BUKIT KATIL, 27 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS Pusat akan membongkar kecelaruan SPR khususnya berkaitan daftar pemilih secara besar-besaran dalam masa dua minggu ini.
“Mesyuarat khas PAS Pusat yang berlangsung semalam memutuskan untuk membongkar penyelewengan dan kecelaruan daftar pemilih dengan menugaskan beberapa orang pakar IT untuk menjalankan tugas tersebut.
“PAS telah mengesan kecelaruan dan penyelewengan daftar pemilih dari dahulu lagi tetapi SPR tidak pernah mengakuinya, akhir-akhir ini barulah SPR mula mengaku,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini sekurang-kurangnya 17,000 nama pemilih dikenal pasti berada dalam daftar pemilih di dua tempat mengundi berasingan di seluruh negara.
“Bayangkan tuan-tuan 17,000 pengundi ini ianya jumlah yang besar dan kita sedang mengenalpastikan nama-nama pemilih yang lain sekarang ini.
“Semua ini adalah kelemahan dan penyelewengan yang mesti dipertanggungjawabkan kepada SPR sebagai badan yang bertanggungjawab kepada pengurusan dan pengedalian pilihanraya di negara kita,” katanya pada ceramah anjuran PAS Kawasan Bukit Katil di pejabat PAS kawasan di sini malam tadi.

