Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang serius dakwaan bahawa setiausaha sulit kanan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menerima sogokan. Dalam laporan yang dikeluarkan oleh media pada hari ini mendakwa Setiausaha Sulit kanan TPM, Mohd Shukor Abdul Manan menerima lebih daripada RM 100,000 sebulan.
Bagi DPP Malaysia, dakwaan seperti ini amat berat dan memerlukan siasatan terperinci kerana ia melibatkan integriti dan nama baik Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dalam hal ini, TPM perlu membersihkan namanya dengan bersikap berani dan telus menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut. Beliau tidak perlu menyembunyikan kebenaran sekalipun kebenaran itu amat pahit untuk ditelan kerana melibatkan orang kepercayaan beliau.
Jika benar dakwaan tersebut, beliau perlu mengambil tindakan tegas terhadap setiausaha sulit kanannya. Ini sebagai suatu hukuman bahawa kedudukan sebagai orang penting dan di tempat strategik bukan boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Ia juga sebagai peringatan bahawa amanah bukan suatu yang boleh dipandang ringan, melainkan ia perlu ditunaikan dengan sebaiknya.