Malaysiakini : Dua pelajar yang diserang wabak influenza A (H1N1) sejak minggu lalu kini dalam keadaan baik, termasuk ahli keluarga mereka di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuarantin.
“Kes pertama yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh berada dalam keadaan stabil, tidak ada batuk, sakit tekak dan hanya mengalami demam sedikit.
“Ujian sinar-x di dada menunjukkan keputusan normal. Keluarga beliau di rumah adalah berada dalam keadaan sihat,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan.
“Kes kedua yang menggunakan pesawat AK5358 dan dimasukkan di Hospital Pulau Pinang tidak lagi demam dan sedang meneruskan rawatan. Ahli keluarga beliau adalah sihat.”
Sementara Bernama pula melaporkan, Malaysia boleh diisytihar bebas daripada penularan virus selesema A (H1N1) dalam tempoh dua hari lagi jika tiada kes baru dilaporkan sehingga Rabu ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Ramlee Rahmat berkata jangkaan ini berdasarkan tempoh penularan virus itu, iaitu tujuh hari selepas kes pertama dikesan pada 13 Mei lalu.
“Setakat ini belum ada penularan virus itu di Malaysia. Dua kes yang dikesan datang dari negara yang sama, jadi mereka mungkin dijangkiti virus itu di sana.
“Selepas 20 Mei, mungkin kita boleh kata tiada penularan virus itu di negara ini, tetapi kita tidak boleh katakan negara bebas dari virus itu kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” Dr Ramlee dipetik berkata di Putrajaya hari ini.
Sehingga pagi ini, sebanyak 111 kes diasingkan bagi tujuan pemeriksaan di seluruh negara. Selain dari dua kes yang disahkan sebelum ini, kes lain didapati negatif.
Diminta mengulas status kesihatan terkini dua pesakit tersebut, Dr Ramlee berkata mereka akan dibenarkan keluar dalam tempoh seminggu lagi jika disahkan benar-benar bebas H1N1.
“Selepas doktor membuat rawatan dan pengesahan bahawa dia betul-betul bebas daripada virus itu, dia akan dibenar pulang.
“Biasanya lima enam hari daripada hari beliau mendapatkan rawatan,” katanya.