Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menutup mulut dari memberi komen terhadap mana-mana parti politik termasuk pembangkang jika ia mahu dilihat sebagai independen dan tidak berat sebelah.
Kenyataan terbaru Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang berkata komponen Pakatan Rakyat sudah mula risau dengan kebangkitan Barisan Nasional (BN) yang memperlihatkan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu menunjukkan bahawa beliau berpihak kepada Barisan Nasional.
DPPWP mempersoalkan, sejak bila Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dilantik sebagai jurucakap BN? Atau mungkin beliau tidak tahu etika serta profesionalisme beliau selaku Timbalan Pengerusi SPR. Sepatutnya sebagai seorang yang profesional, beliau tidak boleh memberi apa-apa komen yang menjurus kepada sikap prejudis atau berpihak kepada mana-mana belah pihak. Bahkan, sebagai pemimpin sebuah badan yang menguruskan Pilihanraya di Malaysia, Wan Ahmad Wan Omar perlu mengelakkan diri dari memberi komen terhadap mana-mana parti politik. SPR perlu bebas dan dilihat bebas dari kongkongan mana-mana parti politik.
Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah risau terhadap pencapaian dalam pilihanraya terutama dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang terakhir. PR menerima keputusan rakyat jika itu kehendak mereka. Apa yang DPPWP kesalkan adalah sikap tidak profesional SPR dalam mengendalikan urusan pilihanraya selama ini. Dalam keadaan BN bebas menggunakan seluruh media, memperkudakan agensi kerajaan, serta melakukan rasuah pilihanraya secara terang-terangan, apakah peranan SPR tatkala itu? Mengapa SPR diam seribu bahasa ketika segala penyelewengan ini dilakukan di depan mata?
DPPWP menegaskan sekiranya benar Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar mahu menjadi pembela BN, beliau sepatutnya meletak jawatan dan bertanding di atas tiket Barisan Nasional. Bertandinglah cara ‘anak jantan’ seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, dan jangan hanya berselindung disebalik SPR. SPR perlu dijaga oleh pemimpin yang berintegriti dan menjaga etika serta profesionalisme mereka, bukan mereka yang berkepentingan politik!
Disediakan oleh;
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan