Sikap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam menangani isu kebanjiran pengawal keselamatan asing khususnya dari Nepal begitu mengecewakan rakyat. Semalam beliau telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) ke-20 di ibu negara.
Dalam ucapannya, beliau menyeru syarikat firma kawalan keselamatan tempatan agar bersikap rasional dengan lebih mengutamakan orang tempatan berbanding tenaga kerja pengawal dari Nepal yang boleh memberikan ancaman pada keselamatan negara.
Memetik laporan Utusan Malaysia, kerajaan menganggarkan kira-kira 300,000 rakyat Nepal berada di Malaysia dengan majoritinya bekerja sebagai pengawal keselamatan di 240 buah firma kawalan keselamatan di negara ini.
Mereka ini mempunyai pengalaman dalam bidang ketenteraan kerana di negara asal, mereka diwajibkan menjalani kursus ketenteraan semasa usia masih belasan tahun lagi. Ini sekaligus memungkinkan isu-isu yang boleh mengancam keselamatan negara berlaku kerana bila berkerja sebagai keselamatan mereka mempunyai akses yang mudah bagi memasuki premis-premis perniagaan penting seperti Bank, Hospital dan sebagainya.
Malangnya apa yang dikatakan oleh Menteri umpama meludah ke langit jatuh ke muka sendiri.
Dasar pengambilan pekerja asing adalah diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri yang berada dibawah kawalan beliau. kementerian itulah yang menentukan siapa yang layak untuk bekerja dinegara ini dan mereka jugalah yang menetap kuota kelulusannya.
Maka menyedari masalah ini sewajarnya Menteri berkenaan mengambil langkah serius untuk mengubah dasar pengambilan pekerja asing dan mengurangkan kuota kelulusan.
Selagi kaunter pengambilan pekerja asing di buka di Kementerian Dalam Negeri, selagi itulah Firma-firma keselamatan dan agensi pekerja asing akan datang meminta. Mereka akan menggunakan pelbagai alasan termasuknya kononnya tiada orang tempatan yang mahu melakukan kerja yang ditawarkan.
Kebanyakkan mereka ini sanggup berbohong padahal mereka sebenarnya lebih senang mengajikan pekerja asing kerana mereka hanya perlu dibayar gaji yang rendah dan tiada masalah jika dipaksa bekerja dimusim perayaan atau cuti umum.
Selain itu, Kementerian juga perlulah mengambil serius tentang pengambilan pekerja asing di sektor perkhidmatan pembantu rumah dimana kelompok ini juga mempunyai akses yang lebih tinggi terhadap setiap isi rumah dinegara ini.
Masalah juga sering timbul bila agensi yang menawarkan pembantu rumah ini menipu dan menghantar pembantu rumah yang tidak tahu berkeja atau mempunyai masalah disiplin, mental dan liar.
Ada juga kes yang melibatkan skandal pecah rumah, pembunuhan dan penderaan anak-anak tuan rumah yang dilakukan oleh pembantu rumah.
Oleh itu, pihak Kementerian perlulah berhati-hati dalam mengeluarkan permit. Dan paling penting, pemantauan perlu dibuat kerana industri pengambilan pekerja asing ini sudah sampai ke tahap yang kritikal, malah ianya sudah mula dijadikan ruang untuk memperdagangkan manusia samalah seperti zaman perhambaan dahulu.