Oleh Intan Abdullah
KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) – Sebuah Kompleks Pendidikan Titiwangsa akan dibina di atas sekeping tanah bernilai RM 1.2 juta berhadapan dengan bangunan KLCC yang terletak di Jalan Gurney.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali berkata ia bakal menjadi sebuah pusat latihan pendidikan bagi melahirkan generasi kamil.
“Lokasi kompleks ini adalah sangat strategik di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur yang kini berhadapan dengan pelbagai masalah sosial,” ujarnya ketika ditemui di Karnival Keluarga Kampung Baru dekat sini.
Menurutnya, tanah tersebut adalah hasil sumbangan seorang dermawan yang ikhlas menginfaqkannya bagi tujuan membantu usaha membangunkan masyarakat seiring dengan kepesatan kemajuan negara.
Beliau juga mengalu-alukan penduduk di sekitar Titiwangsa agar mengunjungi pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Titiwangsa yang baru dibuka untuk mengemukakan sebarang aduan dan masalah seterusnya menemui beliau di sana.
“Saya menjemput penduduk Titiwangsa ke pejabat wakil rakyat di No. 10, Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru untuk bertemu saya,” katanya.
Pada program karnival keluarga anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa itu juga, beliau turut melancarkan Dana Pendidikan Titiwangsa.
Pelbagai program dijalankan di padang Kampung Pindah, Kampung Baru termasuk pertandingan mewarna, sukaneka, memasak dan gubahan untuk semua golongan iaitu kanak-kanak, remaja dan ibu bapa.
Para pengunjung juga dimeriahkan dengan persembahan silat Jundullah oleh pelajar Maahad Tahfiz dan Sains Tauhidi Gombak.
Selain itu, terdapat juga pemeriksaan kesihatan dan pameran Kompleks Pendidikan Titiwangsa disediakan untuk orang ramai yang hadir dan diakhiri jamuan makan rakyat. – mns
Difailkan dalam: Artikel, Isu Politik, Keluarga&Masyarakat, Kuala Lumpur



















