Minggu 3 : Tajuk I – Sekitar Jamaah Islamiyyah

5

MUQADIMAH

1. PENGERTIAN JEMAAH

Jamaah dari segi Bahasa berasal dari Bahasa Arab bererti bilangan yang ramai dari manusia tertentu yang berkumpul di atas satu tujuan.

Dari segi syara’ berdasarkan al-Qur’an dan AsSunnah, Jamaah Islamiyyah ialah satu jamaah (perkumpulan umat Islam) yang dibentuk oleh ulama’ yang terdiri daripada ahli al-Halli wa al-aqdi yang berhimpun di atas mandat seorang khalifah (Amir, imam atau ketua daripada kalangan orang Islam ) bagi seluruh umat Islam. Ia hendaklah dibina di atas kesepakatan dalam urusan Islam yang dipimpinoleh ahli-ahli Islam dan jamaah ulama’ mujtahidin dengan seorang ketua atau amir. Pendapat ini mengambil kira tentang kewibawaan ulama’ dalam mengawasi dan menasihatinya supaya tidak terkeluar dari landasan syariat Islam.

2. KEPERLUAN KEPADA SEBUAH JAMAAH ISLAMIYYAH

a) Jamaah Islam merupakan satu institusi yang bergerak memperjuangkan Islam dari sebarang ancaman musuh-musuh Islam. Oleh itu jemaah diperlukan untuk membina individu, keluarga, masyarakat, pemerintahan dan perlaksanaan undang-undang Islam.

b) Umat Islam yang berorganisasi dengan jemaah Islam yang benar-benar mempoerjuangkan Islam tidak akan dapat disesatkan oleh musuh kerana mereka sentiasa dilindungi oleh ajaran Al-Qur’an dan Hadis Nabi saw. Nabi saw bersabda:-

“Barangsiapa yang memecahbelahkan, maka ia bukan dari kalangan kami. Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah, dan sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang menyendiri”

Sabda Nabi saw lagi:

“Hendaklah kamu berjemaah kerana sesungguhnya jemaah itu adalah rahmat dan perpecahan itu merupakan azab”

c) Jemaah Islam merupakan satu tempat melatih kita berkepimpinan dengan cara memberi wala’ dan baiah kepada seseorang ketua pimpinan. Sebagaimana Sabda Nabi saw:-

“Apabila berangkat tiga orang dalam musafir, maka salah seorang daripada mereka hendaklah menjadi ketua”

d) Berjemaah merupakan jalan pelaksanaan cita-cita Islam untuk memakmurkan bumi Allah ini, berlandaskan kaedah usul fiqh.

“Tidak sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya maka ia adalah wajib.”

e) Berjemaah boleh menambahkan keutuhan hubungan antara mukmin dengan mukmin yang lain. Mereka juga saling mempercayai, menyayangi serta bekerjasama dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran. Firman Allah swt:-

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan mengeleluarkan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah” (Surah At Taubah : 71)

f) Bagi orang yang berada dalam jemaah Islam, mereka adalah syuhada’ dan pejuang Islam yang sanggup bekerja dan beramal untuk keredhaan Allah.

g) Beriltizam dengan kepatuhan, ketaatan dan disiplin jemaah. Setiap anggota jamaah mestilah beriltizam dengan memberi sepenuh keyakinan, ketaatan dan komitmen dengannya. Kesetiaan dan kepatuhan ini terpancar dari dalam diri ahli-ahli sendiri dengan kerelaan dan kecintaan kepada jamaah.

h) Jemaah Islam sebagai pembentuk masyarakat berakhlak. Sesungguhnya kekuatan sesebuah jamaah bukan hanya bergantung kepada pencapaian dalam bidang ekonomi, politik, teknologi, perhubungan dan sebagainya tetapi juga kepada kekentalan semangat beragaman dan akhlak mulia. Seringkali organisasi yang tidak berasaskan keredhaan Allah mengalami kehancuran akibat keruntuhan moral ahli-ahlinya seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Jamaah Islam adalah pemangkin masyarakat kea rah melahirkan masyarakat yang bermoral.

i) Jamaah sebagai pelantar masa depan ummah. Masyarakat Islam kini menghadapi pelbagai masalah sama ada dari dalaman atau luaran, ditambah pula dengan kemunduran berbanding dengan Negara-negara lain. Jamaah Islam perlu menyatukan semula umat Islam dan membuat perancangan mengenai arah tuju dan corak pentadbiran Islam pada masa depan, umat Islam bukan sahaja ditelan arus kemajuan tetapi menjadi mangsa kemusnahan dari musuh-musuh Islam.

3. DALIL DAN KEWAJIPAN BERJEMAAH

Jamaah Islam adalah untuk merealisasikan segala tuntutan Islam yang diwajibkan. Tujuannya adalah untuk menegakkan daulah Islamiyyah. Adalahmustahil untuk laksanakan hasrat itu dengan hanya usaha perseorangan tanpa usaha jamaie yang tersusun rapi.

Oleh kerana merealisasikan tujuan yang besar ini merupakan satu kewajipan yang diwajibkan oleh Islam ke atas umat Islam dan tujuan ini hanya dapat dilaksanakan dengan adanya jamaah dan amal jamaie. Keperluan kepada sebuah jamaah Islamiyyah dan amal jamaie adalah berdasarkan kepada hujah-hujah berikut:

a) Dalil daripada al-Qur’an

Firman Allah swt:
“Dan hendaklah ada dikalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah yang mungkar, dan merekalh orang yang berjaya” (Ali Imran ; 104)

Perkataan ummah di dalam ayat tersebut adalah bermaksud ‘toifah atau jamaah’. Jelas bahawa ianya bukan beerti individu-individu yang terpancar-pancar atau sekadar sekelompok manusia. Ummah disini bermaksud satu jemaah yang terdiri daripada individu yang bersatu dalam satu ikatan ukhwah atau wahdah yang padat, laksana organ-organ yang ada pada diri seseorang.
Firman Allah swt;
“Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, kamu menyuruh orang berbuat baik dan melarang orang berbuat mungkar dan kamu beriman kepada Allah” (Ali Imran ayat 110)

“Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berjihad dijalannya dalam barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh” (As Saff ayat 4)

‘Satu binaan yang tersusun kukuh’ bermaksud satu organisasi yang luas diikat dengan kesatuan dan kekuatan, sebahagian memperteguhkan sebahagian yang lain dengan caranya yang tersendiri, dan seluruh organisasi itu umpama satu organ yang hidup dan lengkap.

b) Dalil daripada hadis Rasulullah saw:

“Hendaklah kamu berada dalam jamaah kerana sesungguhnya berjemaah itu rahmat sedang perpecahan itu adalah azab”

“Barangsiapa yang memecahbelahkan, maka ia bukan daripada kalangan kami. Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jamaah, dan sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang menyendiri”

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan memisahkan diri daripada jamaah kaum muslimin, maka beerti ia mati sebagai mati jahiliyyah”

Hujah berikutnya yang menekankan kepentingan amal jamaie’ adalah waqi’ atau realiti yang kita hadapi sekarang. Realiti memberikan pengajaran bahawa usaha berseorangan walaupun ikhlas sekalipun tidak dapat meninggalkan kesan yang diperlukan untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan. Allah menjadikan dunia ini berjalan diatas hukum sebab dan akibat. Dimana kelalaian dalam sesuatu perencanaan atau tindakan itu menjadi sebab sesuatu akibat buruk yang terjadi kepada kita.

Jika diperhatikan pada golongan yang menentang Islam, maka didapati mereka itu bekerja secara jamaah, parti dan kesatuan-kesatuan yang tersusun. Kerana itu tidak dapat diterima syara’ dan akal musuh-musuh ini dapat dihadapi dengan jayanya oleh usaha-usaha individu-individu yang terpancar-pancar.

FUNGSI DAN TANGGUNGJAWAB SEBUAH JAMAAH ISLAMIYYAH

1. Membentuk kesedaran dan penghayatan Islam terhadap masyarakat.

Jamaah Islamiyyah adalah berperanan untuk mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap ubudiyyah kepada Allah. Kesedaran ini pula hendaklah diasaskan kepada hakikat bahawa Islam tidak dapat wujud bersama jahiliyyah. Perubahan yang dipimpin oleh jamaah Islam adalah satu perubahan yang menyeluruh. Perubahan ini bermula dengan memberi penjelasan kepada manusia berkenaan aqidah Islam yang kukuh supaya mereka dapat membezakan di antara hak dan batil.

2. Mentarbiyyah dan menyusun du’at di dalam sebuah gerakan untuk berperanan sebagai penggerak dakwah di dalam masyarakat.

Setiap usaha kea rah perubahan memerlukan penggerak. Penggerak ini perlu terlebih dahulu disediakan untuk memikul tugas kepimpinan da’wah dan risalah. Peranan ini hendaklah dilaksanakan oleh jamaah agar persediaan yang sepatutnya telah dilakukan sebelum ianya terus terjun ke kancah perjuangan yang lebih luas.

Kesedaran Islam yang disebarkan oleh jamaah Islam di dalam masyarakat semestinya dapat mendorong beberapa orang di kalangan masyarakat yang sedar bahawa mereka juga bertanggungjawab untuk terlibat dalam perjuangan Islam. Unsure-unsur inilah yang mesti dikumpulkan oleh jamaah Islamiyyah bagi menguatkan soffnya untuk melaksanakan tugas-tugas penyusunan tanzim dan penyebaran da’wah kepada masyarakat.

3. Mengepalai risalah perjuangan Islam dan berfungsi sebagai Negara Islam.

Jamaah Islamiyyah yang tegak di atas prinsip untuk menghancurkan taghut dan menegakkan aqidah dalam mengepalai risalah Islam yang syumul. Ia hendaklah benar-benar menonjolkan ciri-ciri Islam yang sepenuhnya dari segi aqidah, syariat, ibadah dan akhlak.

4. Menentang dan menghancurkan jahiliyyah dari akar umbinya hingga kepada seluruh manifestasinya.

Perubahan yang dilaksanakan oleh jamaah Islamiyyah adalah perubahan yang menyeluruh. Perubahan ini adalah yang dapat mewujudkan tuntutan asas terhadap penerimaan manusia dan masyarakatnya terhadap Islam. Tuntutan asas ini ditegaskan oleh al-Qur’an:

“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata” (Surah Al Baqarah : 208)

5. Menegakkan Daulah Islamiyyah di atas keruntuhan jahiliyyah dan terus berjuang untuk berperanan sebagai pemimpin umat sejagat.

Jamaah Islam mestilah mencabut jahiliyyah ke akar umbinya sebelum menegakkan Daulah Islamiyyah. Daulah Islamiyyah mesti ditegakkan di atas keruntuhan jahiliyyah. Ini kerana selagi jahiliyyah mempunyai tapak dalam masyarakat, maka selagi itulah perubahan yang total tidak dapat diwujudkan oleh Jamaah Islam.

Tertegaknya Negara Islam beerti tugas-tugas da’wah dan jihad yang dahulunya tidak dapat dilaksanakan melalui kuasa pemerintahan dan perundangan kini dapat dilaksanakan melalui kuasa Negara. Tujuan Daulah Islamiyyah bukan hanya mewujudkan suasanan damai, melindungi keselamatan rakyat dan menentang pencerobohan musuh dari luar, tetapi juga untuk melaksanakan hokum-hukum Islam dalam segala urusan kenegaraan dan menyebarkan da’wah Islam di seluruh pelusuk Negara.

CIRI-CIRI JAMAAH ISLAM HAKIKI.

Di antara cirri-ciri yang ada pada sebuah jamaah Islamiyyah adalah:

1. Jamaah yang meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya kekuatan yang dapat membangun semula ummah.

Jamaah ini dapat membebeaskan semula golongan mustad’afin (golongan yang lemah) dan menyelamatkan dunia dari kehuru-haraan dan kehancuran.

2. Jamaah yang lahir dari kesedaran sendiri.

Jamaah ini lahir daripada tuntutan al-Qur’an dan as-Sunnah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana golongan sama ada timur ataupun barat. Firman Allah swt:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang dari melakukan segala perbuatan yang salah. Dan mereka ialah orang-orang yang berjaya” (Surah Ali Imran : 104)

Sabda Nabi saw yang diriwayatkan dari Huzaifah Ibnu Yaman:
“Wajiblah kamu bersama Jamaah Muslimin dan pimpinan mereka”

3. Jamaah yang meyakini akan kesejagatan Islam.

Kedatangan Islam ialah untuk memberi kebahagiaan kepada sekalian makhluk terutamanya terhadap manusia. Ianya tidak ditentukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu, Turki dan bangsa-bangsa tertentu sahaj bahkan ianya untuk seluruh manusia.

4. Jamaah yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh tidak kurang dan tidak melampau.

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam agama Islam dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang lagi nyata” ( Surah Al Baqarah: 207)

5. Jamaah yang mengutarakan kebenaran yang tunggal dalam sejarah perjuangan Islam.

Jamaah yang memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia berterus-terang dalam menyatakan kebenaran walaupun di saat orang lain membisu seribu bahasa. Meskipun mereka ditindas, namun Jamaah Islamiyyah tetap diteruskan dengan perjuangannya yang suci.

Jamaah Islam itu sentiasa wujud di sepanjang sejarah dan ia berperanan menjaga Islam dan memeliharanya dengan lengkap dan sempurna sama ada dalam hal-hal aqidah, akhlak, perjalanan hidup serta kewajipan beriltizam dengan Islam sebagai cara hidup.

6. Jamaah yang mengutarakan kebenaran yang membolehkan umat Islam bersatu.

Jamaah yang tidak melupai wadah perjuangan yang bersifat keterbukaan yang boleh menyatupadukan para anggotanya pada prinsip dan dasar sekalipun mereka berbeza di dalam masalah furu’.

7. Di antara sifat-sifat Hizbullah ialah:
– Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka
– Merendah diri sesama mukmin
– Bersikap tegas dengan orang-orang kafir.
– Berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencelanya.
– Memberi kesetiaan kepada Allah, Rasul dan para mukmin (pimpinan).
– Mendirikan solat.
– Menunaikan zakat
– Sentiasa ruku’ kepada Allah

Sifat mereka tersebut selari dengan Firman Allah di dalam Al-Qur’an:

“Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang berpaling tadah dari agamanya(murtad), maka Allah akan mendatangkan pula satu kaum yang Allah kasihkan kepada mereka dan mereka kasih kepada Allah, bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersifat tegas terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya kerana Allah amat luas limpah kurnianya lagi meliputi pengetahuanNya” (Surah Al-Maidah : 54-56)

REALITI JAMAAH ISLAM MASA KINI.

Gerakan islam yang muncul di beberapa Negara telah memainkan peranan amat penting dalam mencetuskan perubahan sosial di dalam lingkungan operasinya. Dengan pelbagai pendekatan, gerakan Islam bergerak ke arah mencapai cita-cita membangunkan kegemilangan dan keagungan Islam.

Kemunculan gerakan-gerakan sememangnya ditunggu-tunggu kehadirannya. Tetapi realiti yang berlaku, gerakan-gerakan yang septutnya mengungguli konsep al-ta’awun fil birr- wa al taqwa dalam membangunkan Islam tidak mengikut acuan sepatutnya. Bahkan persefahaman yang sepatutnya dijadikan penghubung antara mereka diganti dengan perbalahan dan perlumbaan yang tidak menguntungkan. Hasilnya agenda membangunkan Islam terpaksa dikongsi dengan agenda perseteruan sesame gerakan Islam yang dengan sendirinya melemahkan kembali Islam.

Pertembungan yang berlaku sedikit sebanyak menimbulkan kesan buruk terhadap Islam dan umatnya. Umat Islam semakin kabur tentang Islam ditengah-tengah pertembungan gerakan Islam. Anggota-anggota gerakan Islam juga tidak sekata di dalam menghadapi situasi ini. Bahkan kebanyakan mereka mengambil jalan mudah dengan bertindak berkecuali dan escape daripada gerakan dakwah.

Umat Islam perlu menyedari keunikan mereka sebagai umat yang satu (ummatan wahidah). Usaha-usaha ke arah itu perlu dirancang dan difikirkan semula dengan mengenepikan segala kepentingan dan hawa nafsu dan meletakkan kepentingan ummah sebagai agenda utama. Justeruj, gerakan Islam perlu nmengambil beberapa langkah dalam usaha mewujudkan perpaduan dengan penuh rasa pengorbanan dan pengharapan agar perpaaduan ummah wujud sekali lagi untuk menerangi alam yang gelap gelita.

TA’ADDUD JAMAAH: PENGERTIAN, FAKTOR PENYEBAB, KESAN DAN PENYELESAIANNYA.

Ta’addud Jamaah bermaksud berbilang-bilang jamaah.

Menurut Al-Imam Asy Syafie di dalam kitabnya ‘ Ar-Risalah’ merengakan bahwa : mengikut fahaman saya terhadap Rasulullah saw:

“Wajiblah kamu bersama-sama Jamaah Islam dan kepimpinan mereka”

Bahawa gerakan Islam itu sepatutnya satu sahaja. Walaupun demikian sabda junjungan dan pendapat para ulama’ yang muktabar tetapi kenyataannya tidak sedemikian khususnya di Negara kita. Di Negara kita ini terdapat bermacam-macam jamaah yang menamakan jamaah mereka dengan gerakan Islam.

HAKIKAT PERBEZAAN DAN PERSELISIHAN

Sebenarnya, apabila diteliti sebab wujudnya pelbagai jamaah dan memerhati tabiat kemunculannya, kita akan dapati bahawa kebanyakannya berpunca dari perbezaan manhaj dan cara bekerja para daie. Mereka memilih jalan yang difikirkan paling sesuai dan lebih dekat untuk mencapai matlamat, berpandukan nas-nas al-Qur’an dan al-hadith dan membuat beberapa penyesuaian mengikut keperluan semasa.

Para nabi telah diutuskan ke atas muka bumi ini dengan manhaj dan syariat mereka yang berbeza. Firman Allah swt dalam Al-Maidah 5:48.

“Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Qur’an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,”

Kita meyakini bahawa perbezaan ijtihad yang didasarkan kepada al-Qur’an an as-Sunnah samalah dengan perbezaan manhaj para nabi dan syariat mereka dalam sesetengah perkara, sedangkan agama mereka sama. Firman Allah swt Al-An-am 6:161

“Katakanlah: “Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada jalan yang lurus, (yaitu) agama yang benar; agama Ibrahim yang lurus; dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang yang musyrik”.”

dan an-Nahl 16:123.

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif.” dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.”

Kepelbagaian manhaj inilah yang telah mempengaruhi cara berfikir para pendakwah hai ini. Hal ini telah mengajak mereka untuk berijtihad berdasarkan pemahaman mereka terhadap nas-nas al-Qur’an dan al-Hadith. Ijtihad ini sendiri mungkin tepat dan mungkin tidak tepat. Jadi ia mempunyai ruang untuk perbincangan dan kritikan.

Hasil daripada perbincangan di atas menjelaskan bahawa di sana terdapat kepelbagaian dan perbezaan yang telah menjadi fitrah manusia. Walaubagaimanapun ini tidak menafikan perpaduan yang dituntutserta larangan perpecahan ummah kerana perbezaan dalam persepsi ini sememangnya suatu yang diharuskan oleh syara’ dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan.

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA TA’ADDUD JAMAAH.

Banyak jamaah yang muncul dengan faktor-faktor (dakwaan) tersendiri, antaranya ialah:
1. Gerakan Islam sedia ada telah kehabisan matlamat dan tujuannya sedangkan matlamat dan cita-cita Islam belum tercapai.
2. Gerakan Islam sedia ada tidak lengkap dan menyeluruh.
3. Gerakan Islam sedia ada mempunyai kekeliruan dan seribu satu persoalan. Justeru mewujudkan Gerakan Islam baru dapat menyelamatkan mereka yang bekerja dalam lapangan Islam daripada pelbagai tuduhan dan subahat serta persoalan yang pelbagai itu.
4. Gerakan Islam sedia ada banyak melakukan kesalahan.

NATIJAH BERBILANG JAMAAH.

1. Tuduhan, cabaran dan kesalahan yang dijangka tidak mengenainya juga turut dihadapi.
2. Mereka tidak sedar bahawa yang ditentang ialah Islam sekalipun atas nama apa jamaahnya.
3. Kecacatan yang mereka lihat ada pada orang lain hinggakan menubuhkan jamaah baru sebenarnya telah berada pada mereka. Sedangkan apa yang mereka lakukan adalah sebahagian pemecahan kepada umat Islam.
4. Jamaah baru itu hanya seperti gerakan dhirar yang mengelirukan orang ramai terhadap kemampuan Islam menyelesaikan masalah ummah.

SOALAN PERBINCANGAN
1. Bincangkan jamaah-jamaah di sekitar kampus dan bezakan manhaj perjuangan (ideology) setiap jamaah tersebut.
2. Huraikan penyelesaian terhadap ta’addud jamaah di dalam kampus.
3. Huraikan ppakah kaedah terbaik di dalam melakukan amal jamaie

Rujukan :
1. Kertas Kerja Jemaah Islamiyyah (UM)
2. Kertas Kerja Amal Jamaie dan Tuntutannya (UM)
3. Model Kerajaan Islam (Y.B Dato’ Haji Haron Taib)
4. Pra Syarat Kemenangan Kita ( Ustaz Hj Nasruddin Hassan At Tantawi).
5. Manhaj Daurah Tadribiyyah (tajuk Akhlak dan Adab Berjemaah).

5 thoughts on “Minggu 3 : Tajuk I – Sekitar Jamaah Islamiyyah

  1. tukangseru berkata:

    salam. ana mohon izin copy n paste kat blog ana…

  2. bintu berkata:

    mohon copy utk rujukan

  3. aishah berkata:

    assalamualaikum. izinkan saya ambil artikel ini untuk dijadikan rujukan dan bahan bacaan. syukran jazilan

  4. norazila berkata:

    izinkan saya nak copy tok rujukan

  5. cik aish berkata:

    mohon copy…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Muktamar PAS

BUKTI UMNO HINA RAJA MELAYU

Kata Presiden

Kata Mursyidul Am

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 97 other followers

Oktober 2014
I S R K J S A
« Okt    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Arkib

Categories

Media AlTernatiF

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 97 other followers

%d bloggers like this: