PAS Wilayah Persekutuan berharap semua pihak terutama media-media utama di negara ini tidak memainkan peranan mempromosikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang biasa disambut pada 14 Februari setiap tahun kerana ia boleh menyumbang kepada gejala keruntuhan akidah dan akhlak khususnya remaja di negara ini. Dalam hal ini, PAS WP ingin memberi ingatan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwanya berkenaan hukum menyambut Valentine’s Day:
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”
Dengan gejala sosial yang semakin meningkat seperti pergaulan bebas lelaki dengan perempuan, berzina, bersekedudukan, pelacuran sehingga membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, buang anak, dan lain-lain lagi, sudah tentu perayaan mengarut seperti Valentine’s Day ini juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar gejala sosial yang semakin parah di negara ini. Tambahan pula, dengan kepesatan bandaraya besar seperti Kuala Lumpur ini yang menjadi pusat kepada kelab-kelab malam, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, hotel bajet serta rumah tumpangan, disamping konsert-konsert yang dianjurkan, gejala sosial sudah seakan tidak terkawal.
