MALAYSIA NEGARA PEDAGANG MANUSIA?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2011 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyenaraikan Malaysia di tahap kedua. Laporan ini menunjukkan bahawa isu pemerdagangan manusia di Malaysia berada di paras yang bahaya dan sesuatu tindakan perlu dibuat bagi membanteras gejala pemerdagangan manusia.

Lambakan pekerja asing yang menjadi punca pemerdagangan manusia di negara ini adalah isu besar yang perlu ditangani oleh kerajaan. DPPM mempersoalkan mengapakah pekerja negara asing boleh masuk secara mudah di negara ini walaupun pelbagai operasi penangkapan dan pembanterasan dijalankan. Mengapakah begitu longgarnya kawalan keselamatan di sempadan negara ataupun adakah kerana adanya rasuah yang membenarkan pekerja asing dibawa masuk secara mudah?

DPPM bimbang dengan lambakan pekerja asing menyebabkan jenayah dan gejala sosial turut berleluasa. Jenayah seperti pecah rumah, rompak, mencuri, rogol dan ragut naik mendadak dengan ramainya warga asing di negara ini. Kebanyakan golongan wanita tempatan merasa cemas serta tidak selamat untuk keluar rumah ekoran pelbagai jenayah yang terdedah terhadap mereka.

Lebih dari itu, kebanyakan warga asing turut mendominasi sesuatu penempatan. Warga tempatan kebanyakannya mengeluh kerana kawasan mereka dikuasai oleh warga asing termasuk premis-premis perniagaan yang dibolot oleh warga asing ini.

Continue reading

PASTIKAN PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL DILAKSANAKAN MENJELANG PRU KE 13

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengotakan janji dengan melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Dalam pada itu, DPPWP mengalu-alukan cadangan kajian penggunaan dakwat kekal yang dibuat dengan terperinci oleh SPR.

DPPWP mengingatkan SPR agar jangan peristiwa tahun 2008 dahulu berulang di mana penggunaan dakwat kekal gagal dilaksanakan meskipun ianya telah diwar-warkan akan digunakan pada PRU ke 12. Pelbagai helah dan alasan digunakan bagi menutup kelemahan mereka dalam melaksanakan sistem ini. Hakikatnya, dakwat kekal masih gagal dilaksanakan dan sistem pilihanraya di Malaysia menjadi perbualan rakyat Malaysia ketika ini.

Penggunaan dakwat kekal akan mampu menyelesaikan segala persoalan pengundi bertindih atau pengundi yang mengundi berulang. Kos penggunaan dakwat kekal pula amat rendah dan mudah dilaksanakan. Dimana-mana tempat sama ada dibandar atau di ceruk kampung, penggunaan dakwat kekal amat sesuai digunakan.

Berbeza dengan penggunaan sistem biometrik, kosnya amat mahal dan tidak sesuai dilaksanakan khususnya di kawasan luar bandar. Sistem biometrik terpaksa bergantung kepada aplikasi internet dan tidak semua kawasan di seluruh negara ada akses internet. Bagaimana jika ianya digunakan di kawasan pedalaman yang tidak ada akses internet, sudah pasti biometrik tidak boleh digunakan kerana tidak boleh online dengan sistem.

Lebih dari itu, sistem biometrik tidak mampu menyelesaikan masalah pengundi klon atau bertindih kerana mereka ini masih valid dalam sistem walaupun mengundi berkali-kali. Justeru DPPWP tidak bersetuju penggunaan sistem biometrik dilaksanakan kerana ianya tidak menyelesaikan masalah yang timbul.

Continue reading

BEBASKAN MEDIA DARI KONGKONGAN POLITIK KEPARTIAN

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan membebaskan media cetak dari kongkongan parti politik pemerintah untuk menjadikan ia lebih relevan dan dekat di hati rakyat. DPPM mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon yang menyatakan media cetak masih lagi menjadi sumber utama berita dan sesuai dengan generasi lama.

Bagi DPPM, generasi lama dan kebanyakan rakyat masih menggunakan media cetak sebagai bahan rujukan mereka memandangkan akses internet masih belum mencakupi keseluruh kawasan khususnya di kampung-kampung. Oleh kerana itu, rakyat khususnya generasi lama masih bergantung kepada media cetak kerana itulah sumber maklumat yang mampu mereka perolehi.

Dalam keadaan demikian parti pemerintah tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk meracuni pemikiran rakyat dengan berita berat sebelah dan menyerang pihak pembangkang semata-mata. Cukuplah selama ini rakyat diperbodohkan dengan pelbagai agenda sempit kepartian BN dalam media cetak seolah-olah media tersebut milik penuh mereka sedangkan ia akhbar rasmi negara. Selama ini segala bahan berita yang dimuatkan hanya menunjukkan kebaikan BN sedangkan imej Pakatan Rakyat diburukkan dengan pelbagai berita yang songsang.

Continue reading