KENYATAAN MEDIA : KERAJAAN PERLU PERMUDAH RAKYAT MEMILIKI RUMAH PPR

KENYATAAN MEDIA DPPWP
30HB OKTOBER 2009 / JUMAAT

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyokong saranan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr. Lo’ Lo’ Hj. Mohamad Ghazali bersama beberapa wakil rakyat Pakatan lain yang meminta kerajaan bersikap prihatin terhadap nasib penduduk pangsapuri kos rendah (PPR) di sekitar Kuala Lumpur dan memberikan mereka tempoh masa yang lebih untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membayar wang pendahuluan atau deposit sebanyak RM 6,000 untuk memiliki lot pangsapuri yang didiami.

Ini kerana tempoh seminggu yang diberikan kerajaan kepada penduduk untuk membayar wang deposit itu adalah tidak munasabah kepada penghuni PPR yang kebanyakannya mereka adalah kalangan yang berpendapatan rendah, warga tua, ibu tunggal serta OKU yang langsung tidak mempunyai sumber pendapatan tetap melainkan wang sumbangan bulanan dari Jabatan Kebajikan.

Sudah tentu golongan ini wajar diberikan peluang dan keutamaan untuk memiliki asset kediaman di PPR tetapi mereka memerlukan masa bagi mendapatkan wang deposit tersebut. Malah DPPWP melihat bahawa golongan yang langsung tidak berkemampuan seperti ini wajar diberikan kediaman secara percuma oleh pihak Kerajaan.

Bagi penduduk PPR khususnya yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil-kecilan, pemandu teksi, dan lain-lain, mereka kebanyakannya tidak memiliki KWSP atau slip gaji sendiri untuk melayakkan mereka mendapatkan pinjaman bank. Kerajaan seharusnya peka dengan masalah ini dan membuat saluran alternatif kepada mereka bagi membuat pinjaman termasuklah melalui agensi Kerajaan dan juga Bank milik Kerajaan seperti Bank Simpanan Nasional.

DPPWP khuatir akan nasib mereka yang tidak mampu dan tidak mendapat pinjaman bank bagi membeli rumah PPR ini dimasa hadapan. Apakah mereka akan dihalau keluar sepertimana yang terjadi kepada penghuni setinggan di Kuala Lumpur ini bagi memberikan laluan untuk golongan yang lebih berkemampuan memiliki rumah itu.

Apa yang pasti jika ruang itu dibuka maka ramailah peniaga-peniaga rumah sewa akan membeli rumah itu yang kemudiannya terpaksa disewa lagi oleh golongan yang tidak berkemampuan ini. Itu pun jika mereka mampu untuk menyewanya kerana kadar sewaan yang diswastakan pada ini bagi kediaman jenis PPR adalah sekitar RM500 ke atas di Kuala Lumpur berbanding harga semasa yang dibayar kepada DBKL yang kurang dari RM 200. Maka, jika tidak mampu mereka akan terus dihalau pula.

DPPWP meminta kerajaan bersikap lebih prihatin dengan mengadakan dialog, taklimat serta perbincangan dengan penduduk serta Ahli Parlimen kawasan mereka bagi merundingkan perkara ini. Perkara ini sangat besar ertinya bagi golongan yang tidak berkemampuan.

Maka, wajarlah kerajaan memberikan masa dan bantuan yang sepatutnya kepada mereka. Permudahkan urusan pemilikan rumah PPR ini kepada golongan berpendapatan rendah kerana mereka juga adalah warga Malaysia yang mempunyai hak ke atas setiap inci hartanah yang didirikan dalam Negara kelahiran mereka. Kerajaan perlu membuktikan slogan mereka iaitu “Pencapaian diutamakan, Rakyat didahulukan” dalam menyelesaikan kemelut warga PPR ini.

MOHAMAD SUHAIMI ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tinggalkan jawapan