Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam. DPPM berbangga kerana pencapaian pelajar tahun ini terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).
Pencapaian tahun ini mencatatkan seramai 46,012 calon mendapat semua A daripada 485,160 keseluruhan pelajar. Walaupun pencapaian calon cemerlang semua A telah menurun sedikit iaitu sebanyak 9.48 peratus berbanding 10.02 pencapaian tahun lalu, ia tidak menjejaskan pencapaian kecemerlangan pelajar. DPPM merasa bangga kerana pencapaian pelajar luar bandar lebih tinggi berbanding pelajar di bandar sebanyak 1.21 peratus. Ini menunjukkan kesedaran pelajar-pelajar luar bandar amat tinggi yang mendorong kejayaan mereka.
DPPM turut mengucapkan terima kasih dan syabas kepada para guru yang tidak pernah jemu untuk terus membimbing pelajar sehingga mendapat keputusan cemerlang ini. Sudah tentu dengan keikhlasan dan komitmen para guru yang tidak ternilai ini memungkinkan kejayaan ini dicapai. Jasa dan pengorbanan mereka selalu pendidik anak bangsa perlu dikenang sepanjang hayat.
DPPM berharap semua pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang terbaik agar menjadikan keputusan ini sebagai motivasi untuk terus menempuh kejayan dalam peperiksaan diperingkat menengah nanti. Kejayaan mereka menjadi penentu dalam usaha meneruskan cita-cita mereka. Semoga dengan kejayaan mereka, akan memudahkan mereka untuk ditempatkan di sekolah yang lebih baik nanti.
Bagi pelajar yang tidak mencapai keputusan cemerlang, DPPM juga mengharapkan keputusan ini tidak mematahkan semangat pelajar untuk terus belajar. Keputusan ini bukanlah pengakhiran dalam kehidupan, tetapi ia hanya permulaan kepada perjuangan menuntut ilmu yang lebih mencabar. Jadikan keputusan ini sebagai motivasi terbaik untuk berjaya di masa hadapan. Ingatlah kejayaan diraih oleh mereka yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh, manakala kegagalan pula bagi mereka yang mudah kecewa dan berputus asa .
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia