Muzakarah perangkap usang Umno?

Tinggalkan komen

Mei 24, 2012 oleh pemudawilayah


Oleh : Ahmad Lutfi Othman

 

Sekonyong-konyong, ketika semua sibuk berbicara dan bergosip tentang ibu segala pilihan raya — PRU13 — timbul isu muzakarah PAS-Umno, persoalan yang dilihat tidak pernah selesai, malah kerap dijadikan polemik politik yang tidak berkesudahan.

Akhbar melaporkan kesediaan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bermuzakarah dengan sesiapa jua, termasuk NGO dan parti politik.

Kenyataan berkenaan mungkin merujuk beberapa perkembangan mutakhir yang timbul daripada, antara lain, keputusan Majlis Fatwa terhadap demonstrasi Bersih 3.0 yang ditegur Tok Guru Nik Aziz, juga reaksi Mufti Perak yang mendakwa PAS sudah terpesong daripada perjuangan asal.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang cuba membina imej Islam (mungkin untuk mengisi ‘kekosongan’ yang ditinggalkan Anwar Ibrahim dalam kerajaan) dengan segera memberi respons bersetuju dengan cadangan muzakarah tersebut.

Bagaimanapun Muhyiddin sempat menyindir Tok Guru: “… kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah.”

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, dalam kenyataannya membetulkan salah tanggapan (atau sengaja buat tidak faham) Muhyiddin itu. “Dalam isu dialog dengan mana-mana pihak atas nama muzakarah, muqabalah mahupun mujadalah, Tuan Guru sentiasa konsisten dengan komitmen bahawa pertemuan dialog harus dilakukan sentiasa bagi mencari penyelesaian,” katanya.

“Justeru, apabila Muhyiddin menyatakan Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah, ia menunjukkan kekeliruan di pihak Muhyiddin yang gagal membezakan antara muzakarah dengan penyatuan antara PAS-Umno. Benar sekali Tuan Guru konsisten menentang penyatuan ini yang dilihat hanyalah helah Umno untuk menyelamatkan diri dari lemas dalam pilihan raya,” tambah Ahmad Fadhli.

Mengulas isu sama, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata, muzakarah yang ditawarkan kepada semua NGO dan parti politik itu jelas untuk menerangkan pendirian PAS mengenai isu-isu  yang tidak difahami oleh sesetengah pihak.

“Jadi tidak berbangkit soal PAS hendak bermuzakarah dengan Umno atas dasar untuk penyatuan politik. Isu itu sudah lama mati,” kata Mustafa.

Orang yang naif berpolitik pun mudah faham dan arif benar bagaimana pemimpin Umno, termasuk melalui Dr Mahathir Mohamad, begitu ghairah memanipulasi isu perpaduan Melayu demi survival kuasa mereka.

Setiap kali Umno kehilangan undi Melayu, seperti pada 1999, atau panik berdepan kemungkinan takhta “digulingkan” selepas Mac 2008,  pemimpinnya akan menimbulkan isu “perpecahan bangsa” dan serentak itu “salam perpaduan” dihulurkan kepada PAS.

Seolah-olah dengan wujudnya pelbagai parti di kalangan orang Melayu menunjukkan bangsa kita diancam perpecahan yang serius. Sokongan pengundi Melayu yang terbahagi tiga, iaitu kepada PAS, Umno dan KeADILan, juga disifatkan petanda orang Islam bakal hilang kuasa. Karut!

Yang ditakuti pemimpin Umno adalah kehilangan kuasa politik, yang menyebabkan segala keistimewaan, kekayaan, pengaruh dan kedudukan mereka terhakis. Bukannya soal masa depan dan survival  orang Melayu, tetapi posisi Umno yang semakin terpinggir daripada arus perdana politik negara. Tanpa kuasa, Umno akan hilang segalanya.

“Isu muzakarah ini sengaja ditimbulkan untuk menjauhkan masyarakat Tionghua daripada PAS, di samping menimbulkan keraguan orang Cina terhadap perjuangan Parti Islam dan konsistensi pemimpinnya terhadap perjuangan menegakkan keadilan tanpa mengira kaum dan agama.

“Dalam masa sama, jika PAS menolaknya, ia  cuba dijadikan daleh bagaimana pemimpin PAS bersikap keras kepala dan langsung tidak bersedia untuk bertolak ansur berbincang masa depan bangsa. Apa pun, yakinlah, kita tidak akan masuk perangkap Umno itu.” kata seorang pemimpin tertinggi PAS.

Bagi saya, berpolitiklah secara matang dan tunjukkanlah maruah bangsa yang tidak mudah diusik sentimen perkauman bermusim ini. Biar rakyat dapat menilai prestasi setiap parti yang menawarkan diri. Usah bermain emosi dan perasaan, dengan mengetepikan persoalan pokok yang lebih penting.

Isu-isu kritikal dalam PRU13, seperti senarai daftar pemilih yang meragukan, amalan korupsi yang berleluasa selepas Parlimen dibubarkan (dan juga sebelumnya), media yang dimonopoli elit penguasa, dan juga tempoh minimum kempen, mesti ditangani segera.

Sampai bila bangsa Melayu akan terus dipermainkan dengan isu-isu sampingan atau “jadi-jadian” yang langsung tiada relevan, setiap kali negara di ambang pilihan raya umum?

Tepatlah seperti dijelaskan Ustaz Abdul Hadi, dalam satu sidang media, bahawa PAS sebenarnya bersedia mengadakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NG)) berhubung salah faham mengenai Islam, dan bukannya bermuzakarah dengan Umno.

“Masa itu saya nyatakan perbincangan dengan NGO yang menuduh PAS menyeleweng daripada dasar dan matlamat Islam. Perkataan muzakarah mungkin disebut pada masa itu tetapi muzakarah terjemahannya perbincangan, penjelasan, tapi disalahtafsirkan PAS nak muzakarah dengan Umno. Itu tak timbul,” katanya.

“Izu muzakarah sudah lama dan acapkali dibentangkan kepada Umno dan Umno jadikannya isu politik. Kalau nak bincang dengan Umno, lebih baik bincang mengenai pilihan raya yang bersih,” tegas Ustaz Abdul Hadi.

Ya, kita lupakan sebentar isu-isu mainan seperti muzakarah, dan setiap pihak elok tumpukan persiapan untuk bertanding secara sihat dalam PRU13 nanti, di “padang permainan yang sama rata”. Sama-sama kita elakkan daripada terjebak dalam pilihan raya yang dibimbangi “paling kotor dalam sejarah”.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 116 other followers

Mei 2012
M T W T F S S
« Apr   Jun »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Arkib

Categories

RSS Malaysiakini

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

Media AlTernatiF

%d bloggers like this: