Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mendedahkan butiran mengenai jumlah borang soal selidik yang dipulangkan oleh penduduk Kampung Baru kepada Kementerian itu. Daripada jumlah itu pula, berapakah jumlah keseluruhan penduduk asal Kampung Baru yang perlu diserahkan borang soal selidik mengenai cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB).
Dalam kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) semalam, sebanyak 93.8 peratus pemilik setuju dengan penubuhan Perbadanan Kampung Baru (PPKB). DPPKT mempersoalkan adakah jumlah ini menggambarkan majoriti penduduk menyokong penubuhan Perbadanan tersebut, sedangkan daripada maklumat yang diperolehi, hanya 30 peratus penduduk memulangkannya.
DPPKT berpendapat, kementerian perlu mendedahkan jumlah keseluruhan borang soal selidik yang diterima. DPPKt juga berpendapat Kementerian sepatutnya berusaha mendapatkan persetujuan penduduk paling tidak 80 peratus daripada penduduk keseluruhannya. Ini kerana mereka adalah pemilik asal tanah Kampung Baru dan kerajaan berhasrat membangunkan tanah tersebut. Amat wajar kerajaan mendapatkan persetuju mereka dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Jika tidak ia dianggap sebagai mengambil hak penduduk tanpa kebenaran.



















