Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggambarkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau. DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Hishamuddin sebagai jawapan ‘melepas diri’ dari serangan rakyat pelbagai pihak yang meminta penjelasan beliau.
DPP Malaysia berpandangan, jawapan Datuk Seri Hishamuddin tidak konkrit bagi menjustifikasikan kumpulan 13 ditahan di bawah ISA. Sekadar menuduh tanpa proses pengadilan di mahkamah bukan suatu alasan mereka boleh dihukum. DPP Malaysia mempersoalkan Hishamuddin, sekiranya benar mereka berbahaya terhadap keselamatan negara dan serantau, mengapa perlu di tangkap di bawah ISA? Mengapa mereka tidak didakwa di mahkamah terbuka bagi membuktikan mereka benar-benar bersalah dan berbahaya? Buktikan kesalahan mereka satu persatu dan bongkarkan kegiatan mereka agar menjadi teladan kepada golongan seperti mereka.
Jika pembunuh bersiri termasuk episod pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shaaribu serta Datuk Sosilawati masih diberikan proses pengadilan di mahkamah, mengapa tidak Kumpulan 13 juga didakwa di mahkamah yang sama. Nampaknya Kumpulan 13 lebih berbahaya daripada pembunuh bersiri, walaupun jenayah yang dituduh masih belum dilakukan lagi. Namun demikian, DPP Malaysia tidak pula menyokong sebarang aktiviti keganasan. Keganasan perlu diperangi, tetapi ISA bukan jawapannya. Banyak lagi jalan penyelesaian yang lebih adil untuk tertuduh.










