Peniaga ingkar, cabar menteri
Tinggalkan komenSeptember 13, 2007 oleh HermanSamsudeen
KUALA LUMPUR 12 Sept. – Para peniaga di pasar-pasar besar sekitar ibu kota berkeras tidak akan menurunkan harga ayam dan mencabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal ‘turun padang’ untuk meninjau masalah mereka.
Menurut peniaga terbabit, mereka bukannya ingkar dengan arahan kerajaan agar tidak menjual harga ayam melebihi harga siling tetapi terpaksa berbuat demikian kerana tiada pilihan lain.
Para penternak ayam pula mendakwa ayam perlu dijual pada harga yang lebih mahal kerana kos makanan ayam dan gaji pekerja telah meningkat.
Kos menternak seekor ayam, menurut Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), kini ialah RM4.16 seekor.
Harga itu tidak termasuk gaji para pekerja dan kos pengangkutan untuk membawa bekalan ayam dari ladang ternakan ke bandar-bandar.
Para peniaga ayam runcit di pasar berkata, harga ayam yang dibeli daripada pemborong kini sekitar RM5.80 sekilogram dan ia melebihi harga borong yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Atas sebab itulah kami mengambil keputusan untuk menjual ayam diproses pada harga sehingga RM7 sekilogram.
“Kami tidak mahu menanggung kerugian biarpun terpaksa melanggar peraturan perdagangan,” kata peniaga ayam di Pasar Sungai Besi di sini, Mohd. Zamhor Mohd. Ghaus, 37.
Beliau memberitahu, para peniaga terpaksa menjual ayam melebihi harga siling kerana margin keuntungan perniagaan itu hanyalah 30 sen bagi setiap kilogram berbanding margin jualan ikan yang boleh mencecah RM1.50 sekilogram.
Seorang peniaga lain yang ditemui di Pasar Pudu, Azlan Rahmat, 29, turut menyalahkan pembekal ekoran masalah kekurangan bekalan ayam yang sering mereka hadapi menjelang musim perayaan.
Beliau meminta KPDNHEP termasuk menterinya, Mohd. Shafie, berjumpa dengan peniaga sepertinya untuk membolehkan kerajaan memahami kesulitan yang dihadapi oleh para peniaga ayam.
Di IPOH, lebih 1,000 ahli Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak mengancam akan berhenti berniaga ayam jika kerajaan enggan menaikkan harga siling ayam kepada RM6 sekilogram.
Pengerusi persatuan itu, Jimmy Chong Tong Sing berkata, tindakan tersebut hanya diambil jika kerajaan memutuskan harga siling ayam ditetapkan di bawah paras RM5.60 sekilogram.