Dakwah Fardiyah : Komunikasi Berkualiti dan Kesantunan Berbicara Menggamit Jiwa

Tinggalkan komen

Oktober 17, 2011 oleh pemudawilayah


Oleh Ust Nasrudin Hasan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

 

1. Muqaddimah

Apa matlamat kita?

Perkara yang paling asas yang perlu difahami dan diinsafi oleh kita semua selaku seorang anggota PAS adalah matlamat perjuangan kita. Menurut Fasal 5 (1) Perlembagaan PAS, tujuan ataupun matlamat PAS adalah:

Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Langkah berkesan untuk mencapai matlamat tersebut digariskan juga dalam Perlembagaan PAS usaha-usaha ataupun inisiatif yang perlu dan boleh dilakukan oleh penggerak-penggerak PAS iaitu antaranya dalam Fasal 6 (1):

Menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah Rasul Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

Oleh itu fahamlah kita bahawa bagi merealisasikan cita-cita Islam yang kita perjuangkan berdasarkan kerangka Perlembagaan PAS itu maka kita tidak ada pilihan lain selain berusaha secara gigih bagi meyakinkan orang-ramai agar menerima dan menyokong PAS sehingga memungkinkan PAS menang dalam pilihanraya dengan bilangan kerusi yang secukupnya untuk membentuk kerajaan samada secara bersendirian ataupun melalui kerjasama politik dengan  pihak lain.

Kerana itu tugas besar PAS dalam kontek ini adalah bagi melatih dan melahirkan seberapa ramai pendakwah yang berkaliber, yang mampu terjun dan berhadapan dengan masyarakat Malaysia samada muslim atau non – muslim,  bagi meyakinkan mereka agar memberikan sokongan kepada kita.

Lantaran itu para pendakwah PAS perlulah memiliki kemahiran berkomunikasi yang berkualiti dan kesantunan bicara yang menggamit jiwa, sehingga ia mampu menguntungkan parti dan perjuangan ketika menjalankan tugas masing-masing dan bukan sebaliknya.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan komunikasi?

Komunikasi adalah asas dalam kehidupan seseorang manusia, Dalam sesebuah organisasi, komunikasi ibarat nadi yang menggerakkan fungsi pengurusannya. Komunikasi adalah medium penyebaran maklumat daripada seorang manusia ke manusia yang lain. Justeru sistem pengurusan organisasi atau masyarakat akan tergendala tanpa komunikasi. Semakin berkesan sistem komunikasi, maka semakin cekaplah pengurusan dan pentadbiran dalam sesebuah organisasi itu tadi.

Komunikasi pada dasarnya melahirkan dua “result” ataupun keputusan iaitu komunikasi yang berjaya dan komunikasi yang gagal.

Prinsip umumnya, seseorang atau sesuatu kumpulan dikatakan berjaya dalam kaedah komunikasinya apabila:

• Sasaran ataupun mad’uu nya yakin dan percaya kepadanya serta apa yang diperjuangkan
• Sasaran bersedia memberikan sokongan dan simpati mereka kepadanya (termasuklah menghulurkan bantuan fizikal dan kewangan)
• Sasaran akan mempertahankannya dan apa yang ia perjuangkan apabila berlaku krisis ataupun persengketaan

Manakala seseorang atau sesuatu kumpulan itu dikatakan gagal dalam kaedah komunikasinya apabila:

• Sasaran ataupun mad’uu nya tidak yakin malah benci dan meluat padanya dan apa yang diperjuangkannya
• Sasaran memberikan sokongan kepada pihak lawan
• Sasaran berpaling muka dan meyalahkannya dan apa yang diperjuangkannya apabila berlaku krisis

Untuk itu bagi memastikan gerak-kerja kita efektif dan tidak berlaku kerja yang sia-sia sehingga menempah kegagalan maka ciri-ciri komunikasi yang berkesan perlu kita kenal pasti, kaji dan laksanakan.

Dalam erti kata lain:

Seruan dakwah perlu dilakukan secara komunikasi yang berkesan, yakni meliputi segala aspek yang berupaya menarik orang terhadap apa yang disampaikan. Ingat firman Allah swt  di dalam surah Aali Imran ayat 159 :

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

3. Kriteria komunikasi yang berkesan.

Sudah pastilah sebagai seorang pendakwah PAS, kita akan berhadapan dengan masyarakat Malaysia khasnya orang-orang Melayu yang terdiri dari pelbagai latarbelakang, fahaman dan status hidup (termasuklah yang bukan Melayu/Islam). Kita akan dikira berjaya apabila kita mampu membawa mesej dan risalah PAS melalui pendekatan yang menarik dan mengkagumkan sehingga akhirnya diterima masyarakat yang pelbagai jenis dan latarbelakang tadi.

Antara kriteria yang mesti dimiliki ialah :

a) Pendakwah yang bermaklumat

Sebagai pendakwah PAS kita perlu mahir dan menguasai asas-asas perjuangan parti dan isu-isu semasa untuk diolah dan dikaitkan menurut skop dan kacamata perjuangan Islam yang diperjuangkan. Kata kunci di sini adalah kita perlu menonjol sebagai pendakwah PAS yang kaya dengan maklumat dan fakta.

Bagaimana maklumat dan fakta ini diperolehi?

Tidak ada formula lain selain menimbanya melalui pembacaan dan penelitian (reading & observation). R&O ini perlu dilakukan dengan menelaah akhbar-akhbar, majalah, buku-buku, siaran TV dan melayari internet [media baru]

Setelah diperolehi ianya perlu pula melalui proses penyaringan dan pengesahan ataupun verification. Segala maklumat dan fakta yang kita cungkil atau yang terdedah kepada kita (termasuklah melalui TV, radio dan internet) perlulah melalui proses penyaringan. Dalam erti kata lain ianya hendaklah ditapis, disaring dan disahkan sebelum disampaikan. Bermakna segala yang kita perolehi itu tidak boleh diterima bulat-bulat kecuali yang telah melalui proses penyaringan.

Ambil peringatan wahyu dari surah al Hujuraat ayat 6 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Perkara yang perlu diberi perhatian dan penting juga ialah apa yang disampaikan kelak perlulah selaras dengan pandangan dan pendirian parti.

Selanjutnya maklumat dan fakta yang telah disaring itu perlu pula dipilih dan disampaikan menurut kesesuaian suasana dan mad’u (selection). Ini kerana tahap pemahaman dan keupayaan mad’u berbeza-beza menurut profesion, kawasan dan taraf hidupnya.

Contohnya maklumat berkenaan angka-angka ekonomi mungkin tidak berapa diminati golongan masyarakat kampung kecuali mengenai harga minyak, gula dan keperluan asas, di sinilah proses “selection” tadi penting

Malah dalam hal ini Rasulullah saw sendiri mengamalkan “selection” ini berdasarkan kemampuan mad’u nya ketika itu. Apabila Rasulullah saw pernah bersabda :

خاطب الناس على قدر عقولهم.

Firman Allah swt di dalam surah al Furqan ayat 6 :

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;”
Contoh praktis oleh Rasulullah saw, ialah Baginda saw pernah menyatakan bahawa sebaik-baik amalan ialah beriman kepada Allah, namun dalam situasi yang lain pula Rasulullah saw menyatakan sebaik-baik amalan ialah mengerjakan solat dalam waktunya dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa. Perbezaan kenyataan tersebut adalah kerana meraikan situasi dan realiti semasa yang dihadapi Baginda saw. Begitulah pendakwah selayaknya peka dengan realiti semasa yang dihadapi demi keberkesanan dakwah yang dibawa.

b) Keterampilan dan rupa diri yang kemas

Golongan sasar bukan sekadar menilai apa yang kita sampaikan akan tetapi mereka turut menilai keterampilan dan rupa diri kita, iaitu apa yang mereka lihat. Seringkali apa yang mahu dikomunikasikan itu berjaya apabila pendakwah dilihat kemas dan tertib, sentiasa yakin dan meyakinkan.

Komunikasi yang berkesan bermula dengan “first impression” ataupun penampilan pertama dengan tenaga pendakwah tadi. Nokhtah ini memerlukan pendakwah mempunyai keupayaan imej yang baik.

c) Memiliki kekuatan bahasa dan kepetahan berbicara

Pendakwah yang baik perlulah memiliki kekuatan bahasa dan petah serta lancar ketika berbicara. Seseorang itu perlu bijak memilih bahasa dan menyusunnya agar kelihatan indah dan menarik.

Keupayaan membakar semangat mad’u adalah satu aset namun memaksa diri untuk berbuat demikian belum pasti akan meghasilkan sesuatu yang positif. Keupayaan mengenalpasti saat dan ketika untuk menaikkan semangat dan saat dan ketika untuk berjenaka penting agar mad’u selesa dan senang hati dengan kita.

Elakkan perkataan yang kasar dan keras apatah lagi maki hamun, caci maki dan fitnah yang tidak sepatutnya diucapkan oleh pendakwah Islam.

Penting bagi pendakwah menepati masa yang diberikan ataupun jika tidak ada had, ia tahu bila waktu dan ketikanya untuk berhenti. Hujah dan syarahan yang panjang lebar akan hanya membosankan pendengar dan akhirnya membawa natijah yang merugikan.

d) Kemampuan membaca suasana

Pendakwah yang bijak adalah yang tahu membaca suasana. Sentiasa peka akan pantang-larang masyarakat setempat. Adab dan akhlak selaku pendakwah perlu sentiasa dipelihara. Bermula dari bahasa lidah sehinggalah kepada bahasa badan malah bahasa badan lebih berkesan. Kaedah dakwah yang masyhur ialah :

لسان الحال أفصح من لسان المقال

maksudnya : bahasa badan [tindakan] terlebih fasih berbanding bahasa lidah [ucapan]

4. Penutup

Dalam skop perjuangan PAS, komunikasi yang berkesan oleh para penggeraknya akan mampu meningkatkan sokongan terhadap perjuangannya dan akhirnya diterjemahkan kepada sokongan semasa pilihanraya.

Secara keseluruhannya,  komunikasi samada melalui lisan ataupun tulisan akan berkesan sekiranya ia padat dengan ilmu dan fakta, ianya tidak datang secara semulajadi, malah lahir dari ketekunan, insiatif dan kreativiti.

Hari ini kita ditaqdir berjuang dalam  Masyarakat yang rata-ratanya celik ilmu dan bermaklumat, justeru itu pendakwah PAS yang berjaya adalah pendakwah yang menguasai ilmu dan mampu berhujjah dengan baik samada melalui lisan ataupun tulisan dengan penuh hikmah dan menghasilkan keuntungan kepada parti dan perjuangan.

Sabda Rasulullah saw :

مَن دلَّ على خيرٍ فله مِثْلُ أجرِ فاعِلهِ

Barangsiapa yang menunjuk jalan ke arah kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut.

Riwayat Imam Muslim

Sabda Rasulullah saw :

مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيءٌ وَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيءٌ

Barangsiapa yang mengasaskan sesuatu tindakan di dalam Islam sebagai suatu tindakan yang baik maka baginya pahala kebaikan itu dan pahala mereka  yang melaksanakan tindakan tersebut selepasnya tanpa mengurangkan sedikitpun dari pahala mereka dan  Barangsiapa yang mengasaskan sesuatu tindakan di dalam Islam sebagai suatu tindakan yang jahat maka baginya dosa kejahatan itu dan dosa mereka  yang melaksanakan tindakan tersebut selepasnya tanpa mengurangkan sedikitpun dari dosa mereka.

Riwayat Imam Muslim

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 123 other followers

Oktober 2011
I S R K J S A
« Sep   Nov »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Arkib

Categories

RSS Harakahdaily

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

RSS Malaysiakini

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

Media AlTernatiF

%d bloggers like this: