Terengganu Juara Piala FA 2011

 

Tahniah kepada pasukan Terengganu yang telah menjadi Juara Piala FA bagi tahun 2011. Kebuntuan setelah terikat 1-1 selepas 90 mint perlawanan akhirnya terurai apabila jaringan gol daripada Nordin Alias pada masa tambahan yang akhirnya memberikan kemenangan kepada pasukan Terengganu. Pasukan Kelantan memperoleh gol pertama apabila jaringan cantik oleh Nurul Azwan Roya berjaya memperdayakan penjaga gol Terengganu. Namun kesilapan pertahanan Kelantan, Dausu Jamaluddin yang telah menanduk gol sendiri pada saat-saat akhir telah memberikan talian hayat kepada Terengganu sekaligus semangat untuk berjuang pada masa tambahan. Gol Nordin Alias pada masa tambahan telah menambahkan derita buat pasukan Kelantan sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil.

Pemain terbaik perlawanan: Marzuki Yusof (kapten Terengganu)
Juara: Terengganu
Naib Juara: Kelantan

Tahniah Pasukan Terengganu

Tuan Guru Nik Aziz Pesan Jaga Tingkah Laku

“Saya minta seluruh rakyat Kelantan dan juga pemain menjaga tingkah laku mereka. Tidak perlu bersorak-sorak (melampaui batasan) dan bermain mercun. Jagalah imej Kelantan sebagai Serambi Mekah,”

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, meminta penyokong pasukan The Red Warriors menjaga tingkah laku bagi memelihara nama baik negeri itu dalam keghairahan mereka menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS turut berdoa Kelantan akan mencapai kemenangan dalam perlawanan itu dan menaikkan imej negeri itu sebagai gergasi bola sepak di negara ini.

“Saya minta seluruh rakyat Kelantan dan juga pemain menjaga tingkah laku mereka. Tidak perlu bersorak-sorak (melampaui batasan) dan bermain mercun. Jagalah imej Kelantan sebagai Serambi Mekah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Ketika ditanya sama ada pemain Kelantan akan mendapat imbuhan daripada kerajaan negeri, jika memenangi Piala FA itu, Nik Aziz berkata, tiada sebarang ganjaran disediakan.

“Kita jangan terlalu manjakan pemain (dengan imbuhan),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood, berkata kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk mengisytiharkan cuti sekiranya Kelantan memenangi Piala FA, Sabtu ini.

Red Warriors Tidak Akan Gadai Maruah

Khabar angin bertiup kencang Red Warriors akan serah mahkota Piala FA kepada Terengganu

“KAMI tidak akan menggadaikan maruah.” Itulah tekad dilaungkan skuad Kelantan ketika ada khabar angin bertiup kencang menyebut skuad Red Warriors itu akan menyerahkan mahkota kejuaraan Piala FA kepada pasukan tetangga, Terengganu dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Menjelang bahang saingan membabitkan dua finalis dari pantai Timur buat julung kali ada ura-ura bahawa anak didik DatukM Karathu mahu memberi trofi berkenaan kepada lawan dengan sifat yakin gelaran Liga Super akan menjadi milik mereka, musim ini.

Tambah menarik ‘seperti ada komplot’ untuk berkongsi gelaran secara seimbang bagi mengekalkan kuasa bola sepak di sebelah timur semenanjung.

Apa pun, pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata mereka tidak akan mensia-siakan perjuangan selama ini untuk mara ke final sebaliknya mendakwa khabar angin itu dicipta bagi melemahkan semangat Red Warriors merangkul Piala FA buat julung kali.

“Kami tidak akan menggadaikan maruah pasukan. Ini sudah pasti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, malam semalam.

Continue reading

Negara Berkebajikan Selari Dengan Islam – Nik Aziz

KOTA BARU: Konsep negara berkebajikan dibawa pakatan pembangkang adalah selari dengan kehendak Islam, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Menurutnya kedua-dua perkara itu membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.

Berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat, katanya.

Continue reading

Sukma: Wilayah Persekutuan Pertahan Emas Bola Jaring

Tahniah kepada pasukan Bola Jaring Wilayah Persekutuan diatas kejayaan mempertahankan kejuaraan.

KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan meneruskan dominasi dalam acara bola jaring apabila meraih emas Sukan Malaysia ke-14 di Stadium Juara di sini, Khamis.

Turun sebagai juara bertahan, Wilayah Persekutuan nyata mempunyai kelebihandengan kehadiran pemain-pemain kebangsaan seperti Nur Syafazliyana Mohd Ali (GK), Nurul Shaffa Mustafa (GA), Nurul Adha Abu Bakar (WD) dan Noramirah Dayana Noor Azhar (GD).

Pasukan itu, yang telah jauh meninggalkan Terengganu 21-11 selepas dua suku perlawanan, mempamerkan aksi tangkas untuk memenangi perlawanan dengan pungutanmata 49-21.

Jurulatih Norizan Rajab berkata strategi membuat rombakan pemain selepas suku kedua perlawanan telah membantu menjarakkan lagi mata kemenangan.

Continue reading

Menjelang Piala FA Malaysia 2011- 11 Jun 2011

TIKET MULA DIJUAL PADA 6 JUN 2011

Tiket berharga RM30, RM50 dan RM5 untuk kanak-kanak akan mula dijual pada Isnin, 6hb Jun 2011 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu dan juga di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.

Tiket yang dicetak sebanyak 85 ribu keping itu akan diperuntukkan sejumlah 30 ribu tiket untuk setiap pasukan dan selebihnya akan dijual di Stadium Bukit Jalil mulai Jumaat, 10hb Jun 2011. Sekiranya tiket masih ada, ia akan dijual pada hari Sabtu, 11 Jun 2011.
Para peminat boleh memasuki perkarangan Stadium seawal jam 4 petang.

PAS intai peluang tandingi kawasan bukan Melayu

Oleh Salhan K Ahmad

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, parti itu akan lebih berpengaruh dalam Pakatan Rakyat sekiranya ia bertanding di lebih banyak kerusi bukan Melayu dalam pilihan raya umum akan datang.

Mohamad berkata, formula berkenaan boleh digunakan bagi memastikan PAS menjadi teraju utama dalam Paktan memandangkan parti kini semakin diterima di kawasan bukan majoriti Melayu, katanya.

“Itu bergantung kepada kerusi yang (PAS) menang. Dulu kawasan majoriti bukan Melayu – DAP, majoriti Melayu – PAS, campuran – PKR.

“Saya tak tahulah formula itu boleh guna atau tidak perlu diguna sebab sekarang di kawasan campuran pun PAS boleh menang,” katanya ketika ditanya dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini hari ini.

Beliau yang turut popular dengan nama jolokan Mat Sabu itu juga yakin akan menang di kawasan parlimen Bukit Bintang jika diberi peluang untuk bertanding di kawasan yang sering ditandingi DAP dan MCA itu.

“Soal pengagihan kerusi, jawatankuasa (Pakatan) akan bincang – tidak lagi berdasarkan majoriti Melayu ini PAS kena bertanding, majoriti bukan Melayu – DAP.

“Sekarang (kemenangan) mana-mana (calon adalah) ikut ketokohan. Saya sendiri berani bertanding di Bukit Bintang, asalkan simbol PAS, DAP tak bertanding, dan lawan MCA. Boleh menang,” katanya sambil ketawa kecil.

Continue reading

Himpunan Bersih : Pemuda Umno Umno Takut Kebangkitan Rakyat

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyelar tindakan Pergerakan Pemuda Umno yang membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan awal terhadap Himpunan BERSIH. Jelas tindakan mereka ini didorong atas ketakutan mereka dalam menghadapi gelombang kebangkitan rakyat pada 9 Julai ini.

DPPWP menganggap dakwaan Exco hal ehwal bandar pergerakan itu Tengku Azman Tengku Zainol Abidin yang mengatakan bahawa himpunan aman ini akan mendatangkan kerugian sebanyak RM 10 juta kepada para peniaga di Kuala Lumpur sebagai satu dakwaan yang tidak berasas.

