Penghayatan Prinsip Hisbah dan Urus Tadbir yang Baik di Malaysia

5

oleh Mohamad Ezam Mohd Nor*

Abstrak

Manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dipertanggungjawabkan untuk menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Namun manusia mempunyai kecenderungan untuk lalai dan lupa. Pemerintah yang memegang peranan untuk memelihara kebajikan rakyat dan negara, menegakkan pemerintahan yang adil dan menyuburkan kegiatan ekonomi juga sering lalai daripada peranan asas ini. Malah lazimnya mereka yang memegang kuasa, cenderung untuk korup dan menyalahgunakan kuasa. Adalah menjadi tanggungjawab umat untuk mengingatkan mereka. Di dalam tradisi Islam, Hisbah ialah instrumen khusus untuk memainkan peranan membetulkan kepincangan bagi memastikan ma’ruf ditegakkan dan mungkar dicegah. Meskipun Hisbah kini diinstitusikan di beberapa negara-negara Arab, Afrika, sebahagian daripada Pakistan dan di sesetengah wilayah Indonesia, tujuannya lebih untuk mengawasi masyarakat daripada melanggar shariat.

Kertas kerja ini ialah satu kajian ringkas untuk meneliti peranan Hisbah bagi menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar di dalam pentadbiran negara.

Hisbah tidak memerlukan kepada penubuhan sebuah jabatan atau kementerian khusus untuk berfungsi. Sebaliknya prinsip-prinsip Hisbah perlu menjadi panduan, diterapkan dan dilaksana oleh agensi-agensi sedia ada seperti Badan Pencegah Rasuah, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Di semua organisasi pengawasan ini perlu dipastikan wujud kepatuhan kepada prinsip Hisbah (Hisbah Compliant). Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu patuh kepada prinsip Hisbah dan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada agensi-agensi ini untuk melaksanakan tugas. Tidak ada sebarang sebab untuk kerajaan menghalang Hisbah daripada berfungsi, melainkan jika pemimpin kerajaan terlibat mempunyai motif untuk menyeleweng atau mempunyai rahsia-rahsia salahguna kuasa yang cuba diselindungi. Apabila Hisbah dibenarkan berfungsi, ia akan dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan negara dengan memastikan kerajaan tidak menyeleweng daripada peranan sebenar.

Asas Sistem Hisbah

Matlamat Hisbah ialah untuk melaksanakan perintah Allah subhanahuwataala menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Dua peranan ini adalah merupakan tugas manusia di muka bumi.

“Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang menyeru manusia kepada kebajikan dan yang menyuruh manusia berbuat segala perkara baik dan melarang manusia daripada segala perkara buruk. Dan manusia yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Ali Imran: 104)

Malah al-Quran menyatakan ciri ini ialah sifat asasi umat mutakhir ini yang dinyatakan sebagai umat terbaik.

“Kamu ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”(Ali Imran: 110)

Amalan Hisbah Di Zaman Awal Islam

Pelaksanaan Hisbah di dalam tradisi Islam bermula sejak dari zaman Rasulullah lagi. Baginda telah melantik pegawai-pegawai untuk mengawasi perjalanan pasar dan urusan perdagangan. Mereka ini digelar ‘Penyelia Pasar’ (Sahib as-Suq) atau ‘Petugas di Pasar’ (al-Amil fil-Suq)[1]. Bidang tugas mereka pada masa itu bertumpu kepada memastikan tidak berlaku penindasan atau penipuan dan semua pihak patuh kepada sistem timbangan dan sukatan atau dengan erti kata lain menjamin berlaku keadilan di dalam urusniaga. Amalan ini diambil serius oleh para Khalifah ar-Rasyidin seterusnya. Adalah diriwayatkan bahawa Umar ibn al-Khattab dan Ali ibn Abi Talib sendiri pernah menjalankan tugas mengawasi perjalanan pasar ini. Menjelang akhir pemerintahan Umayyah, gelaran petugas ini bertukar kepada Muhtasib.

Pelaksanaan sistem ini berterusan sepanjang pemerintahan Islam. Terdapat pelbagai penulisan yang membicarakan prinsip dan pelaksanaan sistem Hisbah samada yang membicarakan Hisbah secara khusus seperti Al-Hisbah fil-Islam oleh Ibn Taimiyah atau karya-karya mengenai fiqh dan pemikiran politik Islam yang membicarakan soal Hisbah di dalamnya seperti Ahkam al-Sultaniyah oleh al-Mawardi dan Ihya Ulum ad-Din oleh Imam al-Ghazali. Malah karya-karya umum yang membicarakan Islam secara menyeluruh juga seringkali memuatkan topik Hisbah di dalamnya. Terdapat juga karya yang merupakan manual atau panduan secara praktis di dalam melaksanakan Hisbah. Salah satu karya berbentuk manual kerja sebegini yang dianggap terhebat ialah Nihayat at-Rutbah fi Talab al-Hisbah oleh as-Syaizari yang ditulis sebagai panduan untuk Sultan Salahuddin al-Ayubi.

Kewujudan berpuluh-puluh atau mungkin ratusan karya ini adalah cerminan betapa topik Hisbah diberikan perhatian khusus dan penting. Malah pengamatan terhadap karya-karya ini memberikan gambaran jelas bagaimana pemerintah-pemerintah Islam melaksanakan Hisbah dengan serius.

Keperluan Manusia kepada Pengawasan

Manusia sememangnya mempunyai kecenderungan untuk lupa dan lalai daripada tanggungjawab mereka. Kerana itu manusia perlu kepada sistem pengawasan dan peringatan. Islam menetapkan bahawa terdapat dua bentuk utama pengawasan ke atas manusia. Pertama pengawasan dalaman ke atas diri sendiri dengan menanamkan kesedaran dan rasa tanggungjawab ke dalam diri seseorang ketika melakukan urusan harian. Kedua ialah melalui pengawasan yang bertujuan mengingatkan mereka apabila mereka lupa dan lalai; atau dengan kata lain ketika pengawasan peringkat pertama tidak memadai dan individu tersebut mula melanggar peraturan dan larangan.

Kecenderungan manusia untuk lalai dan lupa ini jelas kelihatan daripada wujudnya sistem pengawasan dan penilaian di dalam Islam, yakni melalui tugasan dua malaikat, yang merekodkan setiap tindakan manusia untuk dibalas – amalan baik dengan ganjaran dan amalan jahat dengan hukuman.

“Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah akan dilihat-Nya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihat-Nya” (al-Zalzalah: 7-8)

“Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawasi dan membalas.” (al-Fajr: 14)

“Tiada sebarang perkataan yang dilafaz melainkan ada di sisinya malaikat yang sentiasa sedia memerhatikan dan mencatatnya.” (Qaaf: 18)

“Hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa-apa yang telah disediakan (daripada amalan-amalannya) untuk hari esok (Hari Akhirat).” (al-Hasyr: 18)

Setiap individu memikul tanggungjawab untuk pengawasan peringkat pertama terhadap dirinya sendiri. Namun masyarakat memikul tanggungjawab bersama untuk saling ingat mengingati satu sama lain apabila berlaku pelanggaran syariat dan hukum. Apabila berlaku penyelewengan, korupsi dan kepincangan ia tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan dan peringatan kepada pihak yang melakukannya. Sistem semakan sebegini sewajarnya diterima baik oleh setiap pihak dan tidak pula menimbulkan permusuhan terhadap pihak yang menegur.

Keperluan untuk tegur menegur dan melarang perbuatan mungkar ini adalah amat kritikal dan diberikan perhatian yang berat di dalam Islam. Malah manusia diingatkan bahawa kegagalan melaksanakannya akan mendatangkan natijah yang sangat buruk.

“Orang-orang kafir Yahudi telah dilaknat melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Hal ini berlaku kerana mereka menderhaka dan selalu menceroboh serta tidak saling larang melarangi perbuatan (buruk) yang dilakukan oleh mereka. Sesungguhnya amat buruk perbuatan yang telah dilakukan mereka.” (al-Maidah: 78-79)

Terdapat empat tahap pengawasan di dalam sistem pengurusan Islam.

-Pengawasan diri sendiri (al-raqabat al-zatiah).
-Pengawasan Ilahi.
-Pengawasan oleh masyarakat (al-raqabat al-mujtama’).
-Pengawasan oleh pihak berkuasa (al-raqabat al-sultan al-rasmiah).

Dua tahap pertama wujud secara alamiah, secara sedia ada. Namun pengawasan oleh masyarakat dan pihak berkuasa perlu diwujudkan mekanismenya. Masyarakat memikul tanggungjawab untuk mengawas tindakan sesama rakyat. Pada masa yang sama masyarakat diberikan hak yang dijamin dan tanggungjawab untuk mengawasi perjalanan kerajaan dan tindak-tanduk para pemimpin[2]. Pengawasan ini yang membawa maksud teguran dan kritikan berasas terhadap pemimpin sentiasa dialu-alukan oleh Islam, khususnya seperti yang ditunjukkan oleh para Khalifah al-Rasyidin.

Pengawasan oleh pihak berkuasa memerlukan kepada agensi dan institusi. Hisbah ialah suatu sistem dan institusi yang wujud untuk tujuan pengawasan ini. Bagaimanapun selaras dengan penekanan Islam terhadap keperluan untuk pengawasan dalaman, Hisbah bukan hanya terhad kepada menjadi satu instrumen kerajaan untuk mengawasi kegiatan rakyat, tetapi pada masa yang sama ia adalah instrumen penting untuk mengawasi dan mengawal perjalanan jentera kerajaan dan tindakan-tindakan pemimpin kerajaan itu sendiri.

Pelaksanaan Hisbah di Zaman Mutakhir

Hisbah ketika ini diamalkan sebagai institusi di beberapa negara Arab dan Afrika. Pada tahun 2003 Wilayah Northwest Frontier di Pakistan telah meluluskan undang-undang Shariah yang mempunyai peruntukan untuk mewujudkan institusi Hisbah. Di Indonesia, beberapa daerah telah memperkenalkan Peraturan Daerah yang bertujuan menguatkuasakan Shariah dan terdapat di dalamnya peruntukan untuk institusi Hisbah.

Namun pelaksanaan Hisbah dewasa ini cenderung untuk bertumpu kepada mengawasi individu dan mencegah mereka daripada melakukan maksiat. Meskipun ini adalah salah satu sektor yang perlu diberikan perhatian oleh masyarakat Islam, adalah utama untuk mempraktikkan Hisbah bagi memastikan pemerintah patuh kepada peraturan dan undang-undang. Rakyat mempunyai kewajipan untuk mencegah sebarang kemungkaran dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan.

Banyak khazanah penulisan mengenai Hisbah menumpukan kepada menangani masalah kebejatan moral, membanteras perbuatan menipu dalam perniagaan serta kerja-kerja kemahiran, menjamin keperluan serta kebajikan rakyat dipenuhi dan memastikan keselamatan serta keharmonian kehidupan rakyat. Namun tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang masyhur seperti al-Ghazali, Ibn Ukhuwwah dan Ibn Taimiyah memberi perhatian kepada panduan untuk mengawasi urusan pentadbiran dan perjalanan jentera kerajaan, termasuk tingkah laku para pemimpin[3].

Fungsi utama Hisbah yang jelas kelihatan pada awalnya ialah untuk mengawasi perjalanan urusan perdagangan. Oleh kerana pada zaman itu, negara tidak terlibat secara aktif di dalam bidang ekonomi, tumpuan diberikan kepada memastikan urusan jual beli dilakukan secara adil dan saksama antara peniaga. Fungsi ekonomi negara pada zaman awal Islam adalah untuk mengutip zakat dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan (asnaf). Malah pada zaman awal, negara Islam tidak mempunyai tentera secara tetap (standing army) dan tentera sukarela dikerah apabila diperlukan. Pembiayaan pasukan tentera ini juga dilakukan melalui sumbangan rakyat. Perkembangan tamadun Islam dan peluasan wilayah Islam menyaksikan bagaimana kerajaan memainkan fungsi ekonomi yang semakin besar.

Kerajaan pada hari ini memainkan peranan yang sangat besar dan aktif di dalam perjalanan ekonomi negara. Malah di Malaysia, kerajaan terlibat secara aktif di dalam perdagangan melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melibatkan urusniaga bernilai berbilion-bilion ringgit.

Syawqi Abduh as-Sahi di dalam Muraqabah al-Muwazanah al-`Amah lil-Daulah fi Dhau’i al-Islami telah menulis mengenai kepentingan Hisbah untuk mengawasi peranan kerajaan mengendalikan ekonomi negara. Hisbah perlu agar diperhalusi perbelanjaan kerajaan dan sumber-sumber pendapatan negara. Malah beliau berhujah bahawa muhtasib bertanggungjawab memastikan tidak berlaku pembaziran supaya kekayaan negara dapat dinikmati oleh rakyat yang berhak. Apabila kerajaan gagal memainkan peranan secara berkesan, muhtasib perlu mendedahkan perkara ini dan mengambil tindakan untuk menguraikan kekusutan yang berlaku[4].

Muhammad Akram Khan pula menegaskan bahawa Hisbah pernah berperanan mencorakkan kegiatan ekonomi dari segi menjamin keadilan, mewujudkan kecekapan dan mengawal harga, bekalan, kemudahan kredit, hak milik dan penggunaan sumber tenaga manusia[5].

Majlis Islam Eropah (Islamic Council of Europe) yang dipimpin oleh ulama terkemuka ketika ini Syeikh Yusuf Qaradhawi memberikan perhatian kepada peranan Hisbah untuk mengawasi perjalanan kerajaan. Di dalam A Model for an Islamic Constitution yang diterbitkan pada tahun 1983, Hisbah telah diletakkan di bawah satu bab khusus (bab keenam) daripada 16 bab. Model ini telah menganjurkan agar Hisbah menjadi salah satu jentera utama kerajaan selain daripada ketua negara (imam), hakim, majlis syura, badan pertahanan, majlis ulama dan majlis tertinggi perlembagaan. Majlis Islam Eropah telah menyatakan bahawa peranan institusi Hisbah ialah untuk melindungi hak individu, menyiasat tuduhan dan mengawasi perjalanan kerajaan[6].

Penghayatan Prinsip Hisbah di Malaysia

Pelaksanaan Hisbah di Malaysia tidak memerlukan kepada pewujudan sebuah institusi khusus. Telah sedia wujud pelbagai agensi yang sememangnya bertujuan untuk mengawasi perjalanan kerajaan. Namun malang sekali agensi-agensi ini tidak dibenarkan berfungsi dengan berkesan.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) misalnya mempunyai peranan mengawasi kerajaan agar tidak berlaku kegiatan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. Tetapi BPR tidak dapat berfungsi kerana ia diletakkan di bawah pengawasan Perdana Menteri. Malah sebarang tindakan BPR terhadap pemimpin kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri. Ini terbukti apabila BPR, setelah melakukan siasatan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik, mendapati terdapat cukup bukti untuk mendakwa mereka, tetapi tindakan tidak dapat diambil kerana campurtangan Perdana Menteri.

Negara juga pernah digemparkan dengan pendedahan oleh Bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Syafie Yahya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menghalang tindakan ke atas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Ali Abul Hassan Suleiman meskipun BPR telah menjalankan siasatan yang rapi dan mempunyai cukup bukti untuk mendakwa beliau. Malah semasa pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi, Rais Yatim ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang pernah mengumumkan bahawa terdapat kes-kes korupsi yang melibatkan 18 individu berprofail tinggi, namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan atau perkembangan mengenainya diumumkan.

Ternyata BPR dan pihak berkuasa menghadapi sekatan dan kekangan politik. Prinsip Hisbah perlu diterapkan di dalam BPR dengan memberikan kebebasan penuh kepada BPR untuk melaksanakan tanggungjawab mengawasi perjalanan seluruh institusi kerajaan di semua peringkat. BPR perlu mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan pendakwaan tanpa memerlukan ‘lampu hijau’ daripada mana-mana pihak. Sebagai langkah pertama, BPR mestilah diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan bukan lagi Jabatan Perdana Menteri. Dengan cara ini BPR akan bebas daripada kongkongan dan campurtangan cabang eksekutif khususnya oleh Perdana Menteri sendiri.

Beberapa institusi lain juga boleh dan perlu memainkan peranan sebagai instrumen Hisbah.

Jabatan Audit Negara selama ini telah mendedahkan kepincangan-kepincangan dan salah urus kewangan yang berlaku di dalam kementerian-kementerian dan kerajaan-kerajaan negeri. Namun ia tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Prinsip Islam mempertegaskan kefardhuan agar tindakan diambil untuk membetulkan kepincangan di dalam pengurusan kewangan dan kekayaan negara. Ini adalah sangat asasi kerana penyelewengan dan pembaziran akan menafikan hak rakyat dan sekaligus menzalimi mereka. Malah ia akan membantutkan pertumbuhan negara itu sendiri.

Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pula perlu memainkan peranan untuk memastikan hak rakyat tidak dinafikan dan ditindas. Kedua-dua institusi ini perlu berfungsi sebagai saluran alternatif untuk rakyat mengemukakan aduan mengenai penganiayaan ke atas mereka yang tidak diberikan perhatian oleh kerajaan.

Di dalam tradisi Islam, pernah wujud Diwan al-Mazalim yang berperanan menerima aduan daripada mereka yang dizalimi dan mengambil tindakan sewajarnya. Peranan institusi ini adalah sebagaimana fungsi polis sekarang. Mereka adalah barisan pertama untuk mencegah kezaliman dan penindasan dan jika perlu mengadukannya kepada Qadhi (mahkamah) agar diadili pihak yang terlibat.

Namun polis seringkali tidak dapat berfungsi dengan baik untuk memenuhi keperluan ini kerana terdapat sekatan. Oleh yang demikian, institusi seperti Biro Pengaduan Awam dan SUHAKAM adalah sangat penting sebagai saluran alternatif kepada rakyat apabila aduan mereka tidak dipedulikan.

SUHAKAM sebenarnya telah diperuntukkan kuasa meluas untuk melaksanakan siasatan dan semua pihak diperlukan oleh undang-undang untuk memberi kerjasama dengan SUHAKAM. Namun realitinya ialah agensi dan jabatan kerajaan seringkali enggan mendedahkan maklumat yang diperlukan SUHAKAM kerana tertakluk kepada undang-undang yang menyekat kebebasan maklumat. Malah kerajaan Malaysia sehingga ke hari ini masih enggan menggubal Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) sedangkan penguatkuasaan akta ini di beberapa negara asing telah terbukti memberi kesan signifikan untuk menyekat korupsi dan salahguna kuasa[7].

Kerajaan sebenarnya tidak mempunyai kejujuran politik (political honesty) di dalam menubuhkan SUHAKAM. Ia diwujudkan sebagai satu usaha perhubungan awam (PR) antarabangsa kerana negara-negara lain telah menubuhkan suruhanjaya seumpamanya. Ini jelas kelihatan apabila usaha peringkat awal penubuhan SUHAKAM diletakkan di bawah seliaan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Tiadanya kejujuran di pihak kerajaan ini jelas kelihatan apabila sehingga kini usaha-usaha untuk membahaskan laporan SUHAKAM di Parlimen terus-terusan ditentang oleh kerajaan.

Setakat ini, berpuluh-puluh aduan dan laporan telah dibuat kepada BPR dan Polis DiRaja Malaysia mengenai perlakuan jenayah dan korupsi, khususnya yang melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan. Namun tidak ada sebarang tindakan diambil. Sikap bena tak bena kerajaan di dalam mengendalikan aduan-aduan ini menunjukkan tiadanya iltizam politik (political will) di pihak pemerintah untuk membasmi korupsi. Justeru instrumen-instrumen Hisbah yang sedia wujud di negara ini mesti diperkasakan dan bersedia memainkan peranan untuk memastikan keadaan sebegini tidak berterusan.

Kegagalan atau lebih tepat keengganan untuk bertindak ke atas kes-kes korupsi dan jenayah berprofil tinggi adalah petanda-petanda awal sebuah negara yang gagal (failed state). Jika diamati sejarah negara-negara yang menghadapi masalah dan kucar-kacir, ciri-ciri ini sememangnya wujud.

Urustadbir Yang Baik dan Kelangsungan Umat

Pelaksanaan prinsip-prinsip Hisbah akan membawa kepada urustadbir yang baik (good governance) di dalam kerajaan. Seterusnya kerajaan akan dapat berfungsi dengan amanah dan cekap. Ini adalah sangat penting bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melaksanakan tiga peranan utama sebuah kerajaan seperti yang digariskan oleh Ibnu Taimiyah iaitu (i)memastikan terpeliharanya kebajikan rakyat dan negara; (ii)mewujudkan pemerintahan yang adil; dan (iii)menyuburkan kegiatan ekonomi.

Seharusnya kerajaan tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan daripada rakyat. Kerajaan hanya perlu kepada kerahsiaan yang melampau di dalam semua perkara hanya apabila ada tindakan-tindakan pemimpin kerajaan yang cuba diselindungi. Di dalam keadaan ini, mereka perlu kepada Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Cetak dan Penerbitan dan pelbagai akta lain yang menindas dan menyekat rakyat. Ini ternyata bertentangan dengan prinsip ketelusan yang dianjurkan oleh Islam.

Sebaliknya, kerajaan mempunyai kewajipan untuk memastikan institusi-institusi Hisbah menjadi institusi yang berpengaruh dan digeruni serta bebas daripada tekanan dan campur tangan kerajaan. Hanya dengan cara ini, institusi Hisbah dapat dimanfaatkan oleh kerajaan untuk memajukan dirinya sendiri. Seharusnya kerajaan yang ada pada masa ini mengambil iktibar daripada sejarah awal Islam, yakni contoh tauladan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar Ibn al-Khattab ketika menjadi khalifah yang secara terang-terangan menggesa umat Islam yang dipimpin mereka untuk memberikan teguran dan kritikan sekiranya mereka tidak menjalankan tugas dengan baik.

Kewujudan institusi Hisbah di dalam tradisi Islam ialah bukti nyata bagaimana Islam mahukan ketelusan. Kegagalan kerajaan untuk mengaplikasikan prinsip-prinsip Hisbah akan terus mengakis wibawa kerajaan kerana akan melahirkan elit politik yang tanpa segan silu menyalahguna kuasa untuk kepentingan sendiri.Ini akhirnya akan membawa kepada keadaan kucar-kacir dan kehancuran negara.Ibn Khaldun didalam bukunya Muqaddimah menukilkan bahawa tanda-tanda keruntuhan tamadun sesuatu bangsa itu apabila pemimpin-pemimpin ‘ hidup mewah dan berkejar-kejar dengan kemewahan’ dan mereka bebas melakukannya.

Hisbah ialah sebahagian daripada konsep keadilan di dalam Islam. Istimewanya keadilan di dalam Islam ialah ia sama sekali tidak mengenal pilih kasih. Keadilan dilaksanakan tanpa mengambilkira latar belakang atau kedudukan mereka yang terlibat. Malah hubungan kekeluargaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk melonggarkan pentadbiran keadilan dan pelaksanaan hukum, sebaliknya setiap pihak harus diadili tanpa gentar atau pilih kasih.

Di dalam hadith yang masyhur, Rasulullah (s.a.w) bersabda:

Sesungguhnya umat silam telah binasa (akibat amalan diskriminatif), apabila orang besar (berkedudukan) mencuri mereka dibiarkan, tetapi apabila orang kecil yang mencuri mereka dijatuhi hukuman had (hudud). Demi Allah, andainya Fatimah puteri Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong tangannya!”

Peristiwa yang mendorong Rasulullah mengungkapkan ayat ini ialah apabila seorang wanita bangsawan, Fatimah al-Makhzumiyah yang ditangkap mencuri emas daripada Baitulmal. Kaum keluarganya dari kalangan bangsawan cuba melobi Rasulullah melalui anak angkat kesayangan Baginda, Zayid ibn Harithah, agar si pencuri dilepaskan daripada hukuman. Percubaan menggugat prinsip keadilan ini benar-benar menimbulkan kemarahan Rasulullah. Begitu sekali Baginda tegas menolak amalan pilih kasih dan melebih-lebihkan anak pinak dan kaum keluarga masing-masing.

Malang sekali di zaman kita ini, dua individu yang pernah dan sedang memegang tampuk pemerintahan negara ini, Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri terlibat di dalam pertelingkahan bukan kerana hendak menegakkan keadilan tetapi sebaliknya mempertikaikan tindakan masing-masing menggunakan kuasa untuk memperkaya anak dan menantu masing-masing. Dan sebarang usaha untuk membawa ahli keluarga mereka yang ke muka pengadilan ditentang habis-habisan.

Perjuangan Utama Umat Masa Kini

Bagi menjamin masa depan negara yang lebih baik, rakyat perlu bertindak menuntut agar kerajaan melaksanakan sepenuhnya prinsip Hisbah di dalam pentadbiran negara. Sebagai umat Islam, tuntutan ini adalah kewajipan yang mesti kita penuhi. Selagimana prinsip ini tidak diaplikasikan, rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kepincangan kerajaan tidak akan dapat dihentikan. Ini sudah tentu merupakan suatu kemungkaran yang sangat besar.

Oleh yang demikian adalah menjadi fardhu ke atas kita untuk menjadikan perjuangan ini sebagai perjuangan utama. Keengganan atau kegagalan berbuat demikian dengan nyata adalah petanda kelalain umat atau sebagai bukti kelemahan iman.

Di dalam sebuah hadith yang masyhur, Rasulullah (s.a.w) bersabda:

“Apabila kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah kamu cegah ia dengan tangan (kuasa). Jika tidak mampu, dengan lisan. Jika tidak mampu, dengan hati. Dan itulah selemah-lemah iman.”

Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi ditubuhkan atas kesedaran ini. GERAK melihat rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah barah paling bahaya yang melanda umat hari ini. Kesan bahaya ini sudah kita ketahui dengan jelas. Ia mampu meruntuhkan dan memusnahkan tamadun sebagaimana ia memusnahkan tamadun-tamaduan umat Islam yang terdahulu.

Oleh yang demikian, GERAK mengajak segenap lapisan masyarakat, khususnya pemimpin-pemimpin dan institusi-institusi Islam – samada di dalam atau di luar kerajaan – untuk menjadikan perjuangan membanteras rasuah sebagai perjuangan utama mereka.

——————————————
Bibliografi

  1. Auni Bin Haji Abdullah (2000). Hisbah dan Pentadbiran Negara. Kuala Lumpur: IKDAS Sdn. Bhd.

  2. Al-Dhahiyan, Abdur-Rahman Ibrahim (1986). Al-Idarah fil Islam. Jeddah: Dar al-Syuruq.

  3. Fathi Abdul Karim (1984). Al-Dawlah wal-Siasah fil-Fiqh al-Islami. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah

  4. Fayid, Abdul Hamid Babjat (1982). “Al-Idarah fil Islam.” Al-Muslim Al-Mu’asir. Bil. 30.

  5. Islamic Council of Europe (1983). A Model of An Islamic Constitution. London: Islamic Council.

  6. Mohamad Ezam Mohd Nor dan Fahda Nur Ahmad Kamar (2006). Kebebasan Maklumat di Malaysia. Petaling Jaya: Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi.

  7. Muhammad Akram Khan (1982). “Al-Hisba and the Islamic Economy.” Lampiran Public Duties in In Islam by Ibn Taimiyah (translated by Mohtar Holland). Leicester: The Islamic Foundation

  8. Al-Sahi, Syawqi ‘Abduh (1983). Muqarabah al-Munawazanah al-‘Amah lil-Daulah fi Dhau’i al-Islami. Maktabah al-Nahdah al-Misriyah al-Qahirah.

  9. Wasfi, Mustafa Kamal (1977). Musannafat al-Nuzum al-Islamiah. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.

——————————————————————————–
Nota Kaki
* Mohamad Ezam Mohd Nor ialah Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK), sebuah badan bukan kerajaan, bukan untuk keuntungan yang memberi fokus kepada usaha mempromosikan demokrasi dan menentang rasuah. Lawati http://www.gerakmalaysia.org

[1] Auni bin Haji Abdullah (2000).

[2] Wasfi (1977: 262-263), Fathi Abdul Karim (1984: 275-276), al-Dhahiyan (1986: 133-134) dan Fayid (1982: 118-119).

[3] Auni bin Haji Abdullah (2000: 154-155).

[4] As-Sahi (1983: 128-132).

[5] Muhammad Akram Khan (1982: 141-147).

[6] Islamic Council of Europe (1983: 1-25).

[7] Mohamad Ezam Mohd Nor dan Fahda Nur Ahmad Kamar (2006).

5 thoughts on “Penghayatan Prinsip Hisbah dan Urus Tadbir yang Baik di Malaysia

  1. fiezarmy berkata:

    salam, mohon izin artikel dirujuk.

  2. Nomi berkata:

    Assalam,
    apa pandangan tuan berkaitan HIsabh dengan audit dalam?

  3. ilham fitrah berkata:

    kandungannya terlalu panjang tpi bernas memang sesuai untuk jiwa remaja

  4. Mustafa Amin berkata:

    Assalamualaikum..
    Tuan, mohon izin dijadikan sebagai rujukan artikel ini. terima kasih

  5. Nur Raudah Adam berkata:

    sangat mumtaz…mohon kongsi unutk membuat tugasan titas..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 96 other followers

September 2014
I S R K J S A
« Okt    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Arkib

Categories

Media AlTernatiF

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 96 other followers

%d bloggers like this: