagai persiapan untuk kita memperoleh keunggulan. Allah SWT telah mengingatkan tentang untung rugi nasib kita bergantung sepenuhnya kepada usaha dan kerja buat kita, dengan firman-Nya;

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah Ar-Ra’d: 11)

Perubahan yang mesti ada dalam diri kita bagi melahirkan satu generasi unggul untuk mendaulatkan Islam mestilah meliputi perubahan pemikiran, sikap, nilai dan budaya kerja, untuk berganding dengan ilmu, kebolehan dan kepakaran bagi membentuk satu collective force yang unggul. Desakan perubahan yang sempit, bersentimen dan berniat dua (double meaning), termasuk usaha mengubah individu-individu tertentu tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kita. Saya mahu mulai hari ini, ahli-ahli Dewan Pemuda PAS mula memasang tekad untuk melakukan perubahan ke arah keunggulan. Kita mahu sebelum 50 tahun kedua menjelang, Dewan Pemuda PAS bukan sahaja menjadi sayap kanan kepada parti, tetapi menjadi gerakan pembela yang didukung rakyat. Kita mahu ketika itu Dewan Pemuda PAS menjadi tulang belakang kepada PAS yang sudah berada di tampuk pemerintahan negara.

Dalam mencipta keunggulan ini saya suka mengajak para sahabat sekalian untuk kita mengambil pengajaran daripada beberapa pengalaman perjuangan Islam yang lampau. Kita perlu mengambil pengajaran daripada kekukuhan aqidah Ashabul Kahfi selama lebih 300 tahun berhadapan dengan kezaliman pemerintah, keikhlasan Habil dalam mempersembahkan jihadnya kepada Allah, kesabaran Nabi Nuh as selama 950 di medan dakwah, kesungguhan Nabi Musa as menyeru Firaun kepada Tuhan yang esa, dan ketabahan hati Ashabul Ukhdud ketika dibakar dalam parit api.

Pengalaman-pengalaman ini harus dijadikan asas dalam pengukuhan tapak perjuangan, di samping mengambil pula pengalaman ketersusunan organisasi Nabi Sulaiman as memerintah dunia , disiplin tentera Talut yang membolehkan Nabi Daud as memerintah, sifat-sifat kepemimpinan Zulqarnain yang menguasai buana , kelicikan ‘bacaan politik’ Nabi Syu’aib as, kehebatan hujah-hujah Nabi Ibrahim as dalam menolak pandangan sesat Namrud dan kebijaksanaan Nabi Yusof as mentadbir kerajaan ketika kesempitan. Gabungan dua keupayaan ini boleh dijadikan asas ke arah kecemerlangan PAS pada masa hadapan.

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاَةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ المُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ

“Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(Surah al-Hajj: 41)

AKHIR BICARA

Memasuki 50 tahun kedua bagi PAS begitu mencabar dan memerlukan persiapan menyeluruh meliputi segala aspek luaran dan dalaman parti. Pembaikpulihan terhadap kepemimpinan, jentera-jentera parti, kerajaan dan juga usaha pemerkasaan semula umat Islam menjadi agenda besar untuk dipacu selama setengah abad akan datang. Pengalaman yang sarat dengan pahit manis sepanjang 50 tahun yang lalu mesti dijadikan pengajaran untuk kita membuka langkah besar 50 tahun mendatang. Dewan Pemuda PAS tidak boleh terlalu mendabik dada kerana pencapaian yang lalu, tetapi mestilah sentiasa bersedia untuk menempa kejayaan yang lebih besar dalam erti kata bersedia merempuh cabaran masa depan (confronting the future challenges). Jika kita berjaya mengaturkan pendekatan terbaik berasaskan kemantapan aqidah, saya penuh yakin dengan izin Allah SWT, tiada kuasa di atas muka bumi yang boleh menghalang kita mencipta keunggulan.

Sekali lagi saya mempertegaskan bahawa misi besar Pemuda PAS untuk menjadi “duta penyelamat dan kasih sayang” akan dapat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh kepimpinan Dewan Pemuda PAS di setiap peringkat. Marilah kita merapatkan diri kita dengan perjuangan rakyat, nasib rakyat dan denyutan nadi rakyat dengan jiwa besar dan keihklasan budi kita. Firman Allah Taala:

لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُلْ حَسْبِيَ اللّهُ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah: Cukuplah bagiku Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.”
(Surah al-Taubah: 128-129)

Sebagai akhir bicara, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangan Dewan Pemuda PAS dari kalangan pimpinan parti, ahli-ahli, rakan-rakan BA dan NGO, media massa, diplomat asing, gerakan Islam antarabangsa, rakyat dan para pengundi. Secara khusus, saya sangat berterima kasih kepada Timbalan Presiden PAS, YB Senator Ustaz Haji Hassan Shukri yang begitu gigih memberikan sokongan, pandangan dan kritikan membina untuk memperkasakan Dewan Pemuda PAS. Kita sangat menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada Dewan Pemuda PAS selama lebih 50 tahun, termasuk mengasaskan penubuhan Dewan Pemuda PAS pada 1953 dan merasmikan muktamar kita pada malam ini. Kepada ahli-ahli Dewan Pemuda PAS, saya sangat terharu di atas sokongan padu kepada kepemimpinan saya dan saf kepemimpinan yang lain selama dua tahun, dan saya berharap ia akan menyemarakkan lagi kebangkitan kita untuk masa hadapan, khasnya dalam melipatgandakan usaha untuk menuju cita-cita menegakkan negara Islam.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-46
Dewan Bunga Tanjung, Hotel Perdana, Kota Bharu
23 Rabi‘ul Akhir 1426 / 1 Jun 2005

About these ads

One thought on “MENDEPANI CABARAN

  1. Julianne berkata:

    If some one wants to be updated with newest
    technologies then he must be pay a visit this web page and be up to date every day.

    Julianne

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 96 other followers

Jun 2005
I S R K J S A
« Mei   Jul »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Arkib

Categories

Media AlTernatiF

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 96 other followers

%d bloggers like this: