SUSASTERA Cerpen: 10 puteri tak dilindungi bulan

Tinggalkan komen

Oleh Fatimah Busu

10 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bertemasya di Pantai Sri Pengkalan
Satu kena rogol beramai-ramai
Tinggal lagi Sembilan.

“Apa pasal kamu semua tinggalkan dia seorang diri ? Tidak ajak dia balik dengan kamu semua ?”

“Kami tidak larat hendak tunggu dia lagi, makcik. Dia asyik duduk bercakap-cakap, gelak-ketawa dengan orang-orang lelaki … tiga empat orang …”

“Dia yang suruh kami jalan dulu, makcik. Dia kata akan ikut kami kemudian. Kami ingat dia ikut di belakang kami.”

“Kamu semua memang tidak boleh harap! Bila mahu pergi pandai pula ajak pergi beramai-ramai. Bila balik, tinggalkan anak aku seorang diri.”

“Sudahlah mamanya. Jangan marahkan anak orang. Kita yang benarkan dia ikut pergi. Kalau kita tidak benarkan lainlah cerita.”

“Sekarang sudah jadi macam ni, nanti siapa yang pelahap mahu kahwin dengan dia ? Jantan mana yang pelahap buat bini ?”

“Cepatlah. Kita kena buat report polis segera. Kita kena bawa dia ke hospital … Heh, kamu kenalkah budak-budak jantan yang buat kamu itu ?”

“Kenal … abah …”

“Berapa orang ?”

“Empat …”

“Kamu tahu nama-nama dia ? Tempat tinggal dia ?”

“Seorang saja … yang lain tidak tahu.”

“Sudahlah abahnya! Mari cepat buat report ! “

“Huuuuu … dahsyat betul makcik tu. Anak dia yang gatal, miang macam ulat bulu bila tengok jantan, kita pula yang disalahkan! “

“Makcik tu tak nampakkah pakaian anak dia tu … sudahlah pakai skirt pendek nampak seluar dalam, pakai pula baju pendek dedah perut, tayang belakang. Bukan ada lengan baju, pakai tali sangkut di leher saja macam baju dalam!”

“Baju kita ini pun nampak pusat juga!”

“Sekurang-kurangnya kita pakai seluar jean. Pakai tudung. Nampak pusat pun tak berapa sangat.”

9 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta seks – video lucah di apartmen
Satu sempat dicekup pencegah maksiat
Tinggal lagi lapan.

“Hah! Padan muka si Saman tu … megah sangat anak perempuan dapat bekerja di kota! Jaja serata kampung anak jadi pegawai!”

“Pegawai kilang video lucah! Elok-elok duduk tolong ibu bapa buka kedai, mahu pergi cari kerja di kota. Konon mahu makan gaji.”

“Aku hairan macam mana budak-budak tu boleh jadi tak waras macam tu …. Tidak ada rasa malu aibkah buat kerja begitu! Ramai-ramai pulak tu, bukan seorang-seorang.”

“Nak malu, nak aib ni, kalau ada ilmu agama. Kalau tidak ada ilmu agama, nak rasa malu nak rasa aib apa! Setakat Melayu setakat Islam saja tak jadi apa! Setan-Iblis jadi raja!!!”

“Agaknya emak bapak dia orang tu tidak peduli hukum agama.…”

“Janganlah salahkan emak bapak saja. Mereka kena cari belanja nak tanggung keluarga. Masakan ada masa hendak awasi anak-anak dua puluh empat jam ! Anak-anak yang sudah besar panjang, sepatutnya tahulah bawa diri. Ini tidak. Setiap hari duduk keliling dengan video lucah di mana-mana. Tv pun dua kali lima juga. Dua puluh empat jam duduk tayang benda-benda yang merasuk fikiran orang muda. Lepas itu duduk buat konsert pula sana-sini setiap masa. Mana ibu bapak terdaya hendak kawal semuanya!”

8 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Pergi ke konsert Jom Heboh
Satu hilang ikut jantan
Tinggal lagi tujuh.

“Macam mana ayahnya! Sudah lima hari dia tak balik-balik … saya runsing sangat!”

“Hendak buat macam mana lagi. Kita dah buat report polis. Sudah masuk surat khabar. Dah tanya serata keluarga, serata daerah. Dah tanya kawan-kawan dia. Nak buat macam mana lagi ! Nak pergi redah di mana lagi !”

“Esok saya nak pergi jumpa bomoh … tentu bomoh tahu. …”

“Jangan! Jangan buat kerja karut, tu. Silap haribulan, syirik ….”

“Habis ?”

“Kikta tunggu, kita tengok saja. Nanti kalau dia sedar langit itu tinggi, dia balik juga ke rumah.”

7 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi GRO di Kelab Nilam
Satu dibawa pulang oleh pelanggan dan dibunuh
Tinggal lagi enam.

“Ya Tuhan ! Kenapalah mereka buat begini dengan anak aku! Dia seorang anak yang baik. Kuat kerja. Tiap bulan kirim duit ke rumah …bantu ibu bapa. Bantu adik-beradik sekolah! Sekarang siapa lagi yang akan bantu kami!”

“Dunia sekarang memang kejam, puan … anak yang begitu baik pun boleh dikerjakan sampai begitu. Berapa sebulan dia kirim duit kepada puan?”

“Selalunya lima ratus sebulan. Kalau dekat raya, dia kirim sampai seribu. Katanya untuk beli kain baju raya adik-adik ….”

“Dia kerja apa di KL, tu?”

“Katanya pegawai eksekutif syarikat .…”

“Syarikat apa, puan?”

“Kalau tak silap syarikat import eksport … katanya pangsapuri tempat dia tinggal tu bosnya yang bayar … bosnya baik … selalu bagi bonus dua tiga bulan sekali.”

“Oh?”

6 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta arak dan karaoke di kota
Satu terus jadi pelacur
Tinggal lagi lima.

“Hei anak bertuah! Kautengok jam berapa sekarang baru pulang, hah?”

“Baru jam 3.00 pagi lebih sikit. Apa pasal ayah bising-bising tengah malam buta begini?”

“Kaucakap ! Kau buat apa di luar sana tu, hah?”

“Duduk-duduk sembang dengan kawan-kawan di rumah Anis. Tengok video … tak bolehkah? Masakan kena duduk terkelepuk di rumah dua puluh empat jam?”

“Sudahlah ayahnya. Budak tu baru balik. Penat. Biarkanlah dia berehat dulu. Esok bincanglah!”

“Awak pun satu. Suka sangat masuk sebelah anak. Entah dibuat apa-apa di luar tu. Nanti awak jangan pula hendak teriak-tangis! Awak tengok cara dia berpakaian, tu. Hari-hari tukar. Semua jenis yang mahal-mahal! Di mana dia kerobek duit membelinya? Awak tidak sedarkah? Itu, kereta yang dia bawa balik itu, kereta siapa?”

“Dia tu bekerja, bukan?”

“Kerja jadi pembantu kedai, masakan gajinya tiga empat ribu sebulan?”

5 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Satu disuruh seludup dadah dan ditangkap
Tinggal lagi empat.

“Yang Berhormat ! Tolonglah anak saya ! Dia tidak bersalah. Yang Berhormat tentu ada konteks dengan Pesuruhjaya Tinggi Jamaica! Tolonglah hubungi dia bagi pihak kami. Kami tidak tahu hendak buat apa lagi untuk membebaskan anak kami.”

“Saya bukan tidak mahu tolong. Perkara ini bukan perkara kecil ! Lagipun dia ditahan di Jamaica… ada bukti kukuh dadah itu ada dalam beg pakaian dia.”

“Saya sudah kata dia tidak bersalah. Dia kena nyanya teman lelaki dia. Kalau boleh bawa kes itu ke negara ini, bagaimana? Tidak bolehkah?”

“Saya minta maaflah. Saya sudah kata hal ini bukan dalam bidang kuasa saya. Kita nantilah tengok dulu.”

4 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bercinta dengan Mat Hitam Uganda
Satu sudah murtad hendak kahwin
Tinggal lagi tiga.

“Kau ajak aku teman kau ke Jabatan Pendaftaran ini kenapa, Masni?”

“Aku nak tukar nama dalam mykad. Lepas tu minta kebenaran buang perkataan Islam sama!”

“Kenapa ? Eh! Kau pakai rantai salib, Masni? Itukan lambang agama Kristian ?”

“Memang aku sudah masuk Kristian! Dia yang bagi rantai ini. Nama aku sekarang, Madeline.”

“Haaaaaaaa ??? Ya, Allah ! Masni!!!”

Ya, lah. Aku hendak kahwin dengan dia. Dia tidak mahu masuk Islam. Jadi aku kenalah masuk agama dia, Kristian. Aku mahu buktikan kepada dia yang aku betul-betul cintakan dia. Sanggup seberangi lautan api! Sanggup minum racun tikus. Sanggup makan daging babi!”

“Astaghfirullah, Masni! Bagaimana dengan emak, ayah kau? Mereka tahukah?”

“Kalau mereka tahu pun bukan boleh buat apa-apa. Aku sudah lebih dua puluh dua tahun! Aku bukan jadi tanggungan mereka lagi!”

“Kau sudah habis fikirkah? Nanti teruklah emak ayah kau. Mana mereka hendak letak muka bila orang tahu anak mereka sudah murtad?”

“Aku cuma tukar agama saja. Aku bukan tukar ibu bapa! Mereka masih emak ayah aku. Lainlah kalau mereka tidak mahu aku jadi anak mereka lagi.”

“Kalau mereka tidak mahu mengaku kau anak mereka bagaimana?”

“Tidak jadi apa-apa. Aku sudah ada dia. Orang yang paling aku cinta di dunia ini. Hendak buat apa lagi dengan orang lain!”

“Eh ! Eh ! Masni!!! Kau mahu belok ke mana, ni?”

“Aku terlajak. Simpang ke Jabatan Pendaftaran dah terlepas di belakang, tu.…”

Krrrrrrrreeeeeeeeooooookkkk!!! Bummmm!!!

“Woooiii ada kereta eksiden! Mari pergi tolong!”

“Wooohhh! Teruknya lori tu bagi! Sampai melayang pintu drebar!”

“Aku tengok kereta tu buat pusingan U, lori itu rempuh ! Tak sempat brake!”

“Ah, ada yang parah nampaknya … satu lagi nampak okey .…”

“Keluar dek ! Keluar dari kereta, boleh?”

“Bawa kawan saya keluar, dulu … saya okey. Saya boleh keluar sendiri.”

“Mari kita angkat dia ramai-ramai … jaga kaki dia terkepit. Ah, dah patah. Pegang kepala. Oh, dahinya pecah. Hati-hati ! Ah, letak atas rumput di sini.…”

“Aaaarrrrgggg … aaarrrrgggg …..”

“Masni … Mas … Mas… mengucap … mengucap Mas .…”

“Aaarrrggg … aaarrrggg ….”

“Mengucap Mas …ikut saya, mengucap … Laaa ilaaa haillallah … Laaaa ilaaa haillallah .…”

“Laaaa … ilaaaa .…”

“Kata, Laaa ilaaa haillallah …Mas ! Kata, Laaa ila haillallah .…”

“Laaa … ilaaa ….”

“Massss … sebut Laaa ilaaa haillallah, Massss ! Masss… sebut Laaa ilaaa haillallah.…”

“Dia sudah tidak ada lagi dek …”

“Masss ‘sebut Laaa ilaaa haillallah ‘Masss ‘sebut ‘ “

“Dia dah tak ada, dek… dah tak ada lagi !”

“Ah, Mas ‘Mas’ mengapa tidak sebut sampai habis, Masssss … Laaa ilaaa,

tidak ada Tuhan, Massss ! Tidak ada Tuhan … !”

“Sudah, dek ! Ada surat khabar dalam kereta, nak tutup dia ?”

“… Dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Pimpinan al-Rahman, al-Baqarah ayat 217, hal.67)

“Menurut hukum faqeh, orang lelaki yang murtad boleh dihukum bunuh dan orang perempuan pula boleh dipenjarakan …” (Kamus Pengetahuan Islam, Haji Dasuki Ahmad, K/Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah, 1976, hal.238)

3 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Terjebak dengan kumpulan bohsia
Satu ditangkap bunuh bayinya
Tinggal lagi dua.

“Itulah perempuan yang buang bayi dia dekat tong sampah hari itu. Padan muka sudah kena tangkap.”

“Buat kerja pandai. Hendak bertanggungjawab tak pandai. Kalau bagi pada orang lain apa salahnya. Ini dibungkus dalam beg plastik sampah, buang dekat tong sampah ….”

“Dia ingat dia bijak ! CCTV dekat tong sampah itu lagi bijak rakam gambar muka dia.”

“Eloklah kalau Majlis Perbandaran boleh pasang CCTV pada semua tempat buang sampah. Nanti senang hendak tangkap orang yang buang bayi.”

2 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi Minah Rempit bersama Mat Kutu
Satu mati eksiden ketika lumba haram
Tinggal lagi satu.

“Aku hairan sungguh. Macam tidak ada kerja lain dalam dunia ini hendak dibuatnya selain daripada berlumba haram macam ni. Betina pulak tu ! “

“Nak hairan apa, sudah jadi tren orang sekarang. Jadi Mat Rempit, jadi Minah Rempit ini glamor, tau tak?”

“Menyusahkan kerja kita saja. Nak tangkap bukan main susah lagi. Bila kena tangkap, senang-senang dibebaskan. Padan bila sudah ditangkap kenakan hukuman yang berat, jel sampai sepuluh tahun baru dia tahu! Setakat tahan lesen saja, jadi apa!”

“Buat semak dalam jel saja. Aku kata hantar ke pulau. Suruh duduk di situ sampai ke tua. Jangan benarkan balik ke kampung halaman lagi. Hidup pun bukan boleh beri manfaat apa-apa. Buat malu muka saja. Kata Melayu tapi ikut cara hidup orang Amerika. Kata Islam, tapi tak tahu dosa pahala!”

1 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Sangat-sangat susah hati
Termenung-menung seorang diri
Bagai ayam mabuk tahi
Rasa hidup sunyi sepi
Berkurung dalam bilik setiap hari
Ibu bapa tak ambil peduli sibuk ke sana sini
Lalu terjun dari pangsapuri
Langsung diapun mati

“Janganlah kamu membunuh diri kamu /membunuh sesama orang Islam. Sesungguhnya Allah menyayangi kamu. Dan barangsiapa yang berbuat demikian secara menentang dan menganianyai diri, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka, dan hal yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Pimpinan al-Rahman, an-Nisa, ayat 29-30, hal.155)

Puteri Lindungan Bulan, sebuah cerita lisan Kedah Tua tentang seorang puteri keramat yang jadi rebutan Kerajaan Acheh. Dikatakan pusaranya sentiasa terlindung oleh cahaya bulan.

————————-

BIODATA: Dr Fatimah Busu

PENGARANG veteran wanita ini mewarnai dunia sastera tanah air sejak 41 tahun lalu dan pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM). Antara karyanya, Koleksi Cerpen Al-Isra (10 cerpen) membawa persoalan falsafah, politik, agama, unsur mitos dan lagenda dalam sastera Melayu tradisional dengan tanggapan baru. Kumpulan Cerpen Lambaian Tanah Hijau memuatkan 15 cerpen dengan tema kritik sosial dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Belanda, Tamil, Perancis, Mandarin, Jerman dan Vietnam. Kumpulan Puisi Apa Ada Di Sana (2003), Antologi

Cerpen Keajaiban Alam (2004) manakala novelnya, Ombak Bukan Biru (1977), Kepulangan (1980), Salam Maria (2004), The Missing Piece – Bahagian I (2005) dan The Missing Piece – Bahagian II (2006) turut mendapat perhatian pengkaji.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 98 other followers

November 2014
I S R K J S A
« Okt    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Arkib

Categories

Media AlTernatiF

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 98 other followers

%d bloggers like this: