Memperkasakan Gerakan Mahasiswa Islam

Tinggalkan komen

Oleh: Ahmad Tarmizi Mohd Din (Presiden GAMIS)

MUQADDIMAH

Tahun 2006 telah mencatatkan sejarah kepada gerakan mahasiswa Islam (GMI) seluruh negara. Demokrasi kampus dewasa ini merakamkan sejarah paling mundur bagi kemerdekaan negara yang berusia hampir 50 tahun. Universiti tidak lagi mampu melahirkan mahasiswa yang berjiwa kritis dan ‘independent’. Tetapi, apa yang ada sekarang adalah universiti yang tidak lebih daripada tempat belajar untuk menjadi hamba sahaya, pak turut dan boneka.

Situasi ini lebih merumitkan lagi apabila GMI semakin lesu dan malap akibat daripada perancangan sistematik yang telah disusun atur oleh pihak yang mencemburuinya. Justeru, persoalan yang perlu dilontarkan adalah apakah GMI hari ini telah membuat persiapan untuk merangkul semula kegemilangan dan keunggulan atau lebih selesa dengan status quo yang ada.

SOROTAN SEJARAH; MAHASISWA DAN PERKEMBANGAN ISLAM

Menyelusuri lipatan sejarah perjuangan Islam di dunia, kita tidak dapat menafikan penglibatan gerakan mahasiswa Islam (GMI) yang turut memberi sumbangan yang efektif. Bahkan, mahasiswa juga pernah berada di ‘front line’ dalam menangani sesuatu isu berkaitan agama Islam dan keadilan. Tuntasnya, aktivisme GMI sebenarnya berdiri atas pertimbangan keadilan mengikut prinsip Islam. Dasar yang jelas ini meletakkan GMI merentasi perjuangan hak etnik, pemeliharaan sosial, pembangunan ekonomi, kepentingan politik dan sebagainya.

Pak Hamka pernah menyebut;

“Meninjau sejarah hendaklah dengan rasa cinta, seakan-akan merasai bahawa kita turut hidup dengan mereka. Sebab rasa hati hati dan suka duka kita sekarang adalah rasa hati dan suka duka yang mereka tinggalkan buat kita”.

Sekiranya kita mengkaji perjuangan Islam seluruh dunia, kita akan menyaksikan GMI turut terlibat dalam mendaulatkan Islam di negara masing-masing. Di Afhganistan, Ahmad Niazi telah memimpin Juanan Muslim (kemudian dikenali sebagai Jamiyyah al-Islamiyyah)pada tahun 1972. Di Iran, Mahmood Ahmadinejad, mahasiswa Islam University Sains Dan Teknologi Iran (IUST) adalah antara pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang terkenal sebagai ‘nadi utama’ Pasukan Keselamatan Revolusi Iran (Sepah-e Pandaran-e Enghelab-e Islami) pada tahun 1976. Di India, Mohammad Ahmadullah Siddiqi telah menubuhkan Student Islamic Movement of India (SIMI) pada April 1977 demi menangani liberasime dalam masyarakat India dan mendirikan Dar al-Islam. Di Mesir, beberapa mahasiswa Melayu-Islam seperti Tuan Ahmad Ata’ullah Suhaimi, Tn. Hj Muhammad Fadhullah Suhaimi (tokoh Ulama’ Melayu Nusantara), Sheikh Salleh Masri, Idris Marbawi, Muhammad Nasir (tokoh MASYUMI) dan sebagainya adalah antara tokoh GMI pada pringkat awal sehingga tertubuhnya Persatuan Kebajikan Anak-Anak Jawa pada tahun 1918, kemudiannya Pertubuhan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) pada tahun1930 (kini dikenali sebagai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir – PMRAM, 1972).

Di Malaysia, GMI wujud sejak sebelum merdeka lagi. Madrasah Gunung Semanggol dan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Perguruan Sultan Idris – UPSI) merupakan antara pentas awal aktivisme GMI. Penulis melihat penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) pada tahun 1956 lebih dianggap antara titik perkembangan wujud GMI di Malaysia. PMI menjadi salah satu pertubuhan yang cuba memberi kesedaran Islam (faham Islam) kepada masyarakat kampus dan luar kampus[1].

Antara isu-isu yang pernah dibangkitkan oleh GMI adalah seperti berikut;

1- Membantah sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel- demonstrasi menghalau pasukan kriket Israel (1997).

2- Mendesak kerajaan untuk menangani isu murtad secara lebih tegas dan berkesan.

3- Menggesa kerajaan membina masjid berdekatan Universiti Malaya (1960).

4- Menganjurkan perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur demi membantah campurtangan Amerika dalam Perang Arab-Israel (1973).

5- Mengangadakan demonstrasi untuk membela nasib masyarakat di Baling (1974).

6- Membantah kemasukan artis dan maksiat ke dalam kampus. Contohnya tindakan membantah konsert Sudirman (1985)dan konsert Headwind (1987).

Tahap perkembangan kesedaran di kalangan mahasiswa Islam ini menyebabkan mereka ini dikenali sebagai kelompok Islamis (Islamic group) yang sangat aktif dan bertanggungjawab dalam pelbagai perkara. Realiti ini meletakkan GMI di Malaysia juga bukan lagi sebuah wadah pinggiran dalam melestarikan kepentingan agama di kampus semata-mata, malah GMI sudah menjadi salah satu entiti perjuangan rakyat Malaysia.

 

CABARAN GMI DALAM LANDSKAP PERJUANGAN ISLAM MASAKINI

Dalam senario politik dan sosio-ekonomi yang kian berubah, wujud satu keperluan bagi GMI untuk membuat Islah dan Tajdid dalam pendekatan mereka. Proses mentajdidkan orientasi gerakan ini sangat diperlukan bagi memastikan GMI terus relevan untuk menghadapi era yang mencabar ini tanpa mengabaikan keyakinan terhadap prinsip ‘omnipresence’ Islam (kesesuaian/ kehadiran Islam sepanjang masa) dan ‘truism’ Islam (dimensi kebenaran Islam di mana-mana).

GMI sebelum itu perlulah mencermati cabaran semasa yang wujud supaya gerakan membantu perkembangan Islam yang dibawa tidak bersifat jumud dan statik.

Antara cabaran-cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi oleh GMI masakini adalah:

1- Serangan agenda globalisasi yang datang bersama pakej ‘new world orde’ dan segala ancaman yang ada terhadap mahasiswa Islam.

Cabaran pertama yang terpaksa dihadapi oleh GMI pada masa kini adalah persoalan bagaimana menyedarkan masyarakat Islam kampus yang sedang diulit oleh budaya hiburan melampau. ‘Trend-trend’ yang negatif seperti budaya memakai salib, seks bebas, ‘clubbing’, mat rempit dan menonton filem lucah semakin aktif berlegar di kalangan mahasiswa Islam itu sendiri. Fenomena ini akhirnya menyebabkan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri tanpa mengendahkan suasana di luar.

Situasi ini menjadi lebih meruncing lagi apabila pihak universiti sendiri memasukkan budaya ini dari luar kampus. Kehadiran artis-artis pujaan sewaktu majlis konvokesyen disambut meriah oleh mahasiswa melebihi kehadiran menteri dan para cendekiawan negara. Artis-artis ini seterusnya dianggap sebagai idola bagi mereka. Setiap perlakuan dan gaya artis tersebut ditiru dan diperbincangkan secara hangat di kalangan mereka.

Penglibatan mahasiswa dan pelajar sekolah dengan kegiatan jenayah juga semakin membimbangkan. Menurut satu laporan, sejak tahun 2001 hingga 2004, seramai 10 926 pelajar telah ditangkap membabitkan 6 109 kes jenayah juvana. Seramai 671 pelajar pula telah diberkas dan dikenal pasti sebagai perogol pada penghujung tahun 2003.

Beberapa gejala yang disebutkan ini terhasil disebabkan kurangnya pengawalan terhadap unsur-unsur luar dari menerjah masuk ke minda mahasiswa Islam itu sendiri. Akhirnya, mahasiswa semakin jauh dari Islam dan ajarannya. Benarlah apa yang disebutkan oleh Allahyarham Syeikh Abu Hassan Ali An-Nadawi, “Krisis iman dan akhlak yang berleluasa di kalangan umat Islam telah menyebabkan wujudnya jurang yang semakin jauh antara sikap dan tingkah laku umat Islam berbanding ajaran Islam yang suci dan mulia”.

2- Penjenamaan Islam dengan pelbagai konsep mengikut pemikiran kelompok-kelompok tertentu.

Kemunculan pelbagai jenis konsep Islam di era pemerintahan negara masakini turut memberikan kesan kepada masyarakat kampus. Konsep-konsep ini menambahkan kekeliruan kepada mereka untuk mengenalpasti Islam yang sebenar. Memetik kenyataan Hisyamudin Rais di dalam satu forum bersama siswa-siswi Malaysia di Amerika, “ Di Malaysia kini terdapat dua kumpulan besar yang berlumba-lumba untuk membukti siapa lebih Islam”. Doktrin-doktrin seperti ‘equality of gender’, ‘morality cannot be legislated’ yang terhasil dari konsep pluralisme, liberalisme dan pelbagai lagi berlegar-legar di kalangan masyarakat khususnya mahasiswa.

Berbekalkan kecetekan ilmu pengetahuan agama dari sistem pendidikan negara yang ada, mereka tidak dapat melawan arus serangan ideologi dan pemikiran yang menerjah masuk. Tambahan pula, unsur-unsur yang mengelirukan ini bebas tersebar di dada-dada media ‘mainstream’ dan picisan seolah-olah mendapat ‘green light’ melalui tangan mereka yang berkuasa.

3- Keterbatasan suara dan tindakan akibat belenggu AUKU 1971 dan akta-akta drakonian yang lain.

GMI juga terpaksa berhadapan dengan akta-akta yang membataskan kehendak mereka untuk bersuara. Berlaku pencabulan yang serius terhadap hak asasi mahasiswa sepanjang tahun 2004 khususnya yang menyentuh soal hak berkumpul, hak menyatakan pendirian dan pandangan, hak berpersatuan, hak menyertai sebarang program dan hak berpolitik.

Secara keseluruhannya seramai 50 orang mahasiswa telah dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti disebabkan kesalahan di bawah AUKU sepanjang 2004, sedangkan para mahasiswa yang terlibat hanya menterjemahkan hak mereka sebagaimana yang diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1951. Selain itu kes sebelum ini yang melibatkan 7 mahasiswa (ISA 7) masih berlarutan hampir mencecah 6 tahun. Hak untuk mendapat pendidikan ke atas ketujuh-tujuh mangsa dinafikan sepanjang tempoh berkenaan walaupun mahkamah masih belum memutuskan apa-apa keputusan ke atas mereka. Mereka telah menjadi mangsa hukuman zalim dengan digantung pengajian walaupun mahkamah masih belum mensabitkan mereka dengan sebarang kesalahan.

Seperkara lagi yang mendukacitakan, biarpun banyak tindakan yang telah dibuat samada dengan Kementerian Pengajian Tinggi, pihak pentadbiran universiti mahupun pihak SUHAKAM, tiada sebarang kemajuan yang benar-benar konkrit dicapai bagi membela hak asasi mahasiswa. Pada masa yang sama terdapat beberapa pihak khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar terus angkuh mengugut mahasiswa dengan AUKU sekiranya mereka meneruskan beberapa tindakan untuk hak mahasiswa sendiri.

Apa yang berlaku jelas bertentangan dengan salah satu cabaran Wawasan 2020 dan ciri asas Islam Hadhari yang ingin melahirkan masyarakat yang berjiwa bebas dan pengamalan demokrasi yang matang.

4- Fenomena ‘compleasant’ dan ‘culture of fear’ di kalangan mahasiswa Islam.

Mahasiswa Islam masakini dilihat masih belum keluar dari ‘comfort zone’ yang membelenggu. Suasana di sekeliling yang membolehkan mereka melaksanakan ibadah harian dianggap sudah mencukupi walhal betapa banyak lagi syariat Allah SWT yang belum dikuatkuasakan. Sikap ‘ketidakpedulian’ terhadap suasana di luar menyebabkan mereka tidak mengendahkan bagaimana status Islam pada kaca mata rakan-rakan yang lain.

Di samping itu, ketakutan terhadap ancaman tindakan dari pihak universiti turut menghantui diri mahasiswa sehingga mereka mengambil sikap ‘membisu dan memekakkan telinga’. Mahasiswa tanpa disedari menjadi golongan yang bersikap ‘YES BOSS’, pasif, dan ‘dependent’.

 

PERANAN GMI DALAM MENGUPAYAKAN KEMAJUAN ISLAM

Beberapa cabaran utama di atas haruslah diambil kira sebagai pertimbangan sebelum GMI melaksanakan agenda memartabatkan Islam di Malaysia. Justeru, setiap modus operandi yang diambil haruslah bertitik tolak dari kefahaman tepat yang terhasil dari ‘qiraatul zuruf’. Antara peranan penting yang mesti dimainkan oleh GMI dalam kondisi semasa adalah;

1- Menjadi agen dakwah kepada massa secara ‘independent’.

2-Melibatkan diri melalui sumbangan fikiran dan tenaga kerja terhadap sebarang aktiviti yang boleh memberikan kesan positif terhadap Islam dan umatnya membabitkan sebarang pertubuhan samada parti politik, badan bukan kerajaan, persatuan, kelab dan sebagainya.

3-Memimpin ‘front-front’ mahasiswa yang lain sama ada Islam atau bukan Islam.

4-Menjadi ‘pemberat’ kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh mana-mana pertubuhan Islam.

5-Menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat di peringkat ‘grassroot’.

 

AGENDA PEMERKASAAN GMI

Untuk membawa peranan yang sangat besar ini, penulis ingin menggagaskan 4 paksi utama ke arah memperkasakan GMI.

1- Memperkasa aqidah dan fikrah.
Setiap anggota GMI perlulah mempunyai kekukuhan aqidah yang menjadi paksi utama kepada perjuangan Islam. Keutuhan tunjang aqidah ini sangat berkait rapat dengan kejelasan fikrah perjuangan. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi di samping kepercayaan kepada qiadi sangat diperlukan demi menjamin kelancaran gerak kerja mengikut hala tuju gerakan yang dibawa. Agenda pentarbiahan mesti dijadikan tumpuan utama secara besar-besaran untuk memulihkan semula kekuatan aqidah dan fikrah yang kian longgar kebelakangan ini.

2- Memperkasa ilmu dan kepakaran.

Anggota GMI hari ini bukan sahaja perlu mendalami ilmu fardhu ain yang menjadi kewajipan, tetapi pada masa yang sama perlu menekankan ilmu fardhu kifayah dalam bidang ekonomi, teknologi, perundangan dan seumpamanya untuk memantapkan lagi jentera perjuangan mahasiswa Islam. Perlu dititik beratkan di sini bahawa anggota GMI perlu menguasai kepakaran dalam bidang masing-masing. Di samping itu, anggota GMI perlu mempunyai kompetensi (skill-sets) iaitu kepakaran dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat, komunikasi, dakwah dan teknikal organisasi.

Anggota GMI pada masa yang sama perlu mempelajari ‘soft skills’ seperti ‘public speaking’, ‘problem solving’, ‘critical thinking’, ‘decision making’ dan sebagainya. Mereka juga perlu berusaha mempelajari ‘triple langguages’ (B. Melayu, B. Inggeris dan B. Arab).

3- Memperkasa sikap, minda dan pemikiran.

Keupayaan minda sangat penting kerana ia boleh memandu orientasi gerakan GMI. Justeru, persiapan minda yang menyeluruh perlu dibuat berdasarkan 6 Fiqh yang telah digagaskan oleh Dr. Yusuf Al- Qaradhawi:

-Fiqh Awlawiyat
-Fiqh Muwazanat
-Fiqh Ikhtilaf
-Fiqh Nusus
-Fiqh Waqi’
-Fiqh Taghyiir

Sandaran fiqh ini sangat penting di samping memiliki ‘qiraatul zuruf’ yang tajam, keupayaan menguasai isu-isu semasa , kemampuan berijtihad, bertindak mengikut rentak ‘mu’asir’ tetapi mempunyai kesan yang ‘istiqbaliy’. Anggota GMI tidak seharusnya dipandang sebagai ‘jaguh kampung’ tetapi membuktikan mereka boleh menjadi juara di gelanggang musuh.

4-Memperkasa strategi dan methodologi.

Anggota GMI perlu memahami realiti masyarakat Malaysia dalam agenda mempromosi Islam. Penampilan yang meyakinkan disusuli dengan imej ‘moderate’ anggota GMI sebagai pendakwah mampu menarik masyarakat kampus mendekati Islam. Mereka harus memahami kelompok sasaran agar metodologi dakwah tidak menjarakkan kita dengan mad’u.

Front-front GMI juga perlu sentiasa berbincang khususnya dalam isu yang berkaitan dengan ‘survivor’ Islam dan penganutnya. Kesepaduan ini sangat diperlukan untuk mewujudkan suara yang lebih besar seterusnya memberikan impak yang lebih berkesan.

PENUTUP

Adalah menjadi perkara yang malang bagi GMI sekiranya masih lagi leka dengan pendekatan ‘stereotype’ warisan daripada generasi yang lalu. Kita harus berada pada zaman kita berdiri agar setiap pendekatan yang dibawa terus relevan mengharungi perubahan masa. Semoga kertas kerja ringkas ini sedikit sebanyak boleh memberi lontaran dan muhasabah kepada seluruh anggota GMI dalam membawa amanah mendaulatka Islam di muka bumi Allah SWT ini.

——————————————————————————–

[1] Zainulfaqar Yaakob, Gerakan Mahasiswa Islam UM; Sumbangan dan Cabaran di Abad ke-21

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 96 other followers

September 2014
I S R K J S A
« Okt    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Arkib

Categories

Media AlTernatiF

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 96 other followers

%d bloggers like this: