ADUN DAN AHLI PARLIMEN BN DISERU SERTAI PAKATAN RAKYAT BERAMAI-RAMAI
Tinggalkan komenOgos 1, 2012 oleh pemudawilayah
Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) menyeru semua ADUN dan Ahli Parlimen BN mengikut jejak langkah Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing yang telah keluar meninggalkan Barisan Nasional.
Inilah saat yang terbaik bagi mereka untuk meninggalkan BN dan bersama-sama menyertai Pakatan Rakyat. Pada hari ini, telah terbukti bahawa BN kini tidak lagi boleh diharap lagi untuk mentadbir Malaysia. Apatah lagi untuk menjaga kebajikan rakyat. Saban hari kedengaran keluhan dan rungutan rakyat mengenai kelemahan dan kekurangan pentadbiran BN.
Isu-isu rakyat seperti harga keperluan harian yang tinggi, gaji yang rendah, masalah ketiadaan pekerjaan dan lain-lain lagi masih belum ditangani oleh UMNO/BN. Ini ditambah lagi dengan isu rasuah di kalangan pemimpin UMNO/BN yang kian membarah ke tahap 4 yang menjadikan UMNO/BN semakin tidak relevan lagi. Kezaliman-kezaliman UMNO/BN dalam mentadbir Malaysia sejak dahulu bukan lagi suatu yang luar biasa. Sekiranya ADUN dan MP BN benar-benar ingin berbakti dan sayangkan rakyat, maka inilah masanya untuk keluar dari BN.
Rakyat kini rimas dengan pelbagai janji yang ditabur namun tidak pernah ditepati. Slogan ‘Janji Ditepati’ hanyalah sekadar mainan di bibir Perdana Menteri semata-mata. Seharusnya ADUN dan MP BN meneliti hasil kajian Merdeka Centre yang menyatakan bahawa tahap populariti Najib telah menurun. Ini menunjukkan bahawa semakin hari rakyat semakin tidak mempercayai Najib. Ini sekaligus memberikan gambaran bahawa BN semakin hari semakin ditolak oleh rakyat.
Bagi DPPWP, BN umpama sebuah tongkang pecah yang menunggu masa untuk karam di lautan dalam. Justeru, sekiranya ADUN dan MP BN ingin selamat, maka perlulah bersama-sama menaiki kapal yang dikemudi oleh Pakatan Rakyat yang kini gah di samudera. Ayuh bersama-sama Pakatan Rakyat dalam menumbangkan UMNO/BN dalam PRU 13 nanti.
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Dewan Pemuda PAS WP












