Sindiket jenayah di Malaysia: Semua mengarah ke Putrajaya

Tinggalkan komen

Jun 18, 2007 oleh HermanSamsudeen


Oleh Raja Petra Kamarudin

(Terjemahan artikel “Malaysia’s organised crime syndicate: all roads lead to Putrajaya”)

Di Eropah, kita sering terdengar ungkapan “semua jalan menghala ke Rom”. Di Malaysia pula, “semua mengarah ke Putrajaya.” Sejauh manakah kebenaran ungkapan ini? Apakah ia fakta atau hanya dongeng semata-mata? Malaysia Today akan mencari kebenarannya, setidak-tidak hubungkaitnya dengan operasi sindiket jenayah yang begitu subur dan menguntungkan, termasuk aktiviti pelacuran (terutama menggunakan wanita-wanita dari China), dadah (empat jenis dadah “designer”) dan judi haram (4D dan mesin-mesin slot)

Pada 14 Mei, 2007, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang baru, Ahmad Said Hamdan, telah mengambilalih jawatan tersebut daripada ketuanya Zulkipli Mat Noor yang bersara dalam keadaan mengaibkan. Ini berikutan dakwaan rasuah dan salahlaku seksual. Sekilas pandang perkara itu tidaklah begitu luar biasa. Ini kerana di Malaysia ketua-ketua agensi kerajaan sering juga dipaksa bersara berikutan skandal rasuah dan seksual. Ia suatu yang lumrah, kita mungkin akan berasa sangsi dan mengesyaki sesuatu sekiranya seseorang ketua agensi kerajaan Malaysia meletakkan jawatan dengan rekod yang serba bersih diiringi pelbagai kenangan oleh seluruh lapisan masyarakat sebagai seorang kakitangan kerajaan yang bersih dan gentleman.

Nanti dulu! Mungkin ia patut berbunyi: Memang benar pada HARI INI, kita akan terus berasa sangsi dan mengesyaki sesuatu sekiranya seseorang ketua sebuah agensi kerajaan bersara dengan rekod yang serba bersih lantaran dikenang oleh semua orang sebagai seorang gentleman. Ya, itulah yang menjadi kata kunci; perkataan HARI INI; kerana di masa-masa yang lalu ia mungkin dianggap sesuatu yang normal. Ketika itu agak payah bagi kita untuk bertemu dengan pegawai kerajaan yang pincang dan bergelumang rasuah, sebaliknya paling ramai ialah mereka yang ikhlas, bersih dan gentleman.

Ketua Polis Negara (KPN) telah diberi gelaran Mister Clean (orang yang bersih), seperti juga Ahmad Said, Ketua Pengarah BPR. Kedua-dua jawatan tersebut, iaitu Polis dan BPR berada di bawah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Yang paling serasi di sini ialah kedua-duanya hanya perlu menjawab kepada bos mereka yang juga digelar Mister Clean – Walaupun semasa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menggelar Pak Lah Mister Clean, ia tidak membawa maksud yang serius.

Gelaran Mister Clean yang diberikan kepada Musa mungkin sesuai memandangkan beliau telah melancarkan siasatan berhubung rasuah dan salahlaku seksual terhadap Zulkipli. Sepatutnya pihak BPR yang menyiasat polis dan bukan sebaliknya. Bagaimanapun, kali ini pihak polis yang menjalankan siasatan terhadap ketua sebuah agensi yang sepatutnya bertanggungjawab menyiasat kes-kes rasuah. Ini sudah “terbalik kot”. Dan bagi memperkukuhkan lagi imej Mister Clean, pihak polis juga telah melancarkan siasatan ke atas Timbalan Menteri mereka sendiri! Di Malaysia, Menteri seperti “Tuhan.” Dalam konteks ini, apakah sesuai bagi para pengikut melakukan siasatan terhadap “Tuhan” mereka? Jawapannya, ya bagi kes berkenaan. Ini akan meletakkan ahli-ahli politik Umno di tempat mereka yang sebenar dan seterusnya membuktikan siapa yang memerintah di negara ini.

Sekarang kita sudah ada seorang Mister Clean sebagai ketua BPR, seorang Mister Clean sebagai Ketua Polis, dan seorang Mister Clean sebagai Perdana Menteri. Walaupun ada tiga orang Mister Clean menerajui tiga bidang penting dalam pentadbiran, namun masih terdapat keluhan serta aduan mengenai keadaan masakini. Mengapakah kadar jenayah semakin meningkat? Dalam mempersoalkan masalah ini kita bukan bercakap tentang kecurian basikal, ragut beg tangan atau kes-kes mencubit bontot dalam bas-bas yang sesak. Yang kita maksudkan ialah jenayah terancang.

Sindiket jenayah terancang, yang seperti telah saya katakan, termasuk pelacuran (wanita-wanita dari China), dadah (empat jenis dadah “designer”) dan judi haram (4D dan mesin slot). Kesemua kegiatan ini mula mengembangkan operasi sejurus selepas Musa mengambilalih sebagai Ketua Polis Negara. Apakah ini secara kebetulan atau apakah sindiket-sindiket tersebut mengambil kesempatan “rombakan” yang berlaku dalam pasukan polis untuk menyusun strategi mereka secepat mungkin sebelum pihak polis muncul dengan organisasi yang lebih mantap di bawah rejim baru?

Dalam rombakan besar-besaran itu seolah-olah seramai 120 anggota polis dipindahkan, diberi tugas lain dan sebagainya. Sesetengah pemerhati menganggap apa yang berlaku sebagai perlaksanaan hasrat Musa untuk membersihkan pasukan polis dan menjadikannya lebih berkesan. Syabas kepada Musa! Bagaimanapun, para pengkritik Musa tidak bersetuju dengan pandangan itu. Mereka mendakwa Musa hanya membersihkan saki-baki rejim yang lama dan sebaliknya meletakkan orang-orangnya sendiri di tempat-tempat strategik. Dalam semua dakwaan dan cerita, akan ada pandangan yang lain dan yang bertentangan. Agak payah untuk mendapatkan cerita sebenar selain jika ada orang dari dalam pasukan polis sendiri muncul untuk mendedahkan kesemuanya.

Apa sekalipun, di peringkat ini sama ada rombakan dilakukan untuk kebaikan atau keburukan hanyalah spekulasi semata-mata. Apa yang jelas dan bukan sekadar spekulasi ialah sindiket jenayah terancang yang memulakan operasi di Johor, kini telah merebak ke utara dan sedang memperkukuhkan operasi di Perak setelah berjaya menakluki Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, dan semestinya, lokasi rebutan, iaitu Lembah Kelang.

Menurut beberapa sumber “dalaman”, ketua sindiket jenayah terancang tersebut ialah seorang yang dikenali sebagai BK Tan. Bagaimanapun, masalah dengan kebanyakan bos-bos sindiket jenayah – seperti yang telah kita sebutkan dulu dalam Malaysia Today — ialah kegemaran mereka mendabik dada dan bercakap besar. Mereka tidak dapat menahan diri daripada menceritakan kepada semua, termasuk para GRO dan pelayan di kelab-kelab malam betapa berpengaruhnya diri mereka ini. Mereka mempunyai ego yang terlalu besar dan gemar “disanjung”. Inilah apa yang dilaporkan oleh Akhbar The Straits Times pada 14 November 2003 dalam rencana mengenai 10 negeri di Malaysia yang menjual gelaran datuk.

Ramai ahli perniagaan dikatakan sanggup membayar sehingga RM50,000 bagi mendapatkan gelaran datuk dan ada sehingga RM150,000 atau lebih untuk gelaran yang lebih berprestij. Pada mereka gelaran-gelaran ini akan mendapatkan mereka keutamaan dalam sebarang urusan perniagaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan timbul rungutan berhubung penerima gelaran datuk langsung tidak dapat bertutur dalam Bahasa Malaysia ataupun Inggeris. Penangkapan beberapa orang datuk bersabit kegiatan jenayah dan dakwaan bahawa ada di antaranya yang terbabit dalam kegiatan kongsi gelap (triad) cina telah menyebabkan nilai yang dikaitkan dengan gelaran-gelaran ini merosot.

Segala-galanya adalah mengenai kekayaan dan kemasyhuran. Pertama, seseorang itu perlu mencari wang. Ini diikuti dengan mendapat nama. Tidak kira betapa hodoh perangai dan betapa jahatnya seseorang itu, mereka akhirnya inginkan nama dan dilayan seperti anggota masyarakat yang dihormati. Dan cara untuk mendapatkan ini semua ialah dengan membeli gelaran datuk. Apalah sangat RM150,000 pada mereka? Ia tidak pun sampai jumlah pendapatan sehari bagi yang menjalankan kegiatan pelacuran, judi haram dan sindiket dadah.

BK Tan mungkin akan sudi menceritakan kepada sesiapa saja yang sudi mendengar betapa berpengaruhnya dia. Dia akan mendabik dada dan man KPN bila-bila masa dia suka. Dia akan menyakinkan sipendengar yang asyik dengan ceritanya itu yang dia mempunyai kuasa untuk menukarkan pegawai-pegawai polis, termasuk mereka yang berpangkaat OCPD. Menurutnya, jika ada pegawai-pegawai polis yang tidak akur kepada kemahuannya, dia akan memastikan pegawai itu ditukar dalam masa 24 jam. “Aku yang berkuasa dalam pasukan polis!” BK Tan akan tinggikan suaranya sekiranya ada sesiapa yang masih tidak faham ceritanya.

Sama ada ini cakap kosong semata-mata atau kebenaran terpulanglah kepada orang yang mentafsirkannya. Sudah tentu sipendengar tidak akan dapat menelefon KPN untuk mengesahkan sama ada apa yang dikatakan oleh ketua besar sindiket pelacuran, judi haram dan dadah itu benar ataupun tidak. Tapi apakah mereka memerlukan kepastian walhal memang jelas BK Tan mengendalikan operasinya di seluruh negara tanpa halangan. Dia bukan menjalankan operasinya bawah tanah, walaupun ia boleh dianggap begitu. Dia dengan secara terbuka mempamerkan hubungannya dengan KPN. Mungkin apa yang belum lagi dilakukannya setakat ini ialah memakai T-shirt yang tertulis, “IGP aku yang punya.” Sudah tentu KPN juga akan tahu tentang mulut celupar BK Tan dan lantaran timbul tanda tanya mengapa KPN membenarkan BK Tan “menjual” nama beliau? Atau tiada yang berani beritahu KPN bahawa BK Tan menjual namanya? Tapi, apakah mungkin…tidak…tidak mungkin!

Orang Nombor 2 BK Tan ialah seorang yang dikenali dengan nama Lee Een Hong. Dia adalah penguatkuasa yang memastikan supaya semua “undang-undang” dipatuhi. Operasi Johor dikendalikan oleh Goh Cheng Poh yang lebih dikenali dengan gelaran “Tengku.” Dadah jenis “designer” “dipasarkan ” melalui sebuah disko di Johor Bharu yang bernama Platinum Disco sementara pelacur-pelacur pula kebanyakannya didatangkan dari China. Rangkaian judi haram tidak hanya terhad di Johor Bharu tetapi juga menjangkau sehingga ke Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kota Tinggi. Setiap bandar di Johor mempunyai loteri 4D yang tidak berlesen dan mesin-mesin slot.

Sekali lagi, “Tengku,” seperti juga BK Tan, gemar bercakap besar dan mendabik dada mengenai bagaimana dia mengatur bagi pihak KPN untuk menutup operasi-operasi saingannya di seluruh Johor supaya hanya dia dapat memonopoli kesemuanya. “Tengku” juga menceritakan bagaimana seorang pegawai polis bernama Dato Rahim Jaafar telah enggan mengikut kehendaknya, lantaran dia mengaturkan supaya KPN menukarkan pegawai itu keluar dari Johor. Bos-bos kongsi gelap ini sepatutnya belajar menutup mulut dan jangan terlalu celupar.

Operasi Melaka pula di bawah kawalan seorang yang bernama Jimmy. Seperti di Johor, ia juga membabitkan pelacuran, dadah dan judi haram. Lokasi-lokasi pemasaran pula di pusat-pusat hiburan Red Square dan Joker. Judi haram yang kami maksudkan termasuk loteri 4D dan mesin slot. Kita perlu ingat bahawa pendapatan daripada mesin-mesin slot haram ini melebihi pendapatan operasi berlesen di Genting Highlands – kesemuanya “bebas” cukai.

Operasi Negeri Sembilan pula berpusat di Taman NST dan berada di bawah kawalan seorang yang dikenali dengan nama Y2K. Kuala Lumpur diketuai oleh Ah Sek dan Kelang oleh Sor Hon Kia. Anda boleh membeli dadah secara terbuka selain mendapatkan gadis-gadis montok dari China di Red Square, Aloha, Kelab De Macau, Deluxe, dan lain-lain. Kesemua tempat ini beroperasi secara sah sebagai kelab-kelab malam berlesen tetapi menjalankan apa saja jenis perniagaan haram secara terbuka, di atas meja dan bukan di bawah meja.

Adalah dijangkakan sebelum akhir tahun ini operasi di Perak akan beroperasi sepenuhnyayang selepas itu mereka akan bergerak ke Pulau Pinang pula. Menjelang waktu itu seluruh Rangkaian akan lengkap sepenuhnya dan perniagaan pelacuran, loteri 4D, mesin slot dan dadah “designer’ akan digabungkan di bawah satu sindiket nasional. Dalam pada itu memang wujud pengusaha-pengusaha persendirian seperti juga mana-mana perniagaan, tetapi mereka semakin hari semakin dihimpit keluar dan “digalakkan” menjual kepada sindiket jenayah terancang, jika tidak, padah jawabnya. Setakat ini sekurang-kurangnya dua bekas pengusaha persendirian telah melarikan diri ke China. Kedua-dua pengusaha tersebut takut untuk kembali ke Malaysia kerana akan menerima padah kerana menentang sindiket. Kesemua harta dan operasi mereka telah diambilalih oleh sindiket jenayah terancang.

Malaysia tidak pernah bebas daripada kegiatan kongsi-kongsi gelap Cina dan sindiket jenayah terancang walaupun organisasi pada masa dulu tidak begitu terancang seperti sekarang. Tidak dapat diterima akal bagaimana mereka dapat berkembang dengan begitu pesat dan begitu pantas walaupun pihak polis sentiasa mengawasi setiap langkah mereka. Mereka yang berada di dalam pasukan polis berkata ia tidak mungkin berlaku tanpa bantuan sesetengah individu dalam pasukan itu sendiri. Sememangnya sudah menjadi tanggapan biasa bahawa semua pegawai polis menerima rasuah. Bagaimanapun, tanggapan ini tidak mungkin ada kesahihannya kerana ada juga individu-individu dalam pasukan yang berani bercakap dan mengadu tentang keadaan buruk yang mereka berasa telah keterlaluan itu.

Jika diminta memang akan ada pegawai polis yang tampil ke hadapan untuk memberi keterangan. Masalahnya, tidak ada siapa yang meminta mereka berbuat demikian dan dalam hal ini tidak mungkin ada orang yang sudi menampilkan diri secara sukarela jika tidak disuruh. Seorang pegawai kanan polis pernah menghantar sepucuk surat kepada Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan dengan terperinci keseluruhan operasi dan siapa yang berada di belakangnya, sama ada dalam sindiket jenayah terancang dan juga pasukan polis. Memang terkejut besar apabila mendapat tahu beberapa nama besar tertera dalam surat kepada Perdana Menteri itu dan jika tidak dibaca sendiri mungkin seseorang itu tidak akan mempercayainya. Adalah difahamkan BPR telah menyiasat segala dakwaan yang terkandung dan mendapati ia terbukti benar. Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan diambil.

Apa yang lebih mengelirukan, walaupun ada pendedahan (surat kepada Perdana Menteri yang disahkan oleh BPR sebagai benar kandungannya), namun tiada apa-apa tindakan diambil. Ada pihak yang mengesyaki kemungkinan Perdana Menteri tidak pun melihat kelibat surat tersebut kerana sememangnya bukan rahsia bahawa Abdullah sengaja dijauhkan daripada sebarang berita buruk dan hanya disampaikan berita baik.

Apakah ada kemungkinan terdapat pihak di Pejabat Perdana Menteri – mungkin mereka di Tingkat 4 – yang tidak mahu Abdullah mengetahui keadaan yang sebenar? Hmm…apakah kita telah akhirnya mendedahkan kaitan Putrajaya dengan sindiket jenayah terancang?

Katakanlah Perdana Menteritidak dikecualikan daripada mengetahui segala yang berlaku di negara ini, tidak mungkin pula Menteri lain, seperti Menteri dalam Negeri atau Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak maklum dan seterusnya mengambil beberapa bentuk tindakan, atau setidak-tidaknya memberitahu Abdullah apa yang berlaku?

Johari Baharum, yang memegang portfolio Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri di bawah Abdullah kini telah dibersihkan daripada dakwaan penerimaan rasuah RM5.5 juta berhubung isu pembebasan seorang ketua sindiket gelap yang sebelumnya ditahan kerana menjalankan kegiatan judi haram, pelacuran dan pengedaran dadah.

Nampaknya polis telah menahan bos sindiket itu dengan cara salah atau tidak mengikut prosedur yang betul semasa proses penahanan. Berikutan itu Johari tidak ada pilihan selain menandatangani surat pembebasan kerana kes akan menjadi lebih besar sekiranya sampai ke peringkat mahkamah. Tetapi, BPR belum pun lagi membuat sebarang pengumuman membersihkannya daripada tuduhan walaupun Johari mencabar supaya hasil siasatan diumumkan kepada awam. Persoalannya, mengapa BPR tidak mengumumkan sesuatu yang akan membolehkan Johari membersihkan namanya berhubung dakwaan jenayah itu? Ini satu lagi misteri.

Apakah Johari jahil akan maklumat terperinci berhubung sindiket jenayah terancang? Ramai orang kini bercakap mengenainya. Pegawai-pegawai polis pun membincangkan perkara ini. Apakah Johari melakukan sesuatu? Tidak mungkin untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan begitu payah sekali, walaupun ia membabitkan pihak-pihak atasan.

Ramai yang tertanya-tanya samada Johari telah serik dengan segala apa yang berlaku dalam episode Zulkipli. Orang paling berkuasa dalam BPR dijatuhkan oleh mereka yang menyiasatnya walhal dia sendiri yang sepatutnya menyiasat mereka. Johari juga mengalami nasib yang sama dan hampir-hampir terjebak. Dia hampir dijatuhkan dengan hanya satu rencana oleh seseorang yang tidak mendedahkan namanya pada sebuah laman web yang seolah-olah sengaja diadakan bagi tujuan tersebut – untuk mendedahkan perlakuan rasuah berkenaan.

Apakah Johari kini telah menjadi takut? Tak salahkan dia jika kita tahu akan kedudukannya. Satu perselisihan dengan polis sudah memadai. Bagaimanapun, ketiadaan tindakan darinya dalam kes ini mencetuskan lebih banyak masalah berbanding jika dia menanganinya awal-awal lagi. Dia tersepit di antara seketul batu dan sebuah tempat keras. Jika dia bergerak, dia mati; jika dia tidak bergerak, jari-jari akan menuding ke arahnya sebagai dalang disebalik sindiket jenayah terancang. Senario itu akan seolah-olah menjadikannya lebih bersalah dan dakwaan dia menerima rasuah bagi membebaskan ketua sindiket gelap daripada tahanan tanpa dibicarakan akan menjadi sulit untuk ditepis. Telan mati emak, luah mati bapak.

Johari mungkin telah bebas daripada tuduhan rasuah dan BPR mungkin telah mendapati dia tidak bersalah berhubung sebarang perlakuan jenayah. Bagaimanapun, itu perkara kecil jika dibandingkan dengan apa yang sedang berlaku di negara hari ini. Sindiket pelacuran, judi haram dan pengedaran dadah kini seolah-olah bergerak bebas di Malaysia. Keadaan ini mungkin hanya boleh dilakukan jika mereka yang berada di tempat-tempat berkuasa membenarkan ia berlaku. Abdullah perlu membersihkan namanya secepat mungkin. Jika orang mula bercakap dan jari-jari mula menuding ke arahnya sebagai seorang pelindung, dermawan dan penerima hasil kegiatan pelacuran, judi haram dan pengedaran dadah, ia akan memusnahkan imej dan reputasinya sebagai seorang ulamak dan arkitek Islam Hadhari.

Sebenarnya, reputasi Abdullah dan Johari memang pun berada pada tahap kritikal. Apakah kedua-duanya sedar akan gejala sindiket jenayah terancang yang sedang melanda negara? Apakah mereka 100% jahil akan keadaan ini sehingga sekarang? Atau apakah mereka yang sebenarnya orang di belakang tabir? JIka mereka tidak berada di belakang kegiatan ini dan tidak pula mengetahui akan kewujudannya sehingga sekarang, kini sekarang mereka telah pun tahu. Hari ini, Malaysia Today mendedahkan apa yang sedang berlaku. Apakah kita akan menyaksikan sesuatu? Alangkah sedihnya jika Islam Hadhari diterjemah menjadikan pelacuran, judi haram dan pengedaran dadah berleluasa di Malaysia depan mata mereka yang memegang teraju kuasa.

BBC pernah menyiarkan satu siri berjodol “Who Runs Your World?” dan pada 20 September 2005, Jonathan Kent pernah menulis sebuah rencana bertajuk “Meeting Malaysia’s Notorious Traid.” Ia mengisahkan bagaimana geng-geng cina beroperasi

Dalam usaha saya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kongsi-kongsi gelap ini (triads), saya telah mengenakan beberapa syarat asas daripa awal lagi. Saya tidak ingin sebarang yang spesifik. Saya tidak mahu butir-butir terperinci dan saya juga tidak inginkan sebarang nama. Saya hanya ingin tahu bagaimana kongsi-kongsi gelap tersebut beroperasi. Saya tidak tahu apa nama sebenar Ah Hing, tetapi saya tahu yang dia sedang dididik dan dilatih untuk mengambilalih tugas sebagai tai ko bagi sebuah kongsi yang beroperasi di sebuah bandar kecil di utara Malaysia.

Kami bertemu di bilik sebuah rumah kedai lama. Ah Hing, saya perhatikan seperti kebanyakan lelaki Cina, sarat dengan barang kemas, kasut murah dan rambut gaya tercacak.
“Ya, kami menjual pil ecstasy dan itulah caranya kami mencari makan, saya dan kawan-kawan saya,” katanya. “Kami juga mengambil gadis-gadis untuk tujuan pelacuran, dan ini dikira lebih mudah daripada ecstasy sebab kerajaan tidak akan mengganggu kami.”

Kumpulan kongsi gelap (triad) dan lain-lain kumpulan penjenayah menjalan pelbagai operasi. Ada juga yang menyeludup sirap ubat batuk. Mengedar dadah di Malaysia membawa hukuman mati. Para tukang gantung telah mendapat kenaikan gaji tahun ini – ianya satu isu yang diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Pelacuran lebih mudah untuk melepaskan diri, dan juga kegiatan Ah Long atau membuat dan menjual barang-barang jenama tiruan. Malaysia dianggap pengeluar cakera optikal rompak (VCD, CD dan DVD) terbesar di dunia.

Tetapi, Ah Hing hanya menjalankan operasi pelacuran dan menjual pil. Bagi mendapat seorang wanita, geng-geng membelanjakan di antara AS$750 hingga AS$2,000 bagi setiap orang. Mereka dibeli dan dijual seperti lembu ternakan dan bapa ayam ingin mendapatkan balik modal bersama keuntungan lumayan. “Wanita-wanita itu pula faham bahawa mereka perlu bekerja untuk membayar balik wang yang digunakan bagi membeli mereka, ” kata Ah Hing. “Ada kalanya terdapat gadis-gadis yang enggan bekerja…dan kami mengurung mereka seorang diri dan menyiksa sehingga mereka bersetuju untuk bekerja.”

Kongsi-kongsi gelap Cina ini terbentuk daripada satu pergerakan pada kurun ke-17 yang ditugaskan bagi meletakkan semula dinasti Ming di takhta kerajaan China. Bagaimanapun, setelah beberapa tahun berlalu kumpulan-kumpulan itu merosot menjadi geng-geng penjenayah. Menurut Jessica Lau, seorang anggota masyarakat Cina Malaysia, di beberapa tempat geng-geng ini masih mengamalkan upacara dan adat istiadat tersendiri. Semasa Jessica di New Zealand, jirannya adalah seorang ketua kongsi gelap Cina yang telah bersara.

Menurut Jessica, “pada hari-hari akhirnya sebagai ketua kumpulan dia mengumpulkan kesemua anggota dan pemimpin kumpulan-kumpulan lain untuk menyaksikan upacara membasuh tangan dalam besen emas sebagai simbol bahawa daripada saat itu dia tidak lagi mempunyai kaitan dengan kumpulan-kumpulan berkenaan. Dia kini seorang warga emas yang bebas dan dihormati.

Bagaimanapun, kongsi gelap di Malaysia lebih praktikal berbanding dengan yang di Hong Kong. Adat-istiadat tidak diberi keutamaan dan kumpulan-kumpulan ini beroperasi seperti sebuah perniagaan. Ah Hing menganggap operasinya sebagai satu “syarikat.” Ia mempunyai peraturan yang pragmatik di mana segala urusan dijalankan dengan persetujuan pihak berkuasa – dengan cara menetapkan sempadan bagi jenayah-jenayah yang mereka dapati tidak akan dapat dihapuskan.

“Jika saya berhasrat untuk beroperasi di sebatang jalan tertentu dan seterusnya menghubungi seorang ahli politik supaya menyuruh pihak berkuasa jangan menganggu, ahli politik itu mungkin akan berkata: “Mungkin tidak boleh jika tiada tangkapan langsung…tetapi awak boleh beroperasi pada masa-masa tertentu dan kami akan membuat rondaan selepas waktu-waktu tersebut…dengan cara ini semua akan beres,” tegas Ah Hing.

Tetapi jika ada orang menghalang, segala-galanya tidak mungkin beres semudah itu. Kalau ada seseorang yang berpaling tadah atau mungkir janji terhadap saya…saya akan mengarahkan beberapa anggota geng membelasahnya sehingga lumpuh, tetapi sekiranya sesuatu masalah itu betul-betul besar, mereka akan diheret ke hadapan tai ko untuk dibicarakan, “katanya lagi. “Jika tai ko saya meminta kami menguruskan seseorang, walaupun kami membunuh orang itu, kami tidak akan berasa takut kerana jika ditangkap polis, tai ko kami akan membebaskan kami,” tambah Ah Hing. “Dulu saya pernah dibawa ke pintu depan lokap dan dalam dalam masa yang singkat saya keluar melalui pintu lain.”

Ah Hing berkata dia membuat perjanjian dengan ahli-ahli politik dan anggota polis.

Kebanyakan orang Malaysia jarang atau tiada langsung berurusan dengan kongsi gelap Cina ini. Tetapi ramai juga yang tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan bantuan apabila memerlukan pinjaman wang. Ketua Biro Pengaduan MCA, Michael Chong seringkali berhadapan dengan kes-kes di mana sipeminjam tidak dapat membayar balik hutang mereka. “Kami cuba menangani kes-kes di mana sipeminjam melarikan diri bersama keluarga mereka dan ada juga banyak kes di mana mereka diserang sehingga mendapat kecederaan teruk,” Chong berkata.

Ah Hing tidak takut atau segan untuk mendedahkan tentang dunia dan cara hidupnya. “Saya mengaku yang saya ini seorang yang jahat – seorang gengster,” katanya lagi.

“Jadi, siapa yang mengendalikan dunia awak?” saya bertanya. Dengan spontan dan ringkas dia menjawab, “kerajaan, dan jika kerajaan tidak mahu berlembut dengan kami dan jika mereka bersikap terlalu keras terhadap semua perkara, tak adalah cara untuk kami mencari makan. Tak ada kerja,” Ah Hing berkata.

Semasa krisis ekonomi dunia melanda Asia pada 1998, ramai rakyat Malaysia menyertai kongsi gelap Cina untuk bekerja. Beribu-ribu orang memperolehi sumber pendapatan dengan cara ini. Itu dikira alasan yang cukup bagi sesetengah pihak yang berkuasa untuk menutup sebelah mata terhadap apa yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan tersebut – alasan itu bersamaan pengetahuan bahawa kongsi-kongsi gelap Cina wujud untuk mencari makan dan bukan untuk melakukan kekecohan.

Mereka mungkin jahat, tetapi mereka juga merupakan ahli-ahli perniagaan. – Akhir Rencana.

Dan ini pula apa yang dilaporkan oleh Straits Times pada 23 Januari 2007:

Semasa Pengarah CID Persekutuan, Christopher Wan mengetuai serbuan dua minggu yang lalu ke atas empat sarang perjudian di bandar Sekinchan, Selangor, beliau mengambil keputusan luar biasa di mana polis tempatan tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Bagaimanapun, pegawai-pegawai polis tempatan menyaksikan kejayaan serbuan tersebut – balai polis di pekan itu terletak hanya 100 meter dari tempat kejadian. Pasukan polis yang menyerbu merampas 214 buah mesin slot bernilai RM723 ribu dan memberkas 11 orang.

Tan Sri Musa Hassan yang mengambilalih tugas sebagai Ketua Polis Negara pada September lalu dan seterusnya melantik Datuk Christopher Wan, seorang pegawai polis yang terkenal dengan profesionalismenya, berkata selepas serbuan tersebut yang beliau tidak menganggap sikap polis Sekinchan sesuatu yang boleh dipandang ringan. “Kita akan bertindak sekiranya mereka terbabit atau sengaja menutup sebelah mata terhadap kegiatan-kegiatan haram,” katanya.

Sejak dari itu, Datuk Wan telah beberapa kali mengetuai dan mengkordinasikan serbuan ke atas pusat-pusat perjudian haram di beberapa bandar kecil yang selalunya tidak mudah dikesan oleh pihak persekutuan. Selain mengisytiharkan perang ke atas kegiatan judi haram yang dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap Cina, serbuan-serbuan tersebut seolah-olah sebahagian daripada mesej kepada pasukan polis dan lain-lain kakitangan kerajaan yang mempunyai kaitan rapat dengan elemen-elemen jenayah.

Semasa kerajaan Perdana Menteri Abdullah Badawi mengambilalih pentadbiran negara pada penghujung 2003, beliau telah menjadikan perang terhadap rasuah sebagai agenda terpenting. Tetapi bagaimanapun, selepas tiga tahun, tanggapan awam mengenai perkhidmatan awam yang korup, terutama dalam pasukan polis terus berleluasa.

Ketua polis yang baru dan ketua CID seolah-olah sedang melakukan sesuatu di dalam pasukan polis. Berikutan serbuan oleh Datuk Wan, ketua polis Sekinchan telah ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis sementara menunggu penyiasatan disiplin yang lengkap. Satu penyiasatan juga sedang dilakukan ke atas kegiatan ketua polis daerah.

Juga terbabit dalam serbuan itu termasuk Presiden Majlis Daerah yang telah ditukar setelah didapati pusat-pusat perjudian itu mempunyai lesen-lesen perniagaan yang sah.

“Apa yang sedang berlaku pasti dapat membantu untuk mengembalikan semula kepercayaan terhadap pasukan polis dan memperbaiki imej mereka di mata awam,” kata Datuk Nur Jazlan Mohamad, seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada The Straits Times. Beliau berkata sebarang usaha untuk membersihkan pasukan polis dan perkhidmatan awam juga akan dapat membantu menaikkan imej Perdana Menteri. “Tetapi usaha membanteras rasuah akan memakan masa yang lama. Apa yang penting sekarang ialah untuk menukar budaya kerja pasukan polis secara beransur,” tambahnya.

Jumaat lalu, Datuk Christopher Wan telah membawa pasukannya ke Sungei Petani di Kedah di mana mereka merampas lebih 178 buah mesin video perjudian yang ditempatkan di tujuh buah pusat “hiburan keluarga.” Satu daripada pusat-pusat itu terletak hanya 500 meter dari balai polis. “Kami akan menutup kesemua pusat perjudian haram menjelang akhir Mac,” katanya baru-baru ini sebagai satu petanda azam. “Perjudian haram boleh meruntuhkan sesuatu keluarga.” – Akhir Rencana.

Itu memang betul, kegiatan judi haram, terutama mesin-mesin slot berleluasa di seluruh Malaysia dan mereka beroperasi secara terbuka dan berhampiran dengan tempat polis – seolah-olah ada semacam persefahaman dengan polis. Ini bukan dikatakan oleh Malaysia Today. Inilah apa yang dimaklumkan oleh pasukan polis sendiri kepada The Straits Times. Oleh itu mengapa polis tidak mampu membersihkan diri mereka sendiri? Bukannya mereka tidak tahu, mereka sebaliknya amat sedar.

Dianggarkan terdapat tidak kurang daripada 500 buah mesin slot di seluruh Malaysia dengan sekurang-kurangnya 15 mesin bagi setiap Pusat. 80% daripada pasaran dikuasai oleh dua kumpulan.

Kumpulan pertama dmiliki Danny Tan, abangnya Vincent Tan dan anak Vincent, Robin, sementara kumpulan kedua diketuai oleh sesorang yang bernama Dato Seri Wazlian. Mereka kesemuanya dilesenkan oleh Kementerian Kewangan yang diketuai Abdullah sendiri. Bagaimanapun, pusat-pusat yang berlesen dan yang tidak berlesen dicampur aduk bagi memastikan pihak bertanggungjawab tidak dapat membezakan diantara Pusat-pusat yang sah dan yang haram.

Pernah dikatakan bahawa terdapat tiga kali lebih banyak pusat tidak berlesen berbanding dengan yang berlesen. Ini bermakna jumlah mesin slot yang beroperasi dianggarkan 30,000. Itu jumlah yang besar bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia.

Aneh juga mendapati bahawa Islam Hadhari Malaysia mempunyai lebih banyak mesin slot berbanding “Syaitan Besar” Amerika Syarikat dan lebih ramai pelacur China berbanding dengan “negara China yang “tidak bertuhan?”

Dan kita pula menjadi kelam-kabut apabila seorang Wanita Melayu bernama Lina Joy yang telah lama menganut agama Kristian mahukan klasifikasi agama pada kad pengenalannya ditukarkan. Apakah jenis munafik ini? Tidak hairanlah jika dikatakan bahawa kaum Melayu tidak mempunyai masa depan.

Apa? Anda tidak percaya? Renung kembali siapa yang memberikan perlindungan kepada sindiket jenayah terancang Cina bagi membolehkan mereka berleluasa menjalankan kegiatan judi haram, pengedaran dadah dan pelacuran jika bukan orang Melayu? Jika tidak, bagaimana kumpulan-kumpulan haram Cina boleh menganggap negara ini seperti Shanghai semasa tahun-tahun 1920-an?

Bagaimanapun, seirama dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru, orang Melayu kini berkongsi 30% daripada hasil keuntungan daripada perniagaan bawah tanah; oleh itu tiada lagi perlu bagi Pemuda Umno dan Dewan Perniagaan Melayu membuat bising.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 134 other followers

Jun 2007
I S R K J S A
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Arkib

Categories

RSS Harakahdaily

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

RSS Malaysiakini

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

Media AlTernatiF

%d bloggers like this: