UMNO/BN PUNCA SEBENAR KUCAR-KACIR MALAYSIA
Tinggalkan komenOgos 9, 2012 oleh pemudawilayah
Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) membidas Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang mengatakan bahawa Malaysia akan kucar-kacir sekiranya diperintah oleh pihak pembangkang. Khairy Jamaluddin telah mengatakan bahawa penggunaan tiga tema Hari Kebangsaan oleh negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang membuktikan mereka tidak bersetuju atau sependapat.
DPPWP ingin menegaskan bahawa pentadbiran UMNO/BN inilah yang sebenarnya menyebabkan Malaysia kini semakin kucar-kacir dan huru-hara. Selama lebih 50 tahun mentadbir Malaysia, statistik jenayah semakin meningkat. Ditambah pula dengan kos sara hidup yang kian menjerut leher setiap rakyat Malaysia. Korupsi di setiap peringkat semakin lama semakin membarah. Semakin hari semakin banyak skandal pemimpin UMNO/BN didedahkan. Ini sekaligus membuktikan bahawa UMNO/BN merupakan pemangkin ke arah Malaysia yang kacau bilau dan kucar kacir.
Negeri-negeri Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa pelbagai isu negeri yang sebelum ini tidak dapat diselesaikan oleh BN, telah dapat diselesaikan oleh pihak Pakatan Rakyat dengan bijak. Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa hutang kerajaan negeri mampu dilunaskan dalam jumlah yang besar dengan hanya beberapa tahun memerintah. Ia berbeza dengan negeri yang diperintah oleh UMNO/BN. Kian hari kian bertambah hutang. Sebagai contoh, Selangor mampu memberikan perkhidmatan air percuma kepada rakyatnya, Pulau Pinang juga telah memberikan kenaikan elaun guru kafa. Semua ini tidak ada di zaman pemerintahan UMNO/BN dahulu. Jadi, di mana bukti Malaysia akan kucar-kacir sekiranya ditadbir oleh Pakatan Rakyat?
Semangat warga Malaysia berbilang kaum dapat ditonjolkan dalam setiap negeri Pakatan Rakyat. Bermula dengan tema yang mencerminkan mesra rakyat Malaysia sehingga cara hidup setiap bangsa di setiap negeri. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah terbukti mampu mentadbir negeri dengan baik tanpa sebarang kucar kacir sepertimana yang digembar-gemburkan. Ketokohan dan kebijakan pemimpin Pakatan Rakyat dalam mentadbir negeri menjadi kecemburuan UMNO/BN sehingga mencari pelbagai ruang dan peluang untuk memburukkan apa sahaja usaha yang baik dilakukan.
Justeru, DPPWP ingin menasihatkan Pemuda BN supaya melihat dan memperbetulkan dahulu para pemimpin UMNO/BN sebelum membuat kenyataan yang melulu. Pemuda BN harus sedar bahawa rakyat kian hari kian meluat dengan para pemimpin UMNO/BN yang menjadikan Malaysia semakin hari semakin kucar kacir. Rakyat Malaysia pasti akan menolak UMNO/BN dalam PRU 13 nanti.
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan












