ANIFAH AMAN TIDAK SERIUS JALANKAN TUGASNYA
Tinggalkan komenJun 12, 2012 oleh pemudawilayah
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman bahawa perbicaraan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berlangsung di Perancis bukan satu perkara yang diberikan perhatian serius oleh kerajaan Malaysia.
DPPM merasa kesal kerana kerajaan Malaysia melihat kes rasuah Scorpene sebagai tidak serius sedangkan rakyat melihatnya sebagai sesuatu yang amat serius. Bahkan, masyarakat antarabangsa termasuk media mereka memberikan liputan meluas terhadap kes ini. Kes ini melibatkan maruah, imej, dan integriti kerajaan. Malah ia juga melibatkan aspek keselamatan di mana rahsia keselamatan negara didakwa telah bocor kepada pihak lain oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ia juga dikaitkan dengan jenayah pembunuhan yang melibatkan seorang warga asing di negara Malaysia. Kesemua dakwaan dan kaitan kes ini amat besar dan terlalu serius yang perlu diberikan perhatian utama oleh kerajaan Malaysia.
Sepatutnya, Datuk Seri Anifah aman merasa malu kerana nama baik Malaysia boleh jatuh merudum di mata dunia kerana ia membabitkan nama pemimpin tertinggi negara. Malah kewibawaan Datuk Seri Anifah sendiri turut dipertikaikan sekiranya beliau menangani skandal ini dengan baik sehingga gagal menutup aib Malaysia.
DPPM mempersoalkan apakah Datuk Seri Anifah Aman menganggap kes rasuah sebesar RM3.1 bilion sebagai bahan mainan dan senda gurau semata-mata. Mungkin juga beliau tidak memandang serius kerana baginya nilai rasuah yang dituduh terhadap PM tidak sebanyak rasuah pemimpin lain bernilai berpuluh berbilion ringgit. Atau ia mungkin telah menjadi amalan dan budaya pemimpin UMNO dengan rasuah serta sebati dengan jiwa pemimpin-pemimpinnya sehingga dakwaan rasuah terhadap mana-mana pemimpin negara telah biasa didengar dan kerajaan tidak lagi memandang ini sebagai sesuatu yang serius.
Jika beginilah sikap Menteri Luar Negeri Malaysia, DPPM tidak boleh membayangkan bagaimana kerajaan Malaysia mampu menyelesaikan dan menangani isu rasuah yang berleluasa yang membelit pemimpin-pemimpin negara. Negara akan menuju kemusnahan, masyarakat akan hancur manakala rakyat pula akan hilang pedoman sehingga hilangnya sikap toleransi, amanah dan bertanggungjawab dalam diri mereka.
RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia












