Masih ramai yang terkeliru sehingga tidak faham perbezaan di antara negara berkebajikan dan negara kebajikan. Negara berkebajikan Islam tidak sama dengan negara kebajikan yang diamalkan di negara barat, kerana perbezaan prinsip, konsep dan matlamatnya berteraskan teori sekularisme yang berwawasan sekadar dunia sahaja seperti wawasan 2020. Negara kebajikan memisahkan urusan negara daripada agama sama ada secara total atau terpilih dan tanpa perhitungan halal dan haram serta dosa dan pahala. Selepas melakukan berbagai salah laku dan dosa, boleh hilang dengan pergi haji dan umrah atau sembahyang Jumaat. Selepas itu mengulangi semula dan kadang-kadang dengan kadar yang lebih besar berlipat kali ganda.
Islam menjadikan kebajikan tajuk umum kepada seluruh sifat kejadian manusia, melibatkan kehidupannya dalam hubungan dengan Tuhan, manusia dan seluruh alam. Bukan sahaja amalnya kebajikan, bahkan seluruhnya hendaklah bersifat kebajikan. Bermula daripada dasar dan cara, sehinggalah matlamatnya. Maka perkataan ‘berkebajikan’ adalah memberi makna yang tersebut, sehingga meliputi dasar, konsep, amalan dan matlamat seterusnya mencapai kemuncak yang menentukan martabat manusia iaitu taqwa. Perkara ini dihuraikan oleh firman Allah:
لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آَمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآَتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآَتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ (177 ) البقرة .
177. Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
Continue reading →