Ketika Himpunan Bersih 2007, mereka juga membuat dakwaan yang serupa. Namun sehingga ke hari ini dakwaan itu gagal dibuktikan. Para peniaga sekitar Kuala Lumpur khususnya di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abd Rahman masih dapat meneruskan perniagaan.Tidak ada yang diistihar bankrap kerana Himpunan Bersih. Tiada kedai-kedai yang dipecah masuk, tiada peniaga yang cedera, tiada harta awam yang rosak. Malah sebelum dan selepas himpunan itu, para peniaga menerima kunjungan pelanggan yang begitu ramai.

Pemuda Umno sebenarnya takut pada gelombang besar yang bakal wujud selepas kejayaan Himpunan Bersih 2007. Jika Himpunan Bersih 2011 berjaya, maka sekali lagi rakyat akan membuka mata dan tampil membuat perubahan yang lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Continue reading

Kelantan haram judi, riba untuk kebajikan manusia

Oleh M Faqih

KOTA BHARU, 9 Jun: Dasar perjuangan PAS tidak pernah berubah sejak dahulu sehingga sekarang, biar pun diuar-uarkan pendekatan baru iaitu Membangun Negara Berkebajikan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, Kelantan sebenarnya sudah lama melaksana konsep baru itu apabila mengharamkan segala bentuk maksiat sejak 1990.

“Kelantan haramkan judi, riba semata-mata bagi mendatangkan kebajikan kepada manusia. Mereka yang berjudi hanya menunggu nasib akhirnya berlaku kemusnahan dalam rumahtangga.

”Boleh dikatakan Kelantan satu-satunya negeri di rantau ini yang mengharamkan kegiatan judi. Islam larang aktiviti itu bagi mendatangkan kebajikan kepada manusia,” katanya di sini, semalam.

Pemimpin Umno kini bertali arus mengkritik hebat konsep baru diperkenalkan PAS pada muktamar baru-baru ini iaitu Membangun Negara Berkebajikan.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap DAP mendapat keuntungan apabila PAS dikatakan menggugur hasrat menubuh negara Islam.

Continue reading

Pindaan RUU PPKB bersifat kosmetik

Oleh Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali

Merujuk kepada pindaan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) yang dicadangkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, saya sukacita ingin memaklumkan bahawa sebahagian tuntutan pemilik tanah Kampung Baru sebelum ini yang saya suarakan selaku Wakil Rakyat Titiwangsa telah diambilkira oleh pihak Kementerian.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu juga dipinda dan dijelaskan kepada para penduduk sebelum dibentangkan di Parlimen.

Kedudukan Lembaga MAS

Fasal 57 RUU PPKB 2010 yang asal memperuntukkan pembubaran Enakmen MAS & Lembaga MAS telah dipotong. Ini sesuatu yang baik tetapi dengan pindaan ini apakah status Lembaga MAS di dalam PPKB?

Lembaga MAS masih wujud dan dalam masa yang sama PPKB juga bertindak sebagai pentadbir Kampung Baru. Kenapa perlu ada dua (2) badan yang mengurustadbir Kampung Baru?

Oleh yang demikian, saya mencadangkan Kementerian memperkasakan kedudukan Lembaga MAS ini dengan terus menyerap Lembaga MAS sebagai Penasihat PPKB di bawah Fasal 19 RUU PPKB 2010.

Continue reading

Penduduk Kampung Baru perlu pertimbang sebelum terima PPKB

Suara Keadilan, KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Baru perlu memikirkan secara serius sebelum bersetuju dengan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman.

Beliau yang juga salah seorang pewaris tanah berkata, draf cadangan rang undang-undang berkenaan menyatakan Menteri berkuasa penuh melantik Pengerusi PPKB yang bakal ditubuhkan tanpa perbincangan dengan pemilik dan waris tanah Kampung Baru.

“Jika draf ini diluluskan, pemilik dan pewaris tanah langsung tiada hak untuk menyuarakan pendapat mereka tentang siapa yang seharusnya mengepalai PPKB kerana kuasa perlantikan di tangan Menteri,”

“Terpulanglah kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru untuk membuat keputusan kerana impaknya di masa hadapan akan ditanggung oleh mereka sendiri,” kata Syed Badli Shah dalam satu kenyataannya hari ini.

Syed Badli Shah turut mempertikai tindakan meminggirkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali dari menghadiri program ‘ Majlis Penerangan Pembangunan Tanah Kampung Baru’ yang diadakan di Dewan Sekolah Agama, Jalan Raja Muda Musa, 5 Jun lalu.

Bahkan dirinya sendiri cuba diusir dari perbincangan apabila membangkitkan persoalan berhubung pindaan draf perlembagaan tersebut.

Continue reading

Petronas untung RM97.8b, jangan lupa royalti Kelantan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap Kerajaan Persekutuan tidak melupakan hak Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menerima royalti ekoran keuntungan besar yang diperolehi.

Sehubungan itu, ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang berjaya melonjakkan hasil pendapatan syarikat itu sebanyak 14.4 peratus iaitu kenaikan dari RM210.8 bilion tahun sebelumnya kepada RM241.2 bilion bagi tahun lepas yang berakhir 31 Mac baru-baru ini.

Petronas berjaya mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM97.8 bilion dan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM63.01 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 38.5 peratus berbanding RM45.49 bilion yang diraih pada tahun 2009.

“DPPP yakin, hasil ini diperolehi dengan kerja kuat dan keberanian pengurusan Petronas meneroka sumber-sumber baru didalam dan luar negara di samping pengurusannya yang lebih efisien berbanding GLC kerajaan lainnya yang kebanyakkannya gagal memberikan pulangan kepada negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Continue reading

Pemuda selesai lantik AJK, majoriti profesional

Oleh Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, Harakahdaily, 7 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memenuhkan exconya dengan melantik ramai golongan profesional dalam kabinet yang dibentuknya.

Dewan itu melantik 20 ahli jawatankuasa (AJK) barunya sebagai tambahan kepada anggota yang telah dipilih di dalam Muktamar ke-52 dewan itu di Shah Alam baru-baru ini.

Majoriti yang dilantik untuk bersama kabinet baru itu adalah dari kalangan profesional dalam bidang masing-masing.

Mereka termasuklah dua orang bekas calon timbalan ketua yang tewas, Suhaizan Kaiat dan Firdaus Jaafar dan bekas calon Naib Ketua, Nasir Zakaria.

Ketiga-tiga mereka dilantik sebagai exco dewan itu.

Continue reading

GABUNGAN MANTAP KEPIMPINAN PAS TARIK ORANG MUDA

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengalu-alukan kepimpinan PAS yang baru dipilih dalam Muktamar PAS ke-57 baru-baru ini. Para perwakilan telah membuat pilihan yang bijak dengan memilih gandingan mantap antara golongan professional dan para ulama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti. Jelas sekali, barisan kepimpinan dari pelbagai latar belakang ini sangat menarik dan menunjukkan kepelbagaian kualiti pemimpin yang ada di dalam PAS. Pemilihan pemimpin-pemimpin utama yang menjadi suara rakyat selama ini seperti dalam isu-isu hak asasi manusia,rasuah, kenaikan harga barang, saman ekor, royalti minyak dan pelagai isu lain yang mendasari kehidupan rakyat seharian, dilihat mampu melonjakkan PAS sebagai parti politik dominan yang mantap dan bersedia untuk menggantikan UMNO dalam PRU-13 nanti.

Barisan kepimpinan ini juga mampu menarik sokongan lebih ramai anak muda yang ketika ini mengisi lebih 40% penduduk negara. Sudah tentu golongan muda yang bersih jiwanya dan bencikan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan ekonomi negara yang dilakukan oleh UMNO, menyambut baik kualiti kepimpinan yang ada pada barisan kepimpinan baru ini. Kehebatan peribadi mereka juga mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk mengambil bahagian dan bersuara tentang isu-isu negara.

Continue reading

Rupanya Umno Yang Takut Dasar Negara Islam Bukan DAP

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan terima kasih kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang akhirnya mengakui bahawa Umnolah yang begitu takut dengan Dasar Negara Islam yang dibawa PAS. Selama ini merekalah yang menuduh DAP begitu takut akan dasar itu.

Namun kenyataan Nazri yang mengatakan “Kita lebih bimbang PAS akan berikan saingan lebih hebat jika mereka masih mempertahankan (dasar) negara Islam kerana wujud elemen dalam kaum Melayu yang berpandangan apa yang diperjuangkan PAS itu betul” sudah cukup menceritakan hakikat sebenar. Memang benar apa yang PAS perjuangan sekarang ini adalh betul, selaras dengan sunnah Rasulullah saw. Beranikah Umno mengatakan PAS ini sesat? Hanya orang yang takutkan Islam sahaja yang layak dipanggil sesat.

Continue reading

Pemuda Wilayah Mengalu-alukan Hata Wahari Sertai PAS

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) amat mengalu-alukan jika mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Mohd Hata Wahari mahu menyertai PAS. Parti Islam inilah medium terbaik buat beliau untuk meneruskan perjuangan bagi mengangkat suara-suara wartawan yang tertindas dan juga mengembalikan hak kebebasan akhbar dinegara ini.

Berjuang bersama PAS sebagai satu pasukan adalah lebih baik dari terus bersendirian dan DPPWP bersedia membantu beliau jika beliau benar-benar berminat menyertai PAS. DPPWP juga bersedia menemui beliau pada bila-bila masa untuk berdiskusi mengenai hal ini.

Continue reading

Bubar Kementerian Jika Menteri Tenaga Tidak Ada Kuasa Kawal IPP

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan Kerajaan BN membubarkan sahaja Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air jika benar dakwaan Menterinya, Datuk Peter Chin bahawa Kementerian itu tidak ada kuasa bagi mendesak Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) didedahkan kepada umum.

Kerajaan BN memimpin IPP atau IPP memimpin Kerajaan BN sekarang ini? Bila rakyat mahu tahu pasal kontrak perjanjian, Menteri kata tiada kuasa. Tapi bila mahu umum kenaikan tarif elektrik, Menteri ada kuasa. Rakyat kini melihat pemimpin yang ada sebagai boneka kepada IPP dan bukannya berkhidmat untuk rakyat lagi. Slogan Kerajaan sekarang patut ditukar kepada “IPP didahulukan, Kroni diutamakan”.

Dasar ‘Fuel Cost Pass Through’ (FCPT) yang dicipta oleh Kerajaan BN pula adalah tindakan culas yang jelas mahu membebankan rakyat kerana kos gas asli yang akan dinaikan daripada RM3 setiap mmBtu bagi setiap 6 bulan melalui arahan kepada Petronas bakal menyebabkan kenaikan tarif elektrik berganda dimasa depan. Dan segala kos bahan api itu akan dibayar sendiri oleh rakyat bila mana Kerajaan BN kini nekad membuat pemansuhan subsidi kepada perkhidmatan tenaga elektrik dan gas.

Continue reading

Video: Pemuda PAS-Umno sepakat tolak fitnah

Pemuda PAS dan Umno serta ahli agama hari ini menegaskan menolak budaya fitnah, termasuk dalam isu video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berkongsi pentas dalam forum antifitnah di Shah Alam hari ini, mereka mengulangi desakan supaya pihak yang menayangkan video tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin (kiri) yang juga ahli parlimen Rembau berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan mengaibkan mana-mana ahli politik.

“Saya rasa kita setuju tidak mahu aibkan mana-mana orang. Itu penting dalam mana-mana politik, khususnya dalam negara Islam. Kita perlu ada peradaban,” katanya.

Forum berjudul “Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman” anjuran akhbar Sinar Harian itu dihadiri kira-kira 500 orang.

Mengulas perkara yang sama, Nasrudin mengulangi pendirian PAS bahawa berdasarkan peraturan Islam pihak yang menuduh sesorang itu berzina mestilah mengemukakan empat orang saksi.

“Mengikut kaedah Islam, salah membebaskan orang yang silap lebih baik daripada menjatuhkan hukuman orang yang tidak bersalah… Hikmahnya, kerana untuk memelihara maruah orang,” katanya.

Continue reading