Tuan Guru Presiden Akan Bertanding Pada PRU13

PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihanraya ke 13 samada di peringkat DUN atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2hb Februari di Pejabat Agong PAS. Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke 13.

PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat. Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.

Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti. Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agung abad ini.

Continue reading

CUBAAN MEMBUNUH PEMIMPIN PAS DIKECAM

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan pihak tertentu yang membakar kereta dan rumah milik Timbalan Peusurhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad semalam. DPPM menganggap tindakan tersebut dilakukan oleh individu yang bacul dan tidak bermaruah kerana hanya mampu ‘menyerang hendap’ pemimpin PAS Johor itu dan tidak berani berhadapan atau bersemuka dengan pemimpin tersebut.

DPPM melihat kejadian membakar kereta dan rumah Sdr Dzulkefli Ahmad itu adalah sebagai cubaan sabotaj dengan niat untuk mencederakan atau membunuh pemimpin PAS. Sebelum ini pada tahun lepas, rumah Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dilontar Molotov Cocktail oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam cubaan membakar rumah beliau. Ini menunjukkan sudah ada usaha tindakan agresif dan kekerasan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap pemimpin PAS.

DPPM merasa bimbang dengan tndakan ‘ala gangster atau mafia’ yang diamalkan oleh sesetengah pihak di negara ini. Menyedari bahawa pemimpin PAS lantang menyuarakan kebenaran dan menentang kezaliman, rumah dan aset mereka pula menjadi sasaran tindakan khianat. Ia sebagai suatu mesej dan amaran kepada pemimpin PAS supaya jangan sesekali berani bangkit membantah kezaliman kerana dendam kesumat itu akan disasarkan pula kepada mereka selepas ini dalam apa juga bentuk termasuk membaling bom dan membakar rumah mereka.

Continue reading

JAMIL KHIR BAKAL MENGIKUT JEJAK KHIR TOYO?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Seri Jamil Khir tampil memberi penjelasan di atas dakwaan terbaru seperti yang didedahkan oleh Sdr Mohd Nasaie Ismail, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bahawa beliau didakwa menggunakan wang Yayasan Taqwa untuk melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah.

DPPM melihat pendedahan ini amat berat kerana ia melibatkan nama baik dan reputasi beliau sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. DPPM merasakan jika benar dakwaan ini, ia merupakan suatu lagi skandal yang serius yang dilakukan oleh Datuk Seri Jamil Khir. Sebelum ini negara dihebohkan bagaimana dengan mudah dana zakat digunakan sebagai pendahuluan untuk membiayai kos guaman beliau bersama dua orang pegawainya.

Dalam dakwaan tersebut, dinyatakan bahawa dana daripada Yayasan Taqwa digunakan bagi  melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah. Yayasan Taqwa pula adalah sebuah agensi yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dananya adalah dari peruntukan MAIWP. Timbul persoalan adalah bagaimana wang Yayasan Taqwa boleh terlepas keluar sehingga sampai ke Jerai? Besar sangatkah dana yang sepatutnya dinikmati oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan sehingga boleh sampai sehingga ke Jerai, Kedah? Lebih menggusarkan adalah beliau dikhabarkan akan bertanding di Parlimen tersebut, yang menyebabkan timbulnya tohmahan umum bahawa dana itu adalah untuk kegunaan peribadinya, bukan untuk rakyat. DPPM khuatir dakwaan ini akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin-pemimpin negara kerana kerap terpalit dengan skandal yang memalukan.

Continue reading

TERGAMAK ADA YANG SANGGUP MELETAK KEPALA BABI DI MASJID

PAS Wilayah Persekutuan mengutuk tindakan pihak tertentu yang meletakkan kepala babi di Masjid Hidayah, Sentul semalam. Ia mengulangi episod setelah sebuah masjid di Rawang beberapa hari lepas menerima nasib yang sama apabila ada individu tidak bertanggungjawab melemparkan kepala babi di masjid tersebut. Pastinya tindakan ini bukan suatu kebetulan, melainkan perancangan licik dan jahat oleh mereka yang berhati syaitan.

Bagi PAS WP, tindakan sedemikian merupakan suatu tindakan keterlaluan dan di luar batasan kemanusiaan. Meletakkan kepala babi di masjid seperti menghina rumah Allah dan agama Islam. Tindakan ini tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya ia akan mengundang kemurkaan Allah.

Pelaku tindakan ini berniat jahat dengan menjadikan objek kepala babi sebagai bahan jenakanya bagi meruntun hati umat Islam. Orang ini seperti mahu mencetuskan sentimen ‘api perkauman’ atau keagamaan. PAS WP mengesyaki motif tindakan ini adalah untuk menghina dan mengguris hati umat Islam supaya umat Islam bangkit dan seterusnya akan menyebabkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tergugat.

Continue reading