SELESAIKAN SEGERA ISU FELDA ATAU SEDIA HIMPUNAN RAKYAT

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan agar menyelesaikan segera isu Felda sekiranya tidak mahu kehilangan kuasa dan mendapat tentangan paling hebat dalam sejarah politik negara. Ini kerana Felda adalah isu orang Melayu dan pengundi felda semenjak dahuku sehinga sekarang merupakan ‘deposit simpanan tetap’ UMNO-BN, justeru itu mereka perlu menangani isu ini dengan cermat dan berhati-hati.

Namun demikian, dengan polemik yang berlaku khususnya membabitkan pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda ia menggusarkan banyak pihak. Warga dalaman Felda meluahkan rasa tidak puas hati mereka ekoran pelantikan ini kerana membelakangkan suara warga Felda sendiri. Tan Sri Isa Samad seakan suatu bayangan yang mengerikan buat warga felda.

Selain itu, isu penyenaraian Felda Global Ventures Holding di Bursa Malaysia (FGVH) turut mengundang kemarahan banyak pihak khususnya warga felda. Ramai beranggapan isu ini bakal menggadaikan tanah peneroka felda seluruh negara. Pelbagai bantahan, rundingan, memorandum dibuat namun kerajaan masih tetap berdegil meneruskan hasratnya. DPPM mengingatkan jika Perdana Menteri tidak mampu selesaikan kemelut dalaman Felda dalam masa yang singkat, tidak mustahil himpunan sebesar Himpunan Hijau 2.0 atau lebih besar dari itu akan dibuat.

Continue reading

TUN DR MAHATHIR CUBA BABITKAN PEMIMPIN UMNO DALAM DAKWAAN TERHADAPNYA

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap Tun Dr Mahathir semakin tersepit apabila mengeluarkan kenyataan supaya sebarang siasatan audit berhubung kerugian dana awam semasa pemerintahan 22 tahunnya, mesti juga membabitkan siasatan ke atas semua mereka yang bergelar Tun, atau bekas perdana menteri termasuk anak cucu mereka.

DPPM merasakan Tun Dr Mahathir berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian. Beliau seharusnya bertenang dan membiarkan pandangan pemimpin Pakatan Rakyat berlegar di kalangan masyarakat sebelum dipersetujui oleh kerajaan. Beliau tidak seharusnya merasa panik dengan cadangan tersebut kerana ia boleh menyelesaikan isu yang berbangkit.

DPPM juga merasakan bahawa Tun Dr Mahathir cuba mengaitkan pemimpin negara sesudahnya yang pernah dan sedang berada di puncak kuasa supaya mereka juga turut disiasat. Ini termasuklah Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai bekas Perdana Menteri serta Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjadi Perdana Menteri. Datuk Seri Najib adalah anak kepada Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kedua.  Ia seakan memberi mesej bahawa kesemua mereka perlu diaudit dan disiasat secara terperinci kerana turut terbabit dengan dakwaan kerugian dana awam bernilai RM 100 bilion di bawah pemerintahannya. Ia juga sebagai suatu peringatan bahawa kesemua mereka juga bermasalah dan perlu disiasat seperti mana beliau.

Continue reading

PAS WP SEDIA MEMIMPIN PERUBAHAN MENUJU PUTRAJAYA

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) kini berada di landasan terbaik untuk memenangi pilihanraya umum ke 13. Bagi PAS WP, soal bila pilihanraya umum ke 13 bukan lagi menjadi keutamaan  kerana semua petugas, sama ada dari peringkat Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPN), Jentera Pilihanraya PAS Kawasan-kawasan mahupun Unit Peti-Peti Undi (UPU) sudah bersedia dan hanya menunggu sahaja semboyan pilihanraya dibunyikan.

Pelbagai persiapan telah direncana sebaik mungkin bagi menghadapi ‘ibu segala pilihanraya’ ini. Malah, boleh dikatakan persiapan PRU ke 13 kali ini adalah persiapan terbaik dan paling lengkap dari segenap aspek, sama ada prasarana, petugas, culaan, bilik gerakan, dana, strategi dan sebagainya. PAS WP juga sudah dapat menjangkakan sasaran undi yang bakal diperolehi dengan maklumat hasil kajian dan culaan. PAS WP penuh keyakinan, keputusan yang memberangsangkan dan menggembirakan akan dicapai jauh lebih baik dari prestasi PRU ke 12.

Selain itu, PAS WP menjanjikan calon terbaik untuk diketengahkan bagi memimpin kebangkitan rakyat  PAS WP yakin, rakyat pasti akan menerima kesemua calon yang dikemukakan ini kerana memenuhi kesemua kriteria yang dikehendaki oleh rakyat ibu kota iaitu berlatar belakangkan profesional, mesra rakyat, amanah, komited dan sanggup berkorban demi rakyat.

Continue reading

ISU KONSERT: MENUNGGU BANTAHAN BARU DIBATALKAN?

PAS Wilayah Persekutuan meminta kerajaan bersikap lebih sensitif dan peka dalam meluluskan sesuatu konsert yang dianjurkan di negara ini tanpa perlu menunggu bantahan daripada mana-mana pihak sebelum membatalkannya. Ini kerana sudah acapkali pembatalan saat akhir dibuat terhadap persembahan artis luar negara hanya kerana adanya bantahan dibuat oleh orang awam, bukan kerana sememangnya kerajaan bertindak tegas dalam memastikan tiada kontroversi terhadap mana-mana artis.

Dalam isu ini, PAS WP menganggap kerajaan seperti bersikap talam dua muka. Konsert Erykah Badu dibatalkan hanya kerana adanya bantahan awam. Bagaimana sekiranya tiada bantahan dibuat? Adakah kerajaan tetap mahu membatalkannya atau membiarkan ia diteruskan. Soalnya, sampai bila kerajaan boleh bersikap proaktif dengan mengambil tindakan awal mengekang mana-mana persembahan artis dalam atau luar negara yang menimbulkan kontroversi?

Kerajaan memiliki agensi yang sepenuhnya mengawal persembahan artis luar negara. Badan seperti Agensi Pusat Permohonan Pengambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), di bawah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (Kebudayaan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) mempunyai tugas khusus meluluskan sesuatu persembahan atau membawa masuk artis luar negara. Sepatutnya setiap permohonan untuk membawa masuk artis luar negara perlu ditapis terlebih dahulu dengan melihat latar belakang mereka. Tidak timbul artis tersebut mendapat bantahan awam atau tidak kerana kerajaan lebih awal menyekat sebarang imej yang boleh menimbulkan polemik di kalangan masyarakat.

Continue reading

Konsert Erykah Badu dibatalkan

Kerajaan membatalkan konsert penyanyi Amerika Syarikat Erykah Badu yang menghadapi bantahan pelbagai pihak ekoran penampilannya dengan tatu kalimah Allah di dada.

“Konsert Erykah Badu dibatalkan kerana melanggar garis panduan PUSPAL iaitu menyentuh sensitiviti agama dan nilai-nilai budaya Malaysia,” kata Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim dalam Twiter beliau hari ini.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana telah membatalkan konsert tersebut. Kami juga mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan pihak kementerian terhadap bantahan-bantahan yang telah diterima.

Pemuda PAS serah memo bantah konsert Erykah

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagi mendesak dibatalkan konsert penyanyi Erykah Badu di negara ini.

Mengikut perancangan, penyanyi wanita yang berasal dari Amerika Syarikat itu akan mengadakan konsertnya pada malam esok, 29 Februari, di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Desakan itu dibuat bagi mengelakkan kesan lebih buruk ke atas rakyat negara ini, memandangkan penampilan penyanyi itu yang penuh dengan kontroversi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil di pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di sini, sekitar jam 11.15 pagi tadi dan diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan menteri terbabit, Abdul Rauf Puteh.

Turut menemani Khairul Faizi, Penolong Setiausaha 111 Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob; Pegawai Media Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Abdul Hadi Mohd Ghazali; Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Dalam memorandum tersebut, Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, kehadiran penyanyi itu pada asalnya tidaklah begitu disedari sehinggalah tersiarnya satu rencana mengenainya di dalam akhbar cetak The Star dan laman onlinenya semalam.

Menurut Khairul Faizi, kontroversi timbul apabila akhbar The Star telah menggunakan gambar penyanyi itu yang memaparkan kalimah Allah pada kedua-dua bahagian bahunya tanpa mengira sensitiviti masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Continue reading

Pemuda PAS dan mufti mahu permit The Star digantung

KUALA LUMPUR, 28 Feb:Pemuda PAS dan Mufti Perlis sepakat mencadangkan agar kerajaan menggantung permit akhbar The Star ekoran tindakan biadabnya menghina Islam.

Dalam kenyataan berasingan mereka, kedua-duanya mendesak kerajaan bertindak segera kerana tiada alasan akhbar itu terlepas pandang.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) patut mengambil tindakan paling tegas itu ekoran penyiaran gambar itu dianggap menghina Islam dan tiada alasan untuk harian berbahasa Inggeris itu terlepas pandang.

“Permohonan maaf hari ini dengan kolum ‘seciput’ saiznya adalah amat tidak memadai. KDN perlu gantung The Star sementara waktu siasatan dilengkapkan,” katanya.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam kenyataannya berkata, biarpun The Star telah memohon maaf, namun ini entah keberapa kali The Star membuat kesilapan yang hampir serupa.

“Pastinya memohon maaf sahaja tidak mampu menyembuh luka ummat Islam akibat penghinaan serupa yang berulang kali,” katanya dalam satu kenyataan.

Continue reading

PM Tidak Perlu Tunggu BN-Umno Dapat 2/3 Majoriti

Dalam kenyataan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah, seperti yang dicadangkan oleh lembaga penasihat SPRM, akan ditubuhkan untuk membolehkan badan pemantau anti-rasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawai-pegawainya, termasuk kuasa untuk melantik dan memecat mereka.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu ini perlu pindaan perlembagaan.

Sepatutnya, bukan sahaja kuasa pemantauan diberikan kepada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahkan kuasa pendakwaan juga sepatutnya diberikan kepada SPRM, dan bukan lagi tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara sebagaimana kini.

Apa yang penting bagi SPRM bukan semata-mata siasatan, tetapi turut mempunyai kuasa pendakwaan. Rakyat masih bertanya kemana pendakwaan kes berprofile tinggi yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Rais Yatim, demikian juga isu besar NFC dan sebagainya.

Sehubungan itu, PAS melalui Jawatankuasa Khas Parlimen akan meneliti dan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti-Rasuah yang dicadangkan PM dengan beberapa perkara yang disebut di atas.

Continue reading

Baiah: Mursyidul Am PAS jawab tohmahan Mahathir

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, parti itu tidak pernah memaksa ahliahlinya untuk bersikap taksub kepada pucuk pimpinan.

Sambil menafikan tanggapan Tun Mahathir Mohamad barubaru ini, beliau berkata, kenyataan Mahathir itu juga memberi satu tanggapan yang salah mengenai dasar dan perjuangan PAS.

“Semalam Dr Mahathir ada komen mengenai baiah yang diamalkan oleh PAS. Ia semacam mentohmahkan cara baiah PAS sebagai ketaksuban kepada pemimpin, tidak kepada Allah SWT.

“Sebenarnya, PAS tidak mengamal begitu. PAS mengajar ahli dan pemimpinnya berbaiah tetap kepada Allah dan Rasul serta kepatuhan kepada rukun berjemaah, bukannya pemimpin,” kata beliau dalam komen yang disiarkan menerusi laman sosial Facebooknya.

MB Kelantan itu menegaskan, adalah sangat jelas Mahathir kini telah tersasar dalam menterjemahkan PAS sebagai sebuah gerakan politik Islam yang meletakkan akidah perjuangan sebagai keutamaan.

Mengulas isu yang sama, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula ditegur mengenai cara beliau dalam mengutip dan mengulas berita tanpa menyiasat kesahihan berita terlebih dahulu.

Continue reading

PAS: CBT tuduhan terbaik untuk pengarah NFC

Syor polis supaya Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Mohamed Salleh Ismail atas pertuduhan pecah amanah adalah cadangan terbaik kata naib presiden PAS Salahuddin Ayub.

Sambil menyeru pihak berkuasa untuk tidak lagi melenggah-lenggahkan perkara itu, katanya kerajaan juga tidak seharusnya menggunakan alasan bahawa hanya Peguam Negara mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai perkara berkenaan.

“Apa yang penting ialah Peguam Negara mesti bertindak mengikut fakta kes … Saya berharap mereka akan selesaikan perkara ini secara profesional, “kata Salahuddin pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan pada Sabtu lalu yang berkata cadangan mendakwa itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara minggu lalu bagi menyiasat beberapa perkara lain.

Continue reading

BERSIHKAN KABINET DULU, BARU BOLEH BERCITA-CITA TAWAN SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggesa rakyat supaya tidak memberi “tempoh lanjutan” kepada pembangkang untuk terus memerintah Selangor sebenarnya ditujukan buat partinya sendiri. Ini kerana pembangkang di Selangor ketika ini adalah UMNO-BN manakala kerajaannya adalah Pakatan Rakyat.

Beliau juga seperti menyindir partinya sendiri dengan kenyataan bahawa ‘pelbagai janji tidak tertunai’ semasa dalam pemerintahan Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Mungkin Datuk Seri Najib tidak menyedari bahawa rakyat Selangor pada hari ini menikmati pelbagai ‘janji yang tertunai’ oleh kerajaan Pakatan Rakyat seperti yang dimaksudkan itu. Selepas menang empat tahun yang lalu, janji-janji Pakatan Rakyat satu demi satu ditunaikan. Antaranya air percuma sebanyak 20 meter padu yang diberikan kepada setiap rakyat di negeri itu. Selain itu, dengan perkhidmatan berbentuk kebajikan seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk warga emas, skim tuisyen percuma, Tabung Warisan Anak Selangor atau TAWAS, Jom Shopping dan lain-lain lagi.

Sebaliknya UMNO yang memerintah berpuluh tahun lamanya ‘pelbagai janji tidak ditunaikan untuk rakyat’. Ini menyebabkan beliau menggelepar dan seakan menyalahkan pimpinan bawahannya. Bahkan, bekas Menteri Besar Selangor sendiri telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan rasuah. Bagaimana mereka boleh membela rakyat di negeri paling maju itu, sekiranya pemimpin nombor satu negeri tersebut sendiri dihukumkan kesalahan dengan rasuah. Rakyat menganggap jika memberi ‘tempoh lanjutan’ kepada UMNO-BN lagi, mungkin lebih ramai  pemimpin UMNO-BN akan disabitkan dengan kesalahan rasuah serta kesalahan-kesalahan lainnya.

Continue reading

HIMPUNAN HIJAU 2.0 ADALAH PAKU TERAKHIR UMNO-BN DI PAHANG

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada segenap lapisan masyarakat yang turut hadir dalam Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan pada hari Ahad di Kuantan. Himpunan Hijau 2.0 merupakan suatu petunjuk bahawa rakyat bersatu dan bersepakat untuk tidak mengizinkan walau seinci pun bumi di Pahang, bahkan di mana-mana tempat di negara ini dari dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkan alam sekitar.

Himpunan Hijau 2.0 juga memberi isyarat kepada pemerintahan UMNO-BN supaya mendengar pandangan rakyat dalam apa juga isu yang membabitkan mereka. Zaman pemimpin negara memerintah secara diktator dengan sombong dan angkuh sudah berlalu, dan kini adalah masa untuk pemimpin dan rakyat saling bekerjasama dalam menangani sesuatu isu yang timbul. Pastinya, Himpunan Hijau 2.0 adalah menifestasi kebangkitan rakyat setelah pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan ianya selesai di meja rundingan gagal.

Meskipun Perdana Menteri menyatakan bahawa loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi “fakta dan saintifik”, namun demikian rakyat tidak peduli dengan kenyataan beliau. Ini menunjukkan bahawa PM sendiri gagal meyakinkan rakyat supaya mendengar penjelasan beliau terhadap isu ini. Bagi rakyat, mereka lebih peka terhadap alam sekitar kawasan mereka memandangkan mereka sendiri yang merasainya. Rakyat tidak melihat PM dan anggota kabinet merasai denyut nadi kehidupan rakyat di bawah kerana mereka dipisahkan oleh kehidupan pemimpin negara yang begitu eksklusif dan elit.

Continue reading

PAS Yakin Isu Kedah Selesai Dengan Aman

PAS yakin isu Kedah dapat diatasi secara harmoni melalui ukuhwah Islamiah dan musyawarah.

Melalui beberapa pertemuan dan perbincangan pimpinan, PAS mendapati isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak yang terlibat lebih menjurus kepada maklumat yang kurang jelas dan ada  jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku.

Sehubungan itu, ahli dan pimpinan di semua peringkat diseru mendapatkan maklumat dari saluran rasmi parti bagi mengetahui perkembangan yang berlaku.

Pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan parti secara keseluruhannya.

PAS yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik, demi kepentingan parti, dan tambahan pula di saat seluruh jentera parti bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Sehubungan itu, semua pihak mestilah bertindak dengan tepat, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Ketepikan emosi, dan fikirlah dari sudut parti dan bukan sudut peribadi.

Continue reading

Liverpool Juara Piala Carling 2012

WEMBLEY 27 Feb. – Liverpool mengakhiri kemarau kejuaraan selama enam tahun dengan menjulang Piala Liga selepas menewaskan Cardiff City 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 2-2 selepas mengharungi 120 minit perlawanan.

Cardiff berada di depan seawal minit ke-19 menerusi jaringan Joe Mason, sebelum kedudukan disamakan Martin Skrtel pada minit ke-60 untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Dirk Kuyt menceriakan penyokong Liverpool apabila menjadikan kedudukan 2-1pada minit ke-108, namun kegembiraan itu tidak bertahan sehingga wisel penamat dengan pemain pertahanan, Ben Turner muncul hero Cardiff dua minit sebelum masa tambahan tamat dan memastikan pertarungan dramatik itu ditentukan dengan sepakan penalti.

Kemenangan Liverpool diperolehi apabila pemain gantian Cardiff, Anthony Gerrard, adik sepupu kepada kapten Kop, Steven Gerrard, yang mengambil sepakan kelima yang juga terakhir, tersasar. – AFP

Bakar al-Quran: Ratusan berdemo di kedutaan AS

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Hampir 300 orang menyertai demontrasi di ibu negara selepas solat Jumaat bagi mengecam tindakan tentera Amerika yang membakar al-Quran di Afghanistan baru-baru ini.

Kumpulan itu membanjiri Masjid Tabung Haji untuk menunaikan solat Jumaat sebelum berarak beramai-ramai ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang.

Dipimpin Ketua Pemuda Pas Malaysia, Ustaz Nasrudin, mereka bergerak lancar apabila tidak dihalang polis, seperti kebiasaan dalam demontrasi besar sebelum ini daripada ini.

Memorandum bantahan mereka cuba disampaikan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat kira-kira jam 2.40 petang tadi namun bagaimanapun Nasrudin mendakwa duta negara itu di sini enggan menerima memorandum tersebut.

Selain itu, kumpulan mahasiswa juga turut berarak daripada Masjid Tabung Haji dan bersama menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan tersebut.

Bai’ah: Pemuda PAS sedia fahamkan Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia sedia menawarkan pengajian khas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjelaskan ketidakfahaman bekas perdana menteri itu berhubung isu bai’ah.

Naib ketuanya Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, kenyataan Dr Mahathir mengenai isu ba’iah seperti yang dilapor media hari ini hanya menampakkan kejahilan beliau di dalam agama.

“Pemuda PAS sedia menawarkan kepada Tun Dr Mahathir sesi pengajian untuk memberikan kefahaman mengenai isu bai’ah ini.

“Bai’ah adalah satu perjanjian di antara dua pihak yang menuntut kepada kesetiaan. Bai’ah yang dilakukan di dalam PAS bukan seperti mana ikrar atau sumpah yang diucapkan oleh ahli Umno dalam memberi kesetiaan dan ketaatan kepada pemimpinnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang menyebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sepatutnya meminta ahli PAS berbai’ah kepada Allah dan bukannya kepada pemimpin mereka yang hanya berminat untuk menang pilihan raya.

Continue reading

JIKA PRIHATIN DENGAN UMAT ISLAM SEJAGAT, MENGAPA DUDUK DIAM?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh umat Islam daripada kalangan parti politik, NGO dan badan pelajar untuk turun bersama PAS dalam himpunan aman didepan Kedutaan Amerika Syarikat esok selepas solat Jumaat sebagai membantah tindakan zalim tentera Amerika Syarikat membuang dan membakar al-Quran yang diambil dari perpustakaan penjara di Pangkalan Udara Afghanistan, kelmarin.

Bagi DPPM, tindakan tentera Amerika Syarikat adalah tindakan tidak peri kemanusiaan dan menghina agama Islam. Umat Islam yang prihatin sama sekali tidak boleh duduk berdiam diri membiarkan segala macam kejahatan dilakukan terhadap agama Islam. Al Qur’an adalah kitab suci umat Islam dan menjadi kewajipan seluruh umat Islam mempertahankannya, hatta sehingga mengorbankan diri. Sememangnya tindakan tentera Amerika Syarikat ini memberi isyarat untuk memusuhi umat Islam seluruh dunia. Umat Islam wajib bersatu di atas nama mempertahankan kesucian Islam dari dihina dan dipersenda.

Dalam hal ini, DPPM hairan mengapa Menteri Luar Malaysia tidak bersuara lantang bagi membantah tindakan zalim tentera Amerika Syarikat itu? Perdana Menteri pula sebagai ketua negara umat Islam di negara ini langsung tidak kedengaran suaranya di peringkat antarabangsa dalam isu yang melibatkan umat Islam sejagat. Adakah kerana pemimpin negara ini takut dengan kelibat ‘Big Brother’ Amerika Syarikat atau sememangnya pemimpin negara ini tidak peka terhadap perkembangan umat Islam di seluruh dunia? Mungkin pemimpin negara ini sibuk dengan berpolitik di negara ini sehingga tidak sedar bahawa ada isu yang menyinggung perasaan umat Islam sedang berlaku di luar sana. Mungkin juga pemimpin negara hanya ‘memperjuangkan Islam’ di negara ini sehingga tidak peduli pada nasib umat Islam di luar negara.

Continue reading

Politikus Islam mesti berpolitik guna agama

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Ahli-ahli politik di kalangan umat Islam perlu berhujah dengan al-Quran dan hadis untuk menjelaskan dasar-dasar politik pemerintahan negara supaya selaras dengan tuntutan agama kerana segala aktiviti politik itu sendiri perlu diselaraskan mengikut kehendak Islam.

Al-Quran dan hadis penuh dengan pelbagai prinsip politik dan pemerintahan yang sekiranya diikuti akan menjamin keadilan dan kebajikan bagi seluruh rakyat muslim dan bukan muslim.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, akibat kefahaman menyeleweng bahawa agama tidak boleh digunakan dalam berpolitik, menyebabkan politikus di kalangan orang Islam sendiri akhirnya mencedok pelbagai idea daripada tulisan penulis politik bukan Islam atau Barat.

Menurutnya, sedangkan tulisan-tulisan tersebut hanyalah berpaksikan pemikiran semata-mata tanpa merujuk kepada wahyu sehingga menyebabkan dasar-dasar negara tersasar daripada keadilan yang sebenar.

Continue reading

DIPENJARA KERANA MEMPERTAHANKAN KEBEBASAN

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa simpati kepada 11 orang tahanan himpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 2009 yang dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau penjara 7 hari oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Bagi DPPM, hukuman yang dikenakan tidak akan mematikan semangat perjuangan jutaan rakyat yang bangkit dalam himpunan terbabit kerana sememangnya ISA diterima rakyat sebagai akta yang zalim dan menindas rakyat. Malah, DPPM percaya rakyat semakin bersemangat dan berkobar-kobar menantikan himpunan lain dalam menentang sebarang bentuk kezaliman yang berlaku.

Mereka yang terlibat dan ditahan ini benar-benar membuktikan bahawa perjuangan menuntut keadilan bukan suatu perjuangan yang kecil dan ringan, melainkan ia menuntut pengorbanan yang besar, sekalipun terpaksa mendekam dalam penjara besi atau didenda serta dikenakan hukuman yang berat.

Continue reading