HAPUS FAEDAH PTPTN : PEMUDA UMNO TIDAK JUMPA FORMULA PR
2April 16, 2012 oleh pemudawilayah
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan resolusi meja bulat anjuran Pemuda UMNO baru-baru ini untuk memansuhkan faedah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai gagal memenuhi hasrat anak muda. Lebih tepat lagi, resolusi ini tidak mampu menyelesaikan permasalahan graduan universiti yang menanggung pelbagai beban hidup ekoran kos pengajian serta hutang PTPTN.
Bagi DPPM, Pemuda UMNO gagal mencari suatu formula bagaimana PTPTN dapat dihapuskan dengan tidak menjejaskan negara. Kerana itulah mereka hanya berani mengemukakan cadangan menghapuskan faedah pinjaman, bukan menghapuskan sepenuhnya PTPTN. Itupun dibuat mungkin kerana desakan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 dan kerana PR telah mengumumkan untuk menghapuskannya, jika tidak usah ‘bermimpi’ Pemuda UMNO berusaha untuk mencari jalan membincangkan isu PTPTN.
Mungkin Pemuda UMNO tidak pernah terfikir bagaimana pendidikan percuma kepada rakyat seluruh peringkat boleh menjadi kenyataan. Mungkin juga mentaliti mereka selama ini pendidikan adalah untuk diperniagakan bagi mendapat keuntungan. Rakyat yang mampu sahaja layak mendapat pendidikan, jika tidak mampu biarkan mereka ‘merempat’ dan terkial-kial mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi. Golongan graduan pula dibiarkan sahaja pelbagai tindakan keras oleh kerajaan diambil terhadap mereka kerana gagal menjelaskan hutang PTPTN.
Sebaliknya bagi Pakatan Rakyat, pendidikan percuma adalah suatu keperluan dan kebajikan kepada rakyat. Semua rakyat berhak mendapatkan pendidikan percuma dari peringkat rendah sehingga ke peringkat atasan. Kerajaan bertanggungjawab menyediakan semua keperluan ini supaya rakyat kemudiannya nanti akan menyumbangkan tenaga mereka kepada negara dalam segenap sektor.
DPPM mengingatkan pemuda UMNO bahawa Pakatan Rakyat telah menemui kaedah atau formula bagaimana menguruskan pendidikan percuma sekiranya PTPTN dimansuhkan. Malah, PR juga mampu membuktikan dengan penghapusan PTPTN negara tidak akan jatuh muflis. PR juga tidak akan sesekali membebankan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membayar kesemua hutang PTPTN. Jika BN gagal menyaingi tawaran PR, DPPM mensarankan supaya BN mengaku kalah serta serahkan sahaja pemerintahan negara ini kepada PR dan lihatlah bagaimana kebijakan pemimpin PR mengurus pendidikan percuma kepada rakyat tanpa PTPTN.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Pemuda takkan jumpa sebarang resolusi selagi mereka hidup atas kontrak kerajaan dan makan komisyen
Sokong PTPTN dihapuskan kerana ia sangat membebankan rakyat..