ISA: Teresa Kok dibebaskan

2

September 19, 2008 oleh HermanSamsudeen


teresa kok released from isa 190908 11kemaskini 3:20pm Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.

Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

Beliau berada di balai polis berkenaan selama 40 minit untuk proses urusan pembebasan sebelum keluar bersama ibu bapanya Kok Kim Tong Pong Seh Kwon (foto kanan), peguamnya Sankara Nair dan pembantunya Mandy Ooi (foto bawah).

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.

Exco kanan kerajaan Selangor itu ditahan bawah ISA menjelang tengah malam Jumaat lepas.

teresa kok released from isa 190908 05Beliau antara tiga orang yang ditahan minggu lalu bawah kontroversi itu selepas penangkapan editor Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Tan dibebaskan Sabtu lepas, sementara Raja Petra masih ditahan.

Teresa, yang juga ahli Parlimen Seputeh, ditangkap kira-kira jam 11.15 malam Jumaat lalu ketika pulang daripada menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

Teresa yang setiausaha organisasi kebangsaan DAP, ditahan selepas kenderaan yang dinaikinya dihalang oleh tiga kereta peronda polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan Teresa mengikut Seksyen 73 (1) ISA.

teresa kok released from isa 190908 10Menurut pemimpin utama DAP Lim Kit Siang, tiga kereta polis bersama 10 anggota menahan Teresa di pintu masuk kondominiumnya.

Katanya, Teresa baru pulang daripada menghadiri satu majlis festival kuih bulan di pejabatnya di kawasan pilihanrayanya.

Teresa ditahan untuk siasatan berhubung tuduhan melarang laungan azan di dua masjid, penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan laporan polis terhadapnya oleh beberapa pertubuhan Islam, termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Teresa dibebaskan selepas polis berpuas hati  dengan siasatan dan tiada lagi sebab-sebab untuk terus menahannya.

“Selepas penangkapan dan siasatan dijalankan, polis berpuas hati bahawa tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan memutuskan untuk membebaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, ahli politik popular itu ditahan di hadapan pintu masuk kondominium Pearl Tower, OG Height, Jalan Awan Cina, Kuala Lumpurpada 12 September selepas disyaki terlibat dalam perkara-perkara yang memudaratkan keselamatan negara.

2 thoughts on “ISA: Teresa Kok dibebaskan

  1. dhomeilzafj berkata:

    Pihak yang teraniaya dianggap bersalah

    BANYAK perkara yang kita di Malaysia dapat pelajari daripada pengalaman rakyat di negara-negara lain. Di Palestin, rakyatnya yang telah lama dijajah dan mengalami serba macam penderitaan dan penindasan ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya tidak diendahkan dunia antarabangsa. Ini disebabkan mereka telah dikelirukan oleh kuasa dunia yang berpengaruh bahawa mereka (rakyat Palestin) adalah pengganas dan pengancam terhadap keselamatan dunia.

    Keadaan umat Iraq juga sama dan demikian juga halnya dengan umat di Afghanistan. Mereka semuanya dimasukkan ke dalam golongan pengganas, dan perlu diperangi habis-habisan. Presiden Bush baru sahaja mengumumkan bahawa ribuan askarnya yang sekarang menduduki Iraq akan dipindahkan ke Afghanistan untuk memerangi ancaman “pengganas” yang kelihatan semakin berleluasa akhir-akhir ini. Tindakan itu perlu dilakukan katanya “untuk menyelamatkan anak cucu kita daripada pengganas dunia itu”.

    Kadang-kadang tindakan pribumi sesebuah negara yang tertindas dan telah lama teraniaya untuk memperjuangkan hak mereka sering dilihat sebagai tindakan ganas dan mengancam keselamatan orang lain. Tindakan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka umpamanya, terutama ketika mereka bertindak ganas sebagai reaksi terhadap kekerasan yang dilakukan kepada mereka, sering dianggap sebagai tindakan ganas yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi dan peri kemanusiaan. Ertinya mereka yang bertindak untuk melepaskan diri dari penganiayaan sering pula dilabelkan sebagai golongan pelampau, sedangkan kerajaan Israel yang bertindak ganas terhadap mereka mendapat pembelaan sebagai satu kuasa yang bertujuan menegakkan keamanan dan demokrasi di sana.

    Perkembangan politik di negara kita akhir-akhir ini yang mengalami perubahan radikal secara mendadak akibat “kekalahan” Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang lalu, menampakkan satu aliran yang keseluruhannya meletakkan kesalahan terhadap institusi-institusi yang terlibat dengan hak dan keistimewaan orang Melayu dan umat Islam.

    keistimewaan

    Hak keistimewaan orang Melayu seperti isu-isu yang berkaitan dengan kontrak sosial, Dasar Ekonomi Baru, dasar pendidikan, malah isu-isu agama Islam juga sering dibangkitkan oleh banyak kalangan, terutamanya ahli-ahli politik. Semuanya ini dijadikan alasan kenapa parti pemerintah mengalami kejatuhan mengejut dalam pilihan raya yang lalu dan mengakibatkan kegawatan politik yang serius serta kegelisahan rakyat yang amat memuncak.

    Akibat keadaan ini, maka kempen secara meluas dan menyeluruh oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik di tanah air kita telah dijalankan serentak sehingga rakyat majoriti terpengaruh dengan kempen tersebut. Maka segala tentangan terhadap hak istimewa orang Melayu dan segala institusi yang dikaitkan dengan orang Melayu dan Islam mulai dikritik sebegitu rupa sehingga keadaan kelihatan amat tidak terkawal, terutamanya yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam sendiri.

    Perubahan arah pemikiran dan persepsi rakyat ini dieksploitasikan oleh berbagai-bagai pihak, terutamanya oleh ahli politik yang mencari keuntungan peribadi, para rasis yang sekian lama memperjuangkan kaum dan budayanya, dan kalangan yang sekian lama memperjuangkan ideologi politik sempit mereka untuk dipaksakan menjadi dasar pemerintahan yang selama ini tidak diterima oleh rakyat umum.

    Alasan mereka kelihatan agak meyakinkan, iaitu kerana kepincangan yang mereka andaikan itulah yang kononnya menyebabkan rakyat majoriti tidak memilih parti BN yang selama ini menguasai negara, sedangkan faktor-faktor lain tidak mereka ketengahkan sama sekali, malah kalau boleh haruslah dipendamkan supaya tidak timbul sedikit pun.

    Sebenarnya kekalahan di dalam pilihan raya tidaklah boleh diterjemahkan secara yang amat simplistik. Saya rasa keputusan pilihan raya yang berdasarkan persepsi, terutamanya persepsi palsu yang diheboh- hebohkan sekian lama sebelum menjelang pilihan raya lagi, sehingga mempengaruhi orang awam, tidak boleh dijadikan ukuran bahawa orang atau parti yang memenangi pilihan raya itu merupakan orang atau parti yang paling baik.

    Rasulullah SAW ketika mula diutus oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar itu pun telah dianggap sebagai orang gila, ahli sihir dan penyair oleh para musuhnya dan kalangan pihak tradisionalis yang mahu mempertahankan adat dan tradisi lama mereka. Sekiranya kita mengandaikan pada ketika itu diadakan pilihan raya untuk memilih pemimpin tertinggi di dalam masyarakat itu, mungkin mereka sebagai pengundi fanatik melulu tidak akan memilih Nabi Muhammad sebagai pemimpin mereka.

    Sebab itulah juga ketika proses pemilihan khalifah Islam selepas kewafatan baginda, maka pemilihan itu tidak dilakukan secara undi yang terbuka kepada umum, malahan satu lembaga pemilih yang terdiri daripada kalangan para bijak pandai saja yang membuat pilihan.

    Oleh itu persepsi rakyat umum tidaklah seharusnya menjadi ukuran mutlak sehingga dengan itu kita dapat terus membuat kesimpulan begitu dan begini, terutamanya sekiranya hal itu ditafsirkan secara melulu mengikut kepentingan yang tertentu, oleh pihak-pihak yang tertentu.

    percubaan

    Malah di dalam pilihan raya lalu, pengundi masih menaruh kepercayaan kepada calon-calon UMNO yang selama ini dianggap sebagai parti yang sederhana. Jadi kenapa pula segala kesalahan harus dibebankan kepada orang Melayu, terutamanya jika dilihat kepada perangkaan orang Melayu yang menjadi anggota parti politik, bukan semua orang Melayu berada di dalam satu parti yang tertentu. Banyak lagi orang Melayu yang tidak menjadi anggota mana-mana parti.

    Oleh itu percubaan untuk mengubah persepsi umum tentang dasar negara mengenai hak istimewa orang Melayu, Dasar Ekonomi Baru dan isu-isu agama yang dianggap tidak demokratik dilakukan.

    Ia harus dibangkitkan secara telus dan terus terang tanpa menghiraukan sensitiviti kaum dan agama lagi. Ia akhirnya mengakibatkan ahli politik Melayu sendiri melatah dan mengeluarkan reaksi spontan tentang dasar undang-undang, biasiswa, ekonomi dan sebagainya, seolah-olah kempen reversed psychology yang dilancarkan dengan hebat itu, benar-benar menjadi perangkap yang memerangkap ahli politik Melayu sendiri.

    Oleh itu tidak hairanlah dalam keadaan ini akan timbul satu dua ‘kambing hitam’ yang memberi reaksi penuh emosi terhadap perkembangan terakhir yang dianggap melampaui batas-batas keharmonian kaum dan agama yang menyebabkan mereka bertindak liar sebagai reaksi terhadap apa yang dianggapnya sebagai tindakan melampau daripada orang lain untuk merampas haknya.

    Hal inilah yang berlaku apabila Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai ‘Memeluk Islam’. Orang-orang yang merasakan bahawa kaum dan agamanya tercabar dengan begitu hebat akan bertindak dengan keras, walaupun tindakan itu sebenarnya agak keterlaluan pada pandangan umum. Contohnya, apabila seorang ahli PKR yang bertindak menentang forum itu dianggap tidak mematuhi disiplin parti sedangkan ia bertindak atas sifatnya seorang Muslim dan suara emosional yang timbul dari Bukit Bendera mengenai pendatang ke negara ini yang mendapat sokongan semua bahagian UMNO Pulau Pinang.

    Sebab itulah di atas, saya tegaskan bahawa aksi dan reaksi haruslah diberikan pertimbangan yang sewajarnya sebelum menghukum mana-mana pihak yang terlibat. Kita tidak mahu menjadi seperti kes rakyat Palestin yang teraniaya dan tertindas, yang akhirnya mereka pula dianggap bersalah dan patut dihukum, sedangkan pihak lain yang lebih kejam dijulang sebagai wira.

    Oleh itu kita rakyat Malaysia, dari sebarang kaum dan keturunan, haruslah segera kembali kepada dasar dan sejarah penubuhan dan pembangunan negara kita yang selama ini menjadi contoh terbaik kepada dunia sebagai negara yang stabil dan aman damai. Keutuhan kepimpinan negara kita telah dapat mengawal negara ini dengan baik. Oleh itu kita tidak mahu rakyat di negara ini menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu.

    Herman – isu Hak orang Melayu dan juga perjuangan Umno tidak sama! Sebahagian besar orang Melayu bukannya ahli Umno dan menolak Umno. Umno adalah parti perkauman yang mempergunakan nama ‘Melayu’ untuk kepentingan mereka. Dasar perjuangan Umno, telah jauh tersasar dari apa yang Datuk Onn cita-citakan, sampai sanggup keluar dari Umno walaupun dia yanga asaskan.

    Parti Umno sudah jadi parti perkauman yang mengangungkan kepimpinan hingga menyebabkan Bekas Perdana Menteri keempat, yang juga bekas presiden Umno, Mahathir keluar lantaran politik kepimpinan yang keterlaluan. Macam mana nak bantu orang melayu, sesama sendiri berbalah.

    Tidak cukup dengan itu, pemimpin Umno sendiri yang gadaikan hak orang Melayu, tanah rizab Melayu, peluang peniagaan untuk orang Melayu. Kerajaan bagi tender kat syarikat Umno. Bila dapat projek, mereka Sub-Kontrak pada cina, kontrator bumiputra gulung tikar. Tidak cukup dengan itu, bila jadi pemimpin songlap juta-juta. Pemutar skru harga 10 ringgit boleh jadi 100 ringgit bila Umno perintah. Masalahnya dah 50 tahun memerintah.

    Tak cukup dengan itu, hutang pilihanraya 2004 sebanyak 280 juta pun tak mampu bayar. Minta Umno tukar nama parti, jangan guna nama Melayu. Buat malu orang melayu sahaja, pi hutang ngan Cina 280 juta, bila dah memerintah lupa nak bayar hutang…….tu kisah 2004, nantikan pulang laporan hutang baru 2008!

    Kalau kat palestin ada Hamas dan dan Fatah. Fatah tu macam Umno, gunakan nama rakyat Palestin untuk cari makan dalam dunia politik. Minta bantuan sana sini, semua masuk poket pimpinan dan ahli dia sahaja. Hamas macam Pas, cari dana sana sini, berdepan dengan Israel, pertahan hak rakyat Palestine bersungguh-sungguh.

    Kalau tengok rekod pemimpin yang paling banyak rasuah, pastilah ramai pemimpin Umno dalam senarai tu, pimpinan Pas ada ker? itu sudah boleh jadi satu benchmark untuk dinilai rakyat!

  2. Awang Kata berkata:

    Nasib baik UMNO bukan nama Melayu, kalau tidak buruknya nama Melayu. Mungkin sepadan dengan nama dan perangainya. Atau perlu ditukar kepada nama berciri Malaysia (tentunya berbahasa Melayu). Melayu tak keliru dengan isu ini walau pelbagai taktik diguna. Permainan ini baru bermula dan kita lihatlah nanti macamana seterusnya. Siapa yang kena.

Tinggalkan komen

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 135 other subscribers
September 2008
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Arkib

Categories

RSS Harakahdaily

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

RSS Malaysiakini

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

Media AlTernatiF