MEMORANDUM MEMBANTAH KONSERT XPAX IGNITES RIHANNA LIVE IN KUALA LUMPUR

5

Januari 24, 2009 oleh HermanSamsudeen


Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) secara rasmi membantah tindakan Syarikat Celcom (M) Berhad yang menaja dan akan turut menganjurkan Konsert Xpax ignites Rihanna LIVE in Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 13 Februari 2009 nanti.

Terlalu Banyak Hiburan Punca Peningkatan Gejala Sosial

Peningkatan kes keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang berlaku saban tahun mendorong Pemudawilayah untuk bertindak membantah konsert ini kerana berdasarkan fakta-fakta yang telah dikaji dikebanyakkan Universiti dalam dan luar negara, konsert dan hiburan terbuka juga menjadi sebahagian dari punca peningkatan gejala ini.

Peranan massa yang menyebarluaskan pelbagai maklumat termasuklah budaya hiburan yang melebihi dari kapasiti keperluan dan tidak terarah menyumbang kepada bertambahnya masalah sosial dalam negara.

Mengikut statistik Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, ada terdapat 265 gadis bawah umur lari mengikut kekasih. Sementara itu, dalam tempoh 20 tahun sehingga 1999, jumlah penagih dadah menjangkau sebanyak 240,000. Kes juvana pula semakin membimbangkan. Dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998, kadar jenayah yang membabitkan remaja lelaki meningkat sebanyak 35 peratus, manakala remaja perempuan meningkat sebanyak 25 peratus.

Bermula dengan remaja itu dimabukkan oleh dunia hiburan dimana mereka lebih mengenali artis-artis berbanding pemimpin masyarakat dan juga sejarah dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Kemudian mereka juga dialalaikan untuk memikirkan masa depan Negara.

80 peratus remaja yang pergi melihat konsert datang untuk berhibur dan menggunakan wang simpanan yang diberi oleh ibu bapa dan ada juga yang diperingkat belia yang bekerja menghabiskan duit untuk membeli tiket tanpa menyedari bahawa duit itu sepatutnya diberikan kepada ibu bapa mereka sebagai mengenang jasa atau disedekahkan kepada fakir miskin yang bertebaran diserata Negara.

Duit-duit yang dibazirkan itu juga tidak memberikan apa-apa manfaat kerana keseronokkan mereka hanya akan bertahan tidak lebih dari 48 jam dimana selepas itu mereka akan mencari hiburan lain bersama teman-teman mereka termasuklah merempit, berzina, menagih dadah dan mengambil alkohol.

Lebih dari 60 peratus remaja atau belia yang menghadiri konsert juga terdiri dari anak bangsa Melayu yang mana pada masa ini anak muda Melayu masih berjaya memegang rekod peningkatan gejala sosial yang tertinggi sejak 50 tahun yang lalu. Sebut apa sahaja kesnya, bunuh, dadah, bohsia, mat rempit, zina, buang anak, mencuri, bergaduh dan sebagainya, anak muda Melayulah yang menjuarainya.

Aksi Nyanyian Yang Erotik dan Seksi

Kedatangan Rihanna menjadi penggalak kepada peningkatan masalah ini. Jika dilihat pada latar belakang artis ini memang beliau bukanlah ikon yang sesuai.

Media pernah mendedahkan tentang kontraversi sebuah lagu beliau yang dianggap lucah dan menghairahkan iaitu lagu yang bertajuk -Sexuality.

Liriknya sememang mengambarkan pujukkan bagi perlakuan seksual dan ketika menyampaikan lagu berkenaan juga gaya-gaya erotik digunakan. Pakaian yang sering digunakan bagi pertunjukkan konsert atau video klip juga terlalu seksi. Mungkin di Malaysia ini beliau akan berpakaian sopan, tapi apakah jamin itu boleh dikekalkan sepanjang konsert itu.

Pada tahun 2006 penganjur Konsert bagi kumpulan penyanyi wanita dari Amerika, Pussycat Dolls telah didenda sebanyak RM10,000 atau US$3,00 kerana melanggar etika dan syarat yang dikenakan. Kumpulan wanita ini mengenaka pakaian yang terlalu seksi ketika menyampaikan lagu-lagu mereka walaupun pada dasarnya mereka telah berjanji untuk menepati peraturan yang dikenakan Puspal.

Kontroversi artis dari barat lainnya turut berlaku dalam konsert Live & Loud 2007 di Bukit Kiara Equestrian Park. kemudian pada 1 Disember 2007 pula, Shaggy tampil dengan lagak lucah apabila sedang asyik menyanyi tiba-tiba memasukkan pembesar suara ke dalam seluarnya dan mengeluarkannya perlahan-lahan.

Pada malam R&B Nite di Stadium Negara pada 28 November tahun lalu pula penyanyi K-Ci & Jojo membuka baju dan memasukkan tangannya ke dalam seluar. Lil G Of Silk turut mencemarkan persembahan dengan aksi kurang sopan ketika menari bersama dua penonton wanita.

Itulah sebahagian dari perangai artis barat yang pernah dijemput ke Malaysia. Memang ada yang mengikut peraturan tetapi ramai juga yang melanggarnya jadi untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku maka elokkan konsert Rihanna dibatalkan.

Skandal Sosial Rihanna

Selain itu, Rihanna juga mempunyai skandal sosial yang tidak baik dalam budaya kita orang timur dimana beliau pernah menjalinkan hubungan beberapa lelaki lain seperti Jay-Z, Petit Copain, Shia LeBoeuf, Josh Harnett dan terkini Chris Brown. Hubungan ini bukan sekdar teman tapi mesra tetapi budaya mereka mengembangkan budaya ini hinggalah ke bilik tidur dan tidak sesuai untuk dicontohi oleh belia kita.

Itu adalah urusan peribadi beliau, tetapi sebagai ikon dunia hiburan yang mendapat perhatian ramai maka ianya tidak sesuai untuk ditonjolkan dalam masyarakat Malaysia.

Artis-artis wanita khususnya yang dihasilkan di Amerika kini cenderung kepada persembahan erotik dan penyampaian lagu yang begitu seksi.

Pada pandangan barat, artis yang bersih itu adalah artis yang tidak ambil dadah, jenayah dan alkohol sahaja. Walaubagai mana pun artis yang mengamalkan seks bebas, menyanyikan lagu lucah dan beraksi erotik masih dianggap bersih jika tidak melakukan tiga perkara yang disebutkan tadi.

Kesan Ekonomi Negara dan Isu Palestine

Kehadiran Rihanna yang kini sudah menetap di Amerika Syarikat juga sedikit sebanyak akan membawa keluar wang negara yang akhirnya akan masuk ke Amerika.

Melihat kepada pengaliran wang ini, bukan sahaja membawa kita memahami erti kerugian buat negara tetapi satu penderitaan buat rakyat Palestine dimana Amerika yang menjadi sekutu Israel membekalkan senjata ketika pembunuhan ngeri di Gaza hasil dari sumbangan dan dana cukai yang diberi oleh penduduk Amerika.

Sama ada Rihanna sedar atau tidak kita sememangnya tahu bahawa duit cukai yang dibayar beliau turut menyumbang kepada peperangan di Gaza. Bagi kami beliau juga adalah agen kepada kerosakkan muda-mudi yang ada diseluruh dunia melalui penyampaian lagunya dan juga penyumbang kepada kekuatan dana Israel melalui Amerika yang menjadi tempat beliau menempah nama.

Kita sibuk menderma untuk tabung Gaza tapi dalam masa yang sama wajarkah kita menyumbang kepada tabung peperangan Israel melalui konsert Rihanna ini?

Celcom Jangan Sekadar Mengaut Untung

Kenyataan Pengerusi Eksekutif Celcom, Datuk Shazali Ramli yang menganggap konsert ini diadakan sebagai tanda perhargaan buat pelanggan Celcom Xpax khususnya remaja hanyalah suatu strategi pemasaran bagi menarik golongan ini bersama Celcom.

Kelainan berhibur yang dijanjikan juga terlalu abstrak untuk digambarkan tetapi berdasar latarbelakang artis yang dijemput kita sudah dapat mengambarkan bentuk kelainan itu.

Jika Celcom ingin mengaut untung sekalipun, ini bukanlah cara terbaik kerana ianya akan meninggalkan gejala sosial yang tidak terkawal dalam masyarakat.

Bantah – Menghalalkan Konsert Ini Merupakan Satu Penghinaan.

Memanggil Rihanna ke Malaysia umpama menghina adab ketimuran, merendahkan artis tempatan, sengaja merugikan ekonomi negara, menambahakan masalah sosial dan menyokong dasar perang Israel yang disokong Amerika.

Sewajarnya dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan palestine ditindas kini, kita meneruskan kempen boikot barangan Amerika termasuklah artis-artis mereka serta apa sahaja yang dikeluarkan dari negara itu terutama perkara-perkara yang negatif.

Justeru itu Pemudawilayah menyeru organisasi Kerajaan seperti Kementerian Luar Negeri, Imigresesn, Puspal, DBKL, Polis dan yang terlibat dalam mengeluarkan permit Konsert ini untuk menolak permohonan penganjur bagi membawa artis ini.

Organisasi NGOs dan parti-parti Politik serta orang perseorangan juga diseru untuk menolak Konsert ini dan menyatakan bantakan mereka dengan menghantar bantahan kepada Celcom dan organisasi Kerajaan yang terlibat dalam mengeluarkan permit konsert ini.

Celcom Masih Mempunyai Alternatif Lain

Celcom juga diminta untuk berfikir dengan sedalam-dalamnya dan membatalkan konsert ini. Jika di Indonesia konsert Rihanna boleh dibatalkan kenapa di Malaysia tidak boleh? Kita mempunyai ramai artis tempatan yang lebih baik dari Rihanna untuk diketengahkan, kenapa mereka tidak diberikan peluang itu. Mereka boleh menjadi alternatif kepada Rihanna.

Kami akan setuju dengan penganjuran konsert oleh Celcom yang mengunakan khidmat artis tempatan asal sahaja artis itu bebas dari sebarang kontraversi, skandal atau tidak membawa imej yang negatif. Lagu-lagu yang bermanfaat dan mendidik rakyat sewajarnya diutamakan dalam apa-apa jua pertunjukan konsert yang diadakan.

Semoga Allah membuka hati pihak pengurusan tertinggi Celcom dan pihak berkuasa yang terbabit untuk membatalkan konsert ini.

Sesungguhnya Pemudawilayah akan terus konsisten menentang konsert-konsert yang tidak mengambarkan akhlak dan nilai ketimuran yang positif serta turut mengundang pelbagai masalah sosial di negara ini. Kami juga akan terus konsisten untuk memboikot apa sahaja produk Amerika yang merugikan negara dan menyumbang kepada peperangan atau kerosakkan di muka bumi ini.

Sekian. Terima Kasih.

Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan

5 thoughts on “MEMORANDUM MEMBANTAH KONSERT XPAX IGNITES RIHANNA LIVE IN KUALA LUMPUR

  1. […] sebelum ini telah menghantar satu memorandum  bantahan, walaubagaimana pun pihak Celcom yang menjadi penaja dan penganjur bersama enggan membatalkan […]

  2. musa aman berkata:

    Kalau nak kira kena bantah semua artis betina Malaysia kita patut bantah, kenapa isu Rihana ini jadi besar sangat. Adakah keharaman kerana isu Palestin sahaja?

    Konsert Waheeda juga kena bantah jugak, namun kerana sikap double-standard itu yang jadi masalah.

    Herman-Kita melihat dari banyak sudut dan juga kemampuan kita menangani segala isu. Sekarang ini tugas membantah perkara mungkar bukan tugas pemudawilayah sahaja. Kerjasama dari semua anggota masyarakat seperti saudara amat dipohon untuk turut sama memulakan bantahan kerana ada juga beberapa konsert yang kami tak tahu.

    Sekurang-kurangnya bantahan individu atau peringkat masyarakat dapat mengambarkan seriusnya kita berkerjasama dalam membantah program maksiat. Soal daouble standard tak wujud kerana setiap organisasi masyarakat adalah fungsinya. Oleh itu jangan tunggu pemudawilayah bantah, anda juga boleh buat bantahan kalau tidak masyarakat akan melihat bahawa umat Islam lain tidak prihatin melainkan pemudawilayah sahaja. Jadi kalau tidak mahu dilabel begitu, anda juga kena turut memulakan bantahan dan kami akan sokong. Bekerjasama itu lebih baik dari kita mempertikaikan soal double standard atau tidak kerana kemungkaran itu akan terhapus dengan bersatunya umat Islam menentangnya

  3. […] berikutan serangan terbaru Israel di Gaza.   Pemudawilayah sebelum ini telah menghantar satu memorandum  bantahan, walaubagaimana pun pihak Celcom yang menjadi penaja dan penganjur bersama enggan membatalkan […]

  4. izzuddin berkata:

    assalaamu`alaikum..
    macamana saya nak zahirkan bantahan saya terhadap konsert rihanna melalui web ini?? bukan saya seorang sahaja, malah ada ramai lagi teman-teman lain bersama. kita nak tengok reaksi sebenar Pemuda Islam, berapa ramai yang akan beri sokongan tidak bersetuju dengan konsert ni.. kerana ia soal jiwa anak muda yang bakal dipengaruhi oleh barat..

    Herman-Terima kasih. Harap tuan boleh hantar artikel bantahan. Kami akan siarkan dan edarkan kepada rakyat.

  5. rahsia berkata:

    tak perlu batalkan concert Rihanna ini. biarkan saja ia dijalankan. ia menjadi hak individu untuk pergi menonton atau tidak. tugas kita untuk nasihat sudah diberi. yg lain itu, terserah kepada mereka. ia tidak adil bagi kaum cina dan india juga jika dibatalkan kerana tiket yg sudah dibeli. biarkan saja konsert ini dilansungkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 133 other followers

Januari 2009
I S R K J S A
« Dis   Feb »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Arkib

Categories

RSS Harakahdaily

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

RSS Malaysiakini

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

Media AlTernatiF

%d bloggers like this: