ROSMAH MANSOR JADI BUDAK SURUHAN RAJA REZZA SHAH?

Dewan pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengerusi Festival Fesyen Islam (IIF) Raja Rezza Shah melalui kenyataan beliau di media berhubung dakwaan perbelanjaan mewah Datin Seri Rosmah Mansor di Australia adalah jawapan melepas diri semata-mata bagi mengelak lebih banyak spekulasi buruk menimpa isteri Perdana Menteri itu. Menurut kenyataan Raja Rezza Shah, Datin Seri Rosmah Mansor tidak berbelanja sakan seperti yang didakwa ramai pihak, sebaliknya pakaian yang dibeli adalah stok untuk bekalan sebuah kedainya di London.

DPPM menganggap jawapan yang diberikan oleh Raja Rezza Shah adalah jawapan lucu dan pelik. Beliau turut mengakui mengikuti rombongan Perdana Menteri dan isterinya ke Australia dalam kenyataannya itu. Persoalannya, bagaimana Raja Rezza Shah mendapat suatu keistimewaan boleh bersama-sama rombongan Perdana Menteri dan isteri ke Australia dalam suatu urusan kerajaan. Apa kelebihan beliau kepada Perdana Menteri sehingga beliau turut diundang bersama dalam rombongan tersebut?

Persoalan kedua, bagaimana Datin Seri Rosmah boleh ‘menolong’ membeli 61 helai pakaian bagi pihak Raja Rezza Shah untuk stok kedainya di London. Seolah-olah Datin Seri Rosmah menjadi ‘budak suruhan’  Raja Rezza Shah untuk membeli pakaian di butiknya. Begitu hebatnya beliau sehingga boleh ‘mengarah’ atau ‘meminta tolong’ Datin Seri Rosmah membeli 61 helai pakaian untuk stok di kedainya?

Continue reading

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2012

KUALA LUMPUR telah diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya pada 1 Februari 1974. Sempena merayakan Hari Wilayah yang ke-37 pada 1hb Februari 2012, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Sesungguhnya, di bumi Wilayah Persekutuan inilah kita bersama-sama menuai jasa bakti bagi membangunkan sebuah negeri yang menjadi mercu tanda kemegahan rakyat Malaysia.

Umum mengetahui bahawa Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia. Sebagai ibu negara di sebuah negara maju, ia menjadi tumpuan baik rakyat Malaysia sendiri mahupun pelancong dari luar. Wilayah Persekutuan adalah model kepesatan kemajuan negara lambang kemodenan Malaysia.

DPPWP mengucapkan takziah dan jutaan terima kasih ke atas keluarga Allahyarhamuha YB Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali ahli Parlimen PAS di Titiwangsa juga merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat juga AJK di dalam PAS Pusat. Jasa yang telah beliau curahkan di dalam PAS menyebabkan pemergiannya pada 17 Julai yang lalu amat dirasai oleh warga PAS dan juga rakyat Titiwangsa.

Continue reading

PAS PUTRAJAYA ANJUR ‘MAKAN TENGAHARI SEMPENA MAULIDUR RASUL SAW BERSAMA YB SALAHUDDIN AYUB’

PAS Putrajaya akan menganjurkan ‘Makan Tengahari sempena Maulidur Rasul SAW bersama Naib Presiden PAS, YB Hj Salahuddin Ayub’ pada hari Ahad, 5 Februari 2012 bertempat di Dewan Kondominium Saujana Aster, Jalan P11H/1, Presint 11, Putrajaya.

Program ini diadakan bertujuan menyemai cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiulawal setiap tahun sebagai syiar. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan termulia di antara semua makhluk dan baginda adalah ikon yang wajib dicintai oleh setiap umat Islam.

Sebagai insan teladan dan teragung, peribadi, tingkah laku, akhlak, watak kehidupan dari sudut peribadi, keluarga, masyarakat dan kepemimpinan Nabi Muhammad SAW merupakan sunnah yang perlu dicontohi. Justeru, program ini menjadi suatu wadah umat Islam melahirkan kecintaan dan kasih terhadap Rasulullah SAW.

Continue reading

TINGKATKAN KAWALAN KESELAMATAN, ELAK KES CURI KERETA BERTAMBAH

PAS Wilayah Persekutuan melahirkan kebimbangan dengan kejadian curi kereta di negara ini dengan laporan terkini yang menyatakan sebanyak 150 buah kenderaan dicuri setiap hari. Dalam laporan tersebut juga dinyatakan bahawa terdapat 112,503 buah kereta berjaya dicuri sejak 2010 manakala kira-kira 55,041 kes pada September 2011 dan kebanyakan kenderaan baru yang dicuri seperti paduan empat roda dieksport ke negara Timur Tengah.

Kes ini menggambarkan kepada masyarakat bahawa negara Malaysia bukan sebuah negara yang selamat untuk pemilik kenderaan terutama kereta import atau mewah. Bagi pelancong, negara ini bukan suatu destinasi selamat kerana risiko kenderaan yang mudah dicuri selain dari kadar peningkatan jenayah yang lain. Tambah membimbangkan lagi adalah penduduk kawasan sekitar Kuala Lumpur yang rata-rata penduduknya memiliki kenderaan sendiri. Kawasan padat dan trafik sesak seperti Kuala Lumpur mungkin menjadi ‘syurga’ buat penjenayah curi kereta menyebabkan pemilik kereta merasa amat khuatir mengenai tahap keselamatan kenderaan mereka.

PAS WP meminta supaya kerajaan mengambil langkah segera dalam memastikan kejadian curi kereta dapat diatasi. Dalam hal ini, PAS WP meminta pasukan keselamatan mengetatkan kawalan keselamatan mereka terutama di kawasan kediaman penduduk di sekitar Kuala Lumpur. Kekhuatiran ini dirasai lebih lagi oleh penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana kenderaan mereka diletakkan di tempat awam yang risiko kecuriannya amat tinggi. Dalam keadaan tiada pengawal keselamatan, dan tiada pemantauan ketat, tiada jaminan kereta yang mereka letakkan di kawasan perumahan mereka tidak dicuri.

Continue reading

JIKA POPULAR, KENAPA TAKUT BERDEBAT?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan cadangan diadakan perdebatan antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dicadangkan oleh banyak pihak. Ini menunjukkan banyak pihak sedang ternanti-nanti kedua-dua pemimpin utama negara itu bersemuka di atas satu pentas bagi melihat hujah yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut.

Bagi DPPM, debat adalah suatu dimensi politik baru yang perlu diterokai oleh kedua-dua pemimpin negara ini. Jika selama ini, rakyat terbelenggu dengan hanya maklumat dari sebelah pihak sahaja. Dengan cengkaman media yang berat sebelah, ditambah pula dengan propaganda yang memburukkan imej pemimpin pembangkang di negara ini sejak sekian lama, wacana debat adalah perlu bagi menilai pandangan kedua-dua tokoh terbabit.

Dengan suasana sudah berubah, rakyat sudah semakin terbuka dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima. Rakyat memerlukan suatu saluran bagi mendapatkan suatu informasi berharga bagi menajamkan pemerhatian mereka terhadap politik negara dan debat terbuka adalah langkah terbaik untuk semua.

Continue reading

‘GERAM’: PLATFORM ANAK MUDA MELAKUKAN PERUBAHAN

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) akan melancarkan Gerakan Anak Muda (GERAM) Kuala Lumpur bagi menerajui kebangkitan anak-anak muda khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan. Majlis Pelancaran GERAM akan diadakan pada 28 Januari 2012, bermula jam 8.0 malam bertempat di Darul Ummah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan akan disempurnakan oleh Sdr Kamaruzaman Mohamad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Dijangka seramai 150 anak-anak muda sekitar Kuala Lumpur akan hadir pada majlis tersebut

Sesuai dengan namanya, GERAM adalah platform bagi anak muda melepaskan amarah dan amukan mereka melihat segala kebobrokan dan keabsahan yang berlaku dalam negara ini. Anak Muda pastinya GERAM melihat telatah pemimpin negara yang meratah harta rakyat demi kepentingan diri mereka sendiri. Isu penyelewengan wang zakat, penyelewengan kuasa dalam isu skandal Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC), kelulusan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang mengenepikan hak penduduk, rampasan tanah-tanah orang Melayu di Kuala Lumpur, Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Akta Pekerja dan lain-lain adalah episod kemarahan anak muda terhadap pemerintah.

Selain  itu, kadar pengangguran yang meningkat, kos sara hidup yang bertambah serta kadar jenayah terutama di ibu kota yang bertambah semakin menaikkan suhu kemarahan anak-anak muda. Anak Muda merasa GERAM kerana selama berpuluh tahun negara merdeka, dan dengan limpahan kekayaan harta negara, kehidupan rakyat di ibu kota masih tidak berubah. Masih ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan, gagal memiliki rumah sendiri, keselamatan mereka dan keluarga sentiasa terancam, serta pendapatan yang jauh dari kemampuan sebenar mereka. Kebanyakan anak muda merasa hampa kerana pemerintah yang mereka letakkan harapan untuk membela mereka gagal membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat yang semakin terbelenggu dengan faktor kemiskinan bandar.

Continue reading

LAWATAN PM KE WP KL : HARAP TIADA LAGI JANJI KOSONG UNTUK RAKYAT

PAS Wilayah Persekutuan berharap lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kali ini dapat memberi manfaat kepada warga Kuala Lumpur dalam memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti hidup di ibu kota ini. Ini kerana warga Kuala Lumpur amat mengharapkan pelbagai kemudahan dan insentif dapat dinikmati oleh mereka serta segala permasalahan mereka dapat diselesaikan dengan baik. Sebaliknya warga Kuala Lumpur tidak mahu lawatan PM sekadar memenuhi jadual politik dan memberi janji kosong yang penuh retorik sahaja.

PM seharusnya menggunakan kesempatan lawatan ini untuk menjenguk rakyat serta berkongsi kesusahan dengan mereka. Rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu dilawati dan melihat sendiri bagaimana suasana kehidupan masyarakat golongan berpendapatan rendah. Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas adalah penghuni setia PPR yang dambakan perhatian dan bantuan. PM sebaiknya lihat sendiri tahap kebersihan PPR dan kesukaran parkir di kawasan tersebut, merasai sendiri kesesakan lalulintas di jalan utama ibu kota, bersesak dengan orang ramai dalam kenderaan awam, serta turun ke pasar dan melihat sendiri kehidupan rakyat ala kadarnya. Dari sudut lain, PM perlu turun sama mendengar cetusan hati para peniaga di sekitar Chow Kit, pemandu-pemandu bas dan teksi di ibu kota, serta golongan lain yang turut berkongsi sama mencari rezeki di tengah ibu kota Kuala Lumpur ini.

Selain itu, penduduk dan pemilik Kampung Baru mungkin ternanti-nanti adakah siri lawatan PM singgah bertemu dengan penduduk di situ. Jika Menteri Besar Selangor sanggup turun dan bersemuka dengan rakyat dengan usaha membantu penduduk, apakah PM pula berani mendengar pertikaian penduduk Kampung Baru terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan oleh kabinetnya. Apakah PM sanggup membaca sendiri sepanduk dan kain rentang yang membantah tindakan kerajaan meluluskan RUU tersebut?

Continue reading

ISYTIHAR ASET : TAKUT MASA DEPAN MENTERI DALAM BAHAYA?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang menolak cadangan supaya harta dan aset menteri dan ahli keluarga terdekat diisytiharkan dengan alasan tidak patut dilakukan kerana boleh membahayakan mereka.

DPPM musykil dengan kenyataan ‘bahaya’ seperti yang dilontarkan oleh Datuk Seri Nazri. Apakah yang dimaksudkan dengan bahaya itu? Adakah ia bahaya terhadap keselamatan harta dan keluarga menteri tersebut atau bahaya pada masa depan mereka jika diketahui aset mereka yang bernilai jutaan ringgit itu? Umum mengetahui pemimpin negara mempunyai kawalan keselamatan yang ketat dan amat sukar bagi penjenayah mengambil kesempatan terhadap pemimpin negara sekiranya aset mereka diketahui ramai. Mungkin Datuk Seri Nazri Aziz bimbang sekiranya aset pemimpin negara didedahkan, lebih ramai menteri kabinet tidak mempunyai masa depan yang cerah kerana ditolak oleh pengundi.

DPPM menganggap kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz itu sebagai alasan remeh dan amat dangkal. Ia adalah suatu helah supaya aset pemimpin negara tidak diisyiharkan kepada umum seolah-olah beliau mahu menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum. Adakah Datuk Seri Nazri Aziz mahu melindungi ‘pekung’ atau keburukan pemimpin negara supaya tidak dapat dihidu dan dilihat rakyat? Mungkin jika diketahui aset mereka ini, lebih banyak lagi skandal akan dibongkar oleh rakyat menyebabkan ramai pemimpin-pemimpin negara bakal tersungkur.

Continue reading

MEMBUKA KEANGGOTAAN M.A.S SUATU LANGKAH POSITIF

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik usaha Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru bagi menjaga kepentingan penduduk tersebut. Antara usaha beliau seperti yang diumumkannya adalah dengan membuka keanggotaan MAS kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.

DPPKT menganggap keputusan Menteri Besar Selangor itu amat baik dan berpetapatan pada masanya. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap nasib rakyatnya yang jauh mendahului kerajaan UMNO-BN. Menteri Besar Selangor membuktikan bahawa Kampung Baru tidak tertinggal dalam agenda pembangunan negeri Selangor malah ianya masih menjadi perhatian utama negeri tersebut sehingga beliau sendiri turun menjenguk dan berdialog dengan rakyat semalam.

Keanggotaan MAS dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional amat baik supaya peranan MAS benar-benar dapat digerakkan oleh mereka yang berkelayakan serta berniat untuk menjaga kepentingan penduduk. MAS perlu memainkan peranan yang penting selaku organisasi perantara antara pihak kerajaan dengan suara penduduk. MAS perlu menyampaikan suara penduduk kepada pihak kerajaan disamping sebagai pemudah cara antara pihak berkuasa dengan penduduk.

Continue reading

KERABAT BERI KESEDARAN KEPADA BEKAS TENTERA

TAMAN PERPADUAN: Pelancaran Kebajikan Rangkaian Veteran dan Bekas Angkatan Tentera (KERABAT) Parlimen Tambun telah diadakan di Dewan Komuniti Perpaduan, Ulu Kinta dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh NGO itu disini.

Pengerusi KERABAT Perak, Sdr.Zulkafli Daud 55, dalam ucapannya menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Pakatan Rakyat (PR) yang dipercayai dapat membela masa depan bekas angkatan tentera dengan lebih baik, sekiranya agenda PR  menduduki Putrajaya dapat direlisasikan, sambil menyeru agar ramai lagi bekas-bekas angkatan tentera menyertai KERABAT yang akan ditubuhkan diseluruh tanahair.

Antara tetamu-tetamu kehormat yang hadir meraikan majlis tersebut ialah Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Mantan Menteri Besar Perak, Presiden KERABAT Kebangsaan, Lt. Kol (B) Hj.Mohd Nazari Mokhtar, Mantan Speaker DUN Perak, Dato’ S. Sivakumar dan Timb. Pesuruhjaya PAS Perak, Tn.Hj.Razman Zakaria.

Terdahulu, Dato’ Seri Nizar Jamaludin menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang bekas tentera yang telah cacat anggota, Ali bin Mohamad 59, yang mendakwa tidak pernah diambil perhatian oleh pihak yang berwajib walaupun beliau telah beberapa kali memohon bantuan daripada agensi-agensi kerajaan.

Dalam majlis yang sama, Dato’ Seri Nizar Jamaludin turut menyampaikan watikah perlantikan penasihat KERABAT Negeri Perak kepada Laksamana Pertama (B) Hj.Mohd Imran Hj.Abd.Hamid yang baru dilantik.

Continue reading

TAHNIAH PELANTIKAN DR AHMAD YUNUS SEBAGAI EXCO KERAJAAN SELANGOR

PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah di atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru berkuatkuasa hari ini.

Pemilihan Dr Ahmad Yunus oleh kepemimpinan PAS Pusat amat tepat pada masanya dan beliau seorang yang berkelayakan untuk menduduki jawatan tersebut. Dengan latarbelakang beliau sebagai seorang profesional, Dr Ahmad Yunus sememangnya tokoh paling sesuai untuk mewakili PAS Selangor sebagai Exco kerajaan negeri Selangor.

PAS WP mengharapkan semoga Dr Ahmad Yunus memainkan peranan penting dalam menggerakkan portfolio yang dipegang beliau iaitu Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan  dan memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan ini mampu dilaksanakan sebaik mungkin. PAS WP  juga meyakini seluruh ahli dan pendokong PAS khususnya di negeri Selangor menyokong pemilihan beliau dan akan memberikan sumbangan bagi membantu beliau melaksanakan amanah yang diberikan ini.

Continue reading

SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA PERLU REFORMASI MENYELURUH

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kenyataan Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa Barisan Nasional (BN) membeli undi dengan wang tunai dalam kempen pilihanraya umum dengan taktik yang dikenali sebagai ‘bom’ bagi memenangkan mereka dalam pilihanraya.

Bagi DPPM, dakwaan ini amat berat kerana melibatkan penyelewengan kuasa dan rasuah yang melibatkan UMNO dan Barisan Nasional. Tambahan pula dakwaan ini dilontarkan oleh bekas Menteri Kabinet dan merupakan bekas pemimpin UMNO. Pengakuan beliau berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi anggota Kabinet dan beliau mendakwa melihat sendiri aktiviti pembelian undi dilakukan.

Dakwaan Tan Sri Datuk Abdul Kadir membenarkan telahan ramai bahawa selama ini BN sememangnya menggunakan wang tunai untuk membeli undi setiap kali pilihanraya. Oleh kerana itu, tidak salahlah keraguan yang timbul dalam fikiran rakyat terhadap perjalanan pilihanraya di negara ini yang berlangsung dalam suasana tidak sihat selama ini.

Continue reading

Guna Akta Pengambilan Tanah 1960 Untuk Projek MRT Tidak Berperikemanusian

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengesa  Jabatan Tanah dan Galian (JTG) menarik balik kata dua mereka kepada  pemilik tanah di Jalan Sultan iaitu sama ada mencapai persetujuan dengan MRT Corps menjelang 30 Januari atau akan kehilangan tanah mereka bagi projek pembinaan laluan MRT. Penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan bakal menyambut tahun baru cina minggu hadapan namun dengan tekanan dari JTG itu membuatkan sambutan sedikit muram.

Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tiadanya penganiayaan kepada rakyat yang berhak untuk mempertahankan kediaman dan premis perniagaan mereka. Jalan Sultan antara wilayah yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan sebarang pembangunan diatas tanah di kawasan berkenaan akan menganggu keselesaan rakyat. Malah sebelum ini ada banyak cadangan supaya laluan MRT bawah tanah dijadikan alternatif tanpa perlu memindahkan penduduk atau mengambil tanah mereka.

Pihak MRT Corps perlu berbincang semula dengan penduduk sehinggalah keputusan yang memberikan kebaikan kepada semua pihak dicapai. Penggunaan  Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah satu kezaliman dan tidak berperikemanusian. Ini hanya akan memberikan gambaran buruk kepada masa depan pembangunan Kuala Lumpur. Sewajarnya laluan bawah tanah termasuk stesen bawah tanah menjadi alternatif bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur yang sepatutnya mencontohi kota London yang mempunyai rangkaian jalan keretapi bawah tanah yang hebat tanpa menganggu bangunan-bangunan yang sedia ada.

Bekas Menteri Umno Dedah Taktik BOM

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Mantan Menteri yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno yang mendedahkan kegiatan rasuah Umno ketika Pilihanraya yang lalu. Selama ini Umno menafikan yang mereka mengamalkan rasuah atau membeli undi dengan memberikan wang ringgit dan barangan ketika pilihanraya. Abdul Kadir yang dipetik oleh The Malaysian Insider menegaskan bahawa perkara itu memang berlaku dan disebut sebagai taktik “bom”.

Ternyata Umno belum insaf dan baru-baru ini Presiden dan seluruh pemimpin Umno turun ke serata negeri bagi mengagihkan dana ‘bom’ RM 100 untuk pelajar sekolah, RM 500 untuk isi rumah berpendapatan rendah dan RM 200 untuk pelajar Universiti. Agihan yang sepatutnya dibuat atas nama Kerajaan Malaysia dibuat atas kapasiti Umno-BN bagi memastikan rakyat mengundi mereka dalam PRU-13.

DPPWP juga kesal kerana Kementerian Penerangan, Felda, Felcra, Unit Cawangan Khas (SB) dan agensi lain yang tidak disebut Abdul Kadir secara jelas dipergunakan oleh Umno bagi memenangkan Umno dalam Pilihanraya. Kenyataan Abd Kadir ini jelas menyokong pendedahan  Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)  sebelum ini yang mendedahkan bahawa ada pihak berkepentingan yang menghalang mereka melaksanakan penggunaan dakwat dalam PRU-12 yang lalu bagi memastikan kemenangan Umno-BN. Campurtangan Umno dalam urusan pentadbiran kerajaan begitu kuat, sebab itulah Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya ada ‘caretaker goverment’ selepas parlimen dibubarkan yang bukan kalangan ahli politik yang bertanding dalam pilihanraya.

DPPWP setuju dengan Abdul Kadir “ Umno tidak perlu takut untuk kalah sekiranya ikhlas dalam perjuangan. Jika anda (Umno) kalah, terimanya; rakyat ubah kerajaan banyak kali di USA dan Australia”.

LETAKKAN TARIKH AKHIR UNTUK PERBAIKI SISTEM PILIHANRAYA!

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong usaha Bersih 2 untuk mengadakan himpunan bersih kali ketiga sekiranya cadangan mengenai reformasi pilihanraya yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dan tuntutan Bersih 2.0 gagal dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

DPPM berpandangan, sekiranya kerajaan gagal menepati syor dan cadangan PSC serta cadangan Bersih 2, ini bermakna kerajaan tidak serius mahu membersihkan sistem pilihanraya di Malaysia. Kerajaan juga dianggap menipu dan hanya ‘bermain wayang’ dengan penubuhan PSC kononnya mahu memperbaiki sistem pilihanraya di Malaysia, hakikatnya mereka tidak berniat mahu memperbaikinya.

Apakah gunanya penubuhan PSC serta 8 tuntutan Bersih sekiranya kerajaan gagal mengotakan janjinya. Sekiranya ia berlaku, tidak ada keperluan untuk berbincang dan berdialog antara Bersih dengan kerajaan kerana kerajaan jelas tidak menghormati suara rakyat. Oleh itu, DPPM bersetuju  langkah untuk ‘mengajar’ kerajaan yang bongkak adalah jalan raya kerana itu sahaja pengajaran yang boleh mereka pelajari.

DPPM mengesyorkan kepada Bersih supaya membuat suatu ‘dateline’ atau tarikh akhir kepada kerajaan agar memenuhi semua syarat dan tuntutan yang dikemukakan oleh PSC termasuk Bersih. Ini penting untuk mengukur adakah kerajaan berjaya atau gagal memenuhi janji mereka sebelum ini dan melihat sejauh mana seriusnya kerajaan bagi memperbaharui sistem pilihanraya di negara ini.

Continue reading

Ketua Dewan Pemuda PAS Cheras Kemalangan

Cheras, 17 Jan : Dewan Pemuda Pas Wilayah hari ini telah meluangkan masa  menziarahi Ketua Pemuda Cheras, Ustaz Mohd Sharifuddin yang terlibat dengan kemalangan motosikal pada 16 Jan baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzaman Mohamad telah berkunjung ke rumah keluarga dan bertemu dengan beliau di Kawasan beliau iaitu di Chera Baru tengahari tadi.

Bagi meringankan bebanan keluarga itu Dewan Pemuda Wilayah telah memberikan sumbangan yang disampaikan oleh Kamaruzaman Mohamad.

Turut menziarah ialah Timbalan Ketua Pemuda Wilayah, Suhaimi Abdul Aziz dan juga beberapa orang exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan takziah kepada beliau dan mendoakan agar beliau cepat sembuh.

PELANTIKAN PAK SAMAD SEBAGAI PENGERUSI BERSIH TEPAT MASANYA

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan pelantikan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said sebagai Pengerusi Bersama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2) seperti yang diumumkan hari ini.

Bagi DPPM, pelantikan Pak Samad tepat pada masanya memandangkan beliau merupakan seorang tokoh yang selalu ke depan bagi memperjuangkan isu-isu rakyat. Malah Pak Samad adalah antara tokoh negarawan yang berani dan bersuara lantang dalam memperjuangkan keadilan tanpa mempeduli tekanan dan ugutan yang dihadapi olehnya. Lebih membanggakan, Pak Samad tanpa gentar memimpin  barisan hadapan dalam himpunan Bersih 2.0 pada bulan Julai 2011 yang lalu.

Sebagai ikon masyarakat, pelantikan Pak Samad sudah tentu akan membuka mata masyarakat bahawa perjuangan membersihkan sistem pilihanraya di negara ini bukan suatu perjuangan kecil dan sia-sia. Sebaliknya Perjuangan Bersih 2.0 adalah suatu perjuangan yang besar dan memerlukan pengorbanan yang tinggi. Betapa seorang sasterawan negara yang telah dimamah usia seperti Pak Samad masih mampu melihat dengan jelas segala kepincangan dalam sistem demokrasi di negara ini. Beliau di antara jutaan rakyat di negara ini yang bencikan kebobrokan dan penyelewengan yang berlaku oleh pemerintah. Sudah berpuluh tahun negara ini diperintah dengan secara  tidak adil oleh rejim yang angkuh. Suara dan kebangkitan rakyat cuba dilenyapkan dengan pelbagai peraturan dan akta yang direka bagi menakut-nakutkan rakyat.

Continue reading

Laporan Polis Isu Penyelewengan Wang Zakat Oleh Pemuda Wilayah

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad hari ini membuat laporan polis berhubung penyelewengan wang zakat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, dan Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi hari ini.

Jamil, Che Mat dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain melantik syarikat guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bertarikh 28 Januari 2010 bagi mewakili mereka dalam kes tuntutan qazaf bertujuan menghalang kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Kamaruzaman berkata, laporan polis itu dibuat agar MAIWP, Jamil dan Che Mat disiasat di bawah Akta 613 Seksyen 409, Seksyen 415 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan masing-masing berkenaan dengan pecah amanah jenayah oleh perkhidmatan awam atau ejen, menipu dan pecah amanah.

“Bukti mengenai salahguna wang zakat oleh menteri dan pengarah Jawi ini sangat besar dan perlu disiasat segera kerana melibatkan wang rakyat.

“Di Wilayah Persekutuan ini ramai lagi golongan yang memerlukan sukar untuk menerima zakat, tiba-tiba menteri menggunakan wang ini untuk kepentingan peribadi,” kata beliau.

Continue reading

PAS TITIWANGSA ADAKAN SUMBANGAN SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BARU CINA

Oleh : Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz – Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

PAS Kawasan Titiwangsa berjaya menganjurkan sumbangan kepada masyarakat Tionghua sempena Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Majlis ini diadakan pada 14 Januari 2012, Sabtu bertempat di Dewan Orang Ramai, Projek Perumahan Rakyat, Desa Rejang, Setapak.

Majlis bermula pada jam 8.00 malam dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz, Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Titiwangsa. Seramai 150 orang penerima sumbangan dari kalangan masyarakat Tionghua Desa Rejang hadir bagi memeriahkan majlis ini.

Ustaz Raihan dalam ucapan perasmian menekankan persoalan kesamaan hidup masyarakat di Malaysia antara setiap kaum. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan bangsa, perasaan hormat menghormati perlu disemai supaya semua pihak dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Beliau juga menambah bahawa budaya masyarakat hari ini menolak semangat perkauman sempit yang cuba ditiupkan oleh sesetengah pihak. Baginya, usaha ini merupakan suatu usaha yang sia-sia memandangkan masyarakat di negara ini memahami dan bertoleransi antara semua kaum. Justeru, setiap kaum berhak merayakan hari-hari kebesaran kaum dan bangsa mereka.

Majlis itu diakhiri dengan serahan sumbangan kepada semua penerima yang hadir dan  disampaikan oleh Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz. Setiap penerima menerima sumbangan berupa beras 5 kilogram, Ang Pau (wang tunai), kad raya, serta beberapa biji buah limau. Selain itu, 50 kanak-kanak Tionghua turut menerima sumbangan angpau di majlis tersebut.

Continue reading

ISU ZAKAT : ASNAF ATAU PINJAM?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali yang merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam merupakan suatu kenyataan yang amat pelik dan mengelirukan. DPPM merasa kesal kerana Datuk Che Ali Che Mat begitu mudah menghalalkan penggunaan wang zakat oleh Datuk Seri Jamil Khir dan MAIWP dengan alasan ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

DPPM mempersoalkan, bagaimana Datuk Che Ali Che Mat boleh mendefinasikan kes penggunaan wang zakat sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’. Ini kerana saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap individu terbabit kerana beliau mahu membawa kesnya di mahkamah syariah. Sebaliknya ia dinafikan dan akhirnya ia dibawa ke mahkamah sivil. Adakah usaha mempertahankan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dibawa ke mahkamah syariah juga boleh dikategorikan sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’? Bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dianggap ‘mempertahankan kedaulatan Islam’ kerana mahu membawa kesnya ke mahkamah syariah dengan mengikut undang-undang Islam, tetapi haknya dinafikan sehingga beliau diheret ke mahkamah sivil.

Selain itu, sekiranya benar duit zakat yang digunakan oleh Datuk Seri Jamil Khir adalah ‘untuk mempertahankan kedaulatan Islam’, mengapa duit zakat itu dipulangkan balik? Mengapa ia tidak terus dianggap sebagai asnaf yang layak mendapat zakat? Pemulangan duit zakat itu menunjukkan seolah-olah MAIWP bersetuju bahawa duit zakat itu tidak patut digunakan untuk kos guaman maka ia perlu dipulangkan balik setelah mendapat peruntukan kerajaan.

Continue reading