Syor polis supaya Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Mohamed Salleh Ismail atas pertuduhan pecah amanah adalah cadangan terbaik kata naib presiden PAS Salahuddin Ayub.
Sambil menyeru pihak berkuasa untuk tidak lagi melenggah-lenggahkan perkara itu, katanya kerajaan juga tidak seharusnya menggunakan alasan bahawa hanya Peguam Negara mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai perkara berkenaan.
“Apa yang penting ialah Peguam Negara mesti bertindak mengikut fakta kes … Saya berharap mereka akan selesaikan perkara ini secara profesional, “kata Salahuddin pada sidang media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan pada Sabtu lalu yang berkata cadangan mendakwa itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara minggu lalu bagi menyiasat beberapa perkara lain.
NFC atas nasihat peguamnya Shafee Abdullah, dalam kenyataan semalam mempersoalkan sikap tidak berhati-hati dan motif di sebalik kenyataan polis yang didakwa dilihat seolah-olah satu cubaan secara tidak adil untuk mendahului keputusan yang bakal dibuat Peguam Negara.
Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak juga dilaporkan berkata, terpulang kepada Peguam Negara untuk mendakwa pengarah-pengarah NFC atas tuduhan pecah amanah.
Projek ternakan lembu negara itu diserahkan kepada NFC dengan tujuan mengurangkan import daging lembu di Malaysia, tetapi Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan bahawa projek itu tidak menepati sasarannya.
PKR kemudiannya mendedahkan bahawa NFC yang diberikan pinjaman mudah RM250 juta oleh kerajaan telah membelanjakan dana tersebuk ke atas perkara yang tidak berkaitan penternakan lembu. Antaranya, seperti pembelian beberapa unit kondominium mewah di Kuala Lumpur dan Singapura, membeli tanah di Putrajaya, kereta mewah dan juga pakej percutian untuk lembaga pengarahnya.
Mohamed Salleh, adalah suami Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat. Selain suaminya, anak-anak pasangan itu juga dilantik sebagai pengarah NFC dan mereka juga dituduh menggunakan dana syarikat untuk tujuan peribadi.
Shahrizat juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai peranan beliau dalam penganugerahan projek penternakan lembu kepada ahli keluarganya.
Beliau, bagaimanapun, menafikan berperana dalam perkara itu dan menolak gesaan pelbagai pihak, termasuk dari Umno yang mahu beliau mengundurkan diri.