UMNO/BN PERLU KETEPIKAN FAHAMAN POLITIK DALAM MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN
Tinggalkan komenJulai 17, 2012 oleh pemudawilayah
Dewan Pemuda PAS WP berasa hairan dengan kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menyeru semua pihak mengetepikan fahaman politik dalam sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Kenyataan beliau ini seolah-olah ditujukan kepada pihak UMNO/BN itu sendiri.
Malaysia sudah merdeka selama 55 tahun. Sambutan kemerdekaan sudah acap kali diadakan setiap tahun. Pelbagai tema dibuat untuk menyambut hari kemerdekaan. Namun tidak pernah sekalipun mana-mana pemimpin pembangkang dijemput bersama-sama menghadiri upacara hari kemerdekaan. Pada tahun ini juga, tidak ada seorang pun pemimpin Pakatan Rakyat dijemput untuk bersama-sama memeriahkan sambutan hari kemerdekaan ini.
Apakah Pakatan Rakyat yang tidak patriotik ataupun UMNO/BN yang masih degil dan tidak mahu mengenepikan fahaman politiknya dalam menyambut ulang tahun hari yang bersejarah ini? UMNO/BN masih lagi mengalami sindrom ‘Malaysia ini aku yang punya’ tanpa mempedulikan pihak-pihak yang lain yang turut sama memperjuangkan kemerdekaan.
DPPWP juga melihat kerajaan UMNO/BN tidak jujur dalam menyambut Hari Kemerdekaan 2012 ini. Tema ’55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ secara terang-terangan menunjukkan bahawa adanya agenda tersembunyi UMNO/BN untuk menghadapi PRU ke 13. Tema ini sahaja sudah menunjukkan bahawa UMNO/BN tidak mampu mengetepikan fahaman politiknya sendiri. Malahan ia jelas menunjukkan keegoan dan keangkuhan mereka terhadap rakyat Malaysia. Namun rakyat semakin cerdik untuk mengetahui janji siapakah yang ditepati.
UMNO/BN juga dilihat semakin terdesak dalam meraih undi sehingga sanggup menjadikan sambutan hari kemerdekaan sebagai platform untuk berkempen. UMNO/BN dilihat cuba mencari lubang-lubang tikus yang ada untuk memenangi hati rakyat. Semua saluran kerajaan akan dikerah demi memastikan UMNO/BN bernafas lagi selepas PRU 13.
DPPWP yakin semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat merupakan rakyat yang patriotik yang meraikan sumbangan semua pihak yang berusaha memerdekaan negara kita. Hari kemerdekaan disambut dengan ikhlas tanpa perlu ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya.
YUSAPIZA YA’COB
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS WP